Sunday, October 4, 2009

Politik Warung Kopi, Stesen Bas dan Kebun Getah

Salam Buat Semua,

1) Kalau anda ingin tahu tentang parti mana yang akan menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 nanti (sekitar tahun 2012 dan 2013) maka janganlah sekadar bergantung kepada kepercayaan diri sendiri, rakan-rakan 'sekepala' dengan anda mahupun komentar-komentar di blog yang berbau politik semata-mata.

2) Duduklah mendengar apa yang orang borakkan di warung-warung kopi, tempat menunggu bas, para penoreh getah, tukang sabit buah kelapa sawit, para pekerja am yang mencuci di pejabat mahupun kompleks membeli belah, operator-operator pengeluaran di kilang-kilang, orang-orang yang sempat berborak di pasar-pasar basah dan tidak ketinggalan ialah apa yang makcik-makcik di kampung 'riuh-rendah' sesama mereka di waktu petang.

3) Inilah 'suara-suara' rakyat majoriti yang akan MENENTUKAN siapa yang terus berkuasa dan siapa yang harus disungkurkan.

4) Mereka inilah yang telah 'MENGHALAU' orang-orang Barisan Nasional seperti S. Samy Vellu, Shahrizat Jalil, Zainuddin Maidin, Dr. Koh Tsu Koon, G. Palanivel, M. Kayveas dan berdozen lagi daripada bergelar Yang Berhormat Ahli Parlimen sewaktu PRU ke 12, 2008.

5) Jangan lupa juga bahawa orang-orang kuat parti pembangkang seperti Lim Kit Siang, Abdul Hadi Awang, Mohd. Sabu dan Karpal Singh juga pernah 'DIHUMBAN keluar' daripada Parlimen sewaktu PRU tahun 1999 ataupun 2004 oleh 'suara-suara' rakyat majoriti ini.

6) Pertengahan tahun 2006 sehinggalah bulan-bulan terakhir sebelum PRU tahun 2008 didapati betapa 'suara-suara' rakyat majoriti ini cukup skeptikal terhadap satu nama. Mereka seolah-olah cukup tinggi kepercayaannya betapa Perdana Menteri ke 5 adalah tidak meyakinkan, menyusahkan kehidupan rakyat, pentadbirannya cukup lemah, dipengaruhi oleh ahli keluarga terdekatnya dan yang cukup memalukan dia dilabelkan sebagai 'kaki tidur.'

7) Itulah yang riuh dan kecoh di kalangan pengunjung setia warung-warung kopi di seluruh negara, makcik-makcik yang menyertai 'mesyuarat tingkap,' para penoreh getah juga penyabit kelapa sawit di tanah rancangan FELDA, pencuci-pencuci bangunan, pekerja am yang memungut sampah di taman-taman perumahan, para peniaga kecil juga pengunjung setia pasar-pasar basah yang tiada pendingin udara juga lantai berkilat dan ahli-ahli negara yang sentiasa menunggu bas di tepi-tepi jalanraya mahupun di stesen-stesen bas.

8) TANPA perlu membaca komentar-komentar ahli masyarakat yang 'celik I.T' di blog-blog politik, TANPA perlu menonton diskusi politik yang agak seimbang kandungannya di saluran ASTRO Awani, TANPA perlu membaca akhbar-akhbar politik bertaraf bebas juga yang berat ke arah perjuangan pembangkang dan TANPA perlu menilai apa yang dibualkan oleh warga-warga yang kononnya sedikit 'intelek' di pejabat-pejabat kerajaan juga swasta, sekolah-sekolah, deretan universiti dan himpunan bank di seluruh Malaysia; persoalan tentang parti mana yang akan berkuasa dan parti mana yang akan tersungkur dengan teruknya akan dapat dijawab sekiranya kita memberi peluang kepada diri kita untuk mendekati 'suara-suara' rakyat bawahan itu. Adakah Barisan Nasional akan tewas, menang tetapi tidak menguasai 2 per 3 keanggotaan di Parlimen ataupun menang dengan bergayanya kelak? Perhatikan saja kepada 'suara-suara' itu!

9) Walau sekeras manapun ketidakyakinan para penyokong (mungkin fanatik?) Anwar Ibrahim, PAS dan DAP terhadap kepimpinan Mohd. Najib Abdul Razak selaku Perdana Menteri ke 6 Malaysia, kenyataannya ialah 'suara-suara' yang agak negatif terhadap Perdana Menteri ke 5 itu kini secara majoritinya (majoriti tidak bererti 100%) sudah tidak terlalu 'buruk' pandangannya terhadap ketua pentadbir kerajaan yang baru itu. Modal untuk memerli Perdana Menteri juga semakin mengecil.

10) Mohd. Najib tidak seperti Abdullah Ahmad Badawi dan kepimpinannya lebih meyakinkan rakyat dan kelemahannya tidak mudah untuk dieksploitasi para pembencinya. Tidak hairanlah Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Salahuddin Ayub, Mohd. Sabu, Azmin Ali, Tian Chua dan rakan-rakan lain kini seolah 'senyap' dan hilang taring untuk menyerang pentadbiran Mohd. Najib. Nik Abdul Aziz sendiri kini lebih banyak 'merapu' daripada menasihat menggunakan ilmu yang waras. Era mereka ligat dan 'cemerlang, gemilang, terbilang' dalam menghentam Barisan Nasional dan pentadbirnya kini sudah berlalu.

Neba2020: Rendah diri selalu, mendekati rakyat bawahan, memahami kata hati masyarakat dan menghormati juga memelihara suara majoriti adalah rahsia mudah untuk melembutkan hati orang kita ....

2 comments:

wira internet said...

saya rasa, kepercayaan rakyat terhadap mantan pm, tun dr mahathir adalah lebih tinggi berbanding dato seri najib, yang telah beberapa kali tidak menghiraukan 'pandangan' tun. yang terbaru adalah pencalonan bn di bagan pinang, tan sri isa samad, yang ketidak puasan nya telah diluahkan oleh tun sendiri. apa pendapat penulis - adakah dato seri najib telah membuat kesilapan(sekali lagi) dalam percaturan kali ini?

Rozailin-Rahman said...

salam fendi ,

lama aku tak menjenguk blog fendi nih dek kerana keadaan anakanda ku yang tidak sehat sejak kebelakangan ini. natijahnya, tahun ini, kami beraya lagik di hospital sama macam tahun lepas. doakan lah kesihatan Adam Iman dan dapat membesar seperti kanak-kanak normal yang lain. macam mana phd fendi? ok tak?

Tertarik dengan posting Fendi kali ini. selaku seorang yang pernah berada di dalam parti dan sekarang berada di luar parti, rasa sedih, risau, cemas semua nya membelenggu diri melihat pada perkembangan parti keramat UMNO yang telah sekian lama menjadi peneraju negara kita. Tidak dinafikan, ada perubahan dalam era DS Najib , tapi tidak dinafikan juga, masalah moral di kalangan pemimpin terutama di peringkat Bahagian makin berleluasa. Tidak terkejut, di bahagian sendiri, kesalahan moral yang diklasifikasikan sebagai melampau seolah ditutup tutup hanya kerana ia melibatkan seorang yang ada jawatan dalam parti. Tidak ada satu momentum yang mampu membawa perkara ni ke atas, dah disuarakan tapi masih tiada sebarang tindakan. Apa yang boleh diharapkan, pilihanraya akan dtg, andai dipilih lagi calon yang sama, maka jgn terkejut, BN akan terlepas lagi beberapa kerusi di Johor...

Dalam mengejar duniawi, jgn dilupa saham akhirat...wallahualam..