Monday, June 29, 2009

Langkah Orang-Orang Berjaya

Salam Buat Semua,

Dr.'Aidh Abdullah Al-Qarni adalah salah seorang 'mentor' yang cukup banyak mempengaruhi 'kelakuan, tindakan dan pemikiran' saya. Tokoh agama Arab Saudi ini cukup terkenal dengan karya agungnya berjudul 'La Tahzan : Jangan Bersedih' yang telah terjual melebihi 2 000 000 unit di dalam pelbagai bahasa di seluruh dunia.

Di dalam buku mininya yang berjudul 'Rahsia Tokoh Yang Berjaya,' Dr. 'Aidh ada berhikmah tentang langkah-langkah orang yang berjaya:

1) Segala perbuatan pasti ada niatnya. Maka niatkanlah segala perbuatan demi kebaikan, demi kemaslahatan orang lain dan demi menghentikan kejahatan.

2) Jangan susah hati menghadapi cubaan! Ini kerana cubaan dapat menempa kedewasaan, menduga akal dan membakar semangat.

3) Melakukan dengan bersungguh-sungguh adalah jalan terbaik menuju kemuliaan. Dia adalah ubat bagi penyakit yang kamu deritai, bahkan dia boleh menjadi harta karunmu.

4) Nilai setiap manusia adalah sebesar amal baiknya. Seorang penganggur tidak ada harganya. Seorang yang gagal akan selalu dijauhi. Orang yang gagal murah harganya.

5) Pusatkan pekerjaanmu pada satu pekerjaan, tekuni dan cintailah, agar engkau menjadi orang yang terus maju.

6) Mulalah dengan yang paling penting! Jangan memecah-belahkan perhatian untuk banyak pekerjaan! Kerana itu akan membuatmu bingung dan lemah.

7) Keteraturan adalah jalan kejayaan. Meletakkan segala sesuatu pada tempatnya adalah syarat bagi mereka yang berjaya. Tidak teratur adalah sifat yang tercela.

8) Berhati-hati dengan rasa bosan! Kerana rasa bosan tidak menghargai hak dan kehormatan! Hendaklah kamu bersabar dan teguh hati!

9) Hartamu adalah bapa saudaramu. Wangmu adalah gigimu. Dirhammu adalah ubat lukamu, maka jangan boros dan jangan kedekut.

10) Renang tidak cukup dipelajari dengan buku, tapi harus diamalkan terus di air. Olahraga bukan dengan menonton televisyen, tapi dengan menggerakkan badan di lapangan.

* Sumber: Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni (2008), Rahsia Tokoh Yang Berjaya, m/s. 1-28.

Neba2020: Langkah yang berjaya biarlah di kiri dan kanannya tidak lupa kepada asal-usul dan tangan yang memberi, semoga jalan-jalan yang ditempuh akan memiliki perisai doa daripada insan-insan yang tidak kita lupakan itu ....

Tuesday, June 23, 2009

21 Jun 2009: Sehari Bersama Encik Di Hari Bapa

Salam Buat Semua,

1) Jam 9.00 pagi: Menikmati roti canai berkuah kari bersama-sama. Emak, abang dan kakak ipar turut serta.

2) Jam 10.00 pagi - 12 tengahari: Membaca akhbar Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan Siasah bersama-sama Encik. Seperti biasa, membaca surat khabar di hari minggu bukannya sekadar membaca. Saya dan Encik akan saling berkomentar. Artikel-artikel menarik berkaitan dengan politik yang banyak terdapat di dalam Mingguan Malaysia dan Siasah akan saya baca kuat-kuat dan Encik menjadi pendengarnya dengan penuh minat.

3) Banyak sungguh coretan akhbar di pagi minggu itu yang mendapat perhatian kami berdua. Kisah kerajaan perpaduan yang dilontarkan Abdul Hadi Awang, Nik Abdul Aziz yang berang dengan Nasharuddin Mat Isa, Anwar Ibrahim merasakan Chin Peng wajar dibenarkan kembali ke Malaysia, Dr. Mahathir Mohamad berpendapat Melayu sudah mula terasa terancam, muslihat Lee Kuan Yew melakukan lawatan hormat selama 8 hari di Malaysia, titah Sultan Johor betapa Baginda tidak merestui pembinaan jambatan ketiga menghubungkan Johor dan Singapura dan kewajaran kemenangan Mahmoud Ahmadinejad sebagai Presiden Iran buat penggal kedua. Semuanya kami bincangkan. Ada yang menyebabkan suara saya 'terjerit-jerit' dan ada pula yang membuatkan suara Encik 'terpekik-pekik.'

4) 12.30 tengahari: Menonton Melodi di TV3 bersama Encik. Kami berselisih pendapat tentang isu Datuk Sharifah Aini yang mendakwa komposer S. Atan telah menipu beliau. Encik percaya kepada kata-kata S. Atan dan saya pula merasakan Sharifah Aini yang benar.

5) 2.00 petang: Selesai solat Zohor, saya baring bersama-sama dengan Encik sambil membaca buku. Tanpa disedari, kami ketiduran di petang itu. Rehat di kampung yang sungguh menenangkan jiwa dan fizikal.

6) 4.00 petang: Sama-sama menonton siaran langsung perlawanan akhir badminton terbuka Indonesia. Kami bersorak riang melihat beregu wanita Malaysia mengalahkan lawan dari China dan Datuk Lee Chong Wei memalukan wira Indonesia iaitu Taufik Hidayat. Puas dan cukup gembira !

7) 6.00 petang: Kami anak-beranak menikmati suasana petang di halaman rumah. Deretan pokok manggis yang sudah mula masak buah-buahnya menjadi perhatian kami. Puas sungguh dapat memetik, memanjat dan menjolok buah manggis bersama-sama. Riuh rendah walaupun cuma berlima sahaja.

8) 8.00 malam: Menikmati hidangan makan malam bersama-sama. Emak sediakan sup kambing kegemaran saya dan Encik, sotong goreng, ikan cencaru berlada dan sayur taugeh masak lemak. Sungguh berselera dibuatnya !

9) 9.00 malam: Menonton program realiti kegemaran kami, MENTOR di TV3. Sambil menonton MENTOR, abang mengupas durian yang dibeli di kebun milik kawannya. Kami menyantap durian pula ! Sup kambing dan durian memang mampu 'memanaskan' kami ! Emak sempat pula membuatkan air cincau sebagai 'peneutral' yang cukup melegakan. Manggis juga menjadi 'penawar' kepada panas badan dek menikmati gabungan sup kambing dan durian Segamat yang memang terkenal itu.

10) 12.00 malam: Waktu untuk tidur. Esok pagi selepas Suboh saya perlu pulang ke Melaka.

Tiada sambutan istimewa hari bapa buat Encik tetapi saya dan Encik sentiasa 'meriah' dan sentiasa ada perkara yang boleh kami raikan bersama. Sehari bersama Encik umpama sejam sahaja berlalu ...

Neba2020: Saya Sayang Encik ! Encik Saya Adalah Seorang Yang Tidak Membosankan, Sentiasa Mampu Menceriakan dan Bijak Memberi Erti Kepada Kehidupan Ini ....

Friday, June 19, 2009

Sultan Johor : Tidak Kepada Jambatan Ketiga !

Salam Buat Semua,


1) Perdana Menteri ke 4 iaitu Tun Dr. Mahathir Mohammad di akhir tempoh perkhidmatannya dengan beraninya telah bersetuju untuk menjalankan projek 'jambatan bengkok' bagi menggantikan bahagian Tambak Johor di sebelah perairan Malaysia.

2) Mengikut usul itu, Tambak Johor di sebelah Singapura akan kekal. Singapura telah sejak berpuluh tahun dahulu membangkang keras sebarang usaha mahupun cadangan untuk merobohkan keseluruhan Tambak Johor bagi digantikan dengan sebuah jambatan baru yang lebih luas, tinggi dan tidak menyekat aliran air.

3) Mengapa Singapura begitu takut dengan idea Dr. Mahathir?

4) Pada persepsi Singapura, meruntuhkan Tambak Johor walaupun di bahagian Johor sekalipun adalah dipercayai akan membawa 'kemudaratan' yang cukup besar kepada mereka.

5) Tambak Johor yang dibina British itu telah menyebabkan adanya sekatan laluan bagi sebarang pergerakan kapal kecil mahupun besar.

6) Seandainya separuh daripada Tambak Johor diruntuhkan dan digantikan dengan sebuah jambatan baru yang akan bercantum kembali di bahagian tambak di sebelah Singapura maka laluan Selat Tebrau akan 'terbuka' dan 'bersedia' untuk dilalui oleh kapal-kapal perdagangan.

7) Ekonomi Singapura yang terkenal sebagai pusat pelabuhan antarabangsa akan tergugat. Kapal-kapal besar yang melalui Selat Melaka dan ingin menuju ke Laut Cina Selatan akan dapat memendekkan tempoh perjalanan dengan mengambil 'jalan pintas' di Selat Tebrau tanpa perlu mengelilingi pulau Singapura yang kecil itu.

8) Dr. Mahathir melihat bahawa 'pemotongan Tambak Johor' itu akan menguntungkan ekonomi Malaysia dengan berkembangnya aktiviti-aktiviti di Pelabuhan Pasir Gudang dan juga di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

9) Jambatan juga akan mengurangkan pencemaran di Selat Tebrau yang terbit akibat daripada mendakan kekotoran di bahagian kiri dan kanan Tambak Johor dek pergerakan semulajadi air laut yang tersekat dan terberhenti secara paksa.

10) Malangnya, Perdana Menteri ke 5 iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi di pertengahan 2006 telah mengejutkan satu Malaysia dengan keputusannya untuk menamatkan projek jambatan bengkok dan mengumumkan bahawa tiada sebarang jambatan baru akan dibina. Alasan beliau ialah Singapura tidak merestui projek itu dan rakyat Johor sendiri tidak menyokong pembinaannya.

11) Tun Abdullah sehingga ke hari ini masih gagal meminta maaf kepada Sultan Johor khasnya dan rakyat Johor amnya di atas kata-kata 'tipu' yang pernah dikeluarkannya itu.

12) Sultan Johor sewaktu merasmikan projek koridor selatan (kini dikenali sebagai Iskandar Malaysia) beberapa bulan selepas Tun Abdullah 'menghentikan' projek jambatan bengkok telah bertitah bahawa Baginda mahukan Tambak Johor diruntuhkan kerana menyifatkannya sebagai tanda 'tipu helah' penjajah yang masih kekal dan perlunya perairan Selat tebrau menjadi lebih bersih dan indah.

13) Perdana Menteri ke 6 iaitu Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak seakan mengambil jalan tengah. Bagi menjaga hati Singapura, Malaysia bersetuju untuk mengekalkan Tambak Johor tetapi akan diadakan projek membina jambatan ke 3 bagi menghubungkan dua negara itu.

14) Seperti dijangka, pihak Singapura menyokong usul jambatan ke 3 itu dengan penuh kegembiraan dan kelegaan. Yang penting, Selat Tebrau tetap tidak boleh dilalui kapal-kapal perdagangan !

15) Akhirnya pada 18 Jun, 2009, Tuanku Sultan Johor melalui Tengku Mahkota Johor sewaktu merasmikan Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor telah bertitah bahawa Baginda tidak berkenan dengan sebarang usul untuk membina jambatan ke 3.

16) Tuanku Sultan Johor semestinya mempunyai sebab tersendiri mengapa Baginda tidak merestui idea yang pada dasarnya itu telah dipersetujui oleh Mohd. Najib dan juga Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

17) Perdana Menteri pertama Singapura iaitu Lee Kuan Yew (bapa Hsien Loong) yang terkenal sebagai seorang strategis yang hebat sebaik sahaja adanya persetujuan dasar di antara dua Perdana Menteri telah cuba menunjukkan 'budi bahasa' dengan melakukan lawatan ke Malaysia sehingga disambut bagaikan tokoh ulung dunia di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Perak dan Pahang.

18) Sultan Johor telah bertitah dan semestinya di belakang baginda adalah kira-kira 3 juta orang rakyat Johor Darul Ta'zim. Kita juga yakin, majoriti rakyat Malaysia juga akan menyokong idea jambatan bengkok yang digagaskan Dr. Mahathir itu kiranya mereka faham akan 'strategi ekonomi' yang cuba digerakkan Bapa Pemodenan Malaysia itu.

19) Tun Abdullah telah bersikap terlalu lembut dan baik kepada Singapura. Malangnya Singapura tetap berkeras mahu 'merebut' Pulau Batu Putih daripada terus menjadi milik Johor. Akhirnya, kita hilang peluang memakmurkan ekonomi negara sendiri dan Singapura pula bermegah 'merampas' tanah yang asal-usulnya adalah milik Kesultanan Johor itu.

20) Daulat Tuanku ! Daulat Tuanku ! Daulat Tuanku !

Neba2020: Lagu bangsa Johor - Allah peliharakan Sultan .... Nugerahkan dia segala kehormatan .... sihat dan ria kekal dan makmur .... luaskan kuasa, naungkan kami .... rakyat dipimpini berzaman lagi .... dengan merdeka bersatu hati, Allah berkati Johor .... Allah selamatkan Sultan ....

Tuesday, June 16, 2009

Kerajaan Perpaduan: Mengapa DAP Dan MCA Perlu Takut?

Salam Buat Semua,


1) Pada 21 Julai 2008, weblog ini ada mengulas tentang kemungkinan kerajaan Malaysia pada tahun 2012 adalah 'dibina' oleh UMNO dan PAS.

2) Hampir setahun berlalu, terma kerajaan perpaduan kini semakin popular. Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS begitu konsisten dengan pendiriannya betapa idea pembentukan kerajaan perpaduan adalah sesuatu yang positif lagi bermatlamatkan kebaikan dan keamanan untuk negara keseluruhannya.

3) Entah di mana silapnya, MCA dan DAP kelihatannya begitu 'takut, serun dan gementar' dengan cetusan idea tersebut. Hakikatnya, kerajaan perpaduan yang diusulkan Abdul Hadi itu bukanlah berbentuk kerjasama 100% di antara UMNO dan PAS sahaja, parti-parti lain juga akan dilibatkan sama. Bezanya berbanding kini, UMNO dan PAS yang selama ini sentiasa tidak sehaluan akan duduk semeja bekerjasama untuk kebaikan bangsa Melayu yang mereka 'kuasai' dan juga keharmonian seluruh rakyat Malaysia lainnya.

4) Pengerusi DAP iaitu Karpal Singh mengeluarkan kenyataan betapa Abdul Hadi telah mengkhianati Pakatan Rakyat dan wajar meminta maaf kepada DAP, PKR dan juga Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kelihatannya lebih rela 'tidur sebantal' dengan Karpal Singh juga Lim Kit Siang berbanding dengan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ataupun Datuk Mustapha Mohamad di pihak UMNO.

5) Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut melahirkan rasa terkejutnya dengan penerimaan majoriti pimpinan tertinggi PAS terhadap gagasan kerajaan perpaduan yang dilontarkan Abdul Hadi itu. Guan Eng mendakwa bahawa perkara tersebut tidak pernah dikedepankan Abdul hadi buat pengetahuan pimpinan Pakatan Rakyat. Aneh sungguh, adakah PAS perlu sentiasa berada di bawah telunjuk DAP dan PKR yang lebih 'kecil' saiz penyokongnya itu untuk menyuarakan apa-apa yang dirasakan perlu ?

6) Pihak MCA pula dengan gelojohnya telah mengatakan bahawa sebarang usaha kerjasama di antara UMNO dan PAS di Malaysia ini hanya akan menghadirkan proses Islamisasi yang serius. MCA seakan cuba menakutkan kaum Cina dan yang bukan Islam betapa proses penguatan kerjasama sesama umat Islam akan mengancam mereka.

7) Meminjam kata-kata orang muda zaman sekarang, DAP dan MCA kelihatannya cukup 'cuak dan gelabah' dengan senario terbaru ini. Mengapa perlu dikhuatiri ? Idea Abdul Hadi itu sebenarnya jauh lebih murni dan 'sehat' jika hendak dibandingkan dengan idea Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menubuhkan kerajaan baru menjelang 16 September 2008 melalui teknik 'lompatan ahli Parlimen Barisan ke Pakatan.'

8) Idea Abdul Hadi itu juga pastinya akan menjauhkan 'kacau-bilau pentadbiran' seperti mana yang berlaku di Perak setelah 3 ADUN Pakatan mengisyhtiharkan diri masing-masing sebagai Yang Berhormat berstatus bebas tetapi menyokong Barisan.

9) Kekuatan bangsa Melayu dan Islam di Malaysia ini tidak dapat tidak perlu diiktiraf juga diakui sebagai tunjang kepada keamanan dan kemajuan negara. Sejarah telah menunjukkan betapa sebarang usaha untuk mengganggu dan menggugat kestabilan bangsa Melayu dan kemurniaan Islam di Malaysia ini akan gagal dan menemui titik kekecewaan kepada pencetusnya. Secara mudah, kuatnya 70% kelompok rakyat Malaysia itu semestinya akan menguatkan 100% rakyat Malaysia keseluruhannya. Kurangnya 'politicking' juga perbalahan sesama 'teras' negara itu semestinya menyumbang kepada kekuatan negara tercinta ini.

10) Kekuatan, kemajuan dan perpaduan bangsa Melayu dan Islam di Malaysia ini sebenarnya telah menghadirkan seribu satu peluang kekayaan kepada kaum lain. Sebarang tuntutan yang tiada penamat dan cubaan untuk menidakkan hak rasmi dan menerbalikkan catatan sejarah akan hanya membawa kepada kegagalan jangka masa panjang kepada si penuntut kerana sifat Melayu ialah apabila didesak dan diasak pada mulanya ia akan bersabar dan berdiam diri. Seterusnya, jika kesabaran dan sifat merendah dirinya seakan tidak dihargai yang lain, Melayu tidak akan teragak-agak untuk bersatu sepakat atas nama maruah dan agama.

Neba2020: Melayu selalu mengalah, tersenyum dengan sabar walaupun hati terguris. Makin diuji makin kuat sabar dan sifat mengalahnya. Rasa sabar Melayu juga ada hadnya. Melayu cukup kuat kepercayaannya pada maruah dan agama. Maruah dan agamalah yang akan menjadi titik sepakat juga kerjasama sesama Melayu yang akhirnya akan membawa keuntungan besar kepada rakan-rakan lainnya kelak ....

Friday, June 12, 2009

Kar Hoong Dapat '1st Class' !

Salam Buat Semua,

1) Seusai membersihkan diri untuk menunaikan solat Maghrib (11 Jun, 2009) saya melihat skrin telefon menunjukkan ada 3 panggilan daripada Chan Kar Hoong.

2) Tersenyum saya melihat nama itu.

3) Saya tunaikan dahulu kewajipan kepada Tuhan dan terus mengambil sedikit masa untuk membaca kitab suci. Selesai 'menenangkan jiwa,' saya terus menghantar pesanan ringkas (sms) kepada Kar Hoong menyatakan sebab musabab saya tidak menjawab panggilannya.

4) Sepantas kilat, Kar Hoong menelefon saya. Suaranya cukup ceria.

5) 'Sir, saya hendak ucapkan terima kasih. Saya dapat tamatkan ijazah dengan '1st class !'

6) 'Sir, kamu selalu sangat beri saya motivasi untuk dapat '1st class' masa saya di Melaka dahulu. Sampai bila-bilapun saya tak akan lupa apa yang Sir cakap.'

7) Saya katakan pada Kar Hoong yang saya hanyalah mengajar dia sewaktu musim-musim dia di peringkat pra (pengajian asas) sahaja. Selepas itu dia meneruskan pengajian ijazahnya di kampus Cyberjaya. Saya nyatakan pada Kar Hoong yang sumbangan saya pada diri beliau adalah amat kecil dan sekejap sahaja. 1 tahun dia di kampus Melaka dan lebihan 3 tahun pula di Cyberjaya.

8) 'Sir, saya akan tunaikan janji saya untuk melawat kamu di Melaka. Saya akan pergi cari Sir di pejabat. Malangnya, saya baru sahaja mula bekerja di BMW Malaysia. Tidak mengapa, saya akan cari masa juga nanti !'

9) Bangga saya dengan Kar Hoong. 4 tahun lepas dia saya kenali sebagai pelajar yang cukup suka bertanya. Dia cukup suka datang ke pejabat saya dan berborak tentang masa depan dirinya, masa depan 'cikgunya' ini dan masa depan Malaysia. Kar Hoong menjadikan saya umpama 'mentor' masa depannya. Di peringkat pra lagi dia sudah suka berbincang dengan saya tentang sistem kewangan, ekonomi negara dan juga keadaan politik serta kaitannya dengan masa depan negara. Kar Hoong juga seorang yang tidak membosankan. Dia serius belajar tetapi cukup menghiburkan. Pandai berjenaka, suka ketawa dan tidak mudah terasa jika diusik.

10) Kini Kar Hoong sudah bergelar seorang eksekutif muda, mendapat kerja dengan pendapatan yang memuaskan untuk seorang 'fresh graduate' dan yang terpenting ialah dia 'disunting' syarikat ternama sebelum mendapat keputusan semester akhirnya di MMU. MMU BOLEH !

Kar Hoong, kamu bukan sahaja '1st class' di atas rekod akademik tetapi kamu juga '1st class' di pemikiran, kelakuan dan budi bahasa !

Neba2020: Terima kasih Tuhan, kurasakan kepuasan sebagai seorang cikgu ...

Monday, June 8, 2009

SPM : 10 Subjek Sahaja, Tiada Lagi Wira Mi Segera !

Salam Buat Semua,

1) Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa bermula pada tahun 2010, para pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya boleh mengambil maksima 10 subjek sahaja. Seperti biasa, ada yang menyokong dan ramai juga yang membangkang.

2) Maka selepas ini tiada lagilah kedengaran 'cerita-cerita ajaib' ada pelajar mendapat 18A, 19A, 20A, 21A, 22A dan seterusnya. Saban tahun, tatkala keputusan SPM diumumkan, maka sepantas kilatlah negara telah melahirkan 'pahlawan juga srikandi terbilang' yang wajib dicontohi juga diteladani semua. Dicontohi atas dasar apa? Pencapaian akademik 'di atas kertas' semata-mata?

3) Adalah begitu 'gila' apabila ada pelajar yang telah mengambil subjek Fizik, Kimia dan Biologi tetapi turut mahu mengambil subjek Sains semata-mata untuk 'mengejar' lebih A walhal sudah sedia maklum bahawa subjek Sains pada asalnya diwujudkan untuk pelajar-pelajar bukan daripada aliran sains tulen di mana isi kandungannya adalah 'kesimpulan ringkas' kepada tiga subjek sains tulen itu. Adakah wajar untuk pelajar-pelajar yang mengambil subjek seperti Bahasa Arab Tinggi, Syariah, Usuluddin dan sebagainya untuk mengambil subjek Pendidikan Islam yang boleh diumpamakan 'kacang goreng' sahaja bagi mereka dengan alasan mudah untuk mendapat A?

4) Kerana takut 'ketinggalan' maka ramai ibu-bapa yang 'menggalakkan' anak-anak mengambil lebih daripada 10 subjek. Ramai juga yang menggunakan alasan mahu melahirkan insan yang serba boleh. Kononnya, dengan menggabungkan sebanyak mungkin subjek daripada jurusan sains, agama, sastera dan ekonomi maka akan terhasillah insan yang serba cemerlang lagi 'berguna' kepada bangsa dan negara.

5) Pendidikan bukanlah satu proses belajar ilmu formal, menduduki peperiksaan dan melihat keputusannya semata-mata. Pendidikan adalah lebih daripada itu. Pendidikan adalah satu proses pembinaan pemikiran, percambahan idea, perkongsian maklumat dan pergaulan sosial yang positif. Pendidikan wajar mampu memberikan hikmah pengajaran dan kegembiraan kepada si penuntut, bukannya menghadirkan tekanan berpanjangan dan menjauhkan manusia daripada masyarakat dan kemesraan berkeluarga.

Neba2020: Sistem pendidikan perlu lari daripada sekadar melahirkan 'robot' dan 'mesin penghafal nota.' Pendidikan perlu bermatlamat untuk melahirkan manusia yang boleh menjadi pemimpin dan pembimbing. Sekurangnya, produk pendidikan itu wajar bijak memimpin dan membimbing dirinya sendiri di kemudian hari ...

Friday, June 5, 2009

Satu Malaysia - Roti Canai Kuah Kari Persamaan Kita !

Salam Buat Semua,


1) Rakyat Malaysia secara amnya sudah lama bersatu dan hidup bersama, berkongsi negara juga berkongsi susah mahupun senang.

2) Perpaduan memang wujud tetapi tahap kemesraan, saling memahami dan interaksi sosial kelihatannya masih tidak cukup memberangsangkan.

3) Titik persamaan sesama rakyat Malaysia wajarlah dicari, digali dan disemai sedalam-dalamnya ke jiwa dan sanubari setiap ahli negara.

4) Roti canai berkuah kari dan dal adalah tradisi asal kaum India. Persamaan telah wujud ! Semua rakyat Malaysia kini menggemari roti canai berkuah kari dan dal.

5) Memberi 'angpau' ataupun duit raya adalah tradisi asal kaum Cina. Persamaan telah wujud ! Semua rakyat Malaysia kini menjadikan pemberian 'angpau' sebagai penyeri suasana perayaan besar masing-masing.

6) Nasi lemak pada asalnya hanya dinikmati kaum Melayu. Ketupat, lemang dan rendang daging juga 'milik' Melayu. Kini, semua rakyat Malaysia dari Perlis sehinggalah ke Sabah sepakat mengatakan bahawa mereka menyukai juadah-juadah Melayu tersebut.

7) Baju kurung dan batik juga sudah bukan menjadi hak eksklusif orang Melayu. Gadis Cina kelihatan sungguh manis dan ayu pabila sesekali 'melaram' sepasang baju kurung. Jejaka Melayu juga kelihatan kacak dan 'berbeza' tatkala berpakaian tradisional Punjabi. Unsur-unsur jahitan tradisional India juga sudah dapat diterima dengan meluasnya oleh orang Melayu dan Cina apabila memilih sulaman di pakaian.

8) Slogan Malaysia Boleh dan Wawasan 2020 adalah ayat-ayat keramat yang cukup terkesan di sanubari seluruh rakyat Malaysia. Baik Melayu, Cina , India, Kadazan, Iban, Sikh, Melanau, Bajau, Murut, Kelabit, Dusun, Orang Asli dan Siam; Semuanya bersemangat dan sepakat untuk membuktikan bahawa 'Malaysia Boleh' menuju kemajuan dan kecemerlangan dan Wawasan 2020 adalah 'destinasi impian' bersama !

9) Anak-anak Malaysia keseluruhannya patut diberi 'kesempatan' untuk bergaul dan berinteraksi secara meluas di peringkat sekolah. Sistem 'satu sekolah untuk semua' wajar diadakan walaupun secara paksa demi perpaduan negara. Titik persamaan yang terpenting lagi paling berkesan akan diperoleh jika seawal usia satu angka lagi anak-anak Malaysia sudah bergaul, berkumpulan, bermain, 'bergaduh-gaduh manja,' bersaing, berjuadah menikmati makanan, bersukan dan berkongsi jenaka bersama-sama. Kesan akhirnya, tiadalah sikap prejudis, buruk-sangka, rasa terancam dan prasangka kemungkinan dikhianati.

10) Persamaan untuk 'Satu Malaysia' sebenarnya cukup banyak. Sambutan Bulan Kemerdekaan adalah persamaan kita. Sambutan perayaan utama seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas, Hari Gawai dan Pesta Keamatan juga adalah persamaan kita. Musim jualan mega sekalipun adalah persamaan kita ! Musim-musim 'istimewa' seperti musim banjir, musim cuti sekolah, musim kahwin, musim hujan, musim bonus dan musim perlumbaan Formula Satu juga dapat dilihat sebagai penyebab kehadiran persamaan sesama kita.

Unsur-unsur yang cuba menutup 'persamaan' dan membuka seluasnya 'perbezaan' wajiblah 'dibunuh' kerana hasilnya adalah Malaysia yang porak-peranda dan berpusing ke jalan 'belakang' semula ....

Neba2020: Janganlah perbezaan yang cuba diperbesarkan kerana perbezaan agama, budaya, keistimewaan, kekayaan, kuasa dan bahasa adalah sesuatu yang telah menghadirkan keistimewaan kepada negara ini. Perbezaan itulah yang menyebabkan semua pihak berjaya 'memerdekakan' negara ini lebih 50 tahun dahulu apabila masing-masing sepakat untuk 'mengalah' dan tiada satu pihakpun yang 'menang' segalanya. Yang menang tidak berjaya 100% dan yang kalah tidak pula tewas 100%, semua ada yang 'dimenangi' dan semua ada yang 'tertewas.'