Sunday, June 29, 2008

UMNO Menjelang Disember 2008

Salam Buat Semua,

1) UMNO memerlukan nafas baru dan kepimpinan yang mampu mengembalikan keyakinan ahli-ahlinya khasnya dan rakyat Malaysia amnya

2) Presiden semasa UMNO sebenarnya telah semakin 'dicurigai' ahli-ahlinya sendiri terutama 'akar-akar umbi' yang berselerakan di seluruh Malaysia kecuali Sarawak yang masih 'tidak tersentuh' dek UMNO sejak 'kemerdekaan' negeri Kenyalang itu pada tahun 1963.

3) Kesediaan Presiden semasa untuk terus memepertahankan jawatannya hanya akan merencatkan lagi penerimaan orang ramai terhadap parti utama Barisan Nasional itu.

4) Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang seolah cuba 'diserang' secara bertubi-tubi oleh golongan yang 'anti Barisan Nasional' sejak akhir-akhir ini akan kelihatan lebih lemah lagi longlai andainya beliau terus bersikap setia melampau kepada Tuan Presiden sehingga lupa bahawa kesetiaan kepada semangat dan kehendak para penyokong UMNOlah yang WAJIB diutamakannya andai beliau ingin terus menabur jasa dan bakti kepada bangsa juga negara ini !

5) Tan Sri Muhyiddin Yassin kini kelihatan lebih memahami dan lebih menyebelah kepada 'rintihan dan kehendak' majoriti ahli UMNO juga penyokong Barisan Nasional. Tan Sri Naib Presiden UMNO yang juga anak jati negeri Johor ini perlu 'memberanikan dirinya' untuk mencabar sama ada Tuan Presiden mahupun Timbalan Tuan Presiden yang setia melampau itu. Tan Sri Muhyiddin juga bukanlah seorang yang 'kontroversi' dan tidak pernah 'kelihatan tercemar,' satu identiti diri yang pasti boleh membuatkan beliau diterima masyarakat. Bekas Menteri Besar Johor yang dipercayai Tun Dr Mahathir untuk mengetuai program Sukan Komanwel 1998 selaku Menteri Belia dan Sukan dan seterusnya terkenal dengan ketegasannya sewaktu mengemudi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu adalah seorang yang kerap kelihatan serius tetapi buah pemikirannya sentiasa dihormati dan amat susah untuk 'kelihatan gagal juga lemah.' Selanjutnya, pengalaman beliau sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2004 - 2008) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (selepas Pilihan Raya Umum 2008) sememangnya menjadikan anak kepada ulamak terkenal di Muar, Johor ini cukup sesuai untuk mengintai jawatan Timbalan Perdana Menteri mahupun Perdana Menteri Malaysia ! Ayuh Tan Sri, pengalaman sebagai Naib Presiden UMNO sejak tahun 1993 sudah seharusnya dianjakkan ke tahap yang lebih maju !

Neba2020: Berani kerana benar, takut kerana salah ..... Janganlah kita diserang sindrom berani kerana sayangkan kuasa walhal yang hendak dipimpin sebenarnya sudah lama 'segan-segan' untuk meyakini kita ....

Monday, June 23, 2008

Emak Adalah Anugerah Tuhan Yang Terbesar Buat Saya ...

Salam Buat Semua,


Wajah yang ditampilkan ini adalah satu wajah yang amat saya sayangi. Wajah yang tidak pernah membuatkan diri ini bosan untuk menatapnya, wajah kesayanganku selamanya.

Tatkala coretan ini dilakarkan, air mata secara tidak diundang mengalir membasahi pipi mengenangkan betapa besarnya pengorbanan dan jasa wanita seorang ini kepada diri ini. Mungkin juga saya sudah mula merinduinya kerana sudah hampir mencecah 9 malam kami tidak bersua. Mungkin ramai yang akan tersenyum sinis atau mungkin ketawa kecil kerana seorang jejaka yang berusia 25 tahun 8 bulan 15 hari masih bersikap umpama budak kecil yang belum mencapai usia kematangan. Baru 9 hari tidak berjumpa sudah boleh sedih dan terkenang-kenang, bukannya 9 bulan ?

Wanita yang bakal mencecah usia 56 tahun di hujung tahun 2008 ini bukanlah seorang yang bernasib baik di dalam kehidupan awalnya. Dilahirkan sebagai anak kampung di Batu Pahat, Johor sebelum era wujudnya Malaysia yang bebas merdeka, dia ditakdirkan untuk menjadi anak kepada keluarga yang tidak berkemampuan, getah menjadi sumber 'rezeki' dan penerus kehidupan sekeluarga dengan kapasiti 10 ahli keluarga (ibu, ayah dan 8 adik beradik). Sebuah kehidupan yang sempit dan tidak pernah mengenal erti senang apatah lagi mewah.

Wanita ini adalah anak ke 4 daripada 8 permata yang dimiliki pasangan Aminah dan Hassan. Dia tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah menengah, tidak pernah bekerja di pejabat yang berhawa dingin dan tidak pernah memiliki sahabat-sahabat daripada golongan berada. Wanita ini adalah seorang anak kampung yang takdirnya dilahirkan di dalam keluarga miskin di kampung yang mundur lagi terkebelakang segalanya.

Wanita ini di usia mudanya pernah bekerja di kilang membuat seramik. Ketentuan Yang Maha Kuasa telah merencanakan bahawa rezeki awalnya itu di daerah Kluang, Johor juga merupakan 'rezeki hidupnya' apabila bertemu dengan jejaka askar bernama Ahmad Bin Md. Yusof. Seterusnya adalah sebuah ikatan sah penyatuan seorang gadis kilang seramik dan jejaka askar yang mekar berterusan sehingga ke saat ini. Pertemuan gadis Batu Pahat dan jejaka Segamat di Kluang yang menyatukan darah keramat Johor Darul Ta'zim, seterusnya membenihkan 2 zuriat yang masing-masing lahir di Batu Pahat (Noor Hamidi) dan Segamat (Noor Effandi), manifestasi aliran darah Johor sejati !

Wanita bernama Asmah Binti Hassan itu adalah emak saya, ibu yang amat disayangi lagi sentiasa segar di pemikiran ini tanpa mengira detik dan ketika.

1) Emak saya adalah seorang yang tidak banyak bercakap dan ringkas kehidupannya.

2) Emak tidak pernah lupa menyediakan sarapan pagi untuk saya, tidak pernah saya diizinkan pergi ke sekolah tanpa mengisi perut terlebih dahulu. Menu sarapan akan sentiasa bertukar, emak bijak memastikan anaknya tidak bosan mengadap juadah yang serupa setiap hari.

3) Emak mudah mengalah andai saya 'merengek' untuk mendapatkan keperluan tambahan persekolahan seperti buku rujukan, buku latihan tambahan dan segalanya atas nama 'belajar.'

4) Andai saya demam, emak akan melayan saya bagaikan Sang Putera. Pastinya juadah istimewa yang menyelerakan 'si budak demam' akan dibuatkannya.

5) Emak amat menghormati waktu saya belajar. Secara automatik, 'suara TV' yang sedang ditontonnya akan menjadi kecil umpama berbisik sendirian. Saya juga tidak akan dipanggil untuk melakukan sebarang tugasan rumah mahupun 'kerja tetap' sebagai 'budak kedai' untuk membeli sesuatu.

6) Emak mudah menjadi 'kawan' gossip saya kerana adalah menjadi satu kebiasaan untuk kami berbincang tentang dunia hiburan tempatan dan dunia politik semasa. Kebiasaannya, apa yang saya suka itu jugalah yang emak suka. Kami sama-sama meminati Datuk Siti Nurhaliza, suka menonton slot drama-drama Melayu, setia dengan irama muzik Melayu dan yang terpenting, kami adalah penyokong setia Tun Dr Mahathir Mohammad ! Dr. M adalah kebanggan emak dan saya ! Kami juga menjadi teman setia menonton perlawanan badminton yang melibatkan wirawan Malaysia.

7) Berbanding Encik (ayah) dan abang, emak lebih selesa berjalan-jalan di bandar dengan saya. Adalah satu kebiasaan bagi saya menjadi teman setia emak menelusuri kedai kain, pasaraya dan juga pasar malam. Saya tidak pernah berasa segan untuk berjalan dengan emak kerana setiap saat bersamanya adalah satu anugerah Tuhan yang cukup besar lagi membahagiakan. Saya jugalah yang menjadi perunding tidak bertauliah untuk apa yang emak perlu pakai dan corak kain serta paduan warna yang sesuai dipilihnya. 'Keakraban' kami adalah mencapai ke tahap memilih wangian badan, bedak, deodoran, pembasuh muka dan segalanya untuk kegunaan emak secara musyawarah bersama.

8) Emak saya pernah mengutip kucing di jalanan dan kami memelihara 'mereka' bersama-sama umpama sebahagian daripada 'keluarga' sendiri.

9) Emak berkesempatan menyaksikan saya berkonvo ijazah sarjana muda di Dewan Seri Negeri, Melaka (2004) dan untuk ijazah sarjana di Dewan Muadzam Shah, Universiti Utara Malaysia, Kedah (2007). Doa saya adalah moga emak akan menyaksikan saya berkonvo ijazah doktor falsafah (Phd) pula ! Setiap yang saya impikan adalah untuk menggembirakan emak saya, bukan untuk kepuasan peribadi semata-mata !

10) Sewaktu saya masih bersekolah rendah, adalah kebiasaan untuk saya dan emak menaiki bas (juga bertukar-tukar bas) untuk pulang ke kampungnya di Batu Pahat sewaktu musim perayaan. Sesuatu yang indah juga untuk dikenang saat-saat menunggu bas bersama emak untuk menuju ke Bandar Segamat dari kampung kediaman kami (Kampung Alai, Segamat). Andai tiada tempat duduk kerana bas telah penuh, emak akan memegang saya dengan erat agar tidak terjatuh dek pergerakan bas yang tidak stabil. Kami hanya berpeluang menaiki kenderaan beroda empat setelah Encik mampu memilikinya sewaktu saya berada di awal alam persekolahan menengah rendah.

Neba2020: Kita selalu terlupa bahawa ibu itu adalah kurniaan Tuhan yang cukup bermakna lagi bernilai. Kadang-kadang kita ENGGAN untuk 'berusaha' lebih sedikit untuk menjenguk mereka sekerap mungkin dek pelbagai alasan yang tidak putus-putus menjelma. Ingatlah, urusan kerja sampai ke matipun belum tentu akan ada noktahnya, kesempitan masa itu adalah bukti kelemahan kita mengurus kehidupan sendiri dan kekurangan bajet untuk selalu pulang pula adalah alasan semata untuk menguatkan lagi rasa malas yang telah bersarang di dalam diri sendiri tanpa disedari. Jangan kita menyesal di kemudian hari sewaktu kita telah lebih berkemampuan untuk selalu pulang tetapi yang hendak ditemui itu pula sudah kembali ke alam yang lain ....

Saturday, June 21, 2008

PAK LAH Harus Undur Segera !

Salam Buat Semua,

Dua senario terkini yang berlaku pada 20 Jun, 2008 adalah amat menarik untuk ditelusuri:

1) SAPP dan Undi Tidak Percaya

Parti Maju Sabah (SAPP), salah satu daripada 14 parti komponen Barisan Nasional (BN) sepakat untuk mengemukakan usul undi tidak percaya kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) pada 23 Jun, 2008 di Parlimen. Majoriti Ahli Majlis Tertinggi SAPP yang diketuai bekas Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Yong Teck Lee yang bersidang pada pagi 20 Jun, 2008 berpendapat bahawa mereka telah hilang kepercayaan terhadap Pak Lah untuk terus kekal menerajui kerajaan dan Barisan Nasional.

SAPP turut mengumumkan mereka kekal di dalam BN dan sedia berdepan dengan sebarang tindakan yang dijangka bakal menyusul daripada parti induk itu.

2) GERAKAN dan UMNO

Pemangku Presiden parti Gerakan iaitu Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dengan beraninya menggesa supaya 'kekuasaan total' yang dipegang UMNO di dalam BN dihapuskan sama sekali dan berharap agar kesemua 14 parti komponen diberikan hak sama rata dalam mengeluarkan pendapat serta penentuan hala tuju parti pemerintah tersebut.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut menyalahkan UMNO yang didakwanya menyebabkan majoriti darupada pengundi bukan Melayu beralih kepada parti pembangkang kerana 'takut' dengan usaha kerajaan pimpinan UMNO yang terlalu menekankan Islam sebagai satu cara hidup dan menjauhi sifat negara sekular yang sepatutnya dipraktiskan di sini.

Dr. Koh turut menggesa agar UMNO melakukan perubahan kepimpinan yang harus diterajui golongan liberal yang lebih terbuka lagi dapat diterima oleh golongan bukan Melayu. Beliau menamakan pemimpin UMNO seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Zaid Ibrahim sebagai pemimpin-pemimpin di dalam UMNO yang 'disenangi' bukan Melayu.

3 kesimpulan mudah yang wajar difahami semua:

1) Pak Lah semakin 'hilang' cengkamannya terhadap 'anak-anak' buahnya di luar UMNO
2) Pak Lah semakin 'dicurigai' parti-parti komponen BN
3) Pak Lah sebenarnya semakin menghampiri noktah kepimpinannya

Neba2020: Kadang-kadang manusia suka untuk berlagak tidak tahu dan tidak kesah kerana mereka ingat dunia ini terlalu baik dan terlalu mudah untuk mereka. Mereka lupa betapa di dunia ini, perangai mahkluknya adalah 1001 jenis yang sukar untuk dibaca lagi payah untuk dipuaskan.

Friday, June 20, 2008

SULTAN JOHOR - ' Pulau Saya, Pulau Batu Puteh ...'

Salam Buat Semua,

Berikut adalah titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Iskandar pada istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Johor ke 12 di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, Johor Bahru pada tanggal 19 Jun, 2008:

" Saya suka mengingatkan semua, saya tidak lupa bahawa pulau saya, Pulau Batu Puteh itu bukan hak milik Singapura... ia hak Johor. Sampai bila pun, saya akan ikhtiar bawa balik benda itu ke Johor .... "

Titah Baginda Sultan yang dibuat secara spontan itu pastilah menunjukkan betapa sedih dan kecewanya Tuanku terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei lepas yang memutuskan Pulau Batu Puteh dimiliki Singapura walaupun ianya secara sejarah dan geografinya lebih memihak kepada negeri naungan Baginda.

Secara mudahnya, beberapa kesimpulan ringkas dapat dihuraikan di sini:

1) Pihak kerajaan Malaysia yang diketuai oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah jelas tidak melihat isu Pulau Batu Puteh sebagai sesuatu yang serius lagi penting.

2) Lantaran sifat ambil mudah kerajaan Malaysia itu, pasukan 'peguam' Malaysia yang 'berlawan' dengan pasukan 'peguam' Singapura hanya diwakili oleh 'individu-individu' yang kelihatan kurang gah dan kurang ilmunya berbanding pihak lawan yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Hakim Negara di sepanjang proses perbicaraan. Di pihak kita, Menteri Luar sekalipun tidak mengetuai proses tersebut !

3) Semangat berlawan di pihak kita seolah nampak longlai dan terlalu mementingkan semangat muhibah tidak bertempat. Pentadbiran Datuk Seri Abdullah mungkin terlalu terpesona dengan pendekatan 'berbaik-baik' dengan Singapura yang cuba dipraktiskannya sejak menerajui Malaysia pada akhir Oktober 2003.

4) Akhbar-akhbar arus perdana dan beberapa Menteri di pihak kerajaan sebaik mungkin telah cuba mengkhayalkan rakyat betapa keputusan tersebut adalah bersifat 'menang-menang' apabila Pulau Batu Puteh 'jatuh ke tangan' Singapura manakala Malaysia mendapat Batuan Tengah yang terletak tidak jauh dari pulau itu. Selanjutnya, kedaulatan Tubir Selatan pula akan menjadi milik negara yang menguasai perairannya. Agenda mengaburi mata rakyat ini adalah usaha hebat kerajaan dan media massanya untuk menutup kelemahan sendiri. Hakikatnya, kita telah kalah dan Pulau Batu Puteh telah hilang daripada kekuasaan Johor ! Tidak pernah pula selama 28 tahun pertikaian berlaku, kita mendengar nama Batuan Tengah ataupun Tubir Selatan kerana yang 'direbut' ialah Pulau Batu Puteh ! Maknanya, kita tewas dan tiada istilah 'menang-menang' di dalam isu ini.

5) Sejak di bawah pentadbiran Datuk Seri Abdullah, Malaysia seolah terlalu banyak mengalah dengan Singapura. Pembatalan projek jambatan bengkok yang dipercayai bakal mengancam industri pelabuhan negara jiran itu serta mampu membersihkan perairan Johor tanpa sebab yang konkrit adalah permulaan kepada sikap 'lembik dan lemah' Malaysia yang kononnya ingin memulakan satu era hubungan yang murni dengan negara jiran itu. Selain itu, kontroversi projek Iskandar Malaysia (dulunya dikenali sebagai Wilayah Pembangunan Iskandar) yang didapati lebih menguntungkan Singapura walhal mereka tidak pernah terlalu mesra dengan kita juga kelihatan seperti Malaysia bakal 'dipergunakan' sebagai lubok kekayaan baru negara seberang tambak itu yang nyatanya semakin 'ketandusan tanah dan pasir.'

Neba2020: Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali !

Wednesday, June 11, 2008

Perdana Menteri Yang Goyah, Terserang dan Nazak !

Salam Buat Semua,

1) Perdana Menteri Malaysia sedang berada dalam situasi cukup goyah:

- Majoriti rakyat semakin muak melihat muka beliau
- Majoriti rakyat semakin hilang kepercayaan kepadanya
- Majoriti rakyat merasakan beliau tidak cukup bijak untuk mentadbir negara
- Majoriti rakyat percaya beliau adalah seorang yang tidak kritis pemikirannya
- Majoriti rakyat yakin betapa beliau memiliki pasukan penasihat yang 'bodoh' dan 'bebal'
- Majoriti rakyat sudah muak dengan cara beliau berbicara, kosong dan membosankan !
- Majoriti rakyat merasakan pengaruh 'kabinet dapur' beliau adalah cukup signifikan
- Majoriti rakyat sudah tidak berbangga memiliki beliau sebagai Perdana Menteri
- Majoriti rakyat semakin sedar betapa beliau tidak mahir berbicara soal ekonomi dan kewangan - Majoriti rakyat mahukan beliau berundur segera !

2) Perdana Menteri Malaysia sedang diserang 3 paksi:

- Pakatan Rakyat yang 'diterajui' Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin yakin yang Barisan Nasional yang dipimpin Perdana Menteri sedia ada ini semakin nazak dan rapuh segalanya

- Segelintir golongan dalam UMNO semakin 'rancak dan berani' untuk 'menjatuhkan' si Perdana Menteri yang seakan sedang 'bermimpi' indah ini. Tengku Razaleigh Hamzah (Menteri Kewangan paling tersohor dalam sejarah Malaysia dan juga tenaga penting tertubuhnya PETRONAS) sudah mula 'mengelilingi' satu Malaysia bagi mendapatkan sokongan ahli-ahli UMNO dalam usahanya untuk mencabar Perdana Menteri di Pemilihan Agung UMNO, Disember 2008. Pemimpin-pemimpin berani seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin (anak Johor) dan Datuk Seri Dr Rais Yatim (anak Nogori) sudah mula membuat kenyataan halus yang berkias tentang perlunya peralihan kepemimpinan di dalam UMNO demi survival parti, jika tidak mahu rakyat 'mengkafankan' UMNO dan Barisan Nasional kelak. Menghebatkan lagi situasi, Datuk Mukhriz Mahathir yang semakin disenangi lagi disayangi ramai amat cemerlang dengan keberaniannya bersuara demi masa depan UMNO dan bangsa. Mukhriz seakan mengingatkan ramai kepada jejaka bernama Mahathir Mohammad di tahun 1970 !

- Perdana Menteri turut 'digasak' oleh paksi yang sayangkan UMNO tetapi 'terpaksa' meninggalkannya seketika selagi beliau 'bertakhta.' Paksi ini yang diterajui Tun Dr Mahathir (Presiden UMNO, 1981-2003) kelihatan cukup 'berpengaruh' dalam menjunamkan persepsi 'manis-manis' media arus perdana terhadap kepimpinan cucu ulamak terkenal Pulau Pinang itu.

3) Perdana Menteri seakan mendekati noktah kekuasaan:

- Menjelang akhir tahun 2008 ini sesuatu yang menarik akan berlaku (ramalan yang diharap ramai akan berlaku). Perdana Menteri boleh bersedia untuk meninggalkan Seri Perdana !

- Ramalan SATU : Majlis Tertinggi UMNO mendapat 'ilham' besar dan menerima 'kekuatan' hebat untuk mengesyorkan secara terbuka betapa UMNO perlu mendapat nafas baru untuk memulihkan imejnya. Jawapannya - Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia ke 6 !

- Ramalan DUA : Tengku Razaleigh mendapat lebih daripada 60 pencalonan daripada bahagian-bahagian UMNO seluruh Malaysia sekaligus layak mencabar Perdana Menteri sebagai Presiden UMNO. Beliau PASTI akan menang andai halangan kuota tersebut dilepasinya ... Anak Raja seorang ini akan secara automatik menjadi Pengerusi Barisan Nasional dan bergelar Perdana Menteri ke 6 !

- Ramalan TIGA : Berlakunya drama hebat 'loncat parti' di kalangan ahli Parlimen Barisan Nasional ke dalam Pakatan Rakyat. Gabungan tersebut akan menakluk Parlimen dan kerajaan Barisan Nasional runtuh secara automatik, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selaku ketua semasa gabungan tersebut akan menjadi Perdana Menteri ke 6 (Wanita pertama menjadi Perdana Menteri di Asia Tenggara !) dan seterusnya suaminya (Anwar) akan bertanding di dalam pilihan raya kecil. Seterusnya ? Datin Seri Dr Wan Azizah akan meletakkan jawatan dan menyerahkannya kepada Datuk Seri Anwar. Anwar menjadi Perdana Menteri ke 7 Malaysia dan isterinya mencatat rekod sebagai wanita pertama menjadi Perdana Menteri dan Perdana Menteri paling singkat tempoh 'kekuasaannya' !

Neba2020: Iklim politik Malaysia semakin berwarna-warni ! Moga rakyat jelata tidak menjadi mangsa kepada pertarungan 'orang-orang politik' yang terkenal dengan sandiwara dan kepentingan peribadi masing-masing....

Thursday, June 5, 2008

Pak Lah dan Rekod Gemilangnya

Salam Buat Semua,

5 Jun 2008 pastilah satu tarikh yang cukup istimewa buat pentadbiran Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) kerana berjaya dengan cemerlangnya membuat rekod kenaikan tertinggi untuk petrol dan diesel di Malaysia tercinta ini.

Kenaikan harga petrol dan diesel masing-masing pada kadar 40.63% dan 63.29% sememangnya sesuatu yang cukup memeranjatkan seluruh rakyat yang kelihatan belum bersedia unuk menerima kejutan bertaraf 'maksima gila' daripada Perdana Menteri selepas mereka 'menikmati' kenaikan harga barangan makanan (beras, ayam, gandum dan sebagainya)sepanjang bulan April dan Mei yang baru berlepas.

Selain kenaikan bahan api, Perdana Menteri yang negeri kelahirannya sendiri telah jatuh 'ditawan' parti pembangkang sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12 kira-kira 3 bulan lepas turut mengumumkan bahawa tarif elektrik baru akan dikuatkuasakan bermula 1 Julai ini. Ini satu lagi 'hadiah' cukup bermakna buat seluruh rakyat Malaysia. Kira-kira 41% isi rumah yang bil elektrik bulanan semasanya melebihi RM43.60 akan 'menikmati' kenaikan tersebut.

Lebih manakutkan ialah apabila kos elektrik bagi pengguna komersil dan industri akan mengalami peningkatan sebanyak 26% manakala pengguna berstatus peruncit, pekedai dan pengusaha restoran kecil 'layak' untuk menerima habuan kenaikan pada kadar 18%. Tahniah semua !

Dengan pengumuman 'istimewa' oleh Tuan Perdana Menteri Malaysia itu maka seluruh rakyat Malaysia WAJIBLAH bersedia untuk menghadapi satu lagi 'pesta' kenaikan harga barangan dan juga perkhidmatan di seluruh negara ini dalam masa terdekat. Kita tidak boleh menafikan bahawa bahan api (petrol dan diesel) serta elektrik adalah '2 aset' terpenting yang mengaktifkan perjalanan ekonomi sesuatu negara itu. Kenaikan '2 aset' ini sudah pastinya akan membawa kepada 'limpahan berantai' dalam bentuk kenaikan kos pengeluaran kepada apa jua barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan/diusahakan oleh sektor perniagaan kepada masyarakat.

Andainya Perdana Menteri 'bijak' menasihatkan rakyat jelata supaya mengubah cara hidup ataupun berjimat cermat maka beranikah beliau untuk mengeluarkan kenyataan-kenyataan berikut:

1) Segala untung-rugi PETRONAS wajarlah diperincikan secara telus kepada seluruh rakyat yang sepatutnya dianggap sebagai pihak pemilik 'emas hitam' tersebut kerana ianya dimiliki oleh kerajaan dan bukannya sektor swasta / persendirian (kerajaan bertanggungjawab kepada rakyat).

2) Segala penjimatan daripada subsidi petrol dan diesel yang telah ditarik-balik (walaupun bukan 100%) yang dikatakan berjumlah berbelas billion Ringgit wajarlah disenaraikan secara terperinci tentang bagaimana ianya akan digunakan untuk pembangunan rakyat juga negara (Perdana Menteri selalu mengatakan ianya adalah untuk tujuan pembangunan mahupun pembaikan sektor pengangkutan negara tetapi hasilnya seperti 'senyap tidak bernafas').

3) Justifikasi berkaitan kenaikan harga diesel melebihi 60% haruslah diberikan dengan penuh bijaksana. Andai subsidi petrol dikatakan banyak dinikmati oleh orang-orang yang berkemampuan / kaya kerana memiliki kenderaan berkuasa tinggi lagi mewah tidakkah kenaikan diesel yang kelihatan 'lebih kronik' berbanding petrol ini akan menyebabkan kos pengangkutan awam seperti bas dan teksi juga kos pengangkutan barangan makanan akan mengalami kenaikan yang cukup signifikan? Bukankah ini akan menambahkan keperitan hidup golongan yang tidak berkemampuan?

Pah Lah kelihatan cukup maklum dengan sentimen rakyat apabila mengakui bahawa tindakan kerajaan pimpinannya itu akan menyebabkan beliau 'tidak popular' pada pandangan rakyat. Maka persoalannya, jika beliau yang sememangnya sudah terhakis popularitinya sejak musim PRU tempohari merasakan beliau akan bertambah tidak popular lagi selepas ini; Apakah yang wajar dibuatnya? Mampukah seorang pemimpin itu terus bertahan andai 'restu' rakyat terhadapnya semakin menipis dan menjunam turun? Tepuk dada, bukalah minda !

Neba2020: Kepada Tuhan Berserah !