Thursday, December 30, 2010

Malaysia Juara Asia Tenggara - 'Datuk K Rajagobal' dan Piala Dunia!

Salam Buat Semua,

1) MALAYSIA JUARA PIALA SUZUKI AFF 2010 ! Tidak perlu dibincangkan panjang lebar, cukup untuk menggembirakan satu negara. Kita tewaskan Indonesia dengan aggregat 4-2 sekaligus menobatkan Malaysia sebagai juara bola sepak rantau Asia Tenggara. Maka 29 Disember, 2010 akan diingati sebagai tarikh bersejarah buat negara ini.

2) Indonesia, Vietnam, Thailand, Filipina, Singapura, Laos, Kemboja, Myanmar, Brunai Darussalam dan Timor Leste pastinya akan terus mencemburui kita selepas ini dan semoga kelekaan dan sifat hanyut dengan pujian tidak akan menyebabkan Malaysia menjadi lemah lagi pada masa mendatang. Sekali menang maka bergandalah pula keperitan untuk terus mempertahankan 'takhta.'

3) Jika dilihat kepada purata usia para pemain Malaysia yang digelar HARIMAU MUDA itu sememangnya 1001 harapan dan keyakinan dapat 'dipautkan' ke bahu mereka. Dengan usia purata yang berlegar di angka 21 dan 22 tahun maka pencapaian menjadi juara Asia Tenggara buat kali pertama ini dapatlah memberikan sinar baru kepada bola sepak negara.

4) Selepas ini, status selaku pasukan NOMBOR SATU di Asia Tenggara wajarlah terus dipertahankan dan misi seterusnya ialah untuk menjadi pasukan yang disegani di peringkat benua pula. Harapnya ialah Malaysia akan dapat menjadi di antara 10 pasukan terhebat di benua Asia dalam tempoh 2 tahun ini. Jangan cerita tentang Brazil, Sepanyol, Portugal, England dan Argentina. Kita perlu cerita dahulu nama-nama seperti Jepun, Korea Selatan, Korea Utara, UAE dan Iran. Bolehkah kita mengejar mereka di peringkat Asia? Usaha tangga kejayaan dan tiada yang mustahil!

5) Menjelang Piala Dunia 2014 yang bakal diadakan di Brazil, kita positif untuk melihat Malaysia dapat memberikan saingan yang memberangsangkan di pusingan kelayakan benua Asia yang dijangka diadakan di sekitar awal 2013.

6) Untuk lebih realistik, tidaklah kita mengharapkan Malaysia mara ke Piala Dunia 2014 kerana Thailand dan Singapura yang masing-masing pernah menjuarai Piala Suzuki AFF (dahulu dekenali sebagai Piala Tiger) sebanyak tiga kalipun tidak pernah berjaya menjadi juara kejohanan Asia apalagi mara ke Piala Dunia. Apa yang kita harapkan ialah kebangkitan Malaysia untuk menjadi pasukan yang turut dihormati di benua Asia dan bukannya umpama 'budak belasahan' semata-mata seperti yang berlaku di sepanjang dekad 1990an dan 8 tahun pertama abad yang ke 21.

7) Suka atau tidak kita terpaksa mengaku bahawa bola sepak adalah sukan nombor satu di Malaysia! Maka tidak hairanlah 'jenama-jenama' bola sepak seperti Liga Perdana Inggeris, Piala Dunia, Kejohanan Euro dan berderetan lagi liga-liga tempatan di Jerman, Sepanyol dan Itali terutamanya turut menjadi kegilaan orang kita. Maknanya ialah bola sepak adalah sebahagian daripada kehidupan majoriti rakyat Malaysia terutamanya kaum Adam.

8) Skuad HARIMAU MUDA itu dan jurulatihnya yang dihormati iaitu Saudara K. Rajagobal sewajarnya diberikan pujian dan insentif yang setimpal bolehlah dihadiahkan sebagai penyuntik semangat untuk lebih berprestasi tinggi lagi selepas ini.

9) AWAS ! Insentif dan pujian yang berlebihan tidaklah diperlukan kerana kita gusar mereka ini akan 'hanyut dan lemas' di daratan pula nanti. Ada baiknya insentif yang diberikan itu dibahagikan kepada dua bahagian untuk memastikan kebajikan mereka selepas 'gantung but bola' nanti lebih terjamin. Contohnya, 40% diberikan terus dan 60% lagi diletakkan di bawah satu akaun kawalan persatuan yang boleh dikeluarkan apabila pemain itu bergelar 'Harimau Pencen' di kala usia mereka melebihi 35 tahun kelak. Dengan usia yang masih muda dan mentah, jika 100% habuan diberikan dalam sekelip mata maka kemungkinan untuk mereka 'leka dan khayal' sekaligus bakal menjejaskan prestasi adalah amat tinggi.

10) Diharapkan juga zaman di mana pemain-pemain bola sepak negara yang 'ada rupa' dijadikan umpama artis, 'poster boy' dan personaliti hiburan wajarlah ditinggalkan jauh-jauh. Pemain bola sepak adalah atlet milik negara yang tugasnya adalah mengekalkan prestasi tinggi pada setiap masa dan hidup dalam disiplin dan rutin harian yang penuh terkawal. Di Malaysia ini, apabila atlet mula 'diagung-agungkan' maka mulalah tahap kecergasan, keupayaan dan mental mereka terjejas. Mudah 'mabuk' dengan populariti, glamor dan 'ganjaran ekspres.' Kita yakin bahawa si HARIMAU MUDA kendalian Cikgu Rajagobal ini tidak akan menjadi seperti itu! Tidaklah perlu rasanya untuk mana-mana negeri menganugerahkan Rajagobal dengan gelaran DATUK pula di tahun 2011 nanti. Kita juga pasti, tanpa bergelar DATUK sekalipun, beliau sudah dikenali, cukup dihormati dan mula disayangi oleh rakyat Malaysia. Kalau sudah berkali-kali menang lagi selepas ini, mari kita cadangkan pada Yang Dipertuan Agong untuk menganugerahkan 'Coach Raja' dengan gelaran DATUK K RAJAGOBAL. Baru ada kelas, 'Datuk Agong' namanya!

Neba2020: MALAYSIA BOLEH ! MALAYSIA BOLEH ! MALAYSIA BOLEH !

Monday, December 27, 2010

Stadium Nasional Bukit Jalil

Salam Buat Semua,

1) Piala Suzuki Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2010 menyaksikan Malaysia mara ke peringkat akhir. Lawan kita ialah Indonesia. Perlawanan akhir diadakan secara timbal balik di mana ke dua-dua negara berpeluang bermain di tempat sendiri dengan juaranya ditentukan secara kiraan aggregat.

2) Perlawanan pusingan pertama diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 26 Disember sebelum bertembung sekali lagi di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta (29 Disember).

3) Malaysia menang 3-0 di hadapan penyokong sendiri, sesuatu yang cukup untuk menggembirakan seluruh rakyat Malaysia yang sudah cukup lama menantikan era kebangkitan bola sepak negara yang sentiasa 'lesu dan lembik' di sepanjang dekad 1990an sehinggalah tahun 2009 apabila kita memenangi pingat emas Sukan SEA Laos.

4) Dilaporkan seramai 100000 (The Star, 27 Disember, 2010) penyokong berada di Stadium Nasional untuk menyaksikan perlawanan dua gergasi baru bola sepak Asia Tenggara itu. Kapasiti maksima yang mampu 'ditanggung' stadium terbesar di Malaysia itu tercapai! Sewaktu pertemuan menentang juara bertahan iaitu Vietnam di peringkat separuh akhir pertama di lokasi yang sama, hampir 60000 peminat bola sepak menghadirkan diri walaupun diadakan pada hari bekerja.

5) Sebelum Sukan Komanwel 1998 berlangsung, pembinaan Stadium Nasional dan induknya iaitu Kompleks Sukan Nasional, Bukit Jalil telah dijadikan 'isu' oleh segelintir pihak yang sentiasa curiga dengan pihak kerajaan. Stadium Nasional dikatakan sebagai sebuah 'projek mega' yang merugikan rakyat dan pembaziran hasil negara. Selepas 12 tahun, jelas Stadium Nasional terbukti berjaya menjadi 'lokasi' penyatuan rakyat Malaysia yang bersorak penuh patriotik sambil mengibarkan Jalur Gemilang tanda jiwa sepenuhnya mencintai dan bangga menjadi warga bumi bertuah ini. Mungkin kita perlukan stadium yang berkapasiti 120000 ataupun 150000 pula selepas ini?

Neba2020: Tahun 1985, jambatan Pulau Pinang dikatakan projek membazir, Putrajaya pernah mahu 'dilelong' oleh Presiden PAS era 1990an jika mereka memerintah, menara berkembar Petronas juga membazir, KLIApun membazir, Litar Sepang juga membazir. Kalau semua dalam hidup ini membazir, maka lembablah perjalanan ekonomi negara ....

Friday, December 24, 2010

KRISMAS - Kita Semakin Lupa Diri?

Salam Buat Semua,

1) Perayaan terbesar di Malaysia ialah Hari Raya Aidilfitri. Hakikatnya ialah majoriti besar rakyat Malaysia beragama Islam dengan peratusannya sekitar 60%.

2) Tahun Baru Cina layak untuk diangkat sebagai perayaan kedua terpenting kerana kira-kira 25% rakyat Malaysia adalah berbangsa Cina. Uniknya Tahun Baru Cina ialah ianya adalah festival berbentuk kaum dan bukannya berdasarkan agama. Maka tidak kiralah sama ada Cina itu beragama Buddha, Kristian, Hindu dan Islam sekalipun, ianya tetap diraikan secara bersama dengan meriahnya.

3) Deepavali, perayaan cahaya bagi penganut agama Hindu yang majoritinya berbangsa India adalah perayaan di tangga ke 3 daripada segi jumlah penyambutnya di negara '1Malaysia' ini.

4) Perayaan terbesar penganut Kristian iaitu Hari Natal (Krismas) jelas adalah perayaan 'nombor 4' di Malaysia. Penganut Kristian di Malaysia ini jelas tidak melebihi 10%. Selepas Islam, semestinya Buddha dan Hindu adalah dua agama anutan terbesar rakyat Malaysia.

5) Sesuatu yang pelik lagi ganjil ialah musim Krismas kelihatannya lebih 'gah,besar dan glamor' berbanding Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali. Apa yang menarik untuk diketahui ialah sepatutnya Krismas ini paling mendapat tumpuan di Sabah dan Sarawak berbanding Semenjanjung kerana peratusan masyarakat di 'Malaysia Timur' itu yang beragama Kristian adalah melebihi peratusan rakyat di Semenanjung yang menganut agama bawaan 'Jesus' itu.

6) 'Usaha-usaha' pihak pengurusan pasaraya-pasaraya besar dan juga gedung membeli belah dalam 'memeriahkan' juga 'membesarkan' Krismas kelihatannya cukup semarak dan gilang-gemilang.

7) Kita mula terfikir akan betapa 'glamor' dan meriahnya Krismas sehinggakan ianya 'diangkat' cukup tinggi.

8) Mungkinkah pengaruh Barat jelas telah menguasai rakyat Malaysia. Mendekatkan diri dengan Krismas akan membawa erti 'moden, glamor, eksklusif dan canggih'?

9) Kelihatannya sungguh ramai yang memakai topi Santa dan saling mengucapkan 'Merry Christmas' sesama sendiri walhal bila ditanya agama mereka rupa-rupanya bukan Kristian. Seolahnya orang-orang Malaysia ada yang lebih bangga kelihatan seperti seorang Kristian berbanding Buddha, Hindu dan apa sahaja anutan asal turun-temurun.

10) Saya tidak memandang negatif kepada perayaan Krismas, apa lagi untuk berniat jahat terhadap penganut Kristian. Kita seharusnya menghormati, meraikan dan menghargai apa jua kemeriahan budaya yang wujud di negara ini. Masalahnya, ada di kalangan rakyat kita sejak akhir-akhir ini umpama 'lebih sudu dari kuah' dan yang penting diletakkan di barisan belakang manakala yang kurang signifikan diangkat di puncak tertinggi. Itu yang silap.

Neba2020: Pihak pengusaha dan pemilik perniagaan perlu lebih adil terhadap Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali. Adakah orang Melayu beragama Islam ataupun orang India beragama Hindu tidak banyak berbelanja sempena perayaan agama mereka?

Friday, December 17, 2010

Wira-Wira Tak Didendang ...

Salam Buat Semua,

1) Cikgu sekolah rendah yang selalu 'terpaksa' melayan karenah anak murid yang masih berusia satu angka, ada yang terbuang air kecil dan ada yang lebih mengharukan terlepas 'saham' besarnya pula di dalam kelas. Cikgu tetap sabar dan tetap melayan 1001 macam perangai si kanak-kanak baru hendak mengenal dunia itu.

2) Posmen yang selalu dinanti kehadirannya, menghantar surat, majalah yang dilanggan dan kad-kad ucapan di musim perayaan. Dengar saja deruman bunyi enjin motosikal 'Pak Posmen' semestinya terukir senyuman dan pantas berlari menuju ke pintu utama rumah. Terfikir juga betapa mereka itu biasanya berpanas dan ada masanya berhujan menjalankan tugas.

3) Makcik-makcik yang bekerja di kantin sekolah, sentiasa senyum dan pantas mengambilkan makanan mahupun minuman yang dikehendaki 'anak-anak' mereka yang kosong perutnya di waktu rehat. Mereka tetap sabar, tersenyum dan mesra melayan perangai 'budak-budak' yang kadang-kala seperti sudah 10 tahun tidak ketemu makanan, terlalak-lalak dan ada pula yang 'nakal' tidak tahu untuk beratur di barisan yang betul.

4) Pakcik-pakcik dan makcik-makcik tukang kebun sekolah, mereka ini sentiasa rajin membersihkan kawasan sekolah. Keringat merekalah yang menghasilkan sekolah kelihatan seperti taman bunga yang sungguh indah dan mengasyikkan. Di waktu rehat, tenang jiwa melihat sekeliling sekolah penuh dengan bunga-bunga yang kemas dijaga rapi dan cantik pula aturan lanskapnya.

5) Guru disiplin sekolah yang garang, tegas dan kadang-kala seperti tidak 'berhati-perut' sememangnya digeruni dan popular di kalangan semua pelajar. Kerana teriakan, rotan, muka 'ketat' dan jelingan tajam si cikgu disiplinlah ramai yang 'menjadi' manusia akhirnya.

Neba2020: Mereka wira tak didendang, tak siapa merasa mereka itu pahlawan ataupun sang juara ... Wira tak didendang ini sebenarnya banyak juga jasanya kepada kita dan mungkin kita tak sedar betapa mereka ini semuanya pernah membuatkan kita gembira mahupun 'berubah sikap' suatu masa dahulu ....

Sunday, December 12, 2010

Blog Hilang Populariti?

Salam Buat Semua,

1) Tahun 2008 saya hasilkan 100 'cerita' di blog ini.

2) Tahun 2009 juga ianya mencecah angka 100 untuk tempoh 12 bulan.

3) 'Kisah' yang sedang ditatap ini adalah untuk 'posting' yang ke 41 bagi tahun 2010 yang berbaki tidak sampai 20 hari lagi untuk ditinggalkan.

4) Sepanjang November, 2010 blog ini 'sunyi tanpa cerita' dan umpama ditinggalkan begitu sahaja.

5) Adakah saya telah jemu dengan alam blog? Blog sudah hilang serinya?

6) Sindrom blog yang menjadi 'sunyi dan senyap' sepanjang tahun 2010 rasanya bukan dialami oleh saya sahaja tetapi seakan sindrom ini turut 'menjangkiti' majoriti 'bloggers' amatur yang 'tiada nama, tiada pangkat, tiada kepakaran.'

7) Suka atau tidak, terpaksalah diakui bahawa momentum semangat untuk saya menulis di blog sememangnya tidak sehangat dan tidak seghairah tiga tahun sebelum ini (2007-2009). Watak-watak yang menjadi semangat untuk saya menulis / kritik seperti Tun Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi), Tok Nuar (Anwar Ibrahim), Bang K.J (Khairy Jamaluddin) dan Tok Guru Nik Ajis (Nik Abdul Aziz Nik Mat) semuanya seakan tiada yang menarik lagi untuk diperhatikan.

8) Tun Pak Lah sudah berundur diri daripada jawatan Perdana Menteri sekaligus melepaskan Malaysia daripada 'zaman kelam dan penuh mengantuk.' Tok Nuar pula seakan hanya menunggu sahaja zaman tenggelamnya kerana seperti sudah menjadi orang 'gila kuasa' yang cakapnya sentiasa gagal dilaksanakan dan penuh dengan rekaan umpama kartun di dalam majalah komik. Partinya sendiri menjelang akhir 2010 ini kelihatan penuh huru dan hara! Macam mana beliau mahu menjadi Perdana Menteri kepada lebih 28 juta rakyat Malaysia jika PKR (Parti Keadilan Rakyat) 'beliau' yang 'didakwa' memiliki 0.4 juta ahli itupun penuh kacau-bilau?

9) Abang K.J pula kini umpama harimau muda yang tiada taring, mukanya macam orang yang malu pada diri sendiri, datangnya tak diundang dan perginya juga tak siapa yang akan endahkan. Tok Guru Nik Ajis pula semakin hari semakin berbelit-belit cakapnya, berbeza sungguh dengan Tuan Guru yang kita kenal di era 1990an dahulu. Ingatkan beliau dapat mengagamakan politik tetapi yang jadi ialah agama yang dipolitikkan.

10) Bagaimana pula dengan Tun M (Dr. Mahathir Mohamad) yang juga antara 'watak' terpenting InspiRasi ~~ sejak awal dahulu? Syukur kepada TUHAN, kalau emas tulen, dihina dicaci dan dihitamkan dengan cara apa jua sekalipun, akhirnya kilauan emas itu tetap bersinar kembali. Pasti ramai pembenci Tun M yang dahulunya (sekitar 2006 hingga awal 2009) bersorak gembira melihat dia 'diketepikan' kini terpaksa menerima hakikat bahawa beliau tetap unggul dan suaranya berterusan mendapat liputan, sambutan dan kemana jua perginya Bapa Pemodenan Malaysia itu, suasana meriah dan penuh gemilang tetap menemaninya.

Neba2020: Populariti Facebook semakin lama semakin 'menggila' dan 'berapi.' Hakikatnya, warga Internet kini lebih menyukai dan selesa dengan Facebook yang penuh interaktif, mudah dan 'betul-betul' dapat bersosial di alam maya, sesuatu yang Blog tidak dapat menandinginya. Tetapi sejauh manakah Facebook berkesan dalam berkongsi ilmu, berbincang secara ilmiah dan menggalakkan keupayaan menulis juga beranalisa masih menjadi keraguan, sesuatu yang Blog semestinya dapat menghasilkan.

Selamat Hari Jadi Emak

Buat Emak Saya,

1) Selamat Hari Jadi yang ke 58, Kamulah Wanita Terbaik Yang TUHAN Anugerahkan kepada diri ini.

2) Tidak mungkin akan ada pengganti kepada dirimu. Istimewanya kamu tidak mampu saya gambarkan dengan perkataan mahupun kata-kata. Hanya TUHAN yang tahu betapa istimewanya kamu wahai EMAK !

3) SELAMAT HARI JADI EMAK, kudoakan TUHAN panjangkan usiamu dengan kesihatan yang baik dan berbahagia kita sekeluarga selamanya ....

Neba2020: Terbayang-bayang saat Emak menggengam erat tubuh kecilku sewaktu kami naik bas 'berhenti-henti' menuju ke Muar dari Segamat. Jalan yang seperti 'ular berliang-liuk' dengan kami yang berdiri kerana penumpang penuh, terserlah kuatnya kasih dan sayang Emak kepadaku, rapat ke tubuh Emak badan kecilku bersatu, hangat kasihnya terasa hingga kini walaupun berdekad lamanya telah ditinggalkan ....