Saturday, October 10, 2009

Politik Warung Kopi, Stesen Bas dan Kebun Getah: Episod 2

Salam Buat Semua,

1) Ada yang berkata bahawa para pengundi di kawasan bandar adalah lebih bijak berbanding dengan mereka yang mengundi di kawasan luar bandar ataupun pekan-pekan kecil.

2) Kononnya, kadar celik huruf, pendedahan kepada dunia Internet, taraf pendidikan dan keadaan sosio-ekonomi para pengundi di kawasan bandar adalah lebih tinggi dan lebih bagus berbanding dengan yang tidak berada di bandar. Tidakkah ini seperi cuba merendah-rendahkan taraf warga Malaysia di luar bandar?

3) Para penyokong gabungan 'parti' Pakatan Rakyat (PR) suka menghebohkan kononnya Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan 'kekuasaan' dengan majoriti mudah sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 kerana 'dibantu' oleh para pengundi yang masih 'ketinggalan' segalanya. Kecoh dibesar-besarkan yang BN menang kerana ehsan berterusan orang kampung, orang estet, orang FELDA, orang Asli, orang rumah panjang, orang-orang lepasan Darjah Enam era 1940an juga 1950an dan orang-orang pekan pinggiran jalan yang memberikan sokongan kepadanya.

4) Malangnya, mereka ini lupa betapa di PRU 2008; BN mendapat juga sokongan padu daripada 'orang-orang' bandar seperti yang berlaku di Johor Bahru, Pasir Gudang, Bukit Katil (Melaka), Alor Setar dan Sibu.

5) Sejarah perlu juga digali sedalamnya sebelum membuat konklusi mudah bahawa orang-orang bandar menolak BN sepenuhnya. Tidak perlulah melihat jauh, teliti sahaja apa yang berlaku sekitar PRU 1999 dan PRU 2004.

6) Kawasan-kawasan bandar seperti Shah Alam, Petaling Jaya, Seremban, Rasah, Kuantan, Lembah Pantai, Sungai Petani, Titiwangsa dan Ampang semuanya sentiasa berada kukuh di dalam genggaman BN sewaktu zaman pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Pengerusi BN. Penguasaan itu berterusan sehinggalah di PRU 2004, zaman 'awal-awal' pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.

7) PRU 2004 turut menyaksikan orang-orang bandar yang kukuh sokongannya kepada parti pembangkang telah mengalami 'perubahan drastik' apabila memberikan sokongan padu kepada BN. Situasi ini dapat dilihat di Kota Melaka, Kota Bahru dan Kuala Terengganu. Ini menunjukkan betapa perubahan zaman mahupun teknologi bukanlah 'penentu' utama kepada suka atau bencinya para pengundi kepada BN. Faktor sentimen (mungkin juga slogan-slogan dan janji-janji umum?) kepimpinan semasa amat memainkan peranan yang cukup besar.

8) Hakikat yang perlu diakui ialah memang terdapat sekelompok pengundi yang tetap setia dengan perasaan 'benci BN, suka DAP sepenuhnya.' Para pengundi berstatus 'bandar' seperti di Bukit Bintang, Ipoh Barat, Ipoh Timur, Batu Gajah (Perak) dan Kepong misalnya kelihatan tidak akan terpengaruh dengan apa jua sentimen baik yang dibawakan BN kerana selamanya undi mereka diberikan kepada DAP.

9) Adalah baik untuk kita percaya betapa ada 30% pengundi yang selamanya akan menyokong BN dan 30% lagi tetap setia dengan parti-parti seperti PAS, DAP dan PKR. Undi daripada kelompok 60% ini begitu sukar untuk digugat, mereka 'setia' dengan parti yang disukai. Ada 40% golongan pengundi pula yang bersifat 'atas pagar,' menyokong berdasarkan sentimen semasa dan pengaruh persekitaran yang kuat pada sesuatu masa itu. Mereka inilah penentu kepada siapa yang menang besar, menang kecil ataupun tewas mengejut!

10) Politik warung kopi, stesen bas dan kebun getah janganlah dipandang kecil. Taraf pendidikan, ukuran kemewahan, status pekerjaan mahupun penguasaan Internet bukanlah penentu utama kepada percaturan sokongan politik mereka. Perasaan mereka perlu dijaga, semangat mereka perlu dilonjakkan, kebanggaan mereka menjadi warga Malaysia wajib disemarakkan dan prihatin kepada masa depan anak juga cucu mereka haruslah dikukuhkan. Inilah rahsia BN selama 22 tahun di bawah Dr. Mahathir tetap kukuh walaupun beliau dilabelkan pembencinya sebagai Maha Firaun, Maha Zalim, diktator dan penaung kronisme juga nepotisme.

Neba2020: Setiap rakyat bernilai kepada negara dan setiap rakyat ada keistimewaannya ke arah menyumbang kepada kemajuan negara, tiada siapa yang lebih bernilai undinya, lebih tinggi taraf undinya walaupun dipisahkan oleh sempadan kampung, estet, pekan mahupun bandar....

1 comment:

Helmy Ahmad said...

Tahniah atas kemenangan dengan majoriti perbezaan yang lebih besar. Pada mulanya saya agak sangsi dan 'skeptikal' dengan pemilihan Tan Sri Isa Samad sebagai calon dan pernah berbicara dengan Fendi pasal hal ini... tetapi atas dasar kepercayaan dan ketelusan dari Fendi saya pun bertukar fikiran dan persepsi. Justeru muncul perasaan yakin dengan kewibawaan yang akan dibawa Tan Sri Isa Samad. Walaupun rekod dan namanya mungkin bagi sesetengah orang agak tercemar dengan latar sejarah ketika beliau berkuasa... tetapi atas faktor anak tempatan dan pengaruh yang dibawanya di Bagan Pinang, kemenangan tanah runtuh telah dicapai... Tahniah Barisan Nasional dan UMNO dan jugak buat 'Datok" Fendi kita..