Saturday, January 1, 2011

2011: Azam, Harapan, Impian, Cita-Cita ....

Salam Buat Fendy,

1) Berazamlah untuk menjadi hamba yang sejati kepada Tuhan. Setiap tindakan dan keputusan hidupmu, landaskan ke jalan yang diredhaiNYA. Yakinlah kepada kuasa Tuhan. Janganlah kau putus asa daripada sentiasa mengharapkan bantuan dan rahmatNYA. Tuhan itu Maha Berkuasa lagi Maha Pengasih. Berdoalah di setiap saat dan ketika. Percayalah, sesaat kau ingat Tuhan maka berzaman DIA mengingatimu. Jangan sombong kepada Tuhanmu.

2) Berazamlah untuk menjadikan Muhammad Bin Abdullah, Rasulmu itu sebagai model terunggul di dalam hidupmu. Fahamilah segala sejarah kehidupannya semoga hidupmu mempunyai paksi perjalanan yang jelas dan tidak tersasar ke arah yang tiada hala. Muhammad itu utusan Tuhanmu dan setiap ajarannya penuh dengan hikmah yang sesuai digunakan di sepanjang zaman.

3) Berazamlah untuk menjadi anak yang terbaik kepada Encik Ahmad bin Md. Yusoff dan Puan Asmah Binti Hassan. Utamakan mereka di dalam hidupmu. Jangan kau menjadi leka dengan urusan duniamu sehingga kau terlupa untuk menambah detik-detik berharga bersama mereka. Jangan kau ikuti golongan manusia yang 'terlebih bijak' mengutamakan kerja dan acapkali 'terjerat' dek kegilaan 'merajakan' impian dan cita-cita peribadi hingga lupa bahawa ibu dan ayah adalah kurniaan terbesar Tuhan kepada setiap insan. Jangan nanti kau menyesal di kemudian hari.

4) Berazamlah untuk terus berusaha menjadi pendidik terbaik kepada setiap anak muridmu. Jangan kau kira sama ada mereka itu Melayu, Cina, India mahupun yang datangnya daripada seantero dunia. Tunjukkan kepada mereka bahawa kau adalah pendidik yang ikhlas, bertanggung-jawab dan penuh dengan semangat. Kau harus menjadi pembakar semangat kepada mereka! Inspirasikan masa depan mereka. Jangan kau bekerja hanya kerana mahu 'makan gaji.' Jadikan kerjamu itu sebagai satu ibadat yang suci lagi mulia. Jika ilmumu berjumlah 10, maka curahkanlah 10 yang kau ketahui kerana Tuhan akan menambahkan lagi ilmumu itu. Yakinlah kepada Tuhanmu. Jika kau mahu anak-anakmu kelak mendapat pendidikan yang terbaik daripada guru yang bagus dan berjiwa pendidik sejati maka mulakanlah dengan anak didikmu dahulu kerana ibu-bapa mereka juga pastinya menaruh harapan yang sama.

5) Berazamlah untuk sentiasa melakukan perubahan positif ke arah kebaikan dirimu, keluargamu, sahabat-handai dan masyarakat secara menyeluruh. Janganlah kepentingan diri menjadikan kau sombong, bongkak, ego dan tidak mengendahkan masalah orang lain. Ingatlah betapa hidup ini adalah umpama roda, ada masa kita di atas dan ada kalanya kita di bawah. Jadilah insan yang sentiasa mampu menghadirkan senyum dan tawa kepada insan lain. Sinarilah dunia dengan keikhlasan, kebaikan dan keperibadian yang unggul.

Moga TUHAN membantumu melaksanakan segala azammu untuk tahun 2011 ini.

Neba2020: Azam adalah harapan. Harapan adalah impian. Impian adalah cita-cita. Cita-Cita pula adalah sesuatu yang baik demi mencapai kebahagiaan yang diharapkan. Pastikan apa jua azam yang digarap adalah menuju ke jalan kebahagiaan yang lurus lagi bermanfaat kepada diri sendiri, keluarga dan sesiapa jua di persekitaran ....

1 comment:

Canon SC said...

All the best sir! Have a blessed new year! :)