Wednesday, May 20, 2009

Satu Sekolah Untuk Semua

Salam Buat Semua,

1) Malaysia terlalu unik. Kita berbangga dengan keunikan yang dimiliki. Rakyat yang berbilang bangsa, pelbagai agama dan aneka budaya yang berbeza. Kita memang unik dan ianya menjadi kebanggaan bersama.

2) Kadang-kadang ada di antara keunikan itu yang tanpa disedari telah menjadi barah kepada pembinaan sebuah negara bangsa yang bersatu lagi sekata. Kita sedia maklum bahawa barah kesan buruknya tidaklah dapat dikesan dengan cepat dan mudah. Barah berkembang sebagai 'penyakit' sedikit demi sedikit dan kebiasaannya hanya dapat dikesan apabila ia mula merebak dan 'menyakitkan.'

3) Sistem pendidikan di Malaysia berbentuk 'aneka ragam.' Di peringkat sekolah rendah kita memiliki Sekolah Kebangsaan, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT). Sudah tiba masanya konsep 'SATU SEKOLAH UNTUK SEMUA' dijalankan secara mandatori di negara ini.

4) Penyatuan sesama rakyat Malaysia di peringkat awal lagi kelihatannya sudah 'bercabang-cabang' dan sistem yang sedia wujud ini adalah umpama sebuah 'perancangan' penuh taktikal daripada awal lagi oleh 'penciptanya' untuk memastikan Malaysia bergolak dan hancur dek kerana 1001 perbezaan di kalangan rakyatnya setelah kemerdekaan diberikan.

5) Dewasa ini banyak pihak yang mahukan konsep kesamarataan dijalankan. Katanya, semua warganegara perlu dilayan secara adil, tanpa prejudis dan tiada sebarang penindasan. Sebenarnya, keadilan untuk semua rakyat telah lama wujud di negara ini. Kepimpinan Melayu yang mewakili kumpulan Bumiputera yang meliputi kira-kira 70% daripada penduduk Malaysia selaku penduduk asal negara ini telah lama mengamalkan dasar terbuka buat semua rakyat.

6) Konsep 'menang-menang (win-win situatioan)' yang dipersetujui oleh wakil-wakil tiga etnik terbesar (Melayu, Cina dan India) sewaktu musim-musim awal pembentukan negara ini dahulu seharusnya dijadikan tauladan dan renungan bersama. Kini musim mungkin sudah berlalu. Konsep Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang 'dikatakan' mengutamakan Bumiputera itu sendiri kelihatannya seakan 'amat dibenci' oleh segelintir puak-puak bukan Bumiputera dan turut difikirkan harus 'ditutup' terus oleh sekelumit golongan Melayu yang anti-UMNO.

7) Tema Ketuanan Melayu dan Hidup Melayu pula telah dimanipulasikan dengan sebijaknya oleh pasukan anti-UMNO (mungkin juga anti-Melayu) yang menyebabkan sesetengah teman-teman bukan Bumiputera merasakan ianya adalah umpama satu gerakan untuk 'meminggirkan juga mengancam' kehidupan mereka di negara tercinta ini.

8) Saya bersetuju konsep kesamarataan dipraktiskan sepenuhnya di Malaysia ini menjelang tahun 2020. Saya bersetuju liberalisasi dilaksanakan di dalam semua sektor ekonomi di Malaysia. Saya juga bersetuju dasar keistimewaan terpilih yang mengutamakan Bumiputera dihapuskan. Saya turut bersetuju jika sistem meritokrasi dijadikan dasar negara ini. Saya yakin, ramai Melayu / Bumiputera yang terbuka dalam membincangkan isu ini. Syaratnya, pengorbanan harus dibalas dengan pengorbanan juga.

9) Kesediaan bangsa Melayu untuk 'melepaskan' apa jua bentuk perlindungan dan keistimewaan itu 'wajib' juga diikuti dengan kesediaan bukan Bumiputera untuk 'melepaskan' apa jua bentuk sistem yang menghalang rakyat negara ini daripada memperoleh erti penyatuan yang sebenar dan perkongsian satu negara yang tulen.

10) Pengorbanan bukan Bumiputera yang perlu dilakukan ialah penutupan sistem SRJKC serta SRJKT, penghapusan sistem peperiksaan menengah di sekolah bebas (independent school) yang tidak selari dengan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), penggunaan Bahasa Kebangsaan sepenuhnya untuk semua aktiviti rasmi perniagaan dan ekonomi, menghormati Islam sebagai agama rasmi Malaysia, menghormati tanpa prejudis penggunaan adat dan budaya Melayu untuk majlis-majlis rasmi kerajaan serta pentadbiran, penguasaan sepenuhnya Bahasa Kebangsaan di tahap cemerlang untuk meraih pekerjaan di sektor kerajaan juga swasta dan kesediaan untuk berkhidmat sebagai anggota tentera, polis, bomba serta pertahanan awam secara lebih menyeluruh.

Andainya jawapan yang diberikan adalah 'TIDAK' dan pelbagai alasan serta hujah diberikan maka selagi itulah Bumiputera juga akan mengatakan 'TIDAK' kepada semua perkara yang diminta untuk 'dilucutkan' itu.

Neba2020: Satu negara bererti satu kata dan satu cita-cita. Satu cita-cita yang sama perlu hadir dengan satu perkongsian bersama. Rasa berkongsi akan hadir dengan satu perpaduan dan satu sistem pendidikan serupa. Sudah tiba masanya, anak-anak kecil Malaysia diberikan kesempatan untuk belajar di dalam satu sekolah yang serupa sistemnya, satu bahasa dan satu suara.

5 comments:

. f i r d a u s a k b a r . said...

Bang fendi... sekarang ni para cikgu tak begitu mudah ntuk mendidik generasi sekarang...mungkin sebab ibubapak yg tak begitu bekerjasama ntuk membentuk anak diaorg...dan ada gak ibubapak diaorg sndiri tak penah dididik dengan baik... boleh ke dijadikan sekolah salah satu tmpat ntuk melahirkan generasi sekarang berkelakuan baik dan menjadi 'MANUSIA'... dalam blog saya, Generasi Baru,Bijak atau Sebaliknya ada sikit contoh keluhan para cikgu sekarang yg cuba mendidik anak muda skang... (termasuk la saya..ehehehe)

Anonymous said...

Permasalahannya sekarang adalah disebabkan kedua-dua pihak keras kepala dan tiada siapa yang hendak membuat langkah pertama.

Bagi saya, kerajaan perlu bertindak tegas mengenai perkara ini tetapi pada hemat saya, kerajaan takut kehilangan popularitit dan undi jika melaksanakan polisi tersebut.

KC said...

Mao Tze Tung pernah berkata:-"Cara yang terbaik untuk memberi makan serbuk cabai pada si kucing, bukanlah dengan cara paksa.Kalaulah kita guna cara paksa maka tentunya tangan kita teruk dicakar dan sikucing pula sakit meronta! Caranya, kita taburkan serbuk cabai pada ekor sikucing, apabila ekornya terasa pedih, maka sikucing akan tersendirinya menjilat ekornya dan jesteru termakanlah serbuk cabai!"Jadi dalam hal SSUS, catatan sdr tidak menyentuh langsung punca yang menyebabkan ramai ibubapa berhijrah kearah sekolah jenis kebangsaan baik Cina atau Tamil. Pokoknya, kalaulah kerajaan dapat meningkatkan mutu pengajaran serta mengasingkan hal agama dengan pendidikan, insyaallah, maka dengan tersendirinya ibubapa akan beralih balik ke sekolah kebangsaan.

Bayangkanlah, anak-anak Menteri Pelajaran, pun belajar di sekolah antarabangsa dan bukan di sekolah kebangsaan!

Ibubapa manalah yang tidak menginginkan yang terbaik bagi anak-anak mereka?

Salam.

fendy_ahmad said...

Salam,

Saudara/Saudari KC,

Buat pengetahuan, sistem pendidikan di SK, SRJKC dan SRJKT adalah berlandaskan kaedah yang sekata.

1) Semua gurunya hadir daripada sistem latihan yang serupa.

2) Kandungan silibus juga telah diseragamkan sejak KBSR dan KBSM diperkenalkan pada era 1980an dulu.

3) Semua peruntukan asas dibiayai pihak kerajaan sepenuhnya.

4) Gred gaji dan sistem kenaikan poangkat para pendidiknya juga berlandaskan sistem yang diperakui JPA.

5) Semua guru di SK, SRJKC dan SRJKT juga bebas untuk dipindahkan kemana-mana sekolah milik kerajaan, maknanya kelayakan mereka adalah seragam dan semua jenis sekolah mempunyai kebarangkalian yang sama untuk mendapatkan mana-mana guru kerajaan.

6) Sistem peperiksaan utama (UPSR,PMR,SPM dan STPM) dikendalikan sepenuhnya oleh Majlis Peperiksaan Malaysia.

* Isu yang dimaksudkan lebih kepada tiadanya interaksi sesama kaum (cukup minima) apabila segregasi (pengasingan) terasing telah berlaku tanpa disedari.

* SRJKC kelihatan lebih bagus sistemnya kerana tradisi turun-temurunnya yang kelihatan cukup efektif dalam pengajaran subjek yang berteraskan 'kira-kira' seperti Matematik dan Sains.

* Penggunaan bahasa ibunda (bukannya Bahasa Kebangsaan) secara meluas di SRJKC dan SRJKT pastinya kelihatan pelik sehinggakan tahap silibus Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) yang diajar di SRJKC dan SRJKT adalah setangga lebih rendah daripada yang diajar di SK. Akibatnya, penguasaan Bahasa Kebangsaan produk-produk SRJKC dan SRJKT majoritinya adalah mengecewakan dan mereka ini akhirnya langsung tidak berminat bekerja di sektor awam ataupun semi-awam.

* Isu agama bukan masalahnya. Kewujudan subjek Moral dan Pendidikan Islam dengan kelas yang berbeza sudah menjadi jawapannya.

*Sebagai produk Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan yang berbilang bangsa pelajarnya, saya tidak pernah melihat masalah agama timbul.

Anonymous said...

Anak Najib pon belajar kat London. Tuh yang otak pon dah jadi macam mat saleh.

Najib pon dua kali lima. Sekolah dari kecik sampailah ke universiti kat oversea. Bila balik Malaysia terus masuk UMNO... Tapi kat perhimpunan Agong UMNO cakap melayu pon pelat. Driver dia malu sampai lari masuk dalam rumah bila dengar first time najib bagi ucapan. Al-maklumlaa dah lama makan chicken chop. Bukan saya yang cakap, driver family najib yang cakap. Baca kat Kosmo (Akhbar Kerajaan tu).

-Kerol baru bgn tido-