Monday, September 27, 2010

Siti Nurhaliza: Dulu Benci Sekarang Suka

Salam Buat Semua,


1) Datuk Siti Nurhaliza mula popular sekitar tahun 1996. Album pertamanya memuatkan lagu-lagu seperti Jerat Percintaan dan Jawapan Di Persimpangan. Siti berada di Tingkatan Lima ketika itu.

2) Album tersebut tidaklah terlalu 'hangat' dirasai kehadirannya. Siti Nurhaliza mula dikenali kerana dia adalah pemenang pertandingan pencarian bakat baru Bintang HMI (Hiburan Minggu Ini) RTM 1995. Serba sedikit profil sebagai juara program itu membantu dia untuk 'bertapak.' Ketika era 1990n itu belum ada lagi program-program realiti seperti Akademi Fantasia, Mentor, Malaysian Idol, One In A Million dan LG Mystar. Kebiasaannya, juara Bintang HMI / Bintang RTM pastinya akan dikenali ramai dan albumnya boleh 'jual.'

3) Seingat saya, Siti mula menjadi 'popular' dek kerana berbisanya lagu Mawarku versi moden yang diduetkan bersama kumpulan 2 By 2. Ketika itu, pagi ke petang dan membawa ke malam, semua stesen radio berbahasa Melayu pastinya tidak jemu-jemu memutarkannya. Yang pasti, telinga saya cukup jemu mendengarnya dan akan terus bertukar ke saluran radio lain.

4) Siti 'memeranjatkan' ramai apabila dia menang Juara Lagu 1996 melalui lagu Jerat Percintaan. 'Calon pilihan' ketika itu ialah Ziana Zain dengan lagu berhantunya, Kemelut Di Muara Kasih. Saya memang 'geram' dengan keputusan tak terduga itu.

5) Tahun 1997 dan seterusnya, Siti Nurhaliza betul-betul 'menguasai' industri seni suara Malaysia. Popularitinya cukup hebat dan prestasinya di dalam apa jua anugerah hiburan adalah 'terlebih' bagus dan cemerlang. Pertandingan kualiti dia menang, undian popularitipun dikuasainya.

6) Kehadiran Siti selama 5 tahun pertama pembabitannya di persada seni negara tetap gagal menarik perhatian saya. Apa yang jelas, saya cukup 'meluat dan bosan' melihat kegilaan media massa yang terlalu 'beri muka' dan 'fokus' kepada anak Polis yang seorang ini.

7) Senang kata, 'Asyik-asyik muka dia, asyik-asyik lagu dia, asyik-asyik dia yang menang. Bosan betul !'

8) Tahun 2001 di suatu malam sewaktu mendengar radio, telinga saya terdengar sebuah lagu yang berirama tradisional. Liriknya cukup menarik dengan bahasa bersastera indah umpama gabungan beberapa rangkap pantun. Lagu itu tidak pernah lagi kedengaran oleh saya sebelum itu. Bunyinya seperti lontaran suara gabungan S.M Salim (ketika itu Datuk) dan Siti.

9) Tamat lagu terus sahaja penyampai radio memberikan info tentang lagu tersebut. Rupa-rupanya ia adalah daripada album terbaru konsert S.M Salim bersama-sama dengan Orkestra Philharmonic Petronas. Siti adalah artis undangannya. Saya betul-betul umpama 'jatuh cinta pandang pertama' dengan lagu berjudul Pandang-Pandang Jeling-Jeling' itu. Iramanya dan kelunakan gabungan vokal S.M Salim dan Siti itu cukup 'menguasai' jiwa ini. Buat pertama kali saya mula sukakan lagu dendangan Siti Nurhaliza !

10) Esoknya saya terus ke kedai menjual kaset dan cakera padat (C.D). Saya terus membeli album konsert S.M Salim bersama orkestra itu. Semuanya kerana lagu Pandang-Pandang Jeling-Jeling !

Sejak itu, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin adalah penyanyi wanita nombor satu yang menjadi pilihan diri ini .... Segalanya adalah sejarah ....

Neba2020: Kalau suka janganlah suka sepenuh jiwa dan raga, kalau benci janganlah pula benci umpama dendam kesumat bersalutkan nanah .... Segalanya biarlah berpada-pada ....

Tuesday, September 7, 2010

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Salam Kemaafan

Salam Buat Semua,


1) Terasa rindu saat-saat indah dahulu sewaktu Encik (ayah) dan Emak sama-sama membawa saya membeli-belah sempena Hari Raya.

2) Sehingga saya berada di Tingkatan 5 (1999), rutin menjelang Aidilfitri pastinya tidak lengkap tanpa Encik dan Emak meluangkan masa bersama untuk membelikan baju raya, seluar raya dan kasut raya untuk si bongsu mereka ini.

3) Saya tidak pernah merasa malu betapa sehingga umur 17 tahun masih 'berkepit' dengan Encik dan Emak di pasaraya-pasaraya sekitar bandar Segamat. Kami keluarga bahagia!

4) Apabila saya semakin dewasa ini barulah saya sedar betapa beruntungnya saya ada Encik Ahmad sebagai ayah dan Puan Asmah sebagai ibu. Mereka ini sentiasa ada disamping saya si saat susah mahupun senang. Kerana itulah ikatan kekeluargaan kami amatlah erat, mesra dan santai sekali. Interaksi kami bukan sekadar hubungan formal anak dan ibu/ayah, tiada rahsia dan tiada kekangan sama sekali. Kami bebas berbual dengan mesra dan santai tentang politik, sukan, hiburan, gossip, agama, dunia sosial dan apa sahaja.

5) Sekarang saya membeli baju raya tanpa kehadiran Encik dan Emak. Saya sudah cukup 'besar' dan mampu pula untuk bergantung kepada diri sendiri dalam berbelanja.

6) Memori membeli baju raya bertemankan Encik dan Emak pastinya cukup bernilai. Selama 17 tahun mereka meluangkan masa untuk memastikan saya gembira dan kelihatan comel menyambut Raya. Saya kira tidak semua insan memiliki memori seperti itu untuk jangkamasa yang cukup panjang.

7) Kini saya memikirkan seharusnya diri ini pula yang berusaha untuk memeriahkan dan menggembirakan sambutan Raya Encik dan Emak. Itulah tanggungjawab yang perlu saya laksanakan. Hidup ini bukan sekadar untuk menerima tetapi juga untuk memberi dan menghargai setiap insan yang pernah menceriakan kita dahulu.

8) Jika dahulu saya gembira untuk menerima duit raya daripada emak saudara dan bapa saudara, kini seharusnya serba sedikit saya perlu memberi mereka pula duit raya. Jumlah bukanlah sandarannya tetapi usaha dan niat untuk memeriahkan lagi sambutan Raya mereka itulah yang lebih penting. Saya yakin betapa semakin berumur seseorang itu semakin 'besar dan megah' hati mereka jika diingati dan diraikan.

9) Jika dahulu sepupu sepapat yang ramai (abang-abang dan kakak-kakak saudara) telah menyebabkan kutipan duit raya saya cukup 'meriah dan tebal,' kini giliran saya untuk menambahkan 'kutipan' duit raya anak-anak mereka pula. Setahun sekali tidak perlulah berkira.

10) Selamat Hari Raya Aidilfitri Buat Semua, Maaf Dipohon Untuk Salah dan Silap Saya Selama Ini. Diri Ini Hanyalah Insan Biasa Yang Tidak Bebas Daripada Membuat Kesilapan.

Neba2020: Raikan Aidilfitri Dengan Melihat Ke Dalam Diri Kita Sejauhnya, Moga Kelembutan Jiwa Di Pagi Syawal Akan Berterusan Selamanya Dalam Kita Hidup Bermasyarakat ....

Sunday, September 5, 2010

Pilihan Raya Umum Akhir Tahun Ini?

Salam Buat Semua,

1) MCA sejak akhir-akhir ini seakan cuba menunjukkan taringnya. Dr. Chua Soi Lek kelihatannya cuba menunjukkan MCA itu masih bertaring. Dia kini cuba mempotretkan dirinya sebagai hero komuniti Cina di Malaysia ini. Hak dan keistimewaan Bumiputera yang termaktub di dalam Perlembagaan cuba dipertikainya dan berani pula dia mahu menuntut kerajaan mengiktiraf sijil-sijil lepasan sekolah persendirian Cina yang sepatutnya tidak wujud di Malaysia ini demi perpaduan negara walhal kerajaan telah mengujudkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang selari dengan sistem pendidikan nasional sejak awal Merdeka lagi.

2) Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, Barisan Nasional (BN) berkuasa dengan ditunjangi UMNO yang menang di 79 Parlimen. MCA cuma berjaya menang di 15 tempat. Untuk rekod, UMNO bertanding di 117 kawasan dan MCA pula sebanyak 40. Gerakan dan MIC pula masing-masing hanya menyumbang sebanyak 2 kemenangan kepada BN. Selebihnya, BN dikuatkan dengan parti-parti komponennya di Sabah dan Sarawak. Maknanya, tahap kejayaan UMNO ialah 68% dan MCA pula hanya 38%

3) Kerusi-kerusi yang dimenangi MCA, Gerakan dan MIC pula jelas dibantu oleh jumlah pengundi-pengundi Melayu yang besar di kawasan terbabit. Secara majoritinya, kaum Cina terutamanya dan India amnya amat 'menolak' BN ketika itu.

4) Dr. Chua kini kelihatannya cuba 'melawan' UMNO secara halus. Dia juga seakan cuba 'memberitahu' orang Melayu bahawa masyarakat Cina di bawah kerajaan pimpinan UMNO telah menerima layanan yang tidak sepatutnya diterima.

5) Maka Perdana Menteri Mohd. Najib perlu berhati-hati dengan 'percaturan taktikal' yang cuba digerakkan Presiden MCA 'tidak berjawatan Kabinet' itu.

6) Ada kemungkinan Mohd. Najib akan 'dijatuhkan' secara halus oleh MCA dengan 'dibantu' oleh kesemua ahli Parlimen Pakatan Rakyat sewaktu proses hendak meluluskan peruntukan Bajet 2010 nanti. Tidak memeranjatkan juga jika agenda tersebut turut 'disokong' oleh wakil-wakil Parlimen daripada Gerakan, MIC dan juga parti-parti komponen BN bukan Muslim di Sabah dan Sarawak. Segalanya mungkin ...

7) Apa yang jelas, Mohd. Najib pastinya berasa tidak selamat. Jumlah kerusi yang dimiliki UMNO dan ditambah pula dengan kembarnya di Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PBB) sememangnya tidak mampu untuk 'menidakkan' proses penjatuhan kerajaan pimpinannya itu nanti andainya 'berlaku.'

8) Senario tersebut tidak akan berlaku kiranya UMNO kuat dan kukuh dengan memiliki lebih 100 kerusi Parlimen seperti sebelum ini. MCA tidak akan 'terlebih berani' dan perpaduan serta muafakat di dalam BN akan kembali subur dan tenang.

9) Walaupun sokongan masyarakat Cina terhadap BN masih diragui dan jelas DAP masih menjadi pilihan mereka tetapi 'khabar angin' kencang dan jelas telah menunjukkan bahawa diyakini UMNO akan kembali mendapat sokongan padu majoriti orang Melayu seperti PRU 1995 dan 2004 di PRU akan datang. Kepercayaan masyarakat India terhadap MIC dan BN juga telah jauh bezanya berbanding dengan sewaktu PRU 2008 yang 'hangat' dengan isu Hindraff dan 'roboh kuil.'

10) Justeru itu, tidak menghairankan jika Mohd. Najib akan membubarkan Parlimen selepas Bajet 2010 dibentangkan tanpa perlu menunggu perbahasan untuk kelulusan di Parlimen tamat. Mohd. Najib juga pastinya tidak kurang bijaknya bermain 'politik penuh taktikal' seperti Dr. Chua Soi Lek mahupun Anwar Ibrahim, si 'Perdana Menteri menanti di dalam mimpinya.'

Neba2020: Politik itu adalah kebarangkalian yang susah untuk dikira kebarangkaliannnya ...

Tuesday, August 17, 2010

MCA dan DAP boleh SATU suara ....

Salam Buat Semua,

1) Presiden MCA yang pernah 'main' secara haram dengan seorang wanita dengan 'aksi-aksi terlampau' yang dirakamkan dalam bentuk DVD iaitu Chua Soi Lek tiba-tiba ingin menjadi hero.

2) Dia keluarkan kenyataan 'berani mati' mempersoalkan sistem kuota untuk usahawan Bumiputera dalam Model Baru Ekonomi (MBE). Bekas Menteri Kesihatan di dalam pentadbiran Tun Lah itu sejak menjadi Presiden MCA tanpa jawatan Menteri dan Ahli Parlimen nampaknya cukup kritikal dengan pendapatnya. Mungkin dia rasa inilah masanya untuk MCA kelihatan menjuarai isu-isu yang selama ini memberi impak positif kepada seterunya DAP. Soi Lek hendak takut apa? Dia bukan Menteri di bawah Kabinet Perdana Menteri dan dia juga bukannya wakil rakyat di Labis, Johor lagi yang majoriti pengundi yang memenangkannya dahulu ialah orang Melayu!

3) Soi Lek turut mengakui bahawa MCA tidak takut untuk berkongsi pandangan yang sama dengan DAP jika ianya boleh memberi keuntungan kepada masyarakat Cina.

4) Nampak gayanya MCA di bawah kepimpinan Soi Lek 'DVD terlampau' ini sudah seakan berkongsi suara dengan DAP yang selamanya memang tidak mahu negara ini mempunyai istilah 'kuota 30% Bumiputera,' dan hak istimewa Bumiputera.

5) Soi Lek perlu sedar dan faham betapa sejarah di Malaysia dan banyak lagi negara telah membuktikan bahawa kepincangan dalam masyarakat telah berlaku kerana pengagihan kekayaan tidak dilakukan secara adil dan saksama.

6) Apabila hak dan kebajikan ekonomi dan pendidikan kaum majoriti diabaikan atas nama berlandaskan prinsip ADIL dan SAMA RATA maka akhirnya porak-peranda akan berlaku dengan berlakunya 'amukan' serta 'rampasan' secara ganas daripada pihak majoriti yang tidak berpuas hati kerana 'hak dan suara' mereka diketepikan pemerintah dengan dipengaruhi golongan minoriti.

7) Soi Lek perlu faham bahawa Malaysia dibina di atas konsep KESAKSAMAAN. Bukan semuanya yang berpandukan ADIL dan SAMA RATA adalah SAKSAMA. KESAKSAMAAN bererti semua pihak dilayan dengan baik. Ada pihak yang rugi di satu bahagian kerana ingin memastikan pihak lain beroleh sesuatu dan sebaliknya juga.

8) KESAKSAMAAN dilakukan supaya suara majoriti dipelihara dan diambil kira di dalam pembinaan negara. Pada masa yang sama, minoriti dipastikan berada dalam keadaan aman, sejahtera dan bebas beragama, berbudaya dan berniaga mencari kesenangan hidup tanpa gangguan pihak majoriti. Itulah KESAKSAMAAN yang tidak boleh dijual-beli dengan konsep SAMA RATA, SAMA ADIL.

9) Di Malaysia ini, Bumiputera merangkumi sekitar 60 dan 65 % daripada jumlah penduduknya. KESAKSAMAAN yang cuba diprogramkan dasar kerajaan hanyalah ingin melihat mereka menguasai 30% daripada pengagihan kekayaan negara. Kaum Cina yang merangkumi di antara 25 dan 30 % rakyat negara ini sudah lama memiliki lebih daripada 50% kekayaan keseluruhan.

10) Apa yang Soi Lek perlu tahu ialah Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Negara dan Model Ekonomi Baru yang dibentuk oleh kerajaan Barisan Nasional selama ini yang memberi 'sedikit' keistimewaan kepada Bumiputera berlandaskan hak-hak Melayu dan Pribumi di dalam Perlembagaan sebenarnya telah menambahkan lagi kesenangan dan kekayaan kepada kaum Cina. Eksklusiviti Bumiputera telah menambahkan lagi golongan berpendapatan pertengahan di kalangan Melayu dan Peribumi yang akhirnya merancakkan lagi perniagaan kaum Cina sekaligus empayar perniagaan mereka menjadi lebih 'besar dan meriah' kerana keupayaan kuasa beli kaum majoriti yang makin besar dan makin berkeinginan kepada pelbagai produk dan perkhidmatan di pasaran. Mungkin Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek buat-buat tidak tahu ....

Neba2020: MCA rasa tidak salah berkongsi suara dengan DAP demi kaum Cina. UMNO dan PAS malangnya seakan tidak sanggup untuk berkongsi suara demi kaum Melayu. PAS rasa tiada gunanya berbaik-baik dengan UMNO walaupun UMNO sudah menghulurkan salam pemula pencarian titik persamaan demi kestabilan Melayu dan Islam. Siapalah yang rugi, siapalah yang tersenyum? Dunia oh dunia ....

Sunday, August 8, 2010

Politik Oh Politik ....

Salam Buat Semua,

1) Ada sahabat pembaca yang menanyakan secara 'personal' kenapa InspiRasi 1982 ~~ seakan tidak lagi sepanas dahulu.

2) Dulu mesti ada kisah politik, komentar hangat dan betapa 'tegar' lagi 'hebat' InspiRasi ~~ 'menghentam, menyerang juga memperli' Anwar Ibrahim dan konco-konconya di dalam Pakatan Rakyat itu.

3) Tidak lupa juga betapa kritikalnya InspiRasi ~~ terhadap Perdana Menteri ke 5 iaitu Tun Lah.

4) Sebenarnya apa yang dihajati InspiRasi sekitar akhir 2006, 2007, 2008 dan awal 2009 semuanya seakan 'terlaksana' juga 'tercapai.'

5) Tun Lah sudah tidak menjadi Perdana Menteri dan sudah tidak lagi bergelar 'taiko' UMNO, parti kesayangan InspiRasi ~~ semestinya. InspiRasi ~~ tidak membenci Tun Lah, sewaktu zaman sekolah, Tun Lah pernah InspiRasi nobatkan sebagai antara 3 pemimpin negara yang dikaguminya selain Tun Dr. M dan Tok Anwar Ibrahim.

6) InspiRasi ~~ kagum dengan sifat tenang, baik hati dan tidak mudah naik angin yang dimiliki Tun Lah. InspiRasi ~~ cukup yakin Tun Lah ini ada wajah keimanan yang bagus. Tetapi demi masa depan parti kesayangan Inspirasi ~~ dan demi negara yang amat dikasihi ini, InspiRasi ~~ tidak merasakan Tun Lah adalah seorang pemimpin utama negara yang sesuai dan cemerlang. Tun Lah adalah seorang Menteri yang cemerlang, pemimpin masyarakat yang mudah didekati tetapi dia tiada cukup karisma untuk mengemudi negara sebagai ketua nakhodanya.

7) InspiRasi ~~ juga bersyukur kerana idola kesayangan sejak umur ini di angka satu iaitu 'Datuk Seri' terhebat yang pernah InspiRasi ~~ kenali (sewaktu dia menjadi Perdana Menteri) telah mendapat kembali 'kedudukan' yang selayaknya di negara ini.

8) Tun Dr. Mahathir Mohamad yang seakan 'terbuang dan terpinggir' kerana jahatnya 'pakatan media busuk kaki pengampu tidak bertempat' sekitar tahun 2004 hingga awal 2009 itu telah diberikan 'tempat' yang sesuai sebagai seorang negarawan negara. Kini 'suara dan idea' beliau sudah kembali dipaparkan dan sedikit sebanyak telah dihormati oleh kepimpinan semasa sebagai 'suara orang lama' yang penuh dengan hikmah dan pengalamannya demi kebaikan negara tercinta ini.

9) Walaupun agak ramai yang benci dan tidak suka dengan Dr. M itu tetapi hakikatnya beliau tetap 'beraja dan bertakhta' di hati MAJORITI rakyat Malaysia. Pengaruh dan aura beliau cukup tebal lagi istimewa. Tanpa disedari, pempotretan imej dan 'suara' Dr. M kini menguatkan lagi kepimpinan semasa dan mengukuhkan semula UMNO juga Barisan Nasional.

10) Ketua pentadbiran semasa kerajaan iaitu Tok Najib '1Malaysia' yang pada mulanya menghadapi masalah krisis keyakinan yang agak teruk di awal proses 'penabalannya' sebagai Perdana Menteri kini sudah berjaya berdiri kukuh dan bergerak lancar dengan idea-idea dan usaha-usaha bertubi-tubi untuk mendekati rakyat terutamanya golongan bawahan, kampungan, pedalaman, Felda, nelayan dan warga kota yang bertaraf 'setinggan dan rumah flat.' Tok Najib bijak dalam mengambil hati rakyat, bermula dengan menguatkan tunjang dan akarnya dahulu iaitu dengan merapati dan mengambil kisah 'cerita-cerita' orang-orang bawahan yang sebenarnya adalah majoriti rakyat Malaysia yang perlu dibela dan dikasihi. Akibatnya, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Nik Abdul Aziz, Husam Musa, Karpal Singh, Lim Guan Eng, Mohd. Nizar dan bala tenteranya pula yang semakin hari semakin cemas dan ketakutan.

Neba2020: 2 tahun setengah lepas, semuanya dijanjikan baik apabila Pakatan Rakyat berkuasa di Pulau Pinang dan Selangor. Kini, janji itu telah terbalik, DAP sesama DAP bertekak di Selangor. PKR sesama PKR juga seakan saling mahu berebut kuasa Menteri Besarnya. Ketua Menteri Pulau Pinang pula cukup banyak mengguris hati dan jiwa Melayu, pegawai kerajaan yang berkhidmat bukan atas dasar parti politik juga di kecamnya. Dia seakan rasa Pulau Pinang itu adalah Singapura agaknya .....