Wednesday, July 1, 2009

Nik Abdul Aziz: Menjelang 20 Tahun 'Bertakhta'

Salam Buat Semua,


1) Nik Abdul Aziz Nik Mat telah hampir 20 tahun menjadi Menteri Besar Kelantan.

2) Dahulu di penamat era 1990an, ramai penyokong-penyokong PAS, DAP dan Parti Keadilan Nasional (sekarang Parti Keadilan Rakyat) 'menyuarakan' betapa Dr. Mahathir Mohamad telah 'terlalu lama' bertakhta sebagai Perdana Menteri.

3) Para penyokong pembangkang yang sememangnya cukup skeptikal terhadap Dr. Mahathir sanggup menjenamakan beliau sebagai 'maha Firaun, maha zalim dan si gila kuasa.'

4) Dr. Mahathir dianggap sudah terlalu lama 'berkuasa' dan tidaklah sesuatu yang baik jika seseorang itu memegang kuasa sehingga mencecah angka puluhan tahun. Mereka merasakan betapa tempoh hampir 20 tahun itu hanya membuatkan Dr. Mahathir menjadi 'angkuh, sombong dan selalu berlagak bagus.'

5) Kini, Nik Abdul Aziz sendiri sudah cukup hampir menjangkau 20 tahun menjadi Menteri Besar Kelantan. Setahun dua ini juga beliau sudah 'berkesempatan' menjengah hospital apabila diserang penyakit yang agak kritikal sebelum pulih kembali.

6) Tidakkah penyokong mahupun 'fanatik' PAS, DAP dan PKR merasakan Nik Abdul Aziz sudah terlalu lama menjadi Menteri Besar Kelantan ?

7) Mungkinkah Nik Abdul Aziz sudah terlalu berjaya sebagai seorang Menteri Besar dengan membawa kebaikan juga kemakmuran berterusan kepada ekonomi, pembangunan fizikal, pembangunan mental dan urus tadbir negeri Kelantan ?

8) Nik Abdul Aziz di dalam PAS kini sudah menjadi umpama seorang tokoh yang 'kebal lagi mantap' segalanya. Apa jua yang 'difikirkan' Nik Abdul Aziz seolahnya sentiasa benar, logik dan sewajarnya disokong.

9) Nik Abdul Aziz juga semakin 'menjadi-jadi' dengan keceluparannya yang makin lama makinlah berapi-api. Dia kini melabelkan UMNO sebagai sebuah ajaran sesat, setaraf dengan gerakan Ayah Pin yang boleh dihukumkan murtad dan sealiran dengan komunis.

10) Nik Abdul Aziz sebagai seorang bertaraf 'Tok Guru' tidak wajar 'bersembunyi' di sebalik alasan tabir kata-kata 'itu hanyalah satu perumpamaan' kerana bukan semuanya yang mendengar 'hujah' beliau memiliki kemahiran bahasa di tahap sempurna dalam menguasai maksud tersirat dan tersurat. Seorang ahli agama yang berhikmah seharusnya mempermudahkan bahasanya buat difahami segenap para pendengar untuk menghala ke arah kebaikan dan bukannya menimbulkan sesuatu yang kedengaran 'kontroversi dan panas.'

Neba2020: Nik Abdul Aziz selamanya adalah Tok Guru di hati ini. Ilmu agama dan penafsiran sirah olehnya akan sentiasa digali dan dipelajari sewajarnya. Tok Guru amatku sanjung kerana hikmahnya tetapi belum mampu untuk menjadi 'pemimpin' yang selayaknya ....

4 comments:

Anonymous said...

Senang faham atau tidak, pusing macam mana pun, orang tetap akan dengar apa yang mereka hendak dengar.

fendy_ahmad said...

Salam,

Buat Anonymous:

1) Syaitan akan memandu manusia untuk 'mendengar' apa yang hendak dengar?

2) Manusia sentiasa hendak dengar apa yang benar?

3) Manusia semuanya suci dan mulia dalam menentukan apa yang enak untuk mereka dengari?

4) Semua orang agama terutamanya yang berkepentingan politik tahu menjaga lidah mereka dengan sewajarnya?

5) Apa yang hendak didengari biasanya cuba diselaraskan dengan kepercayaan politik dan ketaksuban kepada seseorang.

Adeqq said...

salam..

saya agak terkesima membaca entry kali ni. cara mr fendy memuji beliau, amat saya kagumi. ya, dalam manis ada pahitnya. betul cakap mr fendy, dia adalah guru, namun dia masih belum boleh dikatakan pemimpin untuk rakyatnya..

fendy_ahmad said...

Salam,

Buat Adeqq:

Tahniah saya ucapkan. Sebut pasal guru, awak akan bergelar guru tak lama lagi.

Dengan penuh bangganya, saya isytiharkan kamu sebagai anak murid saya yang pertama akan menjadi pendidik :)

Jadilah pendidik yang kata-katanya akan sentiasa memberi inspirasi kepada anak didik. Kata biar bersemangat, berhikmah dan mampu mendidik (bukan semata mengajar) sebaik mungkin dengan izinNYA.