Monday, January 7, 2008

Faktor 4 Berangkai -Lebih Kaya Atau Lebih Miskin ?

Salam Buat Semua,

Setelah seminggu 2008 dilayari, baik rasanya untuk kita tamatkan segala mimpi indah mahupun khayalan-khayalan nikmatnya menyambut tahun baru yang pastinya sentiasa 'gah dan mewah' di sebuah negara makmur yang bernama Malaysia ini.

Fokus InspiRasi 1982 ~~ kali ini adalah kepada rangkaian yang saya namakan sebagai 'Faktor 4 Berantai.' Saya cukup yakin betapa 4 perkara ini akan menentukan sama ada kita akan menjadi lebih 'kaya' ataupun lebih 'miskin' di sepanjang tahun 2008 ini.

FAKTOR BERANTAI 1 - Harga Minyak Kekal Tinggi

Para penganalisis minyak di pasaran antarabangsa meramalkan bahawa harga minyak akan berlegar secara purata di tahap US$ 80 per tong (buat makluman semua, 1 tong minyak bersamaan dengan kira-kira 159 liter) .

Buat info kita bersama, berikut adalah contoh-contoh mudah pergerakan harga minyak dunia untuk beberapa tempoh tertentu:

September 2003 - US$ 25 per tong
Ogos 2005 - US$ 60 per tong
Awal 2007 - US$ 50-60 per tong
Oktober 2007 - US$ 97 per tong
November 2007 - US$ 99 per tong
Januari 2008 - US$ 100 per tong

Maka bersiap sedialah kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menikmati kenaikan harga bahan api utama ini yang sama ada kita benci ataupun tidak, realitinya ialah saat-saat itu sudah semakin hampir untuk 'memiskinkan' sedikit / banyak daripada keupayaan berbelanja kita semua.

Menarik untuk kita fikirkan bahawa kenaikan terakhir petrol sebanyak 30 sen untuk setiap liter (RM1.62 kepada RM1.92 seliter) pada 28 Februari, 2006 itu dibuat ketika harga pasarannya berlegar di skala US$60- US$65 untuk setiap tong.

Justeru itu, kita seharusnya boleh berkira-kira akan berapakah jumlah 'tambahan' yang perlu dikeluarkan untuk setiap liter petrol berdasarkan kepada peratusan kenaikan harga petrol di pasaran dunia di antara tahun 2006 sehinggalah awal 2008 ini.

FAKTOR BERANTAI 2 - Inflasi Akan Berkembang Dengan Jayanya

Tahap inflasi di Malaysia sentiasa ditafsirkan sebagai berada pada keadaan yang cukup 'selesa dan terkawal.' Sekurangnya itulah kenyataan yang sentiasa dikeluarkan pihak-pihak berwajib yang seharusnya 'lebih memahami dan arif' tentang hal ehwal ekonomi mahupun pengiraan data-data rasmi negara.

Untuk tahun 2007, dilaporkan bahawa inflasi di Malaysia berada pada tahap 3.8 %. Buat rujukan bersama, negara-negara sahabat kita adalah lebih parah kadar inflasi rasmi mereka iaitu 13.20 % (Indonesia), 5.10 % (Thailand) dan 6.6 % (Filipina). Adalah sesuatu yang menarik untuk diperhatikan bahawa 2 negara jiran terhampir kita rupa-rupanya mempunyai tahap inflasi yang lebih terkawal dan cukup rendah iaitu 1 % (Singapura) dan 0.9 % (Brunai).

Mengikut perkiraan Tai Hui, seorang penganalisis ekonomi bagi kawasan Asia Tenggara untuk 'Standard Chartered Bank,' seandainya kerajaan Malaysia membuang 100% peruntukan subsidi minyak, maka kadar inflasi negara akan meningkat kepada 7.8 %. Peningkatan inflasi yang cukup besar semestinya akan menjadikan kerajaan kelihatan 'tidak popular' di mata rakyat. Oleh itu, ramalannya adalah lebih ke arah kenaikan harga minyak di sekitar 30 % sahaja. Secara ringkas, rakyat Malaysia perlulah bersiap sedia untuk 'menikmati' kenaikan petrol di sekitar 50 sen dan 60 sen pada bila-bila masa sahaja pada tahun 2008 ini !

Kenaikan harga petrol / diesel pastinya bererti kenaikan 'berantai' kepada himpunan produk-produk mahupun perkhidmatan lain seperti perkhidmatan awam, makanan, elektrik dan senarainya pasti dapat anda semua panjangkan sendiri ....

FAKTOR BERANTAI 3 - Ringgit Malaysia (RM) Semakin Kuat

Satu-satunya faktor yang seakan kelihatan positif yang pastinya dapat memberikan sedikit impak 'kelegaan' kepada rakyat Malaysia ialah prestasi matawang kita iaitu Ringgit Malaysia (RM) yang semakin menunjukkan arah positif.

Pada 7 Januari, 2008, Ringgit berada pada posisi RM3.28 bagi setiap US$1. Buat imbasan bersama, Ringgit pernah ditambat pada kadar RM3.80 bagi setiap US$1 di antara tahun 1998 sehinggalah pertengahan 2005. Setelah kira-kira 2 tahun setengah berlalu, Ringgit telah mencatatkan kenaikan mencecah 13 %. Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER ) meramalkan bahawa Ringgit mampu mencecah tahap RM3 bagi setiap US$1 menjelang akhir 2008.

Faktor-faktor yang membawa kepada pengukuhan Ringgit adalah keadaan teras ekonomi negara yang baik / stabil, pasaran saham yang semakin aktif dan berkembang dan juga kelemahan Dollar (Amerika) akibat daripada kegoyahan ekonominya, isu pinjaman perumahan serta defisit akaun semasa yang cukup kritikal.

Pengukuhan Ringgit pada dasarnya akan mampu menstabilkan keadaan inflasi yang 'ingin menaik' kerana pelbagai produk mahupun perkhidmatan yang di impot akan dapat dikurangkan harganya. Ini diharapkan akan dapat mengekang kenaikan harga barangan 'wajib' rakyat Malaysia seperti gandum (Australia), susu (New Zealand) , bawang besar (India) dan gula (Filipina).

FAKTOR BERANTAI 4 - Kadar Faedah Dijangka Naik

Secara kebiasaanya, kenaikan kadar inflasi / kos sara hidup bererti kenaikan kadar faedah (kadar bunga) yang selalunya sentiasa 'seiring dan sejalan.'

Kepada pelayar yang tidak memahami konsep ini, saya berikan satu contoh perkaitan yang mudah untuk difahami. Kita andaikan bahawa kadar faedah akan naik akibat daripada persaingan di antara pihak bank dan juga pihak penjual barangan. Inflasi bererti kos akan meningkat, maka pengguna perlu membayar lebih untuk setiap produk / perkhidmatan yang diperlukan. Apabila pengguna perlu membayar 'ekstra' daripada wang yang boleh diguna pakai (disposable income) yang mereka miliki maka keupayaan mereka untuk menyimpan ke dalam tabungan / bank akan berkurangan. Justeru itu, bank akan meningkatkan kadar faedah yang ditawarkan kepada para penyimpan sebagai satu daya tarikan. Andainya bank perlu membayar lebih kepada para pendeposit, maka sudah tentunya kadar faedah yang dikenakan kepada para peminjam juga perlu dinaikkan.

Kenaikan kadar faedah juga boleh dikaitkan dengan usaha untuk membendung inflasi. Apabila kadar faedah dinaikkan maka keupayaan pengguna untuk membeli akan berkurangan akibat daripada kos tambahan untuk membuat pinjaman baru. Ini sekaligus akan mengurangkan insentif kepada para pembekal produk / perkhidmatan untuk berterusan menaikkan harga.

Pada masa ini, kadar asas pinjaman (BLR) di Malaysia ialah pada tahap 6.75 %, satu kadar yang tidak berubah sejak pertengahan tahun 2006. Maka seandainya kadar ini dinaikkan oleh Bank Negara Malaysia, bersiap sedia sajalah untuk kita 'menikamati' kadar bayaran pinjaman yang lebih 'hebat' nilainya kelak. Ini sudah pasti akan menambahkan lagi 'kesusahan' kepada golongan berpendapatan rendah untuk memiliki aset-aset seperti rumah, tanah, kenderaan dan sebagainya. Terdapat ramalan yang mengatakan bahawa seandainya kadar inflasi di Malaysia mencecah tahap 4.5 % maka kadar asas pinjaman dijangka naik sebanyak 0.25 %. Andai benar, tunggu dan lihat sajalah kesannya kelak.

Neba2020: Kadang-kadang kita terlalu bergembira kerana pendapatan bulanan naik 10 %, 15 % ataupun 30 %, tetapi kita terlupa bahawa kos sara hidup telah naik lebih daripada peratusan kenaikan gaji kita. Kita sebenarnya bukan bertambah kaya, tetapi keupayaan berbelanja kita sebenarnya kekal di takuk lama jika tidak menjadi lebih miskin. Bagi golongan yang tidak menerima sebarang kenaikan gaji, keadaan mereka pastilah lebih 'sengsara.' Inilah yang dinamakan masih bergaji tetapi menjadi lebih 'papa kedana' akibat daripada pesta kenaikan harga barangan yang berleluasa apabila terdapat satu kelompok pekerja yang menerima kenaikan gaji.

3 comments:

Anonymous said...

Harga minyak memang faktor paling utama yang bakal memiskinkan (lebih tepat, mengurangkan kuasa beli pengguna secara drastik) pengguna, sebab majoriti rakyat Malaysia bergantung penuh kepada pengangkutan jalan raya, terutamanya kereta sampaikan ke tahap nak pergi ke tempat yang dekat seorang diri pun "wajib" naik kereta. Sebabnya? Pengangkutan awam kita ni boleh dikatakan kurang boleh diharap, terutamanya di Klang Valley. Macam kat KL pun, LRT dgn monorel cuma cover pusat bandaraya dgn sebahagian kecil kawasan KL dan PJ jer.

Kalau nak angkut barang-barang keperluan kebanyakannya menggunakan lori sebab keretapi cuma cover sebahagian kecil kawasan saja. Untuk makluman semua, landasan keretapi kita sekarang sebenarnya lebih pendek daripada semasa zaman penjajah (lebih tepat, sebelum perang Jepun). Mengangkut barang keperluan guna keretapi sebenarnya jauh lebih ekonomik daripada guna lori sebab satu lokomotif keretapi diesel-elektrik boleh menarik muatan dalam jumlah yang besar. Soalnya, adakah kerajaan peka dengan pengangkutan keretapi yang sepatutnya boleh menjadi penyelamat semasa krisis tenaga macam sekarang ni?

Nota: Jutaan takziah buat sahabat kita Raven Kumar atas kematian ayahnya yang mati ditembak 11 Januari 2008.

Anonymous said...

Well explained. Nicely done.

dikazzz said...

Wow! ^_^ good info thou! cayalah Fendi =) Teruskan. Thanks! & Hepi new year 2008 ya ;)