Tanggal 31 Ogos 2007, genaplah 50 tahun negara tercinta ini mencapai kemerdekaannya. Laungan'MERDEKA !' yang dilaungkan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra di pagi hari yang didahului dengan hujan yang membasahi bumi MERDEKA ini seakan masih segar bunyinya dan membawa 1001 pengertian kepada kita, bangsa yang MERDEKA. Pastinya Stadium Merdeka menjadi saksi kepada laungan keramat 'MERDEKA !' sebanyak 7 kali daripada Bapa Kemerdekaan itu, Putera Sultan dari negeri Jelapang Padi yang sungguh besar jasanya kepada negara dan keseluruhan warga Malaysia yang MERDEKA !
Segalanya selepas peristiwa bermakna itu adalah sejarah kepada sebuah pembinaan negara bangsa yang terjajah hampir 450 tahun dengan rentetan senarai 'si penjajah' yang bertukar ganti di tangan Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun. Malah ada juga sekelumit masa di mana kita 'terjajah' oleh si pengganas yang bergelar 'Bintang Tiga !'
Sepanjang 50 tahun ini pastinya pelbagai kisah kejayaan mahupun cerita kebanggaan yang layak untuk diabadikan di dalam 'transkripsi sejarah' Malaysia sekaligus menjadi bahan kenangan, pengajaran dan juga pencetus semangat kepada kita warga MERDEKA ini serta generasi pewaris MERDEKA yang mendatang.
Sempena 50 tahun MERDEKA ini, secara peribadi saya ingin berkongsi tentang 5 perkara yang saya iktiraf serta 'terpahat' sebagai 'simbol kebanggaan' sekaligus menjadi inspirasi sepanjang zaman kepada pembentukan saya sebagai seorang individu kelahiran negara yang sudah sedia MERDEKA ini :
1) Tun Dr Mahathir Mohammad
2) Tun Abdul Razak Hussein
3) Malaysia Boleh !
4) PROTON
5) Sukan Komanwel 1998
INSPIRASI KEBANGGAN SATU - Tun Dr. Mahathir Mohammad (Dr. M)
Perdana Menteri Malaysia ke 4 ini akan selamanya terabadi di dalam jiwa saya sebagai tokoh yang paling kuat mempengaruhi pemikiran saya dan cukup banyak jasanya kepada saya dan keseluruhan warga Malaysia yang MERDEKA. Jika ada pihak merasakan yang Dr. M tidak hebat, Dr. M tidak bagus, Dr. M tidak berjasa, Dr. M membawa keburukan dan apa jua konotasi negatif, cakap dan teruslah bercakap kerana ianya sama sekali tidak akan dapat merobek benteng kukuh kepercayaan dan kekaguman saya kepada negarawan yang seorang ini.
Dr. Mahathir adalah sumber inspirasi saya sejak kecil. Kerana tiupan semangat keramat daripadanyalah saya cuba memperbaiki diri, yakin bahawa kita boleh berjaya jika kita kuat berusaha. Kerana beliaulah saya yakin bahawa saya sebagai budak Melayu tidak kurang bijaknya dan boleh berjaya dalam pelajaran dan juga kehidupan pada masa hadapan. Dr. M pernah menulis 'Dilema Melayu' dan buku itulah antara khazanah pembuka minda yang saya kira perlu dibaca oleh setiap umat bergelar Melayu walaupun ianya adalah hasil garapan Dr. M pada tahun 1970. Relevannya tetap segar.
Beliaulah Perdana Menteri yang pernah memeranjatkan dunia apabila mengambil keputusan untuk tidak mendapatkan rawatan sakit jantungnnya di luar negara (1989) dan beliaulah Perdana Menteri yang menolak nasihat pakar-pakar perubatan supaya pembedahan jantungnya dijalankan di luar negara ! Dr. M yakin bahawa anak-anak Malaysia mampu memulihkan sakitnya dan anak-anak Malaysia juga berkebolehan besar !
Pemikiran beliau yang sentiasa kehadapan dan kebijaksanaan beliau dalam menyelamatkan ekonomi Malaysia di era 'krisis kewangan' di antara tahun 1997 dan 1999 itu sudah cukup untuk saya tabalkan beliau sebagai negarawan ulung negara MERDEKA ini !
Dr. Mahathir,
Keranamulah saya buktikan bahawa saya juga boleh menperoleh Ijazah Kepujian Kelas Pertama !
Keranamulah saya yakin kepada semangat kita boleh berjaya andai ada usaha dan semangat !
Keranamulah saya menjadi seorang rakyat Malaysia yang tahu bersyukur !
Keranamulah saya yakin kepada hasil cipta dan hasil pemikiran anak Malaysia !
Keranamulah saya menjadi seorang yang bercita-cita dan tahu cita-cita adalah pencetus usaha !
INSPIRASI KEBANGGAN DUA - Tun Abdul Razak Hussein
Bapa Pembangunan Malaysia ini adalah pemimpin yang mementingkan rakyat melebihi dirinya. Jasanya kepada bangsa Melayu khasnya dan warga Malaysia amnya amatlah besar sekali. Ideologi yang diterapnya melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) itu adalah rahmat terbesar yang WAJIB disedari oleh semua yang bergelar Melayu ! Keharmonian hubungan pelbagai kaum dan kestabilan sistem perniagaan di Malaysia juga adalah intipati terbesar 'ideologi keramat' itu.
Beliaulah seorang Perdana Menteri yang pernah merahsiakan penyakit kronik yang dihidapinya daripada pengetahuan rakyat hanya kerana tidak mahu rakyat gusar dan pembangunan negara terencat. Isteri dan anak-anaknya juga tidak diberitahu ! Beliaulah Perdana Menteri yang pernah disahkan hanya boleh hidup untuk beberapa tahun lagi tetapi tetap kuat azam dan usahanya untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup rakyat sehingga nyawanya menemui titik noktah di kota London pada Januari, 1976. Beiau jugalah Perdana Menteri yang membatalkan projek pembinaan kolam renang di kediamannya hanya kerana beliau merasakan kos pembinaaan kolam renang itu adalah lebih baik digunakan untuk membina 3 buah klinik desa untuk manfaat orang-orang kampung.
Sungguh luhur jiwamu Tun Razak, sungguh besar jasamu kepada kami warga Malaysia yang MERDEKA !
INSPIRASI KEBANGGAN TIGA - Malaysia Boleh !
Malaysia Boleh ! bukanlah seorang individu dan iannya juga bukanlah sebuah bangunan yang boleh dibanggakan. Malaysia Boleh ! hanyalah himpunan dua patah perkataan yang dicantumkan untuk membentuk satu 'SEMANGAT dan NYAWA' yang cukup bernilai.
Malaysia Boleh ! adalah satu ungkapan yang cukup popular di sepanjang era 1990an dan juga awal millenium baru abad ke 21. Laungan Malaysia Boleh ! seakan menjadi laungan semangat yang paling sinonim dengan rakyat Malaysia. Malaysia Boleh ! bererti kita boleh berjaya, kita mampu untuk menghasilkan sesuatu yang berkualiti serta boleh dibanggakan.
INSPIRASI KEBANGGAN EMPAT - PROTON
Penubuhan Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) adalah garapan idea unggul oleh Tun. Dr. Mahathir Mohammad sebaik saja beliau menjadi Perdana Menteri pada tahun 1981. Tahun 1985 menyaksikan negara kecil bernama Malaysia yang baru berusia 28 tahun itu telah mampu menghasilkan produk kereta nasionalnya yang pertama dengan terlancarnya model Proton Saga di pasaran.
PROTON bukan sekadar satu kisah pembuatan kereta dan penjualan kereta kepada rakyat tempatan. PROTON adalah lambang penglibatan anak-anak tempatan di dalam industri berat yang memerlukan kepakaran dan teknologi yang cukup tinggi serta penuh dengan cabaran. PROTON juga adalah kisah dan keupayaan anak-anak tempatan mengemudi industri hiliran (industri sokongan) lainnya hasil kelahiran PROTON. PROTON adalah kisah kelahiran beribu-ribu jurutera dan juruteknik 'buatan Malaysia untuk Malaysia!'
Tiada siapa pernah terbayang bahawa rakyat Malaysia mampu memiliki kereta yang berjenama Malaysia dan tiada siapa pernah terfikir bahawa negara yang kecil dan tidak bertaraf negara maju ini mampu untuk mengendalikan satu perusahaan moden yang sebenarnya bukan 'permainan' negara membangun. Hasil kepercayaan Malaysia Boleh ! dan rakyat Malaysia juga bijak, maka Proton Waja (2000) telah menjadi kereta pertama yang di reka bentuk oleh anak Malaysia tanpa pengaruh orang-orang asing. Sejarah tertinggi Malaysia melalui PROTON tercatat pada tahun 2004 apabila Proton Gen 2 dilancarkan dengan diiktiraf sebagai kereta nasional pertama yang bertaraf 100% lahir daripada idea dan kepakaran anak Malaysia di mana reka bentuk, enjin dan keseluruhan teknologinya adalah garapan anak Malaysia yang MERDEKA !
Sesungguhnya PROTON adalah inspirasi buat saya kerana PROTON adalah lambang Malaysia Boleh !, Kita Boleh ! dan Saya Boleh !
INSPIRASI KEBANGGAN LIMA - Sukan Komanwel 1998
Penganjuran Sukan Komanwel 1998 adalah satu detik hebat yang akan saya ingati hingga ke akhir hayat. Keupayaan Malaysia menjadi negara Asia pertama yang menganjurkan Sukan ke dua terbesar di dunia ini selepas Sukan Olimpik cukup untuk menaikkan semangat kita warga Malaysia betapa tiada yang mustahil untuk dicapai andainya kita yakin kepada kemampuan diri dan sentiasa memiliki fokus serta disiplin yang tinggi terhadap sesuatu yang dilaksanakan.
Kesimpulannya, Tun Dr. Mahathir, Tun Razak, Malaysia Boleh !, PROTON dan Sukan Komanwel 1998 adalah lima sumber utama inspirasi kebanggaan saya yang secara langsung mahupun tidak langsung telah menjadi satu koleksi berharga di dalam hidup saya. Lima faktor istimewa inilah yang menjadi perangsang terhebat sepanjang hampir 25 tahun usia saya di bumi MERDEKA ini. Saya yakin adalah sukar untuk saya memperoleh 'semangat' yang baru untuk menggantikan lima yang telah tersenarai ini.
Fikir-fikirkan pula senarai anda dan telusurilah makna-makna yang tersirat di sebalik pilihan-pilihan yang telah anda himpunkan itu. Sejauh manakah pilihan-pilihan anda itu telah dan akan menjadi perangsang dan kekaguman yang membara di jiwa yang mulus itu?
Senarai anda dan saya mungkin berbeza tetapi hakikat yang perlu kita fahami ialah kita adalah rakyat Malaysia yang MERDEKA dan negara ini adalah tanggungjawab kita bersama ! Janganlah kita menjadi warga Malaysia MERDEKA yang lupa daratan dan terlalu negatif terhadap keupayaan negara sendiri.
Marilah kita beruasaha untuk menjadi seorang warga Malaysia MERDEKA yang sentiasa cuba memajukan diri, mementingkan muhibah sesama kaum, menghormati undang-undang negara, menghargai pemimpin dan legasinya, berbudi-bahasa selalu, mementingkan hasil dan keluaran tempatan serta sentiasa bersikap Malaysia Boleh !
Keranamu Malaysia, kami hidup aman sejahtera.... Keranamu Malaysia, kami hidup MERDEKA ! Keranamu Malaysia, kami bangsa berjaya !
Moga Malaysia kita terus dirahmati Yang Maha Esa, moga Malaysia kita terus kekal MERDEKA selamanya... Malaysiaku gemilang selamanya....
Neba2020: Merdeka itu adalah kebebasan, Merdeka itu adalah kemenangan... Merdekakah kita andai budaya dan kelakuan kita semakin 'lari' daripada 'asal usul' ? Merdekakah ilmu kita ? Merdekakah ekonomi kita? Merdekakah keluarga kita? Tepuk dada, tanyalah minda...