Thursday, October 15, 2009

Siapapun Boleh Jadi Datuk?

Salam Buat Semua,

1) Majlis sambutan rasmi Hari Jadi yang ke 71 Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob diadakan pada Sabtu, 10 Oktober, 2009.

2) 5 individu telah dianugerahkan gelaran Datuk Seri, 10 orang pula bergelar Datuk Wira dan 75 lagi 'diangkat' sebagai Datuk. Senang cakap, 90 orang telah 'diiktiraf' sebagai 'Datuk Melaka' bagi edisi 2009.

3) Isu berkenaan dengan betapa 'longgar dan mudah' untuk bergelar Datuk ini bukan lagi menjadi sesuatu yang tersembunyi lagi tersorok 'di bawah bantal.'

4) Adakah memegang sesuatu jawatan di dalam pentadbiran kerajaan pusat, negeri mahupun parti politik itu adalah jaminan 'automatik' untuk seseorang itu LAYAK mendapat anugerah daripada istana?

5) Adakah bergelar ahli perniagaan yang mempunyai wang tunai berjuta Ringgit juga adalah sesuatu yang memberikan 'tiket wajib' untuk bergelar Datuk?

6) Kita seharusnya meragui akan kewajaran Mohd. Nizar Jamaluddin diberikan anugerah bergelar Datuk Seri dalam masa tidak sampai 2 bulan menjadi Menteri Besar (MB) Perak pada tahun 2008. 'Orang kanan' Mohd. Nizar di bawah pentadbiran 1 tahun beliau sebagai MB pasca Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 iaitu Ngeh Koo Ham selaku Pengerusi DAP Perak turut 'dinobat' sebagai seorang bergelar Datuk. Pengganti Mohd. Nizar iaitu Dr. Zambry Abdul Kadir daripada UMNO juga diiktiraf sebagai 'Datuk Seri' dalam masa kurang 2 bulan selepas meniti laluan 'panas' untuk bergelar MB Perak.

7) Apabila Pulau Pinang 'dikuasai' DAP dan konco-konconya (PKR dan PAS), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dianugerahkan dengan gelaran Datuk Seri sewaktu sambutan rasmi Hari Jadi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang pada tahun 2008 hanya selepas beberapa bulan beliau menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia. Besar sungguhkah jasa Dr. Wan Azizah selaku Ketua Pembangkang?

8) Di pihak UMNO pula, Ketua Penerangannya yang baru dilantik pada April 2009 iaitu Ahmad Maslan telah dianugerahkan gelaran Datuk oleh negeri Melaka baru-baru ini. Ahmad Maslan ini juga baru sahaja memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di era kepimpinan Mohd. Najib Abdul Razak. Sebelum itu dia hanyalah seorang ahli Parlimen biasa yang mewakili Pontian memasuki penggal ke 2. Dia orang Johor tetapi nampaknya 'jasa' beliau 'nampak jelas' di Melaka. Banyak juga orang-orang kuat Pemuda UMNO seperti Razali Ibrahim dan Reezal Meerican yang sudah bergelar Datuk sebelum usia mencecah 40 tahun dan yang lebih penting sebelum jasa dan nama mereka sendiri menjadi sebutan rakyat Malaysia.

9) 14 negeri di Malaysia melalui Sultan, Raja, Yang Dipertuan Besar mahupun Yang Dipertua Negeri masing-masing sememangnya harus dan wajar memberikan anugerah kebesaran dan pingat kepujian kepada mana-mana rakyat yang layak juga berjasa kepada negara, negeri dan masyarakat secara umumnya. Masalah timbul apabila darjah kebesaran yang dianugerahkan pihak Istana kini mula dipertikai, dipandang serong dan diragui status jasa juga rekod perkhidmatan si penerimanya.

10) Masanya telah tiba untuk negeri-negeri menjadi lebih 'ketat dan lokek sedikit' dalam mengiktiraf sesiapa jua dengan gelaran Datuk. Kita tidak boleh salahkan masyarakat andainya mereka mula bertanya sama ada seseorang itu bergelar Datuk dari negeri mana. Bila disebut Datuk Johor dan Datuk Selangor orang mempunyai tanggapan positif. Malangnya apabila disebut Datuk Negeri P, Datuk Negeri M dan Datuk Negeri N umpamanya, rakyat mula mencebik bibir, memandang sinis dan berbahasa lawak untuk membicarakannya.

Neba2020: Datuk Nicol David, Datuk Lee Chong Wei, Datuk Misbun Sidek, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar, Datuk Azhar Mansor; rakyat biasa yang diiktiraf dan memang layak untuk diiktiraf dan dipuji keupayaannya. Bila pula dapat kita panggil Rashid Sidek, Razif Sidek, Jailani Sidek, Shalin Zulkifli, Chef Wan, M. Nasir, Fauziah Ahmad Daud dan Ramli Ibrahim (pakar tarian klasik India) dengan panggilan Datuk?

4 comments:

Jessen said...

Maybe they should set more requirements to get datukship.

Helmy Ahmad said...

Sejak akhir-akhir ini dalam zaman millenium, begitu mudah kita mendengar seseorang individu itu mendapat gelaran Datuk, Datuk Seri, Tan Sri dam sebagainya. Seolah-olah boleh dibeli pula. Yang paling menarik dan boleh dikatakan paling mengejutkan adalah penganugerahan datuk kepada 'Hero' hindu stan yang pernah 'digilai' ramai, Datuk Shah Rukh Khan. Dek hannya membuat penggambaran filem hindu stan yang boleh dikira 'sekelumit' sahaja lokasinya di Malaysia... terus berdesup dianugerahkan gelaran datuk. Sungguh 'unik' alasannya. Adakah anda semua terfikir mengenai Chef Wan, yang seantero dunia telah dijelajahinya malah turut dikenali oleh selebriti barat dan dunia seperti Oprah Winfrey contohnya. Tidak terlintaskah di fikiran siapa yang lebih 'Ses-Wai' di anugerahkan gelaran sedemikian......

fendy_ahmad said...

Salam,

Saya mengucapkan terima kasih kepada seorang 'Anonymous' yang menghantar komentar pada jam 5.17 petang, 19 Oktober.

Saya mohon maaf kerana tidak dapat menyiarkan komentar beliau secara langsung di sini.

'Anonymous; menyatakan bahawa seorang 'bapa rasuah balak' telah dilantik sebagai ketua agama di sebuah negeri yang tidak memiliki Raja dan integritinya boleh dipertikaikan.

Saya kira 'Anonymous' ini terlalu mengikutkan emosi. Buat pengetahuan kita bersama, ketua agama bagi negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) ialah Yang Di Pertuan Agong.

Dakwaan 'kata-kata' berdasarkan 'dengar-dengar' seperti 'Bapa Rasuah Balak' dan 'Bapa Seks Songsang' sekalipun tidak akan saya siarkan kerana ianya menjatuhkan taraf pemikiran intelek kita bersama.

Muhammad Hazimin Wahab said...

wasslam, sokong2.. kalau tak dpt ubah sekrang, mungkin Dato Seri Noor Effandi apabila ditampuk kempimpinan neggara nanti, perlulah tukar semuanya .....

mudah-mudahan apa yg diperkatakan sekarang akan diingat ketika memegang kuasa kelak....