Wednesday, January 27, 2010

Selamat Tinggal Ayahanda Tuanku Sultan Yang Disayangi ....

Salam Buat Semua,


1) 22 Januari, 2010 semestinya satu tarikh yang cukup menyedihkan saya.

2) Kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan kebanggaan warga Johor Darul Ta'zim adalah sesuatu yang memberi kesan mendalam, hiba lagi menghadirkan rasa kehilangan yang nyata.

3) Secara peribadi, saya memang sejak kecil dididik oleh Encik (ayah tersayang) akan erti menyanyangi Sultan. Encik kata, kalau kita tidak sayang kepada Sultan kita, siapa lagi yang boleh kita harapkan. Kata Encik, tanpa Sultan sudah lama kita ini hidup tidak aman, porak peranda sesama sendiri.

4) Encik cukup berbangga kerana mempunyai 'darah Bugis.' Sultan Johor juga berdarah Bugis, sealiran dengan kami.

5) Sultan Iskandar sentiasa membuatkan kami sekeluarga berbangga dengannya. Baginda terkenal dengan ketegasannya, berani mengeluarkan apa jua titah perintah yang berkaitan dengan kedaulatan negeri dan budaya.

6) Baginda tidak mahu Johor tunduk kepada anasir luar, kedaulatan negeri adalah sesuatu yang berkaitan dengan maruah bangsa dan agama dan budaya Melayu selaku budaya tunjang negeri Johor adalah WAJIB dihormati jua diakui oleh setiap warga negeri yang dinaungi Baginda.

7) Inilah faktor-faktor utama yang membawa kepada rasa kagum, kasih dan hormatnya saya kepada Almarhum.

8) Aura kegerunan orang ramai terhadap Baginda jelas menunjukkan betapa Sultan Johor bukanlah seorang Sultan yang boleh dipandang rendah, titahnya masih berbau 'DAULAT' seorang raja dan gayanya tetap dekat selalu di jiwa anak jati Johor Darul Ta'zim.

9) Sejarah negara juga tertulis tanpa disedari betapa Almarhum Sultan Iskandar adalah satu-satunya Sultan di Malaysia ini yang pernah membaca khutbah Jumaat di masjid-masjid pilihannya di serata negeri Johor sewaktu sihatnya dahulu. Peristiwa di mana Almarhum menegur teks ucapan yang dibacanya kerana tidak menambah sambungan satu ayat Al-Qur'an supaya lebih jelas maksudnya cukup memberi erti kepada kami warga negerinya tatkala ianya disiarkan secara langsung di kaca televisyen. Di sebalik aura tegasnya jelas kelihatan kemampuannya sebagai ketua agama Islam buat kami anak-anak Johor.

10) Saya sekeluarga cukup terasa dengan kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar. Ayahanda Sultan adalah lambang kebanggaan kami si anak Johor yang berdarah Bugis. Almarhum pastinya bersetuju dengan pernyataan ini:

'Anak Bugis adalah anak-anak berdarah pahlawan, cintanya kepada bangsa, agama dan negara cukup kental. Keturunannya adalah keturunan pahlawan pembela bangsa, pemimpin pentadbir bangsa dan pengubat kesakitan bangsa.Anak-anak Bugis wajiblah menjaga tingkah dan lakunya agar tidak membawa kepada kesengsaraan khalayak'

Neba2020: Semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, AL-FATIHAH ....

3 comments:

suka bertanya said...

Boleh tuan penulis terangkan dengan lebih lajut apakah makna "tanpa Sultan sudah lama kita ini hidup tidak aman, porak peranda sesama sendiri" ?

Terima kasih.

fendy_ahmad said...

Salam,

Buat 'suka bertanya':

Saya mohon maaf kerana tidak dapat menghuraikan lebih lanjut 'maksud'ayat tersebut, ianya lebih sesuai 'diceritakan' secara 'empat mata.'

Rozailin-Rahman said...

setiap manusia di muka bumi tidak kira sultan atau rakyat biasa, semua tidak lari dari kesilapan dan kekhilafan. yang pergi telahpun pergi bersama amalannya, yang tinggal tak perlulah membuka pekung orang yang telah pergi walau jahat macam mana pun yang telah pergi kerana yang hidup itu sendiri bukan sempurna. didoakan semoga roh almarhum dan sekalian umat islan dirahmati ALLAH dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. bukan kita yang hidup menentukan ke syurga atau neraka meraka yang telah pergi...hanya ALLAH yang Maha Sempurna dan Berkuasa...