Saturday, May 23, 2009

Imbasan 21 Mei 2000

Salam Buat Semua,

1) 21 Mei 2000 adalah hari Ahad.

2) Saya mendaftarkan diri sebagai pelajar baru Multimedia University (MMU), universiti swasta pertama di Malaysia.

3) Pagi itu, pelajar-pelajar baru lepasan SPM yang mengambil jurusan pra-Pengurusan memulakan 'alam universiti' dengan disertai pelajar-pelajar lepasan STPM dan juga Diploma.

4) Rakan-rakan lepasan SPM yang mengikuti program pra-Kejuruteraan dan pra-Teknologi Maklumat telah mendaftarkan diri sehari lebih awal.

5) Terasa kecil sungguh diri di pagi itu tatkala melihat aneka 'jenis' manusia yang ada di antaranya sungguh 'tidak biasa' di pandangan sebelum ini. Perubahan 'trend' manusia yang baru menyambut ketibaan millennium baru abad ke 21 sememangnya menghadirkan satu pengalaman baru buat saya.

6) Saya adalah budak kampung biasa yang rumahnya adalah kira-kira 5 kilometer daripada bandar Segamat. Bandar itu tidaklah besar dan serba sederhana sahaja. Tiada gedung-gedung kedai konsep berjenama dan tiada pusat hiburan yang canggih lagi moden.

7) Apabila sebut bandar Segamat, kepala otak ini akan memancarkan suasana pasar malam setiap lewat petang Sabtu dan pasaraya-pasaraya 'biasa' bernama Upwell, Billion, Warta (kini sudah ditutup), Fajar (ditutup selepas banjir besar akhir tahun 2006) dan Derang Emas (sudah ditutup). Bandar Segamat juga di minda saya adalah sinonim dengan restoran makanan segera seperti KFC, McD dan Marrybrown. Restoran Pizza Hut hanya dibuka beberapa bulan selepas saya bergelar pelajar MMU. Pasaraya besar Giant pula hanya mula menjejakkan 'tapaknya' di Segamat pada tahun 2007. Farmasi Guardian dan Watson juga mula 'dikenali' warga Segamat pada tahun 2007.

8) Saya ditempatkan di sebuah rumah sewa di Taman Bukit Beruang Indah, kira-kira 10 minit jarak berjalan kaki ke kampus universiti. Di rumah itu, bermulalah kehidupan 'bujang' saya yang buat pertama kalinya berjauhan daripada 'naungan' Encik (ayah) dan Emak.

9) Ada 6 'bujang' di rumah itu. Saya berkongsi bilik dengan Nazman si budak Kelantan yang mulanya memilih kursus pra-Pengurusan, bertukar pula ke program pra-Kejuruteraan sebaik sahaja tamat minggu orientasi. Bilik utama pula menempatkan Helmi (pra-Kejuruteraan tetapi di peringkat ijazahnya bertukar ke bidang Teknologi Maklumat) si budak Kedah dan Fauzi (pra-Teknologi Maklumat) dari Bangi, Selangor. Bilik belakang pula didiami oleh Faisal dan Ikhwan. Kedua-duanya adalah 'mat Kuala Lumpur' yang memilih kursus pra-Kejuruteraan. Nazman dan Ikhwan bersekolah di MRSM, Fauzi pula di Sekolah Teknik dan Helmi di Maktab Sultan Abdul Hamid yang masyhur. Saya dan Faisal pula adalah 'lepasan' sekolah harian biasa yang tidaklah terkenal. Di rumah itu, saya adalah pelajar pra-Pengurusan tunggal, sentiasa belajar keseorangan.

10) Pertengahan malam 21 Mei itu, Encik dan Emak meninggalkan saya di rumah sewaan tersebut. Di tepi pagar besi, air mata saya mengalir berderai melihat mereka berdua berlalu pergi. Maklumlah, itulah pertama kali Encik dan Emak menaiki kereta bersama-sama saya di awalnya tetapi di akhirnya saya tidak turut serta. Walaupun jarak MMU dan kampung hanyalah kira-kira 90 kilometer tetapi 'perpisahan' itu sungguh menghibakan saya yang ketika itu berusia 17 tahun, 7 bulan dan 13 hari.

Selebihnya adalah sejarah ....

Neba2020: Mengingat sejarah penitian diri sendiri akan membuat kita lebih tahu erti bersyukur, menghargai kasih sayang dan peri pentingnya setiap perjalanan kehidupan di atur dengan baik sambil sentiasa meminta ianya dipermudahkan Tuhan ....

4 comments:

Muhammad Hazimin Wahab said...

tepat sekali, sejarah mengajar erti kehidupan yg lebih bermakna. Bukan dikejar sejarah yg berlalu, tetapi sebagai pedoman masa hadapan,kerna menangis air mata darah sekalipun, sejarah,tetap sejarah....

saya 20 Mei 2000 ! tapi sekolah dulu sekolah asrama, jadi , pernah kena tinggal :D

Nurul Aizam Zaini said...

Saya 20 Mei 2000! alamak, masih di alam riang ria sekolah menengah :D

Helmy Ahmad said...

Saya 20 Mei 2000 juga seperti disebutkan oleh Fendi (Helmi si budak Kedah... tapi sekarang menetap di Pulau Mutiara)... Betapa perjalanan melalui tahun ke tahun sudah jauh dan lihatlah keadaan sekarang... Mengimbas kenangan tahun 2000 memang mengasyikkan... Zaman riang ria remaja...

Selanjutnya adalah Sejarah...
Sejarah yang mungkin tak berulang...

Rozailin-Rahman said...

hah..dah 9 tahun masa berlalu ya..aku pun daftar saing dengan fendi..tapi aku duduk umah sewa kat taman dahlia, duduk memula penuh 12 orang. tapi lama lama sorang sorang kuar, tinggal 9 orang, selesa laa sket..pejam celik pejam celik kejub nye masa berlalu, ramai yang dah kawen..cuma fendi nih hah, bila lagik nak berumahtangga, kereta dah ada, gaji besor..herm...