Friday, February 12, 2010

Tiada Kes Politik Wang, Tiada Kes Lembu Korban ....

Salam Buat Semua,

1) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) umumkan (12 Februari, 2010) penutupan siasatan terhadap beberapa kes rasuah ataupun penyalahgunaan kuasa yang bolehlah diklasifikasikan sebagai 'berprofil tinggi' (melibatkan 'orang-orang besar').

2) Ketua Menteri Melaka, Mohd. Ali Rustam 'bebas' daripada siasatan kes politik wang semasa kempen pemilihan UMNO tahun 2009 yang lepas.

3) Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor pula 'dibersihkan' daripada isu penyelewengan dana kerajaan negeri bagi tujuan pembelian lembu korban.

4) Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak iaitu V. Sivakumar bolehlah 'lega' daripada dakwaan salah guna kuasa kerana menggantung Dr Zambry Abdul Kadir dan Exconya daripada menghadiri sidang DUN.

5) Mohd Fairus Khairuddin yang pernah menduduki kerusi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang seharusnya boleh 'bernafas lancar' semula kerana tiada lagi siasatan terhadap dakwaan yang beliau mempunyai kepentingan dalam meluluskan projek kuari.

6) SPRM menegaskan bahawa kes-kes terbabit terpaksa 'ditutup' kerana kekurangan bukti dan sukarnya untuk memperoleh saksi-saksi yang mahu tampil bagi membantu siasatan.

7) Penutupan kes bukan bererti tiadanya kes tetapi siasatan lanjut tidak dapat dilaksanakan dek kerana rapuhnya dakwaan yang dibuat.

8) Tuduhan-tuduhan rasuah terhadap 'orang-orang penting' sesebuah kerajaan negeri ini semestinya telah menyukarkan mereka untuk berkhidmat dengan penuh tekun dan bersemangat. Sedikit sebanyak, 'dakwaan-dakwaan' yang entah betul entah palsu itu sewajarnya telah mengalih sedikit tumpuan mereka daripada kerja-kerja yang perlu dilaksanakan sebagai seorang Ketua Menteri mahupun Menteri Besar.

9) Sudah tiba masanya pencatur politik menjadi lebih 'waras dan bijak.' Janganlah kerana ada agenda peribadi mahupun kebencian yang meluap, usaha-usaha dilakukan untuk 'melemahkan' seseorang itu dengan membuat tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa walhal ianya hanyalah bersandarkan kepada persepsi sendiri sahaja.

10) Persepsi kita ataupun tanggapan peribadi terhadap niat mahupun hasil kerja orang lain itu tidaklah semestinya betul. Janganlah mudah menuduh dan janganlah cita-cita politik itu dipenuhi dengan taktik untuk menjatuhkan orang dengan membuat tuduhan murahan semata-mata.

Neba2020: Andai jiwa dan tindakan sentiasa bermatlamatkan mencari rahmat dan kurnia daripada TUHAN, semestinya tiada hasil-hasil kotor dan jijik di dalam politik .....

No comments: