Monday, December 31, 2007

2008 : Fikirkan Boleh, Kita Boleh !

Salam Buat Semua,


Selamat Tahun Baru 2008 Diucapkan Kepada Semua Pelayar Weblog InspiRasi 1982 ~~

Terima kasih atas sokongan yang diberikan kepada saya di sepanjang tahun 2007 dan percayalah bahawa kepuasan menulis di sini tercapai sudah apabila semakin ramai yang menegur saya tentang topik-topik yang saya usulkan dan bertanya 'maksud-maksud' tertentu yang cuba saya sampaikan. Semakin hari semakin ramai yang menyatakan sokongan kepada 'usaha kecil' ini dan saya berasa seolah-olah diri ini umpama 'selebriti kecil' yang mempunyai 'peminat-peminat setia' yang tidak jemu dan bosan untuk meluangkan sedikit masa dalam diari mingguan mereka untuk membaca apa saja yang saya nukilkan di InspiRasi 1982 ~~

Melalui pemerhatian dan respon-respon langsung yang saya peroleh, weblog ini telah dikunjungi oleh khalayak pembaca yang pelbagai. Terima kasih kepada pelajar-pelajar di Multimedia University, terima kasih kepada rakan-rakan sekerja di Multimedia University, terima kasih kepada pensyarah-pensyarah yang pernah mengajar saya di Multimedia University, terima kasih kepada staf-staf sokongan di Multimedia University, terima kasih kepada semua rakan-rakan yang mengenali saya di seluruh Malaysia dan terima kasih juga kepada pembaca-pembaca yang mungkin ada yang tidak saya kenali secara peribadi. Terima kasih daun keladi, sokongan kalian tak terbalas dek budi...

Dalam kita membina azam baru, cuba-cubalah memikirkan sesuatu yang jarang kita fikirkan selama ini. Setiap tahun kita selalu membina azam yang sebenarnya menunjukkan betapa kita ini 'bongkak dan sombong' sekali ! Kita hanya berfikir tentang diri kita semata-mata dan kita amat 'lokek' untuk berazam demi kebahagiaan mahupun kesenangan mereka-mereka yang hampir dengan kehidupan kita ! Mengapa saya berkata begitu? Cuba tanyakan diri kita 3 persoalan di bawah:

1) Pernahkah anda membina azam yang melibatkan ibu dan bapa?
2) Wajarkah azam anda selalunya hanya memikirkan tentang diri sendiri sahaja?
3) Tidakkah anda terfikir betapa keluarga dan masyarakat terhampir dengan kita juga sebenarnya sebahagian daripada diri kita dan mereka layak untuk 'masuk' ke dalam senarai azam-azam yang kita reka dan cipta dengan penuh warna-warninya itu?

Akhir kata, moga 2008 akan memberikan kita satu kehidupan yang cemerlang selalu, gembira berkekalan, berbudi sentiasa dan tiada duka, tiada nestapa.

Fikirkan Boleh, Kita Boleh ! Fikirlah Posititf, Kita Produktif !


Neba2020: Azam baru silih berganti, jangan pula kita menjadi mangsa azam yang tak pernah tercapai dek kerana kelemahan kita dalam mengurus masa dan merancang aktiviti kehidupan ! Percayalah bahawa setiap azam yang dicanang di awal tahun akan berkubur andai kita gagal mengurus dengan baik 24 jam sehari yang dimiliki dan kita gagal merancang perjalanan diari hidup dengan unggul lagi penuh sistematik. Azam baru bererti 'keazaman yang tinggi untuk berubah dan beralih ke sesuatu yang lebih baik !' Jika kita tetap 'malas dan liat' untuk 'berubah dan beralih' maka janganlah sesekali kita berangan untuk menjadi manusia yang lebih cemerlang mahupun sempurna kehidupannya. Jika kita seawalnya sudah tahu bahawa kita memang belum bersedia untuk 'berubah dan beralih,' maka pada awal pagi 31 Januari 2008 umumkan saja ke seantero dunia bahawa 'AZAM AKU UNTUK TAHUN 2008 TELAH GAGAL DICAPAI...'

Thursday, December 27, 2007

Selamat Tinggal 2007, Terima Kasih 2007

Salam Buat Semua,

Terasa cepat masa berlalu, 2007 terpaksa jua diucapkan 'Selamat Tinggal Selamanya' dengan bermulanya detik 1 Januari, 2008.

Dalam kita berkira-kira untuk memasang azam dan 'mengindahkan diari kehidupan' untuk edisi tahun 2008, adalah elok rasanya jika kita cuba menoleh ke belakang tentang apa yang telah berlaku, apa yang telah dicapai dan apa yang telah dirancang untuk kehidupan kita di sepanjang tahun 2007.

Pasti ada sesuatu yang boleh kita gembirakan untuk tahun 2007 dan semestinya juga ada yang wajar untuk disedihkan kerana perjalanan hidup adalah sesuatu yang sentiasa berputar mengikut 'roda-roda masa' yang sekejap membawa kita 'ke puncak' dan pada situasi yang lain meletakkan kita 'di bawah.' Tetapi percayalah bahawa setiap apa yang berlaku ada hikmah dan pengajarannya yang tersendiri.

Hikmah dan pengajaran bukanlah timbul apabila kita melalui detik-detik 'muram dan kecewa' sahaja sebaliknya cubalah meluaskan skop minda kita dengan kepercayaan bahawa setiap 'kejayaan dan kemanisan' yang diperoleh itu juga sebenarnya membawa makna tertentu yang bukan sekadar untuk diraikan kejayaannya semata-mata. Percayalah bahawa 'kejayaan dan kemanisan' yang kita kecapi itu sebenarnya adalah 'penunjuk arah' untuk kita lebih ke hadapan , lebih berbakti, lebih rasional, lebih matang dan lebih tekun dalam apa juga yang diceburi di kemudiannya.

Secara peribadi, saya merasakan betapa 2007 adalah tahun yang cukup menggembirakan dan seakan tiada cabaran-cabaran besar yang terpaksa ditempuh. Syukur saya ke hadrat Tuhan yang Maha Kuasa kerana mengurniakan satu tahun yang 'licin dan indah' untuk kehidupan saya.


1) Januari - Saya memulakan tugas baru di Multimedia University (MMU) sebagai Tutor di Fakulti Perniagaan dan Undang-Undang. Terasa seperti memulakan tugasan baru walhal saya hanyalah bertukar bangunan di kawasan yang sama setelah berkhidmat sebagai Penolong Pensyarah di Pusat Pengajian Asas dan Pendidikan Lanjutan, MMU. Proses pertukaran yang 'tak tersangka' ini amat saya syukuri kerana di izinkan Tuhan Yang Maha Penyayang walaupun menimbulkan sedikit 'kontroversi' di awalnya.

2) Februari - Air mata saya menitis tidak berhenti dan begitu sebak sekali sewaktu melihat abang saya naik ke pentas konvokesyen untuk menerima Diplomanya daripada Ketua Pegawai Eksekutif Telekom Malaysia, Datuk Seri Abdul Wahid Omar di Kolej Multimedia, Kuala Lumpur. Beliaulah satu-satunya adik-beradik yang saya miliki dan memang tidak pernah termimpi oleh keluarga kecil kami betapa si anak sulung itu akan memiliki kelulusan yang lebih daripada SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) untuk hidupnya. Menerima Diploma ketika usianya hampir mencecah 33 tahun dengan kepastian kenaikan pangkatnya di Telekom Malaysia daripada Juruteknik kepada Pembantu Teknikal sudah kami anggap sebagai satu kejayaan yang amat dibanggakan. Kami Boleh ! Anak Kampung Boleh !

3) Mac - Pastinya kenangan menaiki pentas konvo buat kali kedua untuk menerima Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Univerisi Utara Malaysia (UUM) daripada Pro-Canselornya iaitu Tan Sri Dr. Abdul Hamid Pawanteh adalah memori paling indah bagi hidup saya untuk tahun 2007. Impian untuk bergelar Doktor Fendi nampaknya hanya setangga lagi untuk dikejar ! Yakin Boleh, Kita Boleh !

4) Mei - Secara rasmi saya diiktiraf sebagai Pensyarah universiti ! Inilah sesuatu yang saya idamkan sejak di Tingkatan 4 iaitu untuk menjadi seorang pensyarah universiti. Setelah 2 tahun bergelar Penolong Pensyarah dan 7 bulan sebagai Tutor, dapat akhirnya saya 'mengisytiharkan' diri ini sebagai Pensyarah penuh.

5) Jun - Saya berjaya diterima sebagai Pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Johor. Percubaan yang saya lakukan dengan menghantar permohonan pada bulan Mac dan diikuti dengan panggilan temuduga 'tunjuk cara mengajar (mock-teaching)' dan temuduga peringkat akhir pada bulan Mei sebenarnya hanyalah lebih kepada 'percubaan menguji pasaran.' Saya ingin melihat sejauh manakah 'keupayaan dan kemampuan' saya diterima pakai oleh pihak-pihak di universiti awam. Walau bagaimanapun, kerana masih terikat dengan perjanjian biasiswa Yayasan Telekom Malaysia dan ditambah dengan perasaan berbelah-bagi untuk meninggalkan MMU, saya masih lagi kekal di sini. Kekal untuk sekurangnya buat masa setahun dua lagi....

6) September - Bulan Ramadhan pada tahun ini seakan membuka satu lembaran baru kepada hidup saya. Saya mula terasa betapa hidup ini ada 'sesuatu' yang sering kali kita lupa. Kita lupa kepada satu 'petunjuk' terhebat yang boleh memajukan jiwa dan masa depan kita. Apakah 'petunjuk' itu? Saya serahkan kepada kebijaksanaan anda untuk mencarinya.... Yang pasti, saya merasakan betapa selama ini ketika proses pencarian Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana, saya seakan lupa memperuntukkan sedikit masa dalam sehari untuk 'bermanja-manja' bersama 'petunjuk' itu padahal ia sebenarnya jauh lebih penting daripada 'petunjuk-petunjuk ilmu universiti' yang saya kejar sebelum itu. Kini, setelah hampir 4 bulan 'bermanja-manja' tanpa henti dengan 'petunjuk' itu, saya akan berasa janggal dan bersalah jika tidak menatapnya sekali dalam sehari. Puas dan tenang bila bersamanya....

Akhir kata : Selamat Tinggal 2007, terima kasih kerana 2007 memberikan saya satu kehidupan yang cukup bermakna dan penuh dengan senyuman dan kepuasan.

Neba2020: 1997, Malaysia dikejutkan dengan kemelesetan ekonomi dan kejatuhan nilai Ringgit yang cukup serius dan menakutkan. Rakyat terbeban ! 2007, Malaysia terus dikejar dengan masalah kenaikan kos sara hidup yang cukup kritikal dan tiada penghujung juga dengan pelbagai demonstrasi jalanan yang mendebarkan semua. Rakyat tetap terbeban ! 2017, teruslah lihat dan menanti....

Tuesday, December 18, 2007

Jangan Jadi Mangsa 'Pengorbanan' !

Salam Buat Semua,

Salam Aidil Adha untuk edisi Zulhijjah, 1428 Hijrah yang jatuh pada tanggal 20 Disember, 2007 saya ucapkan kepada semua yang meraikannya.

Aidil Adha lebih sinonim dengan panggilan Hari Raya Korban di kalangan umat Melayu Malaysia. Pastinya nama tersebut wujud akibat langsung daripada galakan untuk mengerjakan ibadat korban yang dilaksanakan secara meluas di musim Aidil Adha (Hari Raya Korban diikuti dengan 3 hari yang seterusnya). Semestinya ternakan seperti lembu, kambing mahupun kerbau menjadi pilihan di kalangan mereka yang melakukan ibadat tersebut untuk 'dikorbankan' sebagai refleksi kepada ketaatan Nabi Allah Ibrahim yang walaupun dengan 'berat hati' tetapi tetap akur kepada perintah Yang Maha Kuasa supaya Baginda 'menyembelih' anaknya sendiri iaitu Nabi Allah Ismail.

Tetapi Tuhan Yang Maha Pengasih hanyalah mahu menguji iman Nabi Allah Ibrahim; Lalu ketika proses 'sembelihan' dilakukan, Nabi Allah Ismail telah digantikan secara pantas dengan seekor kibas akibat daripada kuasaNya. Maka daripada peristiwa itulah bermulanya sambutan 'Hari Raya Korban' yang turut dipanggil Hari Raya Haji kerana berjuta-juta umat Islam turut menunaikan ibadat Haji yang merupakan Rukun Islam ke 5 di Tanah Suci Mekah.

Bersempena dengan Aidil Adha ini, elok rasanya untuk kita sama-sama 'melihat dan merenung' jauh ke dalam diri bagi mengenal pasti sejauh manakah 'pengorbanan' yang pernah dilakukan di sepanjang kehidupan yang singkat ini. Kadang-kadang kita menjadi 'biol dan gila' dek kerana terlalu taksub dengan istilah 'pengorbanan' yang menyimpang jauh daripada kesucian maksud asalnya yang cukup murni dan bersih dalam membentuk keperibadian insan yang unggul lagi hebat !

Berikut adalah antara persoalan yang menarik untuk saya 'lemparkan ke benak minda' kita bersama sekadar untuk mengenal pasti sama ada kita adalah mangsa 'pengorbanan' yang tidak bertempat ataupun sebaliknya:

1) Wajarkah 'berkorban' menggadai / mencemar maruah diri demi seorang kekasih dianggap sebagai 'pengorbanan' yang hakiki lagi logik ?

2) Perlukah kita 'berkorban' berhabis harta / wang demi mengejar cinta sejati yang kadang-kala tidak pasti akan 'ketulusannya' ?

3) Haruskah kita 'berkorban' masa mahupun wang untuk orang lain dahulu walhal kita lupa tentang 'pengorbanan' seorang ibu ketika kita dilahirkannya dahulu dan juga 'pengorbanan' seorang bapa untuk membesarkan si anak yang adakalanya mencecah 'setengah dozen' mahupun 'sedozen' bilangannya ?

4) Tidakkah 'berkorban' demi menegakkan suatu pandangan / cita-cita / ideologi sempit itu sebenarnya membawa kita kepada 'pengorbanan' yang tidak bermakna ?

5) Mengapakah kita selalu rela 'berkorban' masa demi perkara-perkara yang selalu menyimpangkan kita daripada objektif dan cita-cita hidup walhal masa yang emas itu sepatutnya menjadi nadi 'pengorbanan' untuk kejayaan di hari muka ?

Ringkasnya, pengorbanan biarlah memenuhi faktor-faktor di bawah:

1) Pengorbanan biarlah memberi faedah kepada diri, keluarga mahupun masyarakat.

2) Pengorbanan haruslah dapat membawa kebahagiaan kepada diri dan memberi ketenangan jiwa yang berpanjangan

3) Pengorbanan itu perlu diukur kepada kemampuan diri sendiri dan tidak membawa kepada penyeksaan jiwa, fizikal dan rohani.

4) Pengorbanan kepada Tuhan bererti pengorbanan yang paling unggul dan pastinya akan membawa kita ke arah menjadi insan yang cemerlang selalu.

5) Pengorbanan wajar diisi dengan kefahaman awal yang mendalam tentang hasil / akibat yang dijangka diterima / muncul di akhirnya supaya tiada 'kejutan' mahupun 'kekesalan' wujud.

Neba2020: Lirik lagu Berkorban Apa Saja dendangan seniman agung negara Allahyarham Tan Sri P. Ramlee - Berkorban apa saja.. Harta atau pun nyawa.. Itulah kasih mesra, Sejati dan mulia.. Kepentingan sendiri, Tidak diingini.. Bahagia kekasih, Saja yang diharapi.. Berkorban apa saja.. Harta atau pun nyawa.. Itulah kasih mesra, Sejati dan mulia.. hmm... hmm... hmm...Untuk menjadi bukti Kasih yang sejati.. Itulah tandanya, Jika mahu diuji.. Berkorban apa saja.. Harta atau pun nyawa.. Itulah kasih mesra, Sejati dan mulia...

Thursday, December 13, 2007

Pengakuan Dirogol, Terlanjur dan Tersilap Langkah...

Salam Buat Semua,

Pengakuan eksklusif tentang 'rahsia diri' bukanlah sesuatu yang semudah-mudahnya akan dilakukan oleh manusia kepada sebarangan orang. Apalagi jika 'rahsia diri' itu adalah sesuatu yang sebolehnya hendak disembunyikan kerana bakal mengaibkan diri sendiri jika 'terjatuh ke riba' pihak-pihak lain. Tetapi ada kalanya 'rahsia diri' jika dipendam keseorangan akan menjadi umpama 'racun berbisa' yang makin disimpan rapi makin ianya merebak umpama 'kanser' yang sungguh menyakitkan jiwa dan pemikiran. Maka seseorang yang dipercayai haruslah dicari untuk 'melapangkan jiwa' daripada 'kanser-kanser' yang sungguh menyeksakan itu !

Sepanjang kira-kira 3 tahun saya menjadi pendidik kepada anak-anak Malaysia yang meningkat dewasa dicampur dengan pengalaman 4 tahun sebagai pelajar ijazah pertama di MMU, saya berpeluang menjadi 'seseorang yang dipercayai' atau mungkin 'seseorang yang diterima' oleh segelintir daripada anak-anak Malaysia yang mempunyai 'rahsia diri' yang cukup 'hebat' dan mungkin boleh dikatakan 'agak dahsyat' juga untuk difikirkan. Selain pelajar sendiri, ada juga kenalan-kenalan yang meluahkan masalah diri ('rahsia diri') tanpa dipaksa sebaliknya demi 'melapangkan jiwa' daripada rasa kekesalan yang mula timbul.

RAHSIA 1
Seorang pelajar perempuan telah mengaku dirogol oleh teman lelakinya sendiri tanpa disedari. Pelik bunyinya, tapi realitinya adalah nyata lagi sahih berlaku ! Beliau adalah seorang yang amat sosial dan peristiwa berlaku apabila lelaki yang dianggap sebagai kekasih itu telah memasukkan 'sesuatu' ke dalam minuman yang diminumnya ketika 'bersosial' di dalam kelab malam di ibu negara. Akibatnya? Hamil dan akhirnya 'bayi' hasil benih akibat aksi rogol kekasih sendiri itu telah 'dibunuh' dengan bantuan klinik yang dimiliki oleh doktor yang pastinya boleh dianggap sebagai 'syaitan !'

RAHSIA 2
Pelajar ini mewakilkan sahabat karibnya untuk berbincang dengan saya. Terharu juga apabila saya yang dipilihnya untuk berbincang tentang hala tuju pelajarannya di universiti. Pelajar ini telah terlanjur dengan kekasih hatinya lalu 'bukti cinta sejati' itu menyebabkan si gadis mengandung tanpa disangka. Si lelaki nyata bertanggung jawab dan menemui keluarga si gadis untuk berkahwin secara sah dan mahu anak yang dikandung itu dilahirkan dengan selamat dengan memiliki ayah dan ibu untuk membesar. Nasihat saya ketika itu ialah jangan sesekali berhenti belajar sebaliknya ambillah cuti belajar sebelum perut membesar jika mahu mengelak malu dan sambunglah semula pengajian selepas bayi dilahirkan. Beliau bersetuju dengan cadangan tersebut. Saya yakin pelajar berbangsa Cina ini bahagia dengan pilihan hidupnya dan moga kesetiaan sang suami itu berlanjutan untuk selamanya.

RAHSIA 3
Seorang jejaka pernah membuat pengakuan ikhlas dan mengatakan bahawa hanya sayalah yang beliau ingin berkongsi kisah silamnya ketika menganjak ke usia 20 tahun. Beliau menyatakan bahawa hanya setelah 3 bulan bercinta dengan teman wanitanya beliau telah berani untuk membawa si perempuan ke rumah sewaannya. Apa yang terjadi? Tanpa diajar, lampu digelapkan dan masing-masing mula memainkan peranan. Agak lawak apabila jejaka ini mengatakan bahawa si gadislah yang tanpa disuruh telah 'pandai-pandai' membukakan pakaian si jejaka. Segalanya selepas itu adalah sejarah bagi ke dua-dua anak muda itu yang berlarutan selama 2 tahun bak suami-isteri 'berbulan madu' tak berpenamat. Dia mengaku bahawa akan berasa 'ketagih' yang amat jika tidak dapat 'berdua secara intim' lebih daripada seminggu. Maka, pelbagai hotel dan rumah penginapan di sekitar Melaka dan Kuala Lumpur menjadi destinasi kunjungan tetap mereka pada hari-hari bekerja. Alasannya? Malam-malam di hari Jumaat, Sabtu dan Ahad dirasakan tidak selamat kerana ada kemungkinan berlakunya pemeriksaan oleh pihak penguat kuasa agama. Penuh taktikal bukan?

RAHSIA 4
Seorang jejaka juga mengaku bahawa beliau sanggup pergi mencari kekasihnya di Cyberjaya hampir setiap minggu untuk sama-sama 'bermadu asmara.' Yang lebih menarik ialah apabila si jejaka mengatakan bahawa segala 'babak-babak hangat' mereka dilakukan di dalam bilik kekasih hatinya sendiri di sebuah pangsapuri sewaan para pelajar wanita. Apa yang lebih mengejutkan apabila beliau mengatakan bahawa wanita itu mengaku pernah terlanjur dengan kekasihnya sebelum itu yang merupakan seorang penyanyi nasyid ! Penuh pengalamanlah kononnya !

RAHSIA 5
Seorang pelajar wanita yang kelihatan 'beragama' orangnya telah terpedaya dengan rakan 'chat' Internetnya. Pelajar wanita ini tanpa dipaksa telah terpikat hatinya kepada jejaka yang melanjutkan pengajian agama di negara Asia Barat. Wanita 'suci' yang ada pegangan agamanya itu sudah pastilah menginginkan seorang jejaka yang juga ada pegangan agamanya. Semestinya jejaka yang bakal dipanggil 'ustaz' itu diidaminya untuk dijadikan bakal suami di kemudian hari. Apa yang memeranjatkan, pertemuan pertama antara dua manusia yang berkenalan dan berhubungan melalui kuasa Internet ini sewaktu si jejaka balik bercuti ke Malaysia telah berakhir dengan keberanian ke dua-duanya untuk menyewa bilik hotel dan terus 'terkulai' dengan henjutan nafsu. Mudah sungguh 'dara' ditamatkan ! Lebih mengecewakan, selepas 'habis madu ditoreh, sepahnya terus dibuang' dan si 'ustaz' terus tidak mahu bersua lagi dengan si wanitanya atas alasan insaf kononnya !

RAHSIA 6
Seorang sahabat mengaku telah secara perlahan-lahan dipikat oleh pensyarah sendiri seawal pengajiannya di peringkat asas (pra-U). Pensyarah wanita yang jarak usianya hampir mencecah belasan tahun daripada pemuda tersebut akhirnya berjaya 'memiliki' pemuda itu setelah 3 tahun mencuba. Agak 'geli' apabila saya membaca segala rekod 'chat lucah' antara mereka di Internet. Wanita bersuami dan pastinya sudah memiliki beberapa orang anak itu tanpa rasa segan cuba menzahirkan 'kegersangannya' kepada si pemuda. Perbuatan seks ringan mereka berlanjutan selama hampir 2 tahun sebelum si pemuda cuba menjauhkan diri daripada 'wanita kemaruk darah muda' itu !

Cukuplah hanya 6 'rahsia diri' insan-insan yang pernah 'tersilap langkah' itu saya himpunkan di sini. Tiada niat untuk memalukan sesiapa tetapi lebih kepada untuk menunjukkan kepada kita semua betapa nilai moral remaja masa kini semakin meruncing dan mudah sungguh terlalai dan tersimpang daripada tujuan asal untuk menumpukan perhatian kepada pelajaran dan meraih kejayaan di universiti. Itu belum termasuk lagi 'maklumat-maklumat' risikan yang selalu saya terima mahupun dengari. Andai bukannya daripada mulut si pelakunya sendiri maka tidak eloklah untuk saya garapkan di sini. Tiada pengesahan, gosiplah namanya !

neba2020: Pengakuan kemaruk video lucah, kemaruk membayangkan seks dengan kanak-kanak, kemaruk ganja, kemaruk membuat 'seks sendiri' dan kemaruk menonton video lucah animasi juga pernah saya hadapi dengan minda terbuka. Kita mendengar biarlah ikhlas, sama-sama berbincang dari hati ke hati moga si pelakunya berasa bebas daripada belenggu perasaan yang tertekan dek kerana 'masalah peribadi' yang selalu menghantui kehidupan mereka. Hidup ini bukan untuk 'bercakap' sahaja tetapi yang lebih penting adalah cabaran untuk menjadi 'pendengar' yang baik.

Wednesday, December 5, 2007

Pak Lah Yakin BN Akan Kembali ...

Salam Buat Semua,

Berikut saya turunkan petikan kata-kata daripada Y.A.B Perdana Menteri pada sesi temu bual bersama Pengarang Eksekutif Forbes merangkap Pengarang Forbes Asia, Tim Ferguson, selepas berucap pada majlis penyampaian anugerah Forbes Asia Fabulous 50 dan Businessman of the Year di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 4 Disember, 2007 :

" Banyak wang yang boleh dibuat dan keuntungan yang boleh diraih di negara ini. Mereka yang datang ke sini mesti tahu apa sebenarnya yang berlaku... pilihan raya semakin hampir dan orang berkata macam-macam. "

" Tetapi jangan bimbang, kami akan kembali dengan majoriti dua pertiga... "
Adalah sesuatu yang menarik untuk direnungkan mengapa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) seakan 'terpaksa' untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa yang boleh menimbulkan pelbagai andaian sama ada berbaur positif mahupun negatif. Positifnya mungkin dapat dilihat daripada tingginya iltizam beliau untuk meningkatkan keyakinan pelabur asing kepada negara ini dan negatifnya pula mungkin seakan menyerlahkan ketidakyakinannya terhadap keupayaan parti pemerintah untuk mengekalkan prestasi unggul di dalam pilihan raya umum yang bakal menyusul bila-bila masa daripada sekarang.
Buat imbasan bersama; Ketika pilihan raya umum terakhir yang dijalankan pada 21 Mac, 2004, Barisan Nasional (BN) yang buat pertama kalinya diketuai oleh Pak Lah telah mencapai kemenangan terbesar BN sejak pilihan raya umum 1978. Pak Lah semestinya cukup berpuas hati dengan keupayaan Barisan Nasional yang dengan cemerlang, gemilang dan terbilangnya telah meraih undi popular sebanyak 63.9 %, suatu pencapaian yang cukup untuk dijadikan kenangan terindah buat seorang yang baru kira-kira 4 bulan menjadi Perdana Menteri ! Secara ringkas, bolehlah dikatakan bahawa kira-kira 6 atau 7 orang daripada 10 orang yang mengundi ketika itu telah sepakat untuk mengundi (memangkah) lambang dacing (penimbang) yang merupakan simbol mewakili Barisan Nasional di dalam kertas undi. Syabas BN ! Syabas Pak Lah !
Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO telah meraih kemenangan sebanyak 198 kerusi Parlimen. Gabungan pembangkang iaitu PAS, DAP dan Keadilan hanya mampu meraih 20 (PAS= 7, DAP= 12, Keadilan= 1) kerusi manakala 1 kerusi jatuh ke tangan anggota bebas. Keupayaan BN menguasai kira-kira 90 % jumlah kerusi Parlimen adalah sesuatu yang sungguh dramatik lagi mengkagumkan.
Sebagai rekod, BN hanya memperolehi 56 % undi popular sewaktu pilihan raya umum 1999. Daripada 192 buah kerusi Parlimen yang dipertandingkan, BN memperoleh 147 kerusi manakala 45 kerusi di tangan barisan pembangkang (PAS= 27, DAP= 10, Keadilan= 5, Parti Bersatu Sabah= 3).
Sebagai perbandingan mudah, BN menguasai 90 % kerusi Parlimen seusai pilihan raya umum 2004 berbanding dengan penguasaan sebanyak 77 % melalui pilihan raya umum 1999.
Majoriti dua pertiga yang diperkatakan Pah Lah itu bermakna penguasaan sekurang-kurangnya sebanyak 67 % daripada jumlah keseluruhan kerusi Parlimen pada pilihan raya umum yang akan datang ini yang mana dipercayai akan diadakan pada suku pertama tahun 2008 mendatang. Rasanya jika Pak Lah cukup yakin yang sentimen semasa rakyat adalah amat memihak kepadanya sebagai Perdana Menteri yang cukup popular dengan label-label seperti Misi Nasional, Islam Hadhari, modal insan, koridor-koridor pembangunan, 'bekerja bersama saya' dan juga 'elegent silence,' maka sudah pastilah beliau tidak perlu 'bersusah payah' meyakinkan para pelabur asing sehingga ke tahap itu kerana adalah sesuatu yang pasti BN akan terus berkuasa dengan majoriti yang jauh lebeh tinggi daripada 2/3 itu.
Berikut adalah 3 persoalan yang ingin saya timbulkan buat renungan mahupun perhatian mendalam kita bersama:
1) Adakah Pak Lah kelihatan tidak yakin dengan keupayaan BN untuk menyamai (atau mungkin mengatasi) rekod yang dicapai pada pilihan raya umum 2004 ?
2) Wajarkah ini dilihat sebagai persediaan rapi Pak Lah untuk mengetuai jentera pilihan raya BN atau sebagai satu tanda bahawa BN sudah kelihatan sedikit lemah sehingga 'terpaksa' mengeluarkan kenyataan bahawa BN akan kembali dengan majoriti 2/3 walhal keputusan terakhir menunjukkan BN sungguh cemerlang dengan majoriti 9/10 ?
3) Mungkinkah ini adalah perang psikologi ke atas pihak pembangkang yang akhirnya akan memerangkap barisan pembangkang sendiri yang sudah sedia diketahui betapa goyahnya prinsip perjuangan dan muafakat sesama mereka?
Neba2020: Pertama kali berpeluang mengundi pada tahun 2004, sungguh bangga kerana berkesempatan mengundi pada usia minimum 21 tahun yang ditetapkan. Tanpa berfikir panjang, lambang dacing dipangkah sebagai tanda sokongan padu kepada UMNO khasnya dan kerajaan Barisan Nasional amnya yang tanpa disedari sudah cukup banyak berbakti kepada saya sekeluarga juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang 'sedar dan celik'. Undian itu juga sebagai refleksi tanda keyakinan saya kepada idola kesayangan yang pernah berkata bahawa parti adalah lebih penting daripada pemimpin, 'mendalam maksudnya, tajam ertinya' buat saya secara peribadi. Tepuk dada tanyalah minda...