6 Februari, 2008 - RABU
Pelajar X ini mengatakan bahawa emosinya amat terganggu dan tidak mempunyai petunjuk akan kepada siapa harus diluahkan 'perasaannya' yang sedang celaru, penuh ketidakpastian. Akhirnya kepada saya beliau menaruh kepercayaan untuk berkongsi kisah mahupun masalah yang dihadapinya.
Pelajar X ini membuat pengakuan bahawa beliau sedang dilamun cinta dengan kaum sejenisnya sendiri ! Tersentak tatkala saya mendengar 'pendedahan' itu. Sungguh tidak saya percayai kerana pelajar ini setahu saya pernah bercerita sedikit masa lalu yang beliau memilih subjek Bahasa Arab sebagai antara subjek kegiatan luarnya (ko-kurikulum). Biasalah, kelemahan kita adalah mudah untuk bergeneralisasi bahawa Bahasa Arab bermakna Islamnya kuat, memakai kopiah mesti alim terpuji. Itu andaian umum yang seolah-oleh telah 'dipercayai' ramai antara kita.
Pelajar X mengatakan yang pelajar yang dicintainya itu (Pelajar Y) adalah rakan sekelasnya yang sudah diminati sejak berbulan lamanya. Pelajar X mengatakan yang pelajar Y seakan cuba menjauhkan diri dan tidak memberi peluang untuk Pelajar X berbaik-baik dengannya.
Akibat tidak lagi dapat membendung perasaannya, pelajar X mengalami tekanan perasaan dan berasa dirinya tidak sempurna, kecewanya sungguh mendalam !
Saya belum memiliki kemampuan psikiatri yang cukup mantap, maka sukar untuk saya selesaikan masalah jiwa seperti ini. Memberi nasihat seperti 'berubahlah,' 'jangan difikirkan sangat,' 'kembalilah kepada agama' mahupun 'lupakan sahaja' sememangnya mudah. Apa yang sukar ialah untuk memberi atau mungkin untuk mencari 'ubat' yang betul-betul mampu untuk membantu seseorang itu menemui penawar yang dicarinya. Persoalan akan lebih memeningkan andai kata Pelajar X bukannya ingin melupakan orientasi songsangnya tersebut tetapi cuma sekadar inginkan penawar untuk berhadapan / melupakan Jejaka Y itu !
7 Februari, 2008 - KHAMIS
Seorang pensyarah berkongsi 'ketidakpuasan' hatinya terhadap seorang pegawai pentadbir yang dia selalu berurusan dari masa ke semasa. Niat pensyarah ini adalah supaya saya sentiasa berwaspada dengan sang pegawai pentadbir tersebut dan tidak membuat tindakan yang akhirnya boleh 'mengacau-bilaukan' kehidupan mahupun pekerjaan semasa saya . Katanya, si pentadbir itu adalah seorang yang selalu bertemu bomoh demi melicinkan misi kerjanya !
Aduh, sungguh pening untuk difikirkan tentang 'pendedahan' si pensyarah seorang ini ! Beliau dengan yakinnya mengatakan sumber yang memberikan maklumat tersebut adalah sangat boleh dipercayai dan merupakan seorang yang layak dianggap 'senior' di institusi saya ini. Mana mungkin sang 'senior' itu begitu 'kreatif' untuk mereka cerita hingga ke tahap menuduh seorang manusia lain menggunakan khidmat bomoh untuk 'melemahkan' kedudukan individu-individu lain dan pada masa yang sama berobjektif untuk menjaga kedudukannya sendiri agar sentiasa selamat dan teguh walaupun hujan ribut mahupun puting beliung saling melanda bumi Melaka tanpa henti tiada bernoktah ! Rumit sungguh untuk difikirkan !
Persoalan yang bermain-main di benak minda lemah saya ini ialah; Apa logiknya seorang pentadbir sanggup 'membomohkan' pensyarah-pensyarah yang tidak selari dengan cita-rasanya? Apa sebabnya beliau sanggup menghabiskan wang ringgit untuk memewahkan sang bomoh hanya kerana ingin 'mengenakan' orang lain walhal orang yang 'dikenakan' itu sendiri tidak menyumbang kepada kekayaan mahupun kemewahan dirinya? Tetapi, apa pula faedahnya kepada si pensyarah 'senior' itu untuk memfitnah si pentadbir itu hingga ke tahap menggunakan bomoh untuk menjaga kedudukannya?
Nampaknya manusia semakin hari semakin moden, tetapi rupa-rupanya masih ada golongan terpelajar yang masih memiliki 'pemikiran neolitik' terkebelakang lagi jumud. Andai si pentadbir itu memang sahih menggunakan bomoh, dialah yang kuno mentalitinya, andai si pensyarah 'senior' itu yang membuat-buat cerita memfitnah insan lain dengan terma 'menggunakan bomoh,' maka dialah yang kuno pemikirannya ! Kita sudah 8 tahun merentasi abad ke 21 tetapi rupa-rupanya masih ramai antara kita yang mindanya seolah-olah masih 'tertinggal keretapi.'
Neba2020: Pelik dan ganjil adalah dua istilah yang berbeza pada maksud dan ejaan. Tapi pernahkah kita terfikir yang hidup ini akan menjadi tidak berseri dan seolah-olah bosan jika tiada yang pelik dan tiada yang ganjil di persekitaran kita. Sesuatu yang dianggap sebagai pelik dan ganjil itulah sebenarnya yang menjadi perencah juga penyeri kepada kehidupan seharian. Kita mudah tertarik dengan kisah-kisah pelik dan ganjil berbanding dengan kisah-kisah normal yang biasa saja tiada sensasi. Kerana mudahnya kita tertarik kepada sesuatu yang pelik dan ganjil untuk didengar, dibaca, dilihat mahupun dirasai maka sesungguhnya kita sendiri sebenarnya adalah makhluk yang pelik lagi ganjil untuk difahami mahupun untuk diteliti. Renung-renungkanlah ....
No comments:
Post a Comment