Friday, February 25, 2011

PAS SEMAKIN HILANG SOKONGAN MELAYU

Salam Buat Semua,

1) Parti Islam SeMalaysia (PAS) dulunya mahu tegakkan sebuah negara Islam di Malaysia ini. Itulah agenda perjuangan nombor satu PAS. Sekitar 1980an dan 1990an bila sebut PAS maka sinonimnya ialah 'negara Islam' dan 'hukum hudud.'

2) Abad ke 21 setelah melepasi tahun 2000, PAS di bawah pimpinan Abdul Hadi Awang nampaknya 'sedar' betapa PAS tidak mungkin dapat menakluk Putrajaya dengan tiket 'bulan' semata-mata. Mustahil PAS boleh 'membina' kerajaan tanpa perlu 'mencontohi' model Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO, musuh utama PAS zaman-berzaman.

3) Maka PAS mula membuat satu pakatan dengan dua parti lain yang berbeza ideologi juga matlamat. Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) menjadi sahabat PAS.

4) Uniknya, sebelum tahun 1998 sememangnya DAP adalah musuh tidak langsung PAS, UMNO ialah musuh langsungya. UMNO adalah musuh langsung PAS kerana kebiasaannya pencabar PAS sewaktu pilihan raya ialah UMNO, kerusi-kerusi yang majoriti pengundinya terdiri daripada orang Melayu.

5) DAP adalah musuh tidak langsung kerana kedua-dua parti selalunya tidak akan bertembung sewaktu pilihan raya kerana DAP akan bertanding di kawasan yang bermajoritikan orang Cina. Walaubagaimanapun, DAP adalah penentang nombor satu terhadap impian 'negara Islam' dan 'hukum hudud' oleh PAS.

6) Selepas Anwar Ibrahim dipecat daripada UMNO pada tahun 1998, bermulalah episod PAS dan DAP mula 'berkenal-kenalan' dan 'bersenyum-senyuman.' Tiba-tiba Anwar Ibrahim yang pernah menjadi musuh mereka bertukar pula menjadi sahabat. Semuanya kerana Anwar sewaktu itu sudah bermusuh dengan UMNO di bawah pimpinan Dr. Mahathir Mohamad dan DAP serta PAS juga memusuhi UMNO-BN.

7) Tertubuhnya PKR (asalnya bernama Parti Keadilan Nasional) melengkapkan satu pakatan baru untuk menumbangkan BN. Strateginya adalah mudah. PAS bertanding di kawasan bermajoriti Melayu, DAP pula tertumpu di kawasan pengundi utama adalah kaum Cina dan PKR menjadi paksi pertengahan untuk menguasai tempat-tempat yang peratusan pengundi berbilang bangsanya adalah sama rata di antara Melayu, Cina dan India.

8) Dengan senario politik tahun 2008 yang cukup tidak stabil ditambah dengan perasaan tidak puas hati rakyat kepada kepimpinan 'lesu' Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi maka pakatan PAS-DAP-PKR telah berjaya meruntuhkan tembok kukuh kekuasaan BN di Parlimen sehinggakan berjaya menidakkan majoriti dua pertiga BN sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12 (2008). BN memperoleh 142 kerusi manakala pakatan PAS-DAP-PKR menguasai 80 kerusi.

9) Tiga tahun telah berlalu, ada mengatakan bahawa cengkaman PAS kepada para pengundi berbangsa Melayu telah semakin rapuh. Penyokong fanatik PAS sememangnya akan terus bersama PAS tetapi mereka yang bersifat di atas pagar kelihatannya tidak akan memihak kepada PAS.

10) Selepas Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak memimpin UMNO (April 2009) kelihatannya pengaruh UMNO semakin kuat dan berjaya 'menggoda' para pengundi di atas pagar ini. Buktinya, kesemua pilihan raya kecil selepas April 2009 menyaksikan majoriti orang Melayu menyokong calon-calon BN. Tempat-tempat yang majoriti utamanya adalah Melayu seperti Bagan Pinang (Negeri Sembilan), Hulu Selangor (Selangor), Galas (Kelantan) dan Tenang (Johor) semuanya menyaksikan kemenangan BN dengan majoriti meningkat naik. Prestasi PAS sewaktu mengekalkan kerusi Manek Urai (Kelantan) juga merosot sehingga menang hanya dengan majoriti kurang 100 undi berbanding sewaktu PRU 2008, majoriti melebihi 1500 undi.

Neba2020: Orang tamak selalu rugi, biar bercita-cita sedikit kecil tetapi matlamat tercapai daripada bercita-cita memeluk gunung tetapi kaki gunung pula yang semakin tergelincir apabila mula mendaki....

Friday, February 18, 2011

Ekonomi Berpendapatan Tinggi: Gaji Naik, Inflasi Naik ?

Salam Buat Semua,

1) Dato' Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri 'transformasi' Malaysia mahu jadikan negara ini sebagai sebuah negara yang rakyatnya berpendapatan tinggi, ekonomi yang bergerak melalui pekerja-pekerja yang memiliki pendapatan 'mewah dan besar' angkanya.

2) Berpendapatan tinggi bolehlah disenang-katakan sebagai gaji tinggi, orang putih sebut 'high income.' Maka seronoklah para pekerja kerana majoriti orang memang sifat hakikinya ialah suka dengan gaji yang besar, gaji tinggi.

3) Majikan digalakkan, diseru dan diharapkan untuk menaikkan gaji pekerja mereka. Kita percaya tempoh 5 tahun mendatang (2011-2015) akan menyaksikan sektor kerajaan dan pihak-pihak swasta menaikkan gaji para pekerja.

4) Maklumlah, Perdana Menteri sendiri sudah menghebahkan ke pelosok negara bahawa di antara matlamat kerajaan yang dipimpin beliau ialah untuk menghasilkan satu keadaan yang disebut 'ekonomi berpendapatan tinggi.'

5) Sekali lagi, ramai yang akan gembira dan bersuka hati. Gaji naik!

6) Pihak swasta akan alami kenaikan kos. Gaji naik bersamaan dengan kos naik. Bila kos naik maka barangan mahupun perkhidmatan yang dikeluarkan atau disediakan akan mengalami kenaikan harga juga. Normal bagi para pengusaha untuk 'menjatuhkan' bebanan kenaikan kos itu kepada para pengguna akhir.

7) Maka akan berlakulah kenaikan harga barangan ataupun perkhidmatan di pasaran. Ekonomi berpendapatan tinggi dan harga barangan juga perkhidmatan yang tinggi adalah sinonim. Dua perkara ini tidak akan dapat dielakkan walaupun sesuatu negara itu menghimpunkan 1000 pemegang Ijazah Kedoktoran (Ph.D) Ekonomi, Kewangan dan Strategi Pemasaran untuk mengatasinya.

8) Niat Perdana Menteri itu adalah baik dan tulus ikhlas, memastikan rakyat Malaysia bertambah senang juga makmur dan Malaysia 'laju' mengejar status negara maju. Dato' Seri Mohd. Najib tidak silap dalam cuba bereksperimentasi dengan terma 'ekonomi berpendapatan tinggi.'

9) Ekonomi berpendapatan tinggi akan menjadi sesuatu yang berfaedah dan bagus apabila senario peratusan kenaikan gaji adalah melebihi peratusan kenaikan kos barangan atau perkhidmatan sekaligus bererti peratusan kenaikan harga barangan adalah kecil berbanding peratusan kenaikan gaji para pekerja. Contohnya, inflasi tahunan naik 5% dan gaji naik 9% secara purata ataupun kos pengeluaran keseluruhan  naik 10% dan gaji naik 14%.

10) Justeru, para pengusaha, ahli perniagaan, pemimpin jabatan dan segenap pihak yang bertanggungjawab dengan pengurusan kos perlulah lebih kreatif, inovatif dan berhemah sentiasa. Segala sistem dan proses yang digunakan untuk menghasilkan sesuatu produk mahupun perkhidmatan perlulah berpaksikan kepada kecekapan, ketepatan dan kemahiran. Pembaziran kos daripada segala bentuk perlulah dijauhkan. Kos perunit juga dapat dikurangkan dengan membesarkan pasaran, pastikan barangan keluaran Malaysia mendapat tempat di negara asing. Akhirnya, inilah 'ekonomi berpendapatan tinggi' yang terbaik bagi seluruh rakyat Malaysia.

Neba2020: Tiada yang mustahil selagi otak rajin berfikir dan tubuh rajin bergerak .... 

Saturday, February 5, 2011

Sultan dan Rekod Malaysia

Salam Buat Semua,

Kita rakyat Malaysia, kadang-kadang 'banyak' juga tentang Malaysia ini yang kita tidak tahu ataupun tidak tersedar. Kita berbangga dengan sistem beraja yang dimiliki tetapi kita tidak tahu fakta-fakta menarik tentang sesetengah Sultan yang memayungi keharmonian negeri juga negara tercinta ini.

Berikut adalah 5 fakta istimewa seterusnya diiktiraf sebagai REKOD MALAYSIA seperti yang disiarkan oleh The Malaysia Book of Records (Icons of Malaysia) untuk edisi tahun 2011:

1) Sultan termuda: Sultan Mizan Zainal Abidin (Terengganu) dimasyhurkan sebagai Sultan Terengganu pada 15 Mei 1998 sewaktu berusia 36 tahun.

2) Kerabat pertama berlayar mengelilingi dunia: Sultan Sharafuddin Idris Shah (Selangor) berjaya berlayar mengelilingi dunia dalam tempoh 644 hari, tamat pada 6 November 1996.

3) Sultan tertua: Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (Kedah) diputerakan pada 28 November 1927.

4) Hakim termuda: Sultan Azlan Shah (Perak) dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1 Julai 1965 sewaktu berusia 37 tahun dan menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan pada 1 November 1973 (45 tahun).

5) Sultan pertama menerima lesen memandu lokomotif - Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar (Johor) berjaya memperoleh lesen memandu lokomotif (keretapi) pada 28 Jun 2010 selepas Baginda selesai memandu lokomotif milik Keretapi Tanah Melayu (KTM) sejauh 391.3 km dari Stesen JB Sentral, Johor ke Stesen KTM Gemas, Negeri Sembilan.

Neba2020: Daulat Tuanku ! Daulat Tuanku ! Daulat Tuanku !