Tuesday, June 23, 2009

21 Jun 2009: Sehari Bersama Encik Di Hari Bapa

Salam Buat Semua,

1) Jam 9.00 pagi: Menikmati roti canai berkuah kari bersama-sama. Emak, abang dan kakak ipar turut serta.

2) Jam 10.00 pagi - 12 tengahari: Membaca akhbar Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan Siasah bersama-sama Encik. Seperti biasa, membaca surat khabar di hari minggu bukannya sekadar membaca. Saya dan Encik akan saling berkomentar. Artikel-artikel menarik berkaitan dengan politik yang banyak terdapat di dalam Mingguan Malaysia dan Siasah akan saya baca kuat-kuat dan Encik menjadi pendengarnya dengan penuh minat.

3) Banyak sungguh coretan akhbar di pagi minggu itu yang mendapat perhatian kami berdua. Kisah kerajaan perpaduan yang dilontarkan Abdul Hadi Awang, Nik Abdul Aziz yang berang dengan Nasharuddin Mat Isa, Anwar Ibrahim merasakan Chin Peng wajar dibenarkan kembali ke Malaysia, Dr. Mahathir Mohamad berpendapat Melayu sudah mula terasa terancam, muslihat Lee Kuan Yew melakukan lawatan hormat selama 8 hari di Malaysia, titah Sultan Johor betapa Baginda tidak merestui pembinaan jambatan ketiga menghubungkan Johor dan Singapura dan kewajaran kemenangan Mahmoud Ahmadinejad sebagai Presiden Iran buat penggal kedua. Semuanya kami bincangkan. Ada yang menyebabkan suara saya 'terjerit-jerit' dan ada pula yang membuatkan suara Encik 'terpekik-pekik.'

4) 12.30 tengahari: Menonton Melodi di TV3 bersama Encik. Kami berselisih pendapat tentang isu Datuk Sharifah Aini yang mendakwa komposer S. Atan telah menipu beliau. Encik percaya kepada kata-kata S. Atan dan saya pula merasakan Sharifah Aini yang benar.

5) 2.00 petang: Selesai solat Zohor, saya baring bersama-sama dengan Encik sambil membaca buku. Tanpa disedari, kami ketiduran di petang itu. Rehat di kampung yang sungguh menenangkan jiwa dan fizikal.

6) 4.00 petang: Sama-sama menonton siaran langsung perlawanan akhir badminton terbuka Indonesia. Kami bersorak riang melihat beregu wanita Malaysia mengalahkan lawan dari China dan Datuk Lee Chong Wei memalukan wira Indonesia iaitu Taufik Hidayat. Puas dan cukup gembira !

7) 6.00 petang: Kami anak-beranak menikmati suasana petang di halaman rumah. Deretan pokok manggis yang sudah mula masak buah-buahnya menjadi perhatian kami. Puas sungguh dapat memetik, memanjat dan menjolok buah manggis bersama-sama. Riuh rendah walaupun cuma berlima sahaja.

8) 8.00 malam: Menikmati hidangan makan malam bersama-sama. Emak sediakan sup kambing kegemaran saya dan Encik, sotong goreng, ikan cencaru berlada dan sayur taugeh masak lemak. Sungguh berselera dibuatnya !

9) 9.00 malam: Menonton program realiti kegemaran kami, MENTOR di TV3. Sambil menonton MENTOR, abang mengupas durian yang dibeli di kebun milik kawannya. Kami menyantap durian pula ! Sup kambing dan durian memang mampu 'memanaskan' kami ! Emak sempat pula membuatkan air cincau sebagai 'peneutral' yang cukup melegakan. Manggis juga menjadi 'penawar' kepada panas badan dek menikmati gabungan sup kambing dan durian Segamat yang memang terkenal itu.

10) 12.00 malam: Waktu untuk tidur. Esok pagi selepas Suboh saya perlu pulang ke Melaka.

Tiada sambutan istimewa hari bapa buat Encik tetapi saya dan Encik sentiasa 'meriah' dan sentiasa ada perkara yang boleh kami raikan bersama. Sehari bersama Encik umpama sejam sahaja berlalu ...

Neba2020: Saya Sayang Encik ! Encik Saya Adalah Seorang Yang Tidak Membosankan, Sentiasa Mampu Menceriakan dan Bijak Memberi Erti Kepada Kehidupan Ini ....

3 comments:

Anonymous said...

salam...

terpaksa gak antor msg kat sini.. coz kat medium yg lain, semuanya xde respon balas.. xtau ler pulak kalo fnd mmg x berkesempatan baca, atau pun baca tp xde masa balas, ataupun... ? dunno lor..

tapi dah byk bebenor lor ngantor msg before this..

harap2 kat ruangan BLOG ni, dapat lah kiranya "SIR" respon balas ye...

xyah publish arr komen ni... DELETE jer.. yg penting komen ni selamat di baca...



Pengirim: SYUKRI - Shah Alam

Anonymous said...

Alhamdulillah...

menjadi juga medium BLOG ni..
kurang 24jam.. trus dpt respon SMS dari Sir Fnd..

tima kasih coz prihatin,
jasamu dikenang...

fendy_ahmad said...

Buat Abg. Syukri,↲
Terima kasih atas sokongan selama ini. Inspirasi akan terus cuba menyinari apa yang termampu :)