Friday, July 31, 2009

Hari Pahlawan Buat Ayah ...

Salam Buat Semua,

1) 31 Julai adalah Hari Pahlawan.

2) Cuba kita dedikasikan Hari Pahlawan ini kepada ayah kita.

3) Selalu sangat penghargaan lebih ditumpukan pada ibu. Pengorbanan bapa dan jasa-jasa sang ayah selalunya jarang dihebahkan.

4) Kadang-kadang si ayah ini layak diibaratkan umpama wira-wira yang tak didendang, tidak dilagukan, tidak dihebohkan.

5) Encik (ayah saya) adalah pahlawan sejati di hati ini.

6) Dia pernah menjadi pejuang negara. Dia pernah menjadi tentera, bersemangat tulus dan ikhlas untuk berbakti kepada negara ini. Menjadi tentera di era 1970an bukanlah sesuatu yang indah dan permai untuk sang askar.

7) Darurat akibat daripada ancaman Komunis baru sahaja tamat di akhir 1960an, perjuangan senyap Komunis masih 'bernyawa' di dekad 1970an. Pergerakan Komunis di dalam hutan dan sempadan negara di utara Semenanjung Malaysia dan Sabah juga Sarawak masih bersisa. Encik banyak terlibat dengan operasi menjaga sempadan negara dan kawasan-kawasan terpencil.

8) Menyaksikan Encik menjaga arwah ibunya (Tok Pah) dengan penuh kasih dan sayang cukup membuatkan saya terharu. Encik mengangkat, mendukung dan memangku Tok Pah dengan keringatnya sendiri. Saya, Abang dan Emak hanya menjadi pembantu setia berganti-ganti.

9) Encik memandikan Tok Pah, menyabunkan seluruh badannya, membasuhkan segala kesan najis, memakaikan pakaian juga lampin dewasa dan menyapukan bedak ke muka ibunya itu. Sepanjang tempoh Toh Pah menderita sakit tua itu, Encik betul-betul menunjukkan satu contoh yang cukup terpuji buat saya di kemudian hari. Sejak itu, rasa sayang dan rasa tanggungjawab saya kepada Emak semakin memuncak. Tidak akan saya lupakan nasihat Encik kepada saya di suatu malam pada tahun 1999, 'Andi kena jaga Emak sampai bila-bila, anak lelaki tanggungjawab dia pada emak sampai ke mati. Andi tak jaga Encik tak apa, tapi Andi kena jaga Emak, jangan sakitkan hati dia.'

10) Selamanya Encik adalah PAHLAWAN saya yang sebenar !

Neba2020: Kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah sanggupkah berpisah dan kasih anaknya berkorban nyawa ...

Thursday, July 30, 2009

Pesan Dato' Onn Jaafar

Salam Buat Semua,

Dato' Onn Jaafar pada bulan April, 1948 ada mengeluarkan satu pesanan 'keramat' yang masih relevan untuk dihayati, direnungi dan difikirkan sedalamnya oleh umat Melayu:

" Melawan Malayan Union itu adalah perkara kecil dan yang berat ialah melawan Melayu sendiri. Melawan Melayu ialah melawan perangai, tabiat dan kelakuan... "

Neba2020: Sedar sebelum tergadai, awas sebelum terkena, fikir sebelum terjerat ...

Friday, July 24, 2009

Banyak Cikgu Tidak Layak Jadi Cikgu?

Salam Buat Semua,

1) Sekarang ini orang 'berduyun-duyun' mahu menjadi pendidik. Kerjaya sebagai cikgu sekolah nampaknya begitu 'laku' dan hangat seperti 'goreng pisang panas.'

2) Permohonan untuk menyertai program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) mendapat sambutan yang terlebih menggalakkan. Andai ada 5 000 tempat yang ditawarkan, secara mudahnya 50 000 permohonan akan diterima oleh Kementerian Pelajaran.

3) Dahulu KPLI ini mengambil masa 6 bulan. Kemudiannya diubah menjadi satu tahun genap. Baru-baru ini, Kementerian Pelajaran menyifatkan bahawa tempoh satu tahun untuk 'menyiapkan' pemegang-pemegang ijazah sedia ada itu untuk menjadi seorang guru adalah tidak cukup kerana majoriti daripada 'produk-produk' KPLI ini didapati masih tidak berupaya untuk menjadi pendidik yang berkesan kepada anak-anak Malaysia.

4) Bermula tahun 2010 nanti, tempoh KPLI akan dipanjangkan kepada 18 bulan, satu tahun setengah !

5) Tambahan 6 bulan berada di dalam Institut Pendidikan (dahulu dikenali sebagai Maktab Perguruan) diharapkan akan dapat 'menghasilkan' cikgu-cikgu sekolah yang lebih mantap mental dan fizikalnya untuk berdepan dengan 1001 perangai anak murid serta mempunyai daya kreativiti mengajar yang lebih berkesan.

6) Kita tidaklah mahu menyangkal akan niat dan sebab yang membawa kepada puluhan ribu pemegang ijazah dalam pelbagai bidang memohon untuk mengikuti KPLI ini. Persoalannya, adakah kita yakin bahawa golongan ini sememangnya 'berjiwa pendidik' sejati?

7) Apakah faktor utama yang menyebabkan mereka memohon KPLI? Andai jawapannya adalah untuk menjadi pendidik kepada anak bangsa dan kerana minat yang cukup mendalam maka ucapan pujian tertinggi wajarlah diberikan.

8) Malangnya, jawapan-jawapan negatif yang kurang enak untuk didengar pastinya akan mendominasi 'sebab dan musabab' mereka memohon KPLI.

9) Adalah sesuatu yang normal untuk kita menerima jawapan-jawapan seperti sukar mendapatkan kerja lain yang berpadanan dengan ijazah asal di sektor swasta mahupun kerajaan, CGPA ijazah pertama tidaklah begitu memberangsangkan, asyik gagal di dalam temuduga, hilang pekerjaan di sektor perkilangan, kerja seorang guru adalah mudah, gaji serta insentif guru sekarang ini begitu menarik dan risiko menjadi guru adalah rendah.

10) Tidak hairanlah orang mengatakan bahawa kualiti guru-guru muda di era abad ke 21 ini adalah cukup rendah, mengecewakan dan kurang kreativiti dalam mendidik. Cikgu-cikgu di era 1960an, 1970an dan 1980an majoritinya bukanlah pemegang ijazah tetapi keupayaan dan kemahiran mereka dalam mengajar subjek dan mendidik manusia adalah jauh lebih terbilang dan gemilang berbanding dengan cikgu-cikgu keluaran pertengahan 1990an ke atas terutamanya yang lahir daripada kategori KPLI ini. Mereka ini sudah empat atau lima tahun berada di universiti dan ditambah setahun lagi sebagai persediaan menjadi guru tetapi hasilnya cukup mengecewakan. Kalau majoriti produk KPLI ini bagus, mengapa pula Kementerian Pelajaran harus mamanjangkan lagi tempoh 'kuarantin' di dalam KPLI itu? Tepuk dada tanyalah selera.

Neba2020: Jangan jadi cikgu yang terpaksa, nanti jiwa terseksa ....

Friday, July 17, 2009

PAS dan UMNO Boleh !

Salam Buat Semua,

1) Beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan di sekitar tahun 2009 ini seharusnya memberikan 'petunjuk' jelas kepada PAS dan UMNO.

2) Andai ada sengketa lama, seharusnya diketepikan dan mulakanlah satu episod baru demi kebaikan agama dan bangsa. Kita yakin, kuatnya Islam dan kukuhnya Melayu di Malaysia ini maka ianya akan mengukuhkan Malaysia secara keseluruhannya.

3) UMNO bukannya ditolak oleh majoriti orang Melayu dan Islam. UMNO pada hakikatnya diundi oleh majoriti orang melayu dan Islam sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 walaupun diakui betapa prestasinya agak merudum jika dibandingkan dengan PRU 2004.

4) PRK Parlimen Bukit Gantang menyaksikan PAS menewaskan UMNO. Diteliti pola pengundian, majoriti undi Melayu 'jatuh' ke tangan UMNO. PRK DUN Bukit Selambau juga menyaksikan calon PKR menewaskan calon MIC yang mewakili Barisan Nasional (BN). Undi Melayu juga majoritinya ke arah BN.

5) Tahun 2009 kelihatannya ada perbezaan dengan tahun 2008. Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi yang menjadi asset besar BN di PRU 2004 tetapi berubah menjadi liabiliti terhebat empat tahun kemudiannya sudah bersara.

6) PRK Dun Manik Urai, menyaksikan majoriti kemenangan PAS menjunam dengan drastiknya daripada hampir mencecah 1400 undi kepada hanya 65 undi sahaja dengan jumlah undi dikira rosak melebihi 100 kertas. Kawasan di negeri pentadbiran Tok Guru Nik Abdul Aziz sendiri nampaknya sudah mula goyah sedikit dengan pola undian Melayu buat PAS dan UMNO yang seakan 50-50.

7) PAS dan UMNO boleh !

8) Persengketaan lama janganlah diulang-ulang sebagai sebab dan musabab untuk tidak boleh duduk semeja bertentang mata juga berkongsi idea demi kebaikan umat yang mereka 'payungi' bersama.

9) Perpaduan Melayu tidak akan merugikan sesiapa.

10) Kuatnya Melayu, kayanya Melayu, bahagianya Melayu dan bersatunya Melayu sebenarnya akan menjana lebih banyak lagi kekayaan, kesenangan dan kesentosaan kepada sahabat-sahabat kita yang lain. Cina, India dan lain-lainnya akan sama-sama lebih senang, lebih mewah dan lebih aman sentosa kelaknya.

Neba2020: Perpaduan Teras Kejayaan ! Niat yang baik akan dirahmati Tuhan ....

Friday, July 10, 2009

Saya Sokong PPSMI: 'Saya Bukan Pencinta Bahasa Melayu ...'

Salam Buat Semua,

1) Maaf dipohon andai kali ini kata-kata saya lebih bersifat peribadi dan mengimbas kenangan diri sendiri sahaja.

2) Saya adalah budak kampung yang membesar di era 1990an. Era ini adalah era di mana lebih ramai rakan-rakan sebaya kelahiran 1980an yang dibesarkan di pekan, bandar, taman perumahan ataupun rumah flat. Saya membesar di rumah kampung pusaka asal arwah Tok Usop ('Encik kepada Encik'). Rumah saya adalah campuran rumah papan dan rumah batu.

3) Ayah saya bersekolah Inggeris sepenuhnya. Walau tidak masuk universiti tapi dia fasih berbicara di dalam bahasa antarabangsa nombor satu itu. Emak saya pula langsung tidak tahu 'cakap omputih.' Di rumah kami, saya bertutur sepenuhnya di dalam bahasa Melayu versi kampung Johor.

4) Sewaktu sekolah menengah, saya adalah umpama 'pejuang mini bahasa Melayu.' Sewaktu di Tingkatan Tiga (1997), saya menjadi juara Pertandingan Menulis Esei sempena Hari Kebangsaan. Saya juara menulis karangan di dalam bahasa Melayu, 'champion' untuk seluruh daerah Segamat ! Pernah juga saya menuliskan puisi dan sajak untuk seorang anak cikgu yang hendak memasuki pertandingan mendeklamasi sajak di peringkat daerah. Sajak nukilan spontan saya itu berjaya juga mendapat antara tiga yang terbaik apabila dibacakan dengan penuh penghayatan oleh anak cikgu saya itu.

5) Tahun 1999, saya adalah ketua kepada pasukan debat ala Parlimen Sekolah Tinggi Segamat (STS). Kami menjadi juara daerah Segamat dan saya menjadi pendebat terbaik. Langkah pasukan debat kami adalah sehingga ke laluan separuh akhir sewaktu pertandingan peringkat negeri Johor diadakan di Sekolah Teknik Batu Pahat. Kami daripada sekolah jenis harian biasa mampu tewaskan Sekolah Menengah Sains Muar di peringkat suku akhir sebelum kandas di tangan Maktab Rendah Sains Mara / Sekolah Menengah Sains (lupa pula yang mana satu) Kluang.

6) Tahun 1999 juga saya menjadi 'pengerusi' pasukan Forum Remaja Sekolah Tinggi Segamat. Pasukan kami menjadi johan daerah Segamat dengan menewaskan saingan terdekat daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat. Kemaraan kami dengan slogan kata 'STS Sentiasa Boleh !' berterusan hingga ke peringkat negeri Johor. Saya dan rakan-rakan lainnya berjaya menjadi juara Johor dengan menewaskan lawan-lawan 'ternama' seperti Sekolah Tun Fatimah yang mewakili daerah Johor Bahru dan Sekolah Sains Muar.

7) Sekitar tahun 2004 dan 2005 (sebelum weblog ini dimulakan) saya kerap menghantar artikel ke akhbar Berita Harian dan sentiasa terpilih untuk disiarkan diruangan rencana. Artikel saya pernah menyentuh isu-isu 'bangsa dan bahasa' seperti kegagalan pelajar Melayu untuk menyerlah di universiti, bahasa Melayu sebagai titik penyatuan semua bangsa di Malaysia dan keunikan Hari Raya sebagai teras perpaduan negara.

8) Sepanjang saya memiliki kereta sendiri (akhir tahun 2005), tidak pernah walau sekalipun ianya 'dilagukan' dengan cakera padat (CD) lagu-lagu berbahasa asing termasuklah bahasa Inggeris. Semuanya adalah lagu-lagu berbahasa Melayu (termasuklah produk-produk artis Indonesia dan Singapura). Koleksi CD di dalam kereta saya 'penuh dan meriah' dengan 'suara-suara' penyanyi seperti Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid, M Nasir, Jamal Abdillah, Raihan, Alleycats, Rabbani, Anuar Zain, Search, Peter Pan, Sheila On 7, Ning Baizura, Agnes Monica, Mawi, Tan Sri SM Salim, Rossa, Kris Dayanti dan banyak lagi.

9) Jika telinga ini mahu mendengar radio, semestinya hanya tiga nama yang akan dipertimbangkan iaitu ERA, SINAR dan HOT FM. Kesemuanya adalah radio berbahasa Melayu. Akhbar yang wajib saya beli pada setiap hari Sabtu dan Ahad pula adalah Utusan Malaysia, Berita Harian, Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan Siasah. Saya lebih suka dan lebih bangga membaca akhbar berbahasa Melayu.

10) Tahniah saya ucapkan kepada para 'pejuang' bahasa Melayu, seorang dua sasterawan Negara, ahli-ahli politik haluan kiri dan 'orang kuat' kesatuan sekolah jenis kebangsaan yang telah mulakan gerakan pemansuhan PPSMI. Mereka kini telah berjaya. Kerajaan terpaksa 'tunduk' kepada 'perangai' mereka ini kerana 'politik' itu sememangnya sukar untuk dipermudahkan. Kerajaan sebenarnya 'tersepit' di antara 'survival politik' dan juga kewajaran PPSMI sebagai medium yang memberikan kebaikan kepada negara untuk jangka masa yang lebih panjang kelak. Keputusan itu adalah ibarat 'diluah mati emak, ditelan mati bapak.'

Neba2020: Bersoraklah semua, bersoraklah sekuat-kuatnya buat mereka yang tiba-tiba menjadi 'pejuang bahasa Melayu' kerana lebih kepada terpedaya dengan 'cerita politik' padahal selama ini lebih selesa mendengar lagu Inggeris, menolak drama Melayu, membaca akhbar Inggeris, bercakap campur-campur Melayu-Inggeris, berhujah di dalam bahasa Melayupun tidak berani, mereka pantun dan sajak tidaklah mampu dan Bahasa Melayu di peringkat SPM juga belum tentu cemerlang ...