Friday, October 30, 2009

PAS Hilang Arah?

Salam Buat Semua,

1) Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan mudahnya mengibaratkan orang-orang seperti Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Hasan Ali sebagai 'bermasalah' dan perlulah parti itu 'dibersihkan' secepat mungkin.

2) KESALAHAN mereka hanyalah kerana 'kelihatan' seperti agak 'pro-UMNO' dek kerana sedikit bersetuju dengan idea kerjasama dengan parti nombor satu Melayu itu.

3) Peliknya, Mursyidul Am PAS itu lupa bahawa Nasharuddin yang dikatanya 'bermasalah' itu telah berjaya memenangi (mengekalkan) jawatan Timbalan Presiden sewaktu pemilihan tahun 2009 walhal 'pemilih-pemilih' PAS sendiri sudah maklum tentang idea 'kerjasama PAS-UMNO' sebelum itu lagi. Maknanya, para pemilih yang menyokong Nasharuddin tidak berapa 'ambil pusing' dengan isu tersebut, malah mungkin juga merasakannya bukanlah satu idea yang buruk.

4) Mungkin Nik Abdul Aziz 'kecewa' kerana ayam tambatannya iaitu Husam Musa tewas kepada Nasharuddin sewaktu pemilihan tersebut. Mungkin juga Nik Abdul Aziz yang memang sudah terang lagikan bersuluh sentiasa 'simpati' dengan Anwar Ibrahim sekali lagi terpengaruh dengan Ketua Pembangkang itu kerana semua sedia maklum betapa UMNO adalah 'musuh utamanya.'

5) Nik Abdul Aziz pada hakikatnya turut tidak 'selesa' dengan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang. Beliau 'sedar' betapa Abdul Hadi juga pada awalnya agak 'berlembut' dengan idea untuk PAS dan UMNO bekerjasama demi kestabilan politik negara dan kebaikan bangsa Melayu secara keseluruhannya. Memandangkan Abdul Hadi begitu 'senior' di dalam PAS maka Nasharuddin yang 'bertaraf' anak kepadanya dijadikan 'kambing hitam' utama. Sebenarnya, sasaran utama Nik Abdul Aziz bukanlah Nasharuddin tetapi Abdul Hadi sendiri!

6) Pada 29 Oktober, 2009; PAS pusat mengambil keputusan supaya Lembaga Disiplinnya menyiasat PAS negeri Selangor di bawah pimpinan Dr. Hassan Ali.

7) PAS Selangor dan Dr. Hassan Ali disifatkan sebagai cuba 'meretakkan' hubungan sesama 'sahabat' di dalam kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

8) Dr. Hassan Ali kelihatan begitu tegas dengan isu penjualan arak di kawasan majoriti Melayu dan kritikannya terhadap Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) negeri Selangor. Dr. Hassan 'bersuara' betapa keanggotaan ahli-ahli Selcat perlulah diteliti semula dan 'perbicaraannya' tidaklah boleh dibuat secara terbuka kerana badan itu bukanlah mahkamah.

9) Isu arak di Selangor samalah seperti isu 'gambar separuh bogel' juga 'bersekedudukan dengan lelaki bukan suami' Exco Selangor (Elizabeth Wong) daripada PKR sedikit masa dahulu. PAS mengambil jalan selamat dan mengalah kepada PKR dan DAP.

10) Mengapa jadi begitu? Semuanya adalah kerana 'undi!'

Neba2020: Hari semalam cakap lain, hari ini jadi lain ... Dulu tidak boleh, sekarang boleh ... Jangan sampai jadi dulu haram sekarang halal ... Dijauhkan Tuhan !

Tuesday, October 27, 2009

Malaysia : Macam-Macam Ada !

Salam Buat Semua,

1) Nik Abdul Nik Mat tiba-tiba umpama 'meroyan' keseorangan apabila mahu PAS mengadakan EGM bagi 'membersihkan' orang-orang seperti Nasharuddin Mat Isa (Timbalan Presiden), Mustafa Ali (Setiausaha Agung) dan Dr. Hassan Ali (Pesuruhjaya PAS Selangor).

2) 'Tok Guru' PAS yang seorang ini merasakan bahawa 'orang-orang' yang menyokong idea kerajaan perpaduan (kerjasama antara UMNO dan PAS) perlulah diketepikan daripada terus 'berkuasa' di dalam PAS.

3) Keluarga mendiang Teoh Beng Hock yang didapati mati selepas disoal-siasat oleh SPRM pula ingin kuburnya digali semula bagi dilakukan bedah siasat kali yang ke 2. Seorang pakar bedah mayat dari Thailand sebelum itu membuat konklusi bahawa kemungkinan untuk Beng Hock dibunuh adalah 80% dan 20% lagi adalah kebarangkalian untuk dia membunuh diri dengan melompat daripada bangunan. Apa yang menarik, pakar tersebut mendakwa terdapatnya kesan cekikan di leher mendiang dan duburnya mempunyai kesan ditusuk dengan objek yang keras.

4) Persoalannya, logikkah untuk pegawai SPRM 'menyiksa' Beng Hock hingga ke tahap duburnya 'dimasuk / ditujah' dengan objek yang cukup keras dan lehernya dicekik? Mungkinkah yang hayat Beng Hock telah cuba 'ditamatkan' oleh individu tertentu yang 'takut dan gentar' bahawa mendiang akan membocorkan 'rahsia' tertentu?

5) Di Malaysia juga kita sedang leka mengikuti isu Dr Chua Soi Lek dan Ong Tee Keat di dalam MCA, PKR yang sedikit 'bising' dengan isu pelantikan ketua-ketua di peringkat negeri Sabah dan Sarawak yang pada mulanya telah mengutamakan warga Semenanjung, Samy Vellu si Presiden MIC yang semakin 'ditunjukkan' jalan penamat karier politiknya, kes perbicaraan liwat Anwar Ibrahim yang digesa supaya dicepatkan kerana sentiasa ditangguhkan dengan pelbagai alasan juga permintaan daripada pihak bekas Timbalan Perdana Menteri itu, Ibrahim Ali si ahli Parlimen bertaraf bebas yang tidak mahu masuk PAS tetapi tetap belum bersedia 'rujuk' semula kepada UMNO dan tidak lupa ialah kekecewaan segelintir kakitangan kerajaan yang tidak menerima bonus sekurangnya satu bulan gaji bagi tahun ini.

Malaysia memang ada macam-macam cerita yang tidak membosankan hidup rakyatnya !

Neba2020: Apa jua kisah dan cerita, jangan sampai kita lupa kepada Tuhan dan sentiasalah berwaspada dengan cabaran-cabaran kehidupan yang makin lama semakin sukar untuk difahami juga diramalkan ....

Tuesday, October 20, 2009

Hari Ini Dalam Sejarah (20 Oktober 2004)

Salam Buat Semua,

1) 18 Oktober, 2004 saya melapor diri sebagai pendidik di MMU. Encik (ayah) yang hantar terus dari kampung halaman.

2) Gembira tak terkata sebab memang sejak kecil lagi saya bercita-cita mahu jadi 'cikgu.'

3) Zaman sekolah, kita sentiasa perlu menulis 3 cita-cita di kad rekod pelajar.

4) Sehinggat tamat sekolah, cita-cita di tangga ke 3 sentiasa berubah-ubah. Saya sekadar mengisinya semata-mata untuk mengisi tempat kosong yang telah sedia ada. Kerja-kerja seperti peguam, guru dan akauntan pernah menjadi pilihan rambang.

5) Cita-cita di tangga ke 2 yang memang saya idamkan dan ditulis setiap tahun di kad rekod pelajar ialah untuk menjadi seorang pensyarah universiti. Saya terlalu suka kerjaya itu. Saya mahu jadi 'cikgu' di universiti!

6) Cita-cita yang sentiasa menjuarai carta 'angan-angan' saya selaku seorang 'budak sekolah' era 1990an ialah 'mengidam' mahu menjadi ahli politik. Namapun cita-cita, tidak salah menanam cita-cita, asalkan mampu menjadi sumber inspirasi juga motivasi kepada diri sendiri. Itulah pegangan diri ini sejak di alam sekolah rendah lagi.

7) Maka pada 18 Oktober, 2004 itu secara rasminya saya berjaya 'mencapai' cita-cita yang sentiasa 'setia' saya tuliskan setiap tahun di kad rekod pelajar sewaktu zaman sekolah iaitu untuk menjadi 'cikgu' di universiti.

8) 20 Oktober, 2004 pula menjadi detik yang cukup bersejarah bagi diri ini apabila pertama kali melangkah ke kelas untuk menyampaikan 'ajaran' kepada anak murid. Saya diarahkan untuk mengambil-alih kelas tersebut daripada seorang pensyarah yang telah 'senior.'

9) Malam sebelum kelas yang pertama itu, tidur saya tidak nyenyak dan asyik terjaga sahaja. Sebelum jam 1 pagi, saya 'tekun dan bersemangat' sekali 'belajar semula' sebagai persiapan untuk 'berceramah' dihadapan para pelajar. Walaupun subjek itu tidaklah rumit sangat (pandangan saya sebagai seorang pelajar dahulu) tetapi saya 'berusaha' pergi jauh sedikit dengan cuba meramalkan apakah soalan-soalan yang ada kemungkinan akan ditanya oleh pelajar dan bahagian manakah yang pasti akan menimbulkan sedikit kecelaruan untuk mereka fahami. Azam saya, tidak mahu kelihatan 'bodoh' di depan pelajar sendiri walaupun itu adalah 'kelas pertama' yang akan dikendalikan.

10) Tempoh satu jam sebelum kelas bermula (10 pagi) sungguh membuatkan jiwa saya 'berkocak dan bergemuruh' dengan hebatnya. Walaupun tidak minum banyak air tetapi saya kira hampir 5 kali saya berulang-alik 'melawat' tandas!

Tepat jam 10 pagi, 20 Oktober, 2004 saya melangkah masuk ke dalam kelas tersebut dengan 1001 perasaan yang pelbagai. Nama rasmi subjek tersebut ialah 'Principles of Economics II' yang berkaitan dengan ekonomi makro, topik ke 4 iaitu 'Inflation and Unemployment' bagi pelajar peringkat Pra (Asasi), Multimedia University (MMU).

Neba2020: Selebihnya adalah sejarah yang sehingga ke saat ini telah berusia 5 tahun ....

Thursday, October 15, 2009

Siapapun Boleh Jadi Datuk?

Salam Buat Semua,

1) Majlis sambutan rasmi Hari Jadi yang ke 71 Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob diadakan pada Sabtu, 10 Oktober, 2009.

2) 5 individu telah dianugerahkan gelaran Datuk Seri, 10 orang pula bergelar Datuk Wira dan 75 lagi 'diangkat' sebagai Datuk. Senang cakap, 90 orang telah 'diiktiraf' sebagai 'Datuk Melaka' bagi edisi 2009.

3) Isu berkenaan dengan betapa 'longgar dan mudah' untuk bergelar Datuk ini bukan lagi menjadi sesuatu yang tersembunyi lagi tersorok 'di bawah bantal.'

4) Adakah memegang sesuatu jawatan di dalam pentadbiran kerajaan pusat, negeri mahupun parti politik itu adalah jaminan 'automatik' untuk seseorang itu LAYAK mendapat anugerah daripada istana?

5) Adakah bergelar ahli perniagaan yang mempunyai wang tunai berjuta Ringgit juga adalah sesuatu yang memberikan 'tiket wajib' untuk bergelar Datuk?

6) Kita seharusnya meragui akan kewajaran Mohd. Nizar Jamaluddin diberikan anugerah bergelar Datuk Seri dalam masa tidak sampai 2 bulan menjadi Menteri Besar (MB) Perak pada tahun 2008. 'Orang kanan' Mohd. Nizar di bawah pentadbiran 1 tahun beliau sebagai MB pasca Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 iaitu Ngeh Koo Ham selaku Pengerusi DAP Perak turut 'dinobat' sebagai seorang bergelar Datuk. Pengganti Mohd. Nizar iaitu Dr. Zambry Abdul Kadir daripada UMNO juga diiktiraf sebagai 'Datuk Seri' dalam masa kurang 2 bulan selepas meniti laluan 'panas' untuk bergelar MB Perak.

7) Apabila Pulau Pinang 'dikuasai' DAP dan konco-konconya (PKR dan PAS), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dianugerahkan dengan gelaran Datuk Seri sewaktu sambutan rasmi Hari Jadi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang pada tahun 2008 hanya selepas beberapa bulan beliau menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia. Besar sungguhkah jasa Dr. Wan Azizah selaku Ketua Pembangkang?

8) Di pihak UMNO pula, Ketua Penerangannya yang baru dilantik pada April 2009 iaitu Ahmad Maslan telah dianugerahkan gelaran Datuk oleh negeri Melaka baru-baru ini. Ahmad Maslan ini juga baru sahaja memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di era kepimpinan Mohd. Najib Abdul Razak. Sebelum itu dia hanyalah seorang ahli Parlimen biasa yang mewakili Pontian memasuki penggal ke 2. Dia orang Johor tetapi nampaknya 'jasa' beliau 'nampak jelas' di Melaka. Banyak juga orang-orang kuat Pemuda UMNO seperti Razali Ibrahim dan Reezal Meerican yang sudah bergelar Datuk sebelum usia mencecah 40 tahun dan yang lebih penting sebelum jasa dan nama mereka sendiri menjadi sebutan rakyat Malaysia.

9) 14 negeri di Malaysia melalui Sultan, Raja, Yang Dipertuan Besar mahupun Yang Dipertua Negeri masing-masing sememangnya harus dan wajar memberikan anugerah kebesaran dan pingat kepujian kepada mana-mana rakyat yang layak juga berjasa kepada negara, negeri dan masyarakat secara umumnya. Masalah timbul apabila darjah kebesaran yang dianugerahkan pihak Istana kini mula dipertikai, dipandang serong dan diragui status jasa juga rekod perkhidmatan si penerimanya.

10) Masanya telah tiba untuk negeri-negeri menjadi lebih 'ketat dan lokek sedikit' dalam mengiktiraf sesiapa jua dengan gelaran Datuk. Kita tidak boleh salahkan masyarakat andainya mereka mula bertanya sama ada seseorang itu bergelar Datuk dari negeri mana. Bila disebut Datuk Johor dan Datuk Selangor orang mempunyai tanggapan positif. Malangnya apabila disebut Datuk Negeri P, Datuk Negeri M dan Datuk Negeri N umpamanya, rakyat mula mencebik bibir, memandang sinis dan berbahasa lawak untuk membicarakannya.

Neba2020: Datuk Nicol David, Datuk Lee Chong Wei, Datuk Misbun Sidek, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar, Datuk Azhar Mansor; rakyat biasa yang diiktiraf dan memang layak untuk diiktiraf dan dipuji keupayaannya. Bila pula dapat kita panggil Rashid Sidek, Razif Sidek, Jailani Sidek, Shalin Zulkifli, Chef Wan, M. Nasir, Fauziah Ahmad Daud dan Ramli Ibrahim (pakar tarian klasik India) dengan panggilan Datuk?

Saturday, October 10, 2009

Politik Warung Kopi, Stesen Bas dan Kebun Getah: Episod 2

Salam Buat Semua,

1) Ada yang berkata bahawa para pengundi di kawasan bandar adalah lebih bijak berbanding dengan mereka yang mengundi di kawasan luar bandar ataupun pekan-pekan kecil.

2) Kononnya, kadar celik huruf, pendedahan kepada dunia Internet, taraf pendidikan dan keadaan sosio-ekonomi para pengundi di kawasan bandar adalah lebih tinggi dan lebih bagus berbanding dengan yang tidak berada di bandar. Tidakkah ini seperi cuba merendah-rendahkan taraf warga Malaysia di luar bandar?

3) Para penyokong gabungan 'parti' Pakatan Rakyat (PR) suka menghebohkan kononnya Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan 'kekuasaan' dengan majoriti mudah sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 kerana 'dibantu' oleh para pengundi yang masih 'ketinggalan' segalanya. Kecoh dibesar-besarkan yang BN menang kerana ehsan berterusan orang kampung, orang estet, orang FELDA, orang Asli, orang rumah panjang, orang-orang lepasan Darjah Enam era 1940an juga 1950an dan orang-orang pekan pinggiran jalan yang memberikan sokongan kepadanya.

4) Malangnya, mereka ini lupa betapa di PRU 2008; BN mendapat juga sokongan padu daripada 'orang-orang' bandar seperti yang berlaku di Johor Bahru, Pasir Gudang, Bukit Katil (Melaka), Alor Setar dan Sibu.

5) Sejarah perlu juga digali sedalamnya sebelum membuat konklusi mudah bahawa orang-orang bandar menolak BN sepenuhnya. Tidak perlulah melihat jauh, teliti sahaja apa yang berlaku sekitar PRU 1999 dan PRU 2004.

6) Kawasan-kawasan bandar seperti Shah Alam, Petaling Jaya, Seremban, Rasah, Kuantan, Lembah Pantai, Sungai Petani, Titiwangsa dan Ampang semuanya sentiasa berada kukuh di dalam genggaman BN sewaktu zaman pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Pengerusi BN. Penguasaan itu berterusan sehinggalah di PRU 2004, zaman 'awal-awal' pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.

7) PRU 2004 turut menyaksikan orang-orang bandar yang kukuh sokongannya kepada parti pembangkang telah mengalami 'perubahan drastik' apabila memberikan sokongan padu kepada BN. Situasi ini dapat dilihat di Kota Melaka, Kota Bahru dan Kuala Terengganu. Ini menunjukkan betapa perubahan zaman mahupun teknologi bukanlah 'penentu' utama kepada suka atau bencinya para pengundi kepada BN. Faktor sentimen (mungkin juga slogan-slogan dan janji-janji umum?) kepimpinan semasa amat memainkan peranan yang cukup besar.

8) Hakikat yang perlu diakui ialah memang terdapat sekelompok pengundi yang tetap setia dengan perasaan 'benci BN, suka DAP sepenuhnya.' Para pengundi berstatus 'bandar' seperti di Bukit Bintang, Ipoh Barat, Ipoh Timur, Batu Gajah (Perak) dan Kepong misalnya kelihatan tidak akan terpengaruh dengan apa jua sentimen baik yang dibawakan BN kerana selamanya undi mereka diberikan kepada DAP.

9) Adalah baik untuk kita percaya betapa ada 30% pengundi yang selamanya akan menyokong BN dan 30% lagi tetap setia dengan parti-parti seperti PAS, DAP dan PKR. Undi daripada kelompok 60% ini begitu sukar untuk digugat, mereka 'setia' dengan parti yang disukai. Ada 40% golongan pengundi pula yang bersifat 'atas pagar,' menyokong berdasarkan sentimen semasa dan pengaruh persekitaran yang kuat pada sesuatu masa itu. Mereka inilah penentu kepada siapa yang menang besar, menang kecil ataupun tewas mengejut!

10) Politik warung kopi, stesen bas dan kebun getah janganlah dipandang kecil. Taraf pendidikan, ukuran kemewahan, status pekerjaan mahupun penguasaan Internet bukanlah penentu utama kepada percaturan sokongan politik mereka. Perasaan mereka perlu dijaga, semangat mereka perlu dilonjakkan, kebanggaan mereka menjadi warga Malaysia wajib disemarakkan dan prihatin kepada masa depan anak juga cucu mereka haruslah dikukuhkan. Inilah rahsia BN selama 22 tahun di bawah Dr. Mahathir tetap kukuh walaupun beliau dilabelkan pembencinya sebagai Maha Firaun, Maha Zalim, diktator dan penaung kronisme juga nepotisme.

Neba2020: Setiap rakyat bernilai kepada negara dan setiap rakyat ada keistimewaannya ke arah menyumbang kepada kemajuan negara, tiada siapa yang lebih bernilai undinya, lebih tinggi taraf undinya walaupun dipisahkan oleh sempadan kampung, estet, pekan mahupun bandar....

Sunday, October 4, 2009

Politik Warung Kopi, Stesen Bas dan Kebun Getah

Salam Buat Semua,

1) Kalau anda ingin tahu tentang parti mana yang akan menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 nanti (sekitar tahun 2012 dan 2013) maka janganlah sekadar bergantung kepada kepercayaan diri sendiri, rakan-rakan 'sekepala' dengan anda mahupun komentar-komentar di blog yang berbau politik semata-mata.

2) Duduklah mendengar apa yang orang borakkan di warung-warung kopi, tempat menunggu bas, para penoreh getah, tukang sabit buah kelapa sawit, para pekerja am yang mencuci di pejabat mahupun kompleks membeli belah, operator-operator pengeluaran di kilang-kilang, orang-orang yang sempat berborak di pasar-pasar basah dan tidak ketinggalan ialah apa yang makcik-makcik di kampung 'riuh-rendah' sesama mereka di waktu petang.

3) Inilah 'suara-suara' rakyat majoriti yang akan MENENTUKAN siapa yang terus berkuasa dan siapa yang harus disungkurkan.

4) Mereka inilah yang telah 'MENGHALAU' orang-orang Barisan Nasional seperti S. Samy Vellu, Shahrizat Jalil, Zainuddin Maidin, Dr. Koh Tsu Koon, G. Palanivel, M. Kayveas dan berdozen lagi daripada bergelar Yang Berhormat Ahli Parlimen sewaktu PRU ke 12, 2008.

5) Jangan lupa juga bahawa orang-orang kuat parti pembangkang seperti Lim Kit Siang, Abdul Hadi Awang, Mohd. Sabu dan Karpal Singh juga pernah 'DIHUMBAN keluar' daripada Parlimen sewaktu PRU tahun 1999 ataupun 2004 oleh 'suara-suara' rakyat majoriti ini.

6) Pertengahan tahun 2006 sehinggalah bulan-bulan terakhir sebelum PRU tahun 2008 didapati betapa 'suara-suara' rakyat majoriti ini cukup skeptikal terhadap satu nama. Mereka seolah-olah cukup tinggi kepercayaannya betapa Perdana Menteri ke 5 adalah tidak meyakinkan, menyusahkan kehidupan rakyat, pentadbirannya cukup lemah, dipengaruhi oleh ahli keluarga terdekatnya dan yang cukup memalukan dia dilabelkan sebagai 'kaki tidur.'

7) Itulah yang riuh dan kecoh di kalangan pengunjung setia warung-warung kopi di seluruh negara, makcik-makcik yang menyertai 'mesyuarat tingkap,' para penoreh getah juga penyabit kelapa sawit di tanah rancangan FELDA, pencuci-pencuci bangunan, pekerja am yang memungut sampah di taman-taman perumahan, para peniaga kecil juga pengunjung setia pasar-pasar basah yang tiada pendingin udara juga lantai berkilat dan ahli-ahli negara yang sentiasa menunggu bas di tepi-tepi jalanraya mahupun di stesen-stesen bas.

8) TANPA perlu membaca komentar-komentar ahli masyarakat yang 'celik I.T' di blog-blog politik, TANPA perlu menonton diskusi politik yang agak seimbang kandungannya di saluran ASTRO Awani, TANPA perlu membaca akhbar-akhbar politik bertaraf bebas juga yang berat ke arah perjuangan pembangkang dan TANPA perlu menilai apa yang dibualkan oleh warga-warga yang kononnya sedikit 'intelek' di pejabat-pejabat kerajaan juga swasta, sekolah-sekolah, deretan universiti dan himpunan bank di seluruh Malaysia; persoalan tentang parti mana yang akan berkuasa dan parti mana yang akan tersungkur dengan teruknya akan dapat dijawab sekiranya kita memberi peluang kepada diri kita untuk mendekati 'suara-suara' rakyat bawahan itu. Adakah Barisan Nasional akan tewas, menang tetapi tidak menguasai 2 per 3 keanggotaan di Parlimen ataupun menang dengan bergayanya kelak? Perhatikan saja kepada 'suara-suara' itu!

9) Walau sekeras manapun ketidakyakinan para penyokong (mungkin fanatik?) Anwar Ibrahim, PAS dan DAP terhadap kepimpinan Mohd. Najib Abdul Razak selaku Perdana Menteri ke 6 Malaysia, kenyataannya ialah 'suara-suara' yang agak negatif terhadap Perdana Menteri ke 5 itu kini secara majoritinya (majoriti tidak bererti 100%) sudah tidak terlalu 'buruk' pandangannya terhadap ketua pentadbir kerajaan yang baru itu. Modal untuk memerli Perdana Menteri juga semakin mengecil.

10) Mohd. Najib tidak seperti Abdullah Ahmad Badawi dan kepimpinannya lebih meyakinkan rakyat dan kelemahannya tidak mudah untuk dieksploitasi para pembencinya. Tidak hairanlah Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Salahuddin Ayub, Mohd. Sabu, Azmin Ali, Tian Chua dan rakan-rakan lain kini seolah 'senyap' dan hilang taring untuk menyerang pentadbiran Mohd. Najib. Nik Abdul Aziz sendiri kini lebih banyak 'merapu' daripada menasihat menggunakan ilmu yang waras. Era mereka ligat dan 'cemerlang, gemilang, terbilang' dalam menghentam Barisan Nasional dan pentadbirnya kini sudah berlalu.

Neba2020: Rendah diri selalu, mendekati rakyat bawahan, memahami kata hati masyarakat dan menghormati juga memelihara suara majoriti adalah rahsia mudah untuk melembutkan hati orang kita ....