Friday, June 5, 2009

Satu Malaysia - Roti Canai Kuah Kari Persamaan Kita !

Salam Buat Semua,


1) Rakyat Malaysia secara amnya sudah lama bersatu dan hidup bersama, berkongsi negara juga berkongsi susah mahupun senang.

2) Perpaduan memang wujud tetapi tahap kemesraan, saling memahami dan interaksi sosial kelihatannya masih tidak cukup memberangsangkan.

3) Titik persamaan sesama rakyat Malaysia wajarlah dicari, digali dan disemai sedalam-dalamnya ke jiwa dan sanubari setiap ahli negara.

4) Roti canai berkuah kari dan dal adalah tradisi asal kaum India. Persamaan telah wujud ! Semua rakyat Malaysia kini menggemari roti canai berkuah kari dan dal.

5) Memberi 'angpau' ataupun duit raya adalah tradisi asal kaum Cina. Persamaan telah wujud ! Semua rakyat Malaysia kini menjadikan pemberian 'angpau' sebagai penyeri suasana perayaan besar masing-masing.

6) Nasi lemak pada asalnya hanya dinikmati kaum Melayu. Ketupat, lemang dan rendang daging juga 'milik' Melayu. Kini, semua rakyat Malaysia dari Perlis sehinggalah ke Sabah sepakat mengatakan bahawa mereka menyukai juadah-juadah Melayu tersebut.

7) Baju kurung dan batik juga sudah bukan menjadi hak eksklusif orang Melayu. Gadis Cina kelihatan sungguh manis dan ayu pabila sesekali 'melaram' sepasang baju kurung. Jejaka Melayu juga kelihatan kacak dan 'berbeza' tatkala berpakaian tradisional Punjabi. Unsur-unsur jahitan tradisional India juga sudah dapat diterima dengan meluasnya oleh orang Melayu dan Cina apabila memilih sulaman di pakaian.

8) Slogan Malaysia Boleh dan Wawasan 2020 adalah ayat-ayat keramat yang cukup terkesan di sanubari seluruh rakyat Malaysia. Baik Melayu, Cina , India, Kadazan, Iban, Sikh, Melanau, Bajau, Murut, Kelabit, Dusun, Orang Asli dan Siam; Semuanya bersemangat dan sepakat untuk membuktikan bahawa 'Malaysia Boleh' menuju kemajuan dan kecemerlangan dan Wawasan 2020 adalah 'destinasi impian' bersama !

9) Anak-anak Malaysia keseluruhannya patut diberi 'kesempatan' untuk bergaul dan berinteraksi secara meluas di peringkat sekolah. Sistem 'satu sekolah untuk semua' wajar diadakan walaupun secara paksa demi perpaduan negara. Titik persamaan yang terpenting lagi paling berkesan akan diperoleh jika seawal usia satu angka lagi anak-anak Malaysia sudah bergaul, berkumpulan, bermain, 'bergaduh-gaduh manja,' bersaing, berjuadah menikmati makanan, bersukan dan berkongsi jenaka bersama-sama. Kesan akhirnya, tiadalah sikap prejudis, buruk-sangka, rasa terancam dan prasangka kemungkinan dikhianati.

10) Persamaan untuk 'Satu Malaysia' sebenarnya cukup banyak. Sambutan Bulan Kemerdekaan adalah persamaan kita. Sambutan perayaan utama seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas, Hari Gawai dan Pesta Keamatan juga adalah persamaan kita. Musim jualan mega sekalipun adalah persamaan kita ! Musim-musim 'istimewa' seperti musim banjir, musim cuti sekolah, musim kahwin, musim hujan, musim bonus dan musim perlumbaan Formula Satu juga dapat dilihat sebagai penyebab kehadiran persamaan sesama kita.

Unsur-unsur yang cuba menutup 'persamaan' dan membuka seluasnya 'perbezaan' wajiblah 'dibunuh' kerana hasilnya adalah Malaysia yang porak-peranda dan berpusing ke jalan 'belakang' semula ....

Neba2020: Janganlah perbezaan yang cuba diperbesarkan kerana perbezaan agama, budaya, keistimewaan, kekayaan, kuasa dan bahasa adalah sesuatu yang telah menghadirkan keistimewaan kepada negara ini. Perbezaan itulah yang menyebabkan semua pihak berjaya 'memerdekakan' negara ini lebih 50 tahun dahulu apabila masing-masing sepakat untuk 'mengalah' dan tiada satu pihakpun yang 'menang' segalanya. Yang menang tidak berjaya 100% dan yang kalah tidak pula tewas 100%, semua ada yang 'dimenangi' dan semua ada yang 'tertewas.'

1 comment:

Noor Ashraaf said...

one malaysia lah sangat....meh baca artikel aku tulis pasal 1malaysia lagi best