1) Pada 21 Julai 2008, weblog ini ada mengulas tentang kemungkinan kerajaan Malaysia pada tahun 2012 adalah 'dibina' oleh UMNO dan PAS.
2) Hampir setahun berlalu, terma kerajaan perpaduan kini semakin popular. Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS begitu konsisten dengan pendiriannya betapa idea pembentukan kerajaan perpaduan adalah sesuatu yang positif lagi bermatlamatkan kebaikan dan keamanan untuk negara keseluruhannya.
3) Entah di mana silapnya, MCA dan DAP kelihatannya begitu 'takut, serun dan gementar' dengan cetusan idea tersebut. Hakikatnya, kerajaan perpaduan yang diusulkan Abdul Hadi itu bukanlah berbentuk kerjasama 100% di antara UMNO dan PAS sahaja, parti-parti lain juga akan dilibatkan sama. Bezanya berbanding kini, UMNO dan PAS yang selama ini sentiasa tidak sehaluan akan duduk semeja bekerjasama untuk kebaikan bangsa Melayu yang mereka 'kuasai' dan juga keharmonian seluruh rakyat Malaysia lainnya.
4) Pengerusi DAP iaitu Karpal Singh mengeluarkan kenyataan betapa Abdul Hadi telah mengkhianati Pakatan Rakyat dan wajar meminta maaf kepada DAP, PKR dan juga Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kelihatannya lebih rela 'tidur sebantal' dengan Karpal Singh juga Lim Kit Siang berbanding dengan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ataupun Datuk Mustapha Mohamad di pihak UMNO.
5) Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut melahirkan rasa terkejutnya dengan penerimaan majoriti pimpinan tertinggi PAS terhadap gagasan kerajaan perpaduan yang dilontarkan Abdul Hadi itu. Guan Eng mendakwa bahawa perkara tersebut tidak pernah dikedepankan Abdul hadi buat pengetahuan pimpinan Pakatan Rakyat. Aneh sungguh, adakah PAS perlu sentiasa berada di bawah telunjuk DAP dan PKR yang lebih 'kecil' saiz penyokongnya itu untuk menyuarakan apa-apa yang dirasakan perlu ?
6) Pihak MCA pula dengan gelojohnya telah mengatakan bahawa sebarang usaha kerjasama di antara UMNO dan PAS di Malaysia ini hanya akan menghadirkan proses Islamisasi yang serius. MCA seakan cuba menakutkan kaum Cina dan yang bukan Islam betapa proses penguatan kerjasama sesama umat Islam akan mengancam mereka.
7) Meminjam kata-kata orang muda zaman sekarang, DAP dan MCA kelihatannya cukup 'cuak dan gelabah' dengan senario terbaru ini. Mengapa perlu dikhuatiri ? Idea Abdul Hadi itu sebenarnya jauh lebih murni dan 'sehat' jika hendak dibandingkan dengan idea Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menubuhkan kerajaan baru menjelang 16 September 2008 melalui teknik 'lompatan ahli Parlimen Barisan ke Pakatan.'
8) Idea Abdul Hadi itu juga pastinya akan menjauhkan 'kacau-bilau pentadbiran' seperti mana yang berlaku di Perak setelah 3 ADUN Pakatan mengisyhtiharkan diri masing-masing sebagai Yang Berhormat berstatus bebas tetapi menyokong Barisan.
9) Kekuatan bangsa Melayu dan Islam di Malaysia ini tidak dapat tidak perlu diiktiraf juga diakui sebagai tunjang kepada keamanan dan kemajuan negara. Sejarah telah menunjukkan betapa sebarang usaha untuk mengganggu dan menggugat kestabilan bangsa Melayu dan kemurniaan Islam di Malaysia ini akan gagal dan menemui titik kekecewaan kepada pencetusnya. Secara mudah, kuatnya 70% kelompok rakyat Malaysia itu semestinya akan menguatkan 100% rakyat Malaysia keseluruhannya. Kurangnya 'politicking' juga perbalahan sesama 'teras' negara itu semestinya menyumbang kepada kekuatan negara tercinta ini.
10) Kekuatan, kemajuan dan perpaduan bangsa Melayu dan Islam di Malaysia ini sebenarnya telah menghadirkan seribu satu peluang kekayaan kepada kaum lain. Sebarang tuntutan yang tiada penamat dan cubaan untuk menidakkan hak rasmi dan menerbalikkan catatan sejarah akan hanya membawa kepada kegagalan jangka masa panjang kepada si penuntut kerana sifat Melayu ialah apabila didesak dan diasak pada mulanya ia akan bersabar dan berdiam diri. Seterusnya, jika kesabaran dan sifat merendah dirinya seakan tidak dihargai yang lain, Melayu tidak akan teragak-agak untuk bersatu sepakat atas nama maruah dan agama.
Neba2020: Melayu selalu mengalah, tersenyum dengan sabar walaupun hati terguris. Makin diuji makin kuat sabar dan sifat mengalahnya. Rasa sabar Melayu juga ada hadnya. Melayu cukup kuat kepercayaannya pada maruah dan agama. Maruah dan agamalah yang akan menjadi titik sepakat juga kerjasama sesama Melayu yang akhirnya akan membawa keuntungan besar kepada rakan-rakan lainnya kelak ....
1 comment:
Segelintir pucuk pimpinan Pas mungkin bersetuju tetapi pastikah anda bahawa ianya akan mendapat sokongan akar umbi dan para pengundi "kipas-susah-mati" PAS, yang mengundi parti tersebut berdasarkan prinsipal?
Post a Comment