Friday, February 27, 2009

" Rasuah Si Anak Haram "

Salam Buat Semua,

1) Rasuah dipersetujui ramai sebagai sesuatu yang jijik dan hina.

2) Jarang sekali kita disedarkan mahupun didengarkan kepada gejala rasuah di kalangan pekerja-pekerja di sektor kerajaan.

3) Parti-parti politik tanpa mengira ideologinya kelihatan lebih berminat berbicara mahupun 'bertempik sorak' tentang rasuah politik, rasuah menteri, rasuah projek mega dan pelbagai bentuk dakwaan penyalahgunaan kuasa si pentadbir / eksekutif.

4) Di kalangan rakyat bawahan, isu rasuah mahupun penyalahgunaan kuasa di kalangan mereka yang berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan sebenarnya sudah lama menjadi buah mulut ramai.

5) Kita selalu mendengar persepsi negatif masyarakat terhadap pihak polis. Ramai yang mendakwa / merasa betapa rasuah dan polis umpama sudah menjadi 'kisah' normal sejak zaman berzaman. Persepsi buruk ini walaupun boleh dicabar kesahihannya tetap telah 'mencacatkan' imej majoriti warga polis yang bersih lagi beramanah.

6) Persepsi negatif juga 'tersebar' betapa gejala rasuah sudah lama berakar-umbi di Jabatan Kerja Raya, Majlis Perbandaran, Majlis Daerah, Pejabat Tanah, Imigresen, Kastam dan Jabatan Pengangkutan Jalan. Benar atau tidak, persepsi ramai bukanlah sesuatu yang mudah untuk terus dihakis.

7) Rasuah kakitangan awam ini tidak semestinya melibatkan nilaian jutaan Ringgit waima ribuan Ringgit sekalipun. Individu yang 'menerima / meminta' rasuah itu juga tidaklah semestinya datang daripada golongan atasan atau yang eksklusif kedudukannya.

8) Hakikat yang perlu diteliti sedalam-dalamnya sekaligus dipercayai ialah betapa majoriti daripada pengamal rasuah di Malaysia ini adalah terdiri daripada rakyat biasa yang kadang-kadang mereka sendiri tidak SEDAR bahawa mereka hidup dengan memakan WANG HARAM !

9) Rasuah secara kecil yang banyak berlaku (tuduhan atau kebenaran?) di kalangan pekerja-pekerja sektor awam inilah yang memburukkan lagi kualiti perkhidmatan agensi-agensi kerajaan. Majoriti pembayar cukai yang datangnya daripada pekerja-pekerja di sektor swasta semestinya 'meluat, geram dan benci' dengan situasi tersebut.

10) Sudah sampai masanya untuk parti-parti politik tanpa mengira ideologi menjadikan matlamat penghapusan rasuah menyeluruh di kalangan 'penerima rasuah kecil' sebagai agenda penting. Memanglah 'penerima rasuah kecil' memperoleh wang haram yang agak kecil nilainya tetapi dengan bilangan 'anak-anak haram' ini yang cukup banyak berselerakan di seluruh negara di pelbagai agensi kerajaan maka mangsanya juga adalah cukup ramai; Rakyat Malaysia yang tertindas secara paksa tanpa rela ! Kualiti perkhidmatan sektor awam menjadi bahan gadaian murahan yang tiada noktah penamat.

Neba2020: Wang mudah hasil 'kutipan' rasuah yang diperoleh seorang ibu/ayah yang dibelanjakan untuk 'membahagiakan' seisi keluarga pasti membawa kepada pembesaran 'generasi anak haram' yang bijak otak tetapi kurang pedoman, pandai berkata-kata juga menghukum tetapi bodoh memahami jiwa manusia dan comel luarannya tetapi nalurinya penuh berkarat juga hitam kelakuan ....

Tuesday, February 24, 2009

Emak, Ibu, Mama, Umi dan Mami ....

Salam Buat Semua,

1) Semua orang mampu untuk meluahkan di lidah perkataan-perkataan seperti 'Aku sayang mak aku,' 'Aku cintakan ibu aku,' 'Aku kasih pada mama,' 'Umi adalah segalanya bagi aku' dan 'Mami cukup penting dalam hidup saya.'

2) Ada orang merasa saya cukup kritikal bila berbicara tentang emak (ibu saya dipanggil 'emak').

3) Saya pernah sedikit 'bertekak' dengan beberapa rakan apabila mengatakan bahawa sesiapa yang menjadi isteri saya kena bersedia menyambut hari raya setiap tahun di kampung saya. Sebelum kahwin saya akan 'mengeluarkan syarat' tersebut. Andai sanggup, boleh kahwin ! Andai tidak sanggup, tiada jodoh namanya.

4) Emak saya hanya mempunyai dua orang anak lelaki. Sesiapa jua tidak akan mampu menjadi penghalang untuk saya membahagiakan emak. Bagaimana dengan ibu kepada isteri saya kelak? Tuhan sediakan kita dengan 365 hari setahun, ada hikmahnya dan banyak sebabnya.

5) Anak lelaki tugasnya menjaga ibu dan ayah manakala si isteri tugasnya menjaga si suami.

6) Saya lihat pada masa kini, warga tua lebih selesa dijaga oleh anak perempuan. Anak perempuan kelihatan lebih prihatin kepada ayah dan emak.

7) Suami pula banyak yang 'dikuasai' isteri. Ibu dan ayah si isteri dijaganya (kerana sudah ramai isteri yang menjadi 'raja' di rumah !) tetapi ibu dan ayahnya sendiri terpinggir tanpa pembelaan.

8) Anak lelaki zaman kini (generasi Y yang sofistikated !) kelihatannya lebih gila mengutamakan perempuan yang dicintai (kekasih pujangga hati, pengarang jantung !), kereta dan masa bersama teman-teman sepemikiran. Mereka teralpa untuk mengutamakan masa bersama-sama ayah dan ibu. Senang cerita, mereka gagal bersikap adil kepada ibu dan ayah sendiri !

9) Saya geli lagi jijik mendengar kata-kata seperti 'Aku tak kerap balik jumpa emak dengan ayah aku tapi tak bermakna aku lupa,' 'Aku tak selalu jumpa emak ngan ayah aku tapi aku tak pernah lupa doakan dia orang,' 'Aku banyak urusan, hujung minggu nak berehat saja,' 'Aku tak balik selalu tapi aku tak lupa kirim duit tetiap bulan' dan 'Mak dengan ayah aku faham kenapa aku jarang sangat balik.'

10) Nilaikan tahap 'ingatan' kita semua pada ibu dan ayah. Adil atau tidak kita kepada mereka berdua? Dunia serba adil, tidak pernah 'menghukum' kita pada yang tidak sewajarnya dihukum. Apa yang dibuat, itu yang dibalas. Jangan nanti kita berasa kesal apabila anak-anak kita sendiri kelak mudah lupa dan sentiasa tidak ada masa untuk kita.

Neba2020: Ingat sebelum kena .... Kelakuan badan itu lebih bererti daripada akuan mulut .... Tiada istilah 'rugi' apabila terpaksa 'membazir' wang Ringgit mahupun 'membuang' tenaga untuk kerap sedikit menjenguk ibu dan ayah .... Tuhan itu tidak zalim dan rezeki Tuhan itu tidak terbatas ....

Ibu Mithali
Nyanyian asal - Nada Murni (Ustaz Asri Rabbani)

Ibu mithali ibu yang sejati
Kasih sayangmu kasih yang suci
Pengorbananmu disanjung tinggi
Jasamu tetap di sanubari

Ibu oh ibu fitrah ku murni
Kelembutanmu menyentuh hati
Semai kasihmu dalam jiwaku
Kau disayangi kerana menyayangi

Ibu oh ibu hatimu suci
Tulus ikhlasmu mendidik daku
Sanggup bersusah dan menderita
Demi kebahagiaan sekeluarga

Ibu oh ibu kau serikandi
Bakti amalmu tidak terperi
Beramal soleh berperibadi
Mentaati Allah juga suami

Friday, February 20, 2009

Isu Bogel: Elizabeth Dan Hak Peribadi

Salam Buat Semua,

1) Elizabeth Wong Keat Ping adalah Yang Berhormat Dewan Undangan Negeri Selangor bagi kawasan Bukit Lanjan. Dia menang sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan dilantik pula sebagai Exco.

2) Beliau belum berkahwin dan masih berusia 30-an. Muda, cantik, berjawatan dan berkuasa. Di dalam partinya, beliau berperanan sebagai Ketua Penerangan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR).

3) Gambar separuh bogelnya telah tersebar. Dia mendakwa ianya mungkin dilakukan oleh bekas kekasihnya. Menurut laporan umum, lelaki itu berbangsa Melayu dan lebih muda daripada Elizabeth. Lelaki itu sebelum ini pernah bertugas sebagai Pembantu Khas kepada seorang ahli Parlimen PKR di Selangor.

4) Elizabeth mahu melepaskan jawatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Exco negeri Selangor. Menteri Besar Abdul Khalid Ibrahim dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim pula 'memujuk' Elizabeth supaya berehat dahulu dan tidak membuat tindakan tergesa-gesa. Andai Elizabeth itu anggota Barisan Nasional (BN), mungkinkah Abdul Khalid dan Anwar akan menitipkan pesanan yang sama ?

5) Elizabeth juga 'mendedahkan' banyak lagi 'serangan' akan dilakukan terhadapnya selepas ini. Beliau berkata akan ada lebih banyak foto lucah dan juga video akan disebarkan oleh pihak-pihak yang cuba menjatuhkannya. Menarik, dia seakan mengesahkan bahawa memang ada gambarnya yang sedang 'beraksi' beserta dengan 'video panas' telah dirakam dengan pengetahuannya !

6) Dia berkata kehidupan peribadinya bukan untuk dikongsi dengan masyarakat. Beliau mahu orang menghormati haknya dan cuba memahami kesukaran yang terpaksa dihadapinya.

7) Elizabeth mungkin seorang idealis. Majoriti penyokong PKR dan pencinta Anwar Ibrahim adalah golongan idealis. Mereka datang daripada sekelompok manusia yang melihat 1 + 1 = 2 dan 2 - 1 = 1. Elizabeth terlupa atau mungkin jahil akan erti sebenar untuk menjadi seorang ahli politik. Dia terbawa-bawa dengan kenangan silam sebagai seorang penggerak badan bukan kerajaan (NGO). Ahli-ahli NGO boleh bersifat idealis sepenuhnya tetapi ahli politik perlu bijak memahami sentimen dan juga peranan imej peribadi.

8) Menjadi ahli politik adalah umpama menjadi seorang selebriti. Ahli politik yang menang pilihan raya menjadi wakil rakyat. Sebaik sahaja 'title' Yang Berhormat itu 'tercetak' di dahi masing-masing maka secara automatiknya akan kehilangan 'privacy' dan masyarakatlah yang 'memiliki' mereka.

9) Bergambar secara bogel dengan rakaman yang bukan dibuat secara sembunyi dengan kepastian bahawa ianya diambil oleh individu lain dengan pengetahuan si empunya badan adalah sesuatu yang cukup hina lagi buruk di kaca mata majoriti rakyat Malaysia yang percaya kepada Tuhan dan moral. Elizabeth belum berkahwin, maka layakkah dia beraksi sebegitu rupa dengan gambarnya diambil oleh seorang lelaki ?

10) Tidak kiralah sama ada Yang Berhormat itu datangnya daripada PKR, DAP,PAS,BN mahupun wakil berstatus Bebas, imej peribadi akan sentiasa diperhatikan masyarakat dan masing-masing wajib mempunyai kesedaran bahawa rakyat 'berhak' untuk mengetahui cara hidup mereka.

Neba2020: Andai tidak mahu hidup menjadi 'hak' masyarakat, janganlah menjadi artis dan pemimpin. Alangkan seorang guru biasa juga boleh dianggap sebagai 'selebriti kecil' dan kerap diperhatikan rakyat, inikan pula seorang yang popular seperti Mawi, Siti Nurhaliza, Teresa Kok dan Karpal Singh ! Segala kata-kata, kelakuan, isu dan imej akan menjadi 'intipan' juga 'menarik minat' orang lain.

Tuesday, February 17, 2009

Formula Satu - Litar F1 Sepang Perlu Dilelong ?

Salam Buat Semua,

1) Malaysia adalah negara Asia yang ke 2 berupaya menjadi hos kepada perlumbaan kereta Formula Satu (F1). Kita mula menjadi hos F1 pada tahun 1999. Jepun selaku kuasa ekonomi nombor satu di Asia menganjurkannya sejak tahun 1976.

2) Selepas Jepun dan Malaysia, F1 mula menjadi perhatian negara-negara lain di Asia untuk menganjurkannya. China dan Bahrain mula menyertai 'kalendar' F1 pada tahun 2004 dan diikuti oleh Singapura pada tahun 2008.

3) Tahun 2009 menyaksikan ia akan diadakan di Abu Dhabi, UAE dan diikuti oleh Korea Selatan dan India pada tahun 2010.

4) F1 adalah program sukan ke 3 yang paling banyak ditonton oleh manusia di seluruh dunia selepas Piala Dunia (bola sepak) dan Olimpik.

5) Perlumbaan F1 kali ke 10 di Litar Sepang pada tahun 2008 menyaksikan kira-kira 34 000 orang penonton antarabangsa hadir menyaksikannya. Setahun sebelum itu, kedatangan 'pelancong sukan' ke Sepang mencecah hampir 35 000 orang. Kehadiran rakyat Malaysia pula secara puratanya mencecah jumlah 90 000 orang bagi setiap edisi kejohanan. Tiket-tiket untuk menyaksikan perlumbaan F1 di Malaysia adalah di dalam lingkungan RM100 dan RM1 950. Harga-harga tersebut adalah antara yang termurah di dunia untuk menyaksikan perlumbaan F1.

6) Setiap acara F1 ditafsirkan akan ditonton oleh kira-kira 600 juta orang di seluruh dunia melalui siaran secara langsung. Nilai promosi dan hebahan terhadap setiap destinasi perlumbaan itu boleh dikatakan 'tanpa sempadan' dan cukup berkesan. Tidak hairanlah, semakin banyak negara-negara di Asia yang 'berebut' untuk mendapatkan hak eksklusif penganjuran F1. Penganjuran F1 tidak dilihat daripada aspek perlumbaan itu semata-mata tetapi telah melangkaui aspek promosi perlancongan, produk-produk tempatan dan hebahan teknologi terkini.

7) Litar F1 Sepang dibina dengan kos mencecah RM350 juta dan selepas 10 tahun sebanyak RM40 juta telah dikeluarkan lagi sebagai dana tambahan kerajaan bagi tujuan pemuliharaan juga penyelenggaraan trek perlumbaan serta kemudahan-kemudahan lainnya. Ada yang merasakan ianya membawa pembaziran dan ada juga yang berpendapat ianya adalah satu bentuk pelaburan strategik.

8) Kementerian Pelancongan melaporkan bahawa kira-kira 80% daripada penonton antarabangsa tersebut datang ke Malaysia semata-mata untuk menyaksikan perlumbaan F1. Secara purata mereka membelanjakan sebanyak RM3 374 di Malaysia dengan penginapan selama 5 hari. Menurut kajian rasmi Universiti Malaya, penganjuran F1 di Malaysia pada tahun 1999 sahaja telah menerbitkan pelbagai gerakan aktiviti ekonomi yang bernilai RM1.5 Billion dalam masa seminggu.

9) 10 tahun lepas, seorang pemimpin politik kanan sebuah parti pembangkang pernah secara 'sinis' mengatakan bahawa beliau akan melelong bangunan-bangunan mahupun infrastruktur-infrastruktur yang diistilahkannya sebagai 'projek mega' yang membazir andai partinya menjadi kerajaan. Putrajaya, Litar F1 Sepang, KLIA dan Menara Petronas disifatkan sebagai membazir dan tidak membawa faedah kepada rakyat dan negara.

10) Ironinya, selepas 10 tahun; Litar F1 Sepang bukanlah suatu projek yang membazir. Trek tersebut kini bukan sahaja digunakan untuk perlumbaan F1. Litar F1 Sepang turut menganjurkan perlumbaan MotoGP dan Super GT yang masing-masing mampu menarik perhatian kira-kira 50 000 orang untuk hadir menyaksikannya. Sukan motorcross juga mendapat tempat sebagai antara acara menarik yang diadakan di situ. Kini, untuk mendapatkan waktu di siang hari bagi mengadakan acara istimewa mahupun latihan kenderaan di Litar F1 Sepang telah menjadi masalah sehingga pihak pengurusannya terpaksa menyediakan kemudahan sewaan litar pada waktu malam.

Neba2020: Pelaburan perlu dilihat daripada aspek yang cukup mendalam dan skop 'nikmat' di masa hadapan. Kadang-kadang manusia menjadi mudah sentimental dan sensitif dengan tindakan mengejut yang permukaannya kelihatan tidak membawa faedah segera walhal jika dikaji di dasarnya barulah kelihatan kebaikan dan keuntungan yang datang di kemudian hari. Masalah sering timbul apabila manusia malas untuk berfikir dan mudah dipermainkan dengan rasa benci dan rasa ego yang terlalu kronik ....

Friday, February 13, 2009

Budak Kampung Era 1990an

Salam Buat Semua,

1) Saya dilahirkan sebagai seorang anak kampung di era awal 1980an. Proses pembesaran saya berlaku sepenuhnya di Kampung Alai, Mukim Gemereh, Segamat, Johor. Saya menjejak Darjah Satu di akhir 1980an dan zaman alam sekolah menengah pula tamat di akhir 1990an.

2) Kanak-kanak 1990an majoritinya bolehlah dikategorikan kepada beberapa kelas. Banyak yang boleh diklasifikasikan sebagai 'kanak-kanak taman perumahan' ataupun 'generasi perbandaran.' Tidak kurang juga yang melalui alam pembesaran sebagai 'warga bandar baru' mahupun 'golongan pekan terancang.' Selain itu, visi pembangunan negara membawa pula kepada kewujudan golongan 'kanak-kanak FELDA' dan 'anak-anak setinggan' yang menambahkan lagi variasi jenis kanak-kanak sewaktu itu. Terma 'anak-anak rumah flat' juga kedengaran.

3) Adalah agak sukar untuk mencari kanak-kanak 1990an kelahiran era 1980an yang membesar sepenuhnya di kampung. Budak-budak FELDA dan kampung ada lainnya. Budak kampung 1990an tidak mempunyai rangkaian rakan sebaya setempat yang besar seperti yang berlaku di FELDA-FELDA. Dekad 1990an menyaksikan kampung-kampung mula ketandusan kanak-kanak dan mereka hanya penuh di kampung sewaktu musim Hari Raya ataupun cuti sekolah sahaja. Millenium baru yang bermula pada tahun 2000 menyaksikan 'trend' ini terus berpanjangan dan lebih kritikal.

4) Saya bangga kerana berkesempatan menjadi golongan minoriti yang diistilahkan sebagai budak kampung era 1990an. Di kampunglah saya berpeluang menikmati ketenangan hidup yang cukup sempurna, jauh daripada hura-hara, jiran-jiran yang semuanya umpama keluarga kandung, bunyi ayam-ayam berkokok sabung-menyabung di Suboh hari, kucing jiran-jiran juga adalah kucing saya, ayam ternakan saya juga adalah ayam yang 'dijaga secara bersama' dengan jiran-jiran, pepohon hijau yang berimbun tidak berpenamat dan suasana rumah yang jauh daripada konsep 'semi-penjara' yang jumlah tingkap dan pintunya cukup minima. Malam hari di kampung saya adalah 'seperti' berada di Cameron Highlands dan Suboh harinya pula 'umpama' di Antartika.

5) Kerana kurangnya jumlah budak kampung era 1990an itulah yang membuatkan saya cukup bangga menjadi sebahagian daripada statistiknya. Saya membesar dengan semangat bahawa dengan peluang dan cara yang betul, budak kampung era 1990an juga tidak ada kurang mahupun lemahnya berbanding kanak-kanak era 1990an yang membesar di bandar, pekan, taman perumahan, setinggan mahupun FELDA.

Neba2020: Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Di mana kita bermula, di situlah harus kita gali sumber kekuatan dan petunjuk kehidupan buat membina satu mercu diri yang istimewa lagi tersendiri ....

Berikut adalah artikel yang dipetik secara langsung daripada weblog kendalian Tun Dr. Mahathir Mohamad (siaran 11/02/2009). InspiRasi 1982 ~~ berasa cukup terkesan dengan imbasan kisah-kisah lama yang dicoretkan Perdana Menteri Malaysia ke 4 itu:

ORANG ULU

1. Waktu saya kecik lebih kurang 70 tahun dahulu saya sering jumpa orang ulu (bukan suku kaum Sarawak), tapi orang ulu Kedah.

2. Ada yang terdiri daripada adik-beradik Mak saya. Ada Tok Karin (loghat Kedah - Kaghin), Lebak, Din, Mak Chah, Mak Bedah, Mak Doh. Orang pekan anggap orang ulu ini agak kolot dan lekeh. Mereka jalan kaki, naik perahu untuk ke pekan Alor Setar (Aloq Staq). Tak pakai kasut pun.

3. Bahasa mereka juga lain daripada bahasa kami orang pekan. Sesungguhnya mereka tak tahu apa. Bawak buah sikit, padi huma, beras pulut, sebagai buah tangan. Kadang-kadang mereka tidur di rumah tak perlu katil, hampar tikar sudah cukup.

4. Di sekolah Inggeris ramai juga anak orang ulu belajar bersama saya. Mula kekok sikit tetapi cepat faham dan guna bahasa Inggeris. Nampak tak bodoh sangat orang ulu ini. Kadang-kadang lulusan lebih baik daripada anak orang pekan.

5. Saya ke universiti. Budak Melayu tak ramai. Tapi di antara mereka ada juga anak orang ulu, terutama di Fakulti Sastera. Lulus Bachelor of Arts (B.A. - Sarjana Muda Sastera) mereka sertai Kerajaan, ramai di Kementerian Luar. Jadi second secretary (setiausaha kedua), first secretary (setiausaha pertama) dan kemudian jadi duta.

6. Boleh juga cakap orang putih dengan orang putih, anak orang ulu ni. Boleh berhujah dan bergaya sebagai Pak Duta.

7. Sebenarnya ramai anak orang ulu yang belajar sehingga dapat Phd. (Doktor Falsafah) di universiti luar negara kembali jadi pegawai tinggi Kerajaan.

8. Sekarang anak orang pekan pun susah nak kerja di luar negeri. Tak suka cocktail party kerana segan nak bercakap. Orang asing nak cakap bahasa lain, kerap kali guna bahasa Inggeris. Tetapi ini bukan masalah. Yang jadi masalah di cocktail party orang minum arak. Sebab itu pegawai tak suka pergi cocktail party.

9. Yang suka pergi cocktail party pegawai bukan Melayu. Mereka boleh bergaul dengan orang asing, bercakap dengan mereka bukan main fasih lagi, dan sudah tentu minum arak. Tetapi berguna juga mereka kerana mereka dapat dengar dan faham pendapat duta-duta asing.

10. Nampak sekarang sama saja - anak orang ulu atau anak orang pekan. Dulu kedua-dua boleh, sekarang kedua-dua pun tak boleh.

11. Pada pengalaman saya sejak 70-tahun dahulu, anak orang ulu ada kebolehan, tak kolot, tak lah lekeh sangat. Bila diberi peluang boleh buat. Anak kawan saya, Hassan Nawin (orang ulu dalam kelas saya) jadi pilot Boeing 747. Ada yang jadi doktor, pakar bedah, peguam, duta dan macam-macam lagi.

12. Rupa-rupanya mereka tak begitu lekeh. Janganlah perlekeh orang kampung, orang ulu dan orang luar bandar. Mereka boleh, kalau diberi peluang. Kalau tak percaya, buat kajian. Yang pegang jawatan tinggi, yang cakap bahasa Inggeris macam orang Oxford siapa? Ramai juga orang ulu.

13. Saya sendiri tak mimpi jadi doktor. Zaman saya di sekolah, doktor Melayu yang saya tahu hanya Doktor Arif, Pulau Pinang.

14. Tetapi saya dapat peluang, dapat juga lulus sampai jadi doktor. Kita serba boleh. Tetapi kalau orang sekat peluang saya mana saya nak tahu saya boleh atau tidak.

15. Demikian nasib orang Melayu bandar dan luar bandar. Dulu Mat Salleh (orang putih) anggap orang Melayu bodoh, tak boleh pegang jawatan. Sekarang orang Melayu sendiri anggap Melayu kampung bodoh.

16. Hai lah nasib!