Saturday, March 15, 2008

Wira UMNO Dalam Pembikinan Akhirnya Muncul...

Salam Buat Semua,

Tamat Pilih Raya Umum 1969 yang menyaksikan Parti Perikatan (Gabungan asal Barisan Nasional sebelum tahun 1974) tewas dengan teruknya apabila hilang kuasa 2/3 di Parlimen, 'kegemparan' telah dihasilkan oleh seorang tokoh muda yang popular dengan panggilan Dr. UMNO di Alor Star pada era 1960-an dan juga 'glamor' dengan nama samaran 'Che Det' akibat daripada nukilannya di akhbar Straits Times di sekitar 1940-an dan 1950-an.

Negara seakan gempar apabila tokoh berusia awal 40-an itu dengan beraninya telah 'menongkah arus' apabila dengan rasa penuh yakin tanpa sedikitpun kegentaran telah mengutus sepucuk surat 'berbisa' buat Perdana Menteri ketika itu iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman dengan tujuan untuk menggesa beliau meletakkan jawatan berlandaskan kegagalan Tunku mengemudi pentadbiran negara yang berbilang bangsa sehingga meletusnya 'peristiwa berdarah 13 Mei.' Sebelum meletusnya 'memori hitam' itu, Perikatan yang diketuai Tunku telah meraih prestasi terburuknya dalam tempoh 14 tahun demokrasi negara muda ini (1955-1969). Buat julung kalinya, Perikatan hilang kuasa 2/3 di Parlimen, sesuatu yang terjadi akibat daripada hilangnya kepercayaan penduduk bukan Bumiputera kepada pentadbiran Tunku ! Pergolakan bertambah tenat apabila kaum Melayu mula terasa betapa kemerdekaan selama 12 tahun negara yang asalnya bernama Tanah Melayu ini seakan tidak membawa sebarang perkembangan positif secara menyeluruh kepada mereka terutamanya dalam aspek pendidikan dan pembangunan eknomi.

Akibatnya, 'Che Det' telah disingkirkan daripada UMNO dan hidup dalam buangan politik sehingga tahun 1972 apabila Allahyarham Tun Abdul Razak yang memang jelas diketahui umum amat mempercayai kepada bakat dan pemikiran Mahathir Mohamad itu telah berjaya memujuknya untuk kembali ke pangkuan UMNO. Kredit harus diberikan kepada Allahyarham Dato' Harun Idris, Menteri Besar Selangor (1964 - 1976) yang berjaya menjalankan misi 'membawa masuk' semula si lelaki yang telah disingkirkan Tunku itu. Seterusnya, Tun Razak memberikan kepercayaan besar kepada Dr. Mahathir untuk memegang jawatan Menteri Pelajaran seusai Pilihan Raya Umum 1974. Dengan takdir dan rahmat Tuhan Yang Maha Kuasa, beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 4 pada 10 Julai, 1981, 12 tahun selepas beliau mengalami 'kejutan politik' kerana keberaniannya mengutarakan pendapat di atas kemampuan berfikirnya yang tajam lagi terkedepan.

Sejarah seakan berulang, memori yang ditinggalkan hampir 40 tahun yang lepas kelihatan muncul sekali lagi. Bezanya kali ini, pelakon dan pencaturnya adalah individu-individu yang berbeza. Situasi dan masanya juga umpama sama !

1) Watak Tunku Abdul Rahman ditukar kepada Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah)
2) Watak Tun Dr. Mahathir Mohamad diambil alih anaknya, Datuk Mukhriz Mahathir
3) Masanya adalah sama iaitu selepas selesai Pilihan Raya Umum
4) Situasinya juga sama iaitu parti pimpinan Perdana Menteri hilang kuasa 2/3 di Parlimen
5) Sebab-musababnya juga adalah sama iaitu kepimpinan utama parti dan kerajaan telah mula diragui sedalam-dalamnya

Bezanya kali ini:

1) Pada tahun 1969, Tunku dengan beraninya telah membawa usul pemecatan Dr Mahathir sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan seterusnya sebagai ahli UMNO, lantas mendapat sokongan majoriti ahli-ahli MT.

2) Pada tahun 2008, Pak Lah seakan cuba bermain 'selamat' dengan mengatakan bahawa terserahlah kepada Ketua Pemuda UMNO iaitu Dato' Seri Hishammuddin Hussein untuk memikir / mengambil sebarang tindakan yang dirasakan wajar ke atas Datuk Mukhriz, dengan alasan bahawa anak bongsu Dr Mahathir itu adalah ahli exco Pemuda UMNO.

Berbalik kepada Datuk Mukhriz, semestinya tindakan yang diambilnya itu adalah berlandaskan kepada 'ketidakmampuan' beliau untuk terus 'berdusta' pada dirinya sendiri akan apa yang dirasakannya benar dan wajar dibuat demi kebaikan bangsa dan negara secara totalnya. Nukilan ikhlas itu secara tegas tetapi penuh hemahnya telah menggesa Perdana Menteri untuk meletakkan jawatan sebagai tanda bertanggung jawab penuh di atas prestasi 'terhina lagi terburuk' Barisan Nasional sewaktu Pilihan Raya Umum 2008 sehingga BN hilang kuasa di 4 negeri, hilang kepercayaan rakyat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan terus 'terkulai nazak' di Kelantan, negeri 'serambi Mekah.'

Episod Mukhriz ini seharusnya tidak akan tamat di situ sahaja, sesuatu yang menarik pastinya akan berlaku dan segala tindak-tanduk Perdana Menteri dalam menangani isu ini semestinya akan menjadi perhatian ramai. Dikala BN berhadapan dengan krisis keyakinan rakyat jelata dan di saat Pak Lah sendiri seakan 'terpinggir' daripada belas ehsan ramai, sesuatu yang kelihatan bijak sewajibnya dilakukannya.

Kepada ramai, juga kepada para penyokong serta pencinta UMNO sejati, mungkinkah episod ini bermakna seorang wira dalam pembikinan telah muncul? Tepuk dada, tanyalah minda....

Neba2020: Cikgu Zaimon Ismail (selamanya dialah cikgu terbaik buat saya) pernah menasihatkan saya, bertindak biarlah dengan berfikir sedalam-dalamnya. Jangan berdosa pada anak bangsa kerana kita gagal membuat keputusan yang betul ! Saya tidak memerlukan seorang Professor bertaraf antarabangsa untuk membentuk pemikiran ini, kerana saya pernah dikurniakan barisan guru yang berkualiti lagi penuh hemah dalam mendidik anak bangsa ! Moga Tuhan merahmati cikgu-cikgu hebat yang pernah mendidik saya di zaman sekolah menengah (Sekolah Tinggi Segamat SENTIASA MAJU, itulah cogan kita !) .. Cikgu Zaimon, Cikgu Akmal, Cikgu Nor Aishah, Cikgu C. Jayamani, Cikgu Pang Yin, Cikgu Fong Mun Fatt, Cikgu Arba'i, Cikgu Wan Raudhah, Cikgu Ismail Ipap, Cikgu Siti Hajar dan Cikgu GPK 1 yang mengajar saya Sejarah di Tingkatan 5, kalian semuanya hebat !

2 comments:

mahagraha said...

Apa Khabar Saudara!

Just my humble opinion on this issue.

I think the main problem with UMNO is that the party has lost many of its "democratic" characteristics.

Surely if the party is democratic, then the issue of "incompetent" leaders need not arise, as those kinds of leaders will be voted out of office.

All the party posts - from president and even to branch levels must be contested. Also and this is crucial too, the existing UMNO leadership must not unfairly use the media to support their position. I think you know what I mean - just read Utusan or Berita Harian. In fact all candidates to party elections must have fair access to the media.

Also (and this too is very cricial) UMNO must limit the term of its party president - let say for two terms.

In this manner UMNO can totally renew itself. New blood (darah baru) and new ideas will always be at the fore-front of the party.

So what do you think - can people in UMNO accept demokrasi total?

Anonymous said...

Akhirnya....pada hari ini....Pak Lah telah menjadi Wira Umno yang sebenar....dengan membongkar rahsia MAHATHIR....Bagus Pak LAh