Friday, May 29, 2009

Mimpi-Mimpi Di Malam Jumaat

Salam Buat Semua,

1) Saya dipinang oleh seorang gadis ! Sungguh ganjil mimpi yang satu ini ! Tidak pernah terlintas langsung yang saya akan 'dipinang' oleh sesiapa kerana kebiasaannya lelakilah yang wajar melakukannya.

2) Saya tersedar, jam menunjukkan pukol 3.30 pagi rupanya. Sempat terfikir tentang mimpi seketika tadi. Kelakar ada, pelik ada !

3) Hujan berderaian di luar rumah, lama sungguh bumi Melaka tidak disimbah hujan. Syukur ! Mata tertutup semula.

4) Saya kehairanan kerana berada di sebuah universiti awam. Saya melalui satu bilik pejabat yang tertera tanda nama berbunyi ' DR. NOOR EFFANDI AHMAD' dan di bawahnya pula tertulis ' TIMBALAN DEKAN FAKULTI PENGAJIAN PERNIAGAAN.' Saya pantas terfikir, 'Bila pula aku jadi Doktor, macam mana pula aku kerja kat sini, peliknya.'

5) Seketika kemudian, mimpi itu terus tamat dan saya tersedar. Jam sudah mencecah angka 6 pagi, waktu untuk menunaikan solat Suboh.

Neba2020: Mimpi kadang-kadang ada yang indah dan ada yang menakutkan. Ada juga mimpi yang pelik lagi ganjil dan ada juga mimpi yang kelakar juga melucukan ....

Saturday, May 23, 2009

Imbasan 21 Mei 2000

Salam Buat Semua,

1) 21 Mei 2000 adalah hari Ahad.

2) Saya mendaftarkan diri sebagai pelajar baru Multimedia University (MMU), universiti swasta pertama di Malaysia.

3) Pagi itu, pelajar-pelajar baru lepasan SPM yang mengambil jurusan pra-Pengurusan memulakan 'alam universiti' dengan disertai pelajar-pelajar lepasan STPM dan juga Diploma.

4) Rakan-rakan lepasan SPM yang mengikuti program pra-Kejuruteraan dan pra-Teknologi Maklumat telah mendaftarkan diri sehari lebih awal.

5) Terasa kecil sungguh diri di pagi itu tatkala melihat aneka 'jenis' manusia yang ada di antaranya sungguh 'tidak biasa' di pandangan sebelum ini. Perubahan 'trend' manusia yang baru menyambut ketibaan millennium baru abad ke 21 sememangnya menghadirkan satu pengalaman baru buat saya.

6) Saya adalah budak kampung biasa yang rumahnya adalah kira-kira 5 kilometer daripada bandar Segamat. Bandar itu tidaklah besar dan serba sederhana sahaja. Tiada gedung-gedung kedai konsep berjenama dan tiada pusat hiburan yang canggih lagi moden.

7) Apabila sebut bandar Segamat, kepala otak ini akan memancarkan suasana pasar malam setiap lewat petang Sabtu dan pasaraya-pasaraya 'biasa' bernama Upwell, Billion, Warta (kini sudah ditutup), Fajar (ditutup selepas banjir besar akhir tahun 2006) dan Derang Emas (sudah ditutup). Bandar Segamat juga di minda saya adalah sinonim dengan restoran makanan segera seperti KFC, McD dan Marrybrown. Restoran Pizza Hut hanya dibuka beberapa bulan selepas saya bergelar pelajar MMU. Pasaraya besar Giant pula hanya mula menjejakkan 'tapaknya' di Segamat pada tahun 2007. Farmasi Guardian dan Watson juga mula 'dikenali' warga Segamat pada tahun 2007.

8) Saya ditempatkan di sebuah rumah sewa di Taman Bukit Beruang Indah, kira-kira 10 minit jarak berjalan kaki ke kampus universiti. Di rumah itu, bermulalah kehidupan 'bujang' saya yang buat pertama kalinya berjauhan daripada 'naungan' Encik (ayah) dan Emak.

9) Ada 6 'bujang' di rumah itu. Saya berkongsi bilik dengan Nazman si budak Kelantan yang mulanya memilih kursus pra-Pengurusan, bertukar pula ke program pra-Kejuruteraan sebaik sahaja tamat minggu orientasi. Bilik utama pula menempatkan Helmi (pra-Kejuruteraan tetapi di peringkat ijazahnya bertukar ke bidang Teknologi Maklumat) si budak Kedah dan Fauzi (pra-Teknologi Maklumat) dari Bangi, Selangor. Bilik belakang pula didiami oleh Faisal dan Ikhwan. Kedua-duanya adalah 'mat Kuala Lumpur' yang memilih kursus pra-Kejuruteraan. Nazman dan Ikhwan bersekolah di MRSM, Fauzi pula di Sekolah Teknik dan Helmi di Maktab Sultan Abdul Hamid yang masyhur. Saya dan Faisal pula adalah 'lepasan' sekolah harian biasa yang tidaklah terkenal. Di rumah itu, saya adalah pelajar pra-Pengurusan tunggal, sentiasa belajar keseorangan.

10) Pertengahan malam 21 Mei itu, Encik dan Emak meninggalkan saya di rumah sewaan tersebut. Di tepi pagar besi, air mata saya mengalir berderai melihat mereka berdua berlalu pergi. Maklumlah, itulah pertama kali Encik dan Emak menaiki kereta bersama-sama saya di awalnya tetapi di akhirnya saya tidak turut serta. Walaupun jarak MMU dan kampung hanyalah kira-kira 90 kilometer tetapi 'perpisahan' itu sungguh menghibakan saya yang ketika itu berusia 17 tahun, 7 bulan dan 13 hari.

Selebihnya adalah sejarah ....

Neba2020: Mengingat sejarah penitian diri sendiri akan membuat kita lebih tahu erti bersyukur, menghargai kasih sayang dan peri pentingnya setiap perjalanan kehidupan di atur dengan baik sambil sentiasa meminta ianya dipermudahkan Tuhan ....

Wednesday, May 20, 2009

Satu Sekolah Untuk Semua

Salam Buat Semua,

1) Malaysia terlalu unik. Kita berbangga dengan keunikan yang dimiliki. Rakyat yang berbilang bangsa, pelbagai agama dan aneka budaya yang berbeza. Kita memang unik dan ianya menjadi kebanggaan bersama.

2) Kadang-kadang ada di antara keunikan itu yang tanpa disedari telah menjadi barah kepada pembinaan sebuah negara bangsa yang bersatu lagi sekata. Kita sedia maklum bahawa barah kesan buruknya tidaklah dapat dikesan dengan cepat dan mudah. Barah berkembang sebagai 'penyakit' sedikit demi sedikit dan kebiasaannya hanya dapat dikesan apabila ia mula merebak dan 'menyakitkan.'

3) Sistem pendidikan di Malaysia berbentuk 'aneka ragam.' Di peringkat sekolah rendah kita memiliki Sekolah Kebangsaan, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT). Sudah tiba masanya konsep 'SATU SEKOLAH UNTUK SEMUA' dijalankan secara mandatori di negara ini.

4) Penyatuan sesama rakyat Malaysia di peringkat awal lagi kelihatannya sudah 'bercabang-cabang' dan sistem yang sedia wujud ini adalah umpama sebuah 'perancangan' penuh taktikal daripada awal lagi oleh 'penciptanya' untuk memastikan Malaysia bergolak dan hancur dek kerana 1001 perbezaan di kalangan rakyatnya setelah kemerdekaan diberikan.

5) Dewasa ini banyak pihak yang mahukan konsep kesamarataan dijalankan. Katanya, semua warganegara perlu dilayan secara adil, tanpa prejudis dan tiada sebarang penindasan. Sebenarnya, keadilan untuk semua rakyat telah lama wujud di negara ini. Kepimpinan Melayu yang mewakili kumpulan Bumiputera yang meliputi kira-kira 70% daripada penduduk Malaysia selaku penduduk asal negara ini telah lama mengamalkan dasar terbuka buat semua rakyat.

6) Konsep 'menang-menang (win-win situatioan)' yang dipersetujui oleh wakil-wakil tiga etnik terbesar (Melayu, Cina dan India) sewaktu musim-musim awal pembentukan negara ini dahulu seharusnya dijadikan tauladan dan renungan bersama. Kini musim mungkin sudah berlalu. Konsep Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang 'dikatakan' mengutamakan Bumiputera itu sendiri kelihatannya seakan 'amat dibenci' oleh segelintir puak-puak bukan Bumiputera dan turut difikirkan harus 'ditutup' terus oleh sekelumit golongan Melayu yang anti-UMNO.

7) Tema Ketuanan Melayu dan Hidup Melayu pula telah dimanipulasikan dengan sebijaknya oleh pasukan anti-UMNO (mungkin juga anti-Melayu) yang menyebabkan sesetengah teman-teman bukan Bumiputera merasakan ianya adalah umpama satu gerakan untuk 'meminggirkan juga mengancam' kehidupan mereka di negara tercinta ini.

8) Saya bersetuju konsep kesamarataan dipraktiskan sepenuhnya di Malaysia ini menjelang tahun 2020. Saya bersetuju liberalisasi dilaksanakan di dalam semua sektor ekonomi di Malaysia. Saya juga bersetuju dasar keistimewaan terpilih yang mengutamakan Bumiputera dihapuskan. Saya turut bersetuju jika sistem meritokrasi dijadikan dasar negara ini. Saya yakin, ramai Melayu / Bumiputera yang terbuka dalam membincangkan isu ini. Syaratnya, pengorbanan harus dibalas dengan pengorbanan juga.

9) Kesediaan bangsa Melayu untuk 'melepaskan' apa jua bentuk perlindungan dan keistimewaan itu 'wajib' juga diikuti dengan kesediaan bukan Bumiputera untuk 'melepaskan' apa jua bentuk sistem yang menghalang rakyat negara ini daripada memperoleh erti penyatuan yang sebenar dan perkongsian satu negara yang tulen.

10) Pengorbanan bukan Bumiputera yang perlu dilakukan ialah penutupan sistem SRJKC serta SRJKT, penghapusan sistem peperiksaan menengah di sekolah bebas (independent school) yang tidak selari dengan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), penggunaan Bahasa Kebangsaan sepenuhnya untuk semua aktiviti rasmi perniagaan dan ekonomi, menghormati Islam sebagai agama rasmi Malaysia, menghormati tanpa prejudis penggunaan adat dan budaya Melayu untuk majlis-majlis rasmi kerajaan serta pentadbiran, penguasaan sepenuhnya Bahasa Kebangsaan di tahap cemerlang untuk meraih pekerjaan di sektor kerajaan juga swasta dan kesediaan untuk berkhidmat sebagai anggota tentera, polis, bomba serta pertahanan awam secara lebih menyeluruh.

Andainya jawapan yang diberikan adalah 'TIDAK' dan pelbagai alasan serta hujah diberikan maka selagi itulah Bumiputera juga akan mengatakan 'TIDAK' kepada semua perkara yang diminta untuk 'dilucutkan' itu.

Neba2020: Satu negara bererti satu kata dan satu cita-cita. Satu cita-cita yang sama perlu hadir dengan satu perkongsian bersama. Rasa berkongsi akan hadir dengan satu perpaduan dan satu sistem pendidikan serupa. Sudah tiba masanya, anak-anak kecil Malaysia diberikan kesempatan untuk belajar di dalam satu sekolah yang serupa sistemnya, satu bahasa dan satu suara.

Friday, May 15, 2009

200 Universiti Terbaik Asia 2009

Salam Buat Semua,

1) Multimedia University (MMU) berada di tangga ke 171 di kalangan 200 universiti terbaik di benua Asia bagi tahun 2009.

2) Berdasarkan senarai tersebut, hanya 6 universiti di Malaysia yang berjaya diklasifikasikan di kalangan 200 institusi pengajian tinggi terbaik di Asia.

3) Lima institusi pengajian tinggi awam (IPTA) iaitu Universiti Malaya (39), Universiti Kebangsaan Malaysia (51)), Universiti Sains Malaysia (69), Univeriti Teknologi Malaysia (82) dan Universiti Putra Malaysia (90) mengungguli kedudukan yang lebih tinggi berbanding MMU di dalam senarai terbaik Asia itu.

4) Signifikannya, MMU kini adalah universiti ke 6 terbaik di Malaysia dan bolehlah ditakrifkan sebagai insititusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang terbaik di Malaysia.

5) MMU masih muda dan usianya baru hendak menjejak angka 12. Jika dilihat daripada umurnya, MMU jauh lebih 'kecil' berbanding dengan IPTA seperti Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Teknologi Mara, Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Sabah dan juga Universiti Malaysia Sarawak. Sebagai institusi swasta yang 'kurang' dahan untuk bergantung harap, pencapaian 'pantas' MMU ini sewajarnya boleh dibanggakan oleh semua 'produk-produk' yang pernah dilahirkannya sejak 12 tahun lepas, para pendokongnya dan juga pelajar-pelajar semasa.

Neba2020: Buat Semua Pelajar dan warga MMU, Hayatilah Kata-Kata Lagu Kebanggaan Kita - Permata Dunia ....

Tuesday, May 12, 2009

Mohd. Nizar MB Yang Sah !

Salam Buat Semua,

Terkini:

" Mahkamah Rayuan di Putrajaya (Menjelang tengahari, 12 Mei 2009) membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan Mohd. Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Selaras dengan itu, Dr Zambry Abdul Kadir akan kekal sebagai Menteri Besar sehingga kes rayuannya didengar. "


Artikel Asal:

1) Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (11 Mei 2009) memutuskan bahawa Mohd. Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar (MB) Perak yang sah sekaligus menidakkan 'perlantikan' Dr. Zambry Abdul Kadir oleh Paduka Seri Sultan Perak kira-kira 3 bulan lepas.

2) Keputusan mahkamah itu perlu dihormati dan tidak perlu disangsikan.

3) Ada pemberi komentar di weblog ini (lihat komentar topik sebelum ini) merasakan bahawa saya akan tetap 'mempertahankan' Dr. Zambry dan menafikan keputusan mahkamah.

4) Mungkin itu adalah sikap majoriti penyokong Pakatan Rakyat (PR) yang sebenarnya tidak perasan bahawa mereka adalah golongan yang sentiasa tidak 'adil' pada keadaan.

5) Jika keputusan mahkamah tidak sekata dengan keinginan mereka, mahkamah akan dikatakan tidak berlaku adil, telah dipengaruhi oleh kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) dan hakim telah 'dibeli.'

6) Sebaliknya, jika keputusan mahkamah memihak kepada kemahuan mereka, pastilah kata-kata seperti 'Zambry MB haram,'Reformasi,' 'Ketuanan Rakyat' dan seumpamanya akan dilaungkan. Malah, segelintirnya ada pula yang tergamak melaungkan kata-kata kebesaran Tuhan. Sungguh tidak sopan lagi kehilangan hikmah.

7) Adakah keputusan seperti ini akan menyebabkan penyokong PR merasakan bahawa mahkamah telah berlaku adil, BN sememangnya tidak mempengaruhi keputusan pengadilan dan para hakim adalah bersih daripada pengaruh politik ?

8) Mohd. Nizar berjaya menjadi MB 'semula' setelah hampir 100 hari 'berehat.' Interpretasi undang-undang sememangnya sukar untuk difahami. Tindakan Paduka Seri Sultan Perak 'melantik' Dr. Zambry juga 'seakan tidak silap' kerana jelas Mohd. Nizar sudah kehilangan sokongan majoriti di kalangan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak. Malangnya, BN di awal Februari 2009 kelihatannya sedikit gelojoh untuk berkuasa sekaligus terus datang menghadap Sultan untuk membentuk kerajaan negeri yang baru. BN sewajarnya sedikit bersabar dengan menunggu untuk menjatuhkan Mohd. Nizar melalui persidangan DUN. BN tidak perlu gelojoh seperti taktik Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan '16 September 2008' kerana nyatalah orang gelojoh akan sentiasa rugi !

9) Kedudukan Mohd. Nizar selepas ini sebenarnya tetap tidak selamat. Apabila DUN Perak bersidang semula, pastinya undi tidak percaya kepada dirinya sebagai MB akan dibentangkan dan beliau akan 'hilang' jawatan tersebut dengan undian menyokong usul daripada 31 ADUN (BN dan Bebas) berbanding 28 ahli-ahli Yang Berhormat di paksi PR yang menolak usul tersebut. Nampaknya, Dr. Zambry pasti akan 'menjadi' MB semula (secara sah !) dalam masa terdekat ini.

10) Mohd. Nizar tiada pilihan, dia terpaksa bergantung harap kepada ihsan Paduka Seri Sultan Perak supaya memberi perkenan untuk DUN Perak dibubarkan sekaligus membuka ruang kepada sebuah Pilihan Raya Negeri. Andai PR menang, Mohd. Nizar terus menjadi MB dan andai BN dipilih secara majoriti maka sekurangnya Mohd. Nizar akan 'pencen' sebagai MB secara terhormat. Paduka Seri Sultan pula mungkin mempunyai tafsiran akan tidak perlunya pilihan raya diadakan kerana pada hemat Baginda, ada parti yang sedang menguasai sokongan majoriti ahli-ahli DUN wajar membentuk pemerintahan kerajaan negeri.

Neba2020: Kegiatan politik terus aktif, pengurusan hal ehwal rakyat bagaimana pula? Rakyat semakin terdedah dengan ilmu kehakiman dan undang-undang, ilmu moral dan pengurusan ekonomi telahkah terdedah juga ?

Friday, May 8, 2009

Melayu Sudah Terlebih Berpolitik ?

Salam Buat Semua,

1) Melayu layak kita berikan gelaran unggul sebagai jaguh terbilang politik di Malaysia.

2) Kejaguhan bangsa Melayu berpolitik kelihatannya 'bertambah-tambah' di zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.

3) Melayu cukup 'gah' dengan ideologi-ideologi politik yang berbeza. Ada Melayu UMNO, Melayu PAS dan Melayu PKR. Segelintir Melayu 'pelik' pula ada yang menyokong sekaligus menjadi ahli kepada DAP, Gerakan dan PPP. Di Sarawak, Melayu banyak yang berada di bawah 'bendera' Parti Pesaka Bumiputera (PBB), kembar UMNO sejak berzaman.

4) Atas nama politik, Melayu mampu membuat apa sahaja. Melayu sanggup berpanas, berhujan, menjadi 'hantu,' hilang suara, berarak berbatu-batu dan membaling batu umpama pakar rejaman di Olimpik. Semuanya sanggup atas nama kepercayaan politik.

5) Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) di dalam Bahasa Inggeris yang telah bermula sejak awal tahun 2003 tiba-tiba menjadi panas setelah lebih 5 tahun diguna-pakai. Unsur-unsur politik 'dipercayai' telah 'meresap' untuk memanipulasikan isu tersebut.

6) Akibat daripada idea 'Kerajaan Perpaduan' di antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat yang dicetuskan segelintir kepimpinan tertinggi PAS, golongan 'Erdogan' yang dilabelkan sebagai professional bukan aliran ulamak telah 'terasa hati' lantas mula menyuarakan rasa betapa sudah sampai masanya jawatan tertinggi parti iaitu Presiden dan Timbalan Presiden 'dibuka' kepada mereka. Komuniti 'Erdogan' di dalam PAS secara terang lagi bersuluh kelihatannya cukup 'setia dan percaya' kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga pemikiran mereka juga seakan sedikit liberal berbanding dengan tema unggul PAS selama berpuluh tahun iaitu 'Kepimpinan Ulamak.' Perbalahan di dalam PAS ini mendapat perhatian ramai, bukan Melayu juga memerhatikannya dengan penuh tumpuan. Melayu PAS sudah ada yang menolak ulamak?

7) Krisis politik di Perak seakan tiada jalan penamatnya sejak Februari 2009. Dewan Undangan Negeri yang dibentuk oleh jumlah seimbang ahli-ahli Yang Berhormat seramai 28 orang di pihak Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat dan 3 anggota bebas yang berpaling tadah daripada pakatan DAP, PKR dan PAS kelihatannya cukup dramatik dan panas sentiasa. Melayu seakan bertarung dengan Melayu. DAP yang sebenarnya 'berkuasa' di sepanjang setahun Pakatan Rakyat berkuasa selepas Pilihanraya Umum 2008 kelihatannya tidak pula mengerah penyokongnya 'bermati-matian' mempertahankan kedudukan kerajaan 'setahun jagung' itu. Melayu PAS khasnya dan Melayu PKR amnya jugalah yang sanggup melakukan apa saja demi 'survival' pakatan itu.

8) Perak sejak Februari 2009 seperti 'mempunyai' dua orang Menteri Besar. Kem Datuk Seri Ir. Mohd. Nizar Jamaluddin dan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir saling salah-menyalahi. Ke dua-duanya penuh taktikal, kelihatan yakin dan tidak gentar dengan sebarang tindakan pihak lawan ! Melayu PAS dan Melayu PKR nampaknya 'bersusah payah' berdemonstrasi dan berjerit-pekik. Melayu UMNO juga tidak kurang hebatnya menangkis segala hujah dan lolongan rakan-rakan sebangsa mereka di pihak PAS dan PKR.

9) Melayu UMNO juga baru 'kebah' daripada proses Pemilihan UMNO 2009. Melayu UMNO di sesetengah negeri juga sedang 'pening dan loya' sedikit. Kehairanan ramai kepada keupayaan Khairy Jamaluddin memenangi jawatan Ketua Pemuda walaupun telah diberi amaran awal akan penglibatannya di dalam politik wang semestinya penuh berasas. Adakah perwakilan Pemuda UMNO itu banyak yang 'korup' dan 'kotor' ? UMNO Terengganu pula 'bising' dengan kewujudan puak Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Ahmad Said. UMNO Perlis yang tidak padan dengan saiznya itu pula 'riuh' dengan kewujudan kem Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu.

10) Nampaknya, Melayu memang sudah terlebih berpolitik !

Neba2020: Terlebih-lebih kadang-kadang bahaya kerana apabila kita terlebih-lebih dalam satu perkara, maka kita pula yang akhirnya rugi di dalam satu perkara yang lain. Lebih teruk apabila kita yang terlebih-lebih dalam memperjuangkan sesuatu yang akhirnya kita pula yang rugi dan mereka yang tidak perlu terlebih-lebih itu pula yang mendapat kesan untung. Alahai Melayu ....

Wednesday, May 6, 2009

Dulu, Emak Susukan Aku .....

Salam Buat Semua,

1) Coretan di bawah bukanlah hasil idea saya tetapi dikirimkan secara mel elektronik berantai (forwarding e-mail) oleh seorang rakan (terima kasih buat Ahmad Helmi di Pulau Pinang).

2) Ayat-ayatnya cukup berhikmah, penuh dengan keikhlasan untuk sama-sama kita renungi dan insafi.

3) Kadang-kadang kita terlupa bahawa kita tidak cukup adil kepada ibu sendiri kerana kita terlebih-lebih mementingkan 'yang lain' di sepanjang proses pendewasaan diri juga pematangan diri.

4) Kadang-kadang nilai ingatan kita kepada ibu hanya tertumpu kepada kiriman wang, doa daripada kejauhan dan kata-kata hormat sahaja.

5) Kita lupa bahawa nilai sentuhan dan nilai layanan seorang anak itulah yang paling dinanti-nantikan oleh sesiapa jua yang bergelar ibu.

Orang kata aku lahir dari perut mak.. (bukan org kata...memang betul)

Bila dahaga, yang susukan aku....mak
Bila lapar, yang suapkan aku....mak
Bila keseorangan, yang sentiasa di sampingku.. ..mak
Kata mak, perkataan pertama yang aku sebut....Mak
Bila bangun tidur, aku cari....mak
Bila nangis, orang pertama yang datang ....mak
Bila nak bermanja, aku dekati....mak
Bila nak bergesel, aku duduk sebelah....mak
Bila sedih, yang boleh memujukku hanya....mak
Bila nakal, yang memarahi aku....mak
Bila merajuk, yang memujukku cuma....mak
Bila melakukan kesalahan, yang paling cepat marah....mak
Bila takut, yang tenangkan aku....mak
Bila nak peluk, yang aku suka peluk....mak

Aku selalu teringatkan ....mak
Bila sedih, aku mesti talipon....mak
Bila seronok, orang pertama aku nak beritahu.....mak
Bila bengang.. aku suka luah pada..mak
Bila takut, aku selalu panggil... "mmaaakkkk! "
Bila sakit, orang paling risau adalah....mak
Bila nak exam, orang paling sibuk juga.....mak
Bila buat hal, yang marah aku dulu.....mak
Bila ada masalah, yang paling risau.... mak
Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ni.. mak
Yang selalu masak makanan kegemaranku....mak
Kalau balik ke kampung, yang selalu bekalkan ulam & lauk pauk.....mak
Yang selalu simpan dan kemaskan barang-barang aku.....mak
Yang selalu berleter kat aku...mak
Yang selalu puji aku....mak
Yang selalu nasihat aku....mak
Bila nak kahwin..Orang pertama aku tunjuk dan rujuk.....mak

Aku ada pasangan hidup sendiri....
Bila seronok, aku cari....pasanganku
Bila sedih, aku cari....mak
Bila berjaya, aku ceritakan pada....pasanganku
Bila gagal, aku ceritakan pada....mak
Bila bahagia, aku peluk erat....pasanganku
Bila berduka, aku peluk erat....emakku
Bila nak bercuti, aku bawa....pasanganku
Bila sibuk, aku hantar anak ke rumah....mak
Bila sambut valentine.. Aku bagi hadiah pada pasanganku
Bila sambut hari ibu...aku cuma dapat ucapkan “Selamat Hari Ibu”

Selalu.. aku ingat pasanganku
Selalu.. mak ingat kat aku
Bila-bila... aku akan talipon pasanganku
Entah bila... aku nak talipon mak
Selalu...aku belikan hadiah untuk pasanganku
Entah bila... aku nak belikan hadiah untuk emak

Renungkan: "Kalau kau sudah habis belajar dan berkerja... bolehkah kau kirim wang untuk mak? mak bukan nak banyak... lima puluh ringgit sebulan pun cukuplah".
Berderai air mata jika kita mendengarnya.........

Tapi kalau mak sudah tiada.......... MAKKKKK...RINDU MAK.... RINDU SANGAT.... Berapa ramai yang sanggup menyuapkan ibunya....
berapa ramai yang sanggup mencuci muntah ibunya.....
berapa ramai yang sanggup mengantikan lampin ibunya......
berapa ramai yang sanggup membersihkan najis ibunya.......
berapa ramai yang sanggup membuang ulat dan membersihkan luka kudis ibunya....
berapa ramai yang sanggup berhenti kerja untuk menjaga ibunya.....
dan akhir sekali berapa ramai yang sembahyang JENAZAH ibunya......

Seorang anak mendapatkan ibunya yang sedang sibuk menyediakan makan malam di dapur lalu menghulurkan sekeping kertas yang bertulis sesuatu. Si ibu segera mengesatkan tangan di apron menyambut kertas yang dihulurkan oleh si anak lalu membacanya...

Kos upah membantu ibu:
1) Tolong pergi kedai : RM4.00
2) Tolong jaga adik : RM4..00
3) Tolong buang sampah : RM1.00
4) Tolong kemas bilik : RM2.00
5) Tolong siram bunga : RM3.00
6) Tolong sapu sampah : RM3.00
Jumlah : RM17..00

Selesai membaca, si ibu tersenyum memandang si anak sambil sesuatu berlegar-legar si mindanya. Si ibu mencapai sebatang pen dan menulis sesuatu di belakang kertas yang sama.

1) Kos mengandungkanmu selama 9 bulan - PERCUMA
2) Kos berjaga malam kerana menjagamu - PERCUMA
3) Kos air mata yang menitis keranamu - PERCUMA
4) Kos kerunsingan kerana bimbangkanmu - PERCUMA
5) Kos menyediakan makan minum, pakaian, dan keperluanmu -PERCUMA
Jumlah Keseluruhan Nilai Kasihku - PERCUMA

Neba2020: Carilah dan ciptalah detik-detik waktu bersama sang ibu. Raikan setiap detik bersama ibu dengan keceriaan, kebahagiaan dan keikhlasan yang maksima. Detik-detik itu tidak akan kekal selamanya dan tidak terjamin akan dapat diulangi di kemudian waktu nanti .....

Monday, May 4, 2009

Encik Saya Adalah Mat Pawang Si Anak Bugis

Salam Buat Semua,

1) Membesar sebagai anak kepada Ahmad Bin Md. Yusoff adalah sesuatu yang cukup berharga bagi saya. Orangnya cukup sentimental, suka merujuk kepada zaman silam dan amat tinggi semangat patriotiknya. Dia seorang yang menggemari sejarah.

2) Ahmad adalah anak kepada seorang Pawang Bugis yang cukup berkebolehan di era 1950an. Adalah sesuatu yang ganjil andainya ada di antara penduduk di Mukim Gemereh khasnya dan di daerah Segamat amnya yang tidak kenal kepada Pawang Usop.

3) Pawang Usop itu umpama 'doktor' berilmu 'batin' yang cukup tinggi tahap kepakarannya. Penyakit zahir mahupun batin, gangguan mistik dan petaka akibat buatan manusia pengkhianat semuanya ada di dalam 'menu perubatan' Pawang Usop.

4) Lantaran hebatnya Pawang Usop, Ahmad 'terpalit' dengan panggilan popular Mat Pawang sehingga kini. Andai tiba saja di Kampung Alai, Mukim Gemereh, Segamat bolehlah bertanya kepada sesiapa akan petunjuk ke rumah si Ahmad dengan menggunakan kata ganti nama Mat Pawang sahaja andainya sukar menemui jalan tuju yang sewajarnya.

5) Mat Pawang itu kuat semangat Melayu Bugisnya. Dia setia dengan 'kata-kata' kepercayaan lama bahawa anak lelaki Bugis hidupnya kalau diatur dengan baik maka akan melahirkan darah si pengubat orang, si pahlawan dan si pemimpin.

6) Mat Pawang pernah membuatkan ibunya menangis 'penuh kegilaan' dek keputusan 'darah mudanya' untuk menjadi seorang askar. Dia telahpun mempunyai pekerjaan sebagai Juruteknik Majlis Daerah di Segamat, kampung halamannya sendiri. Pekerjaan itu di era 1960an dan awal 1970an sudah boleh dianggap sebagai sesuatu yang cukup 'besar' lagi 'dipandang orang kampung' akan statusnya.

7) Mat Pawang nekad untuk menjadi seorang 'pahlawan' negara. Ayahnya sudah menjadi Pawang pengubat orang sakit dan dia pula meneruskan kemegahan darah Bugis dengan menjadi pejuang negara. Menjadi sang askar di era awal 1970an adalah sesuatu yang cukup mencabar kerana ancaman komunis masih berleluasa, cabaran selepas peristiwa 13 Mei 1969 dan juga konfrontasi daripada negara jiran.

8) Mat Pawang tidak pernah mendidik saya untuk menjadi seorang yang meletakkan WANG RINGGIT sebagai sasaran utama di dalam kehidupan. Dia tidak pernah mengajar saya untuk memiliki cita-cita yang tinggi supaya hidup di kemudian hari menjadi senang dan mewah. Cita-cita tinggi baginya adalah untuk berbakti dan meraih keredhaan Tuhan.

9) Sejak saya kecil lagi Mat Pawang itu selalu sungguh bercerita akan peri pentingnya hidup ini kita usahakan untuk menjadi yang terbaik buat bangsa dan negara. Dia kata kemewahan tidak akan membawa kita ke mana-mana tetapi jasa kepada orang ramai akan membuatkan hidup kita lebih bererti. Jangan sakitkan hati orang, jadilah orang yang disukai dan disenangi semua pihak, cuba membantu dengan sebarang kemampuan yang dimiliki dan sayangilah asal-usul kita.

10) Semakin usia ini meningkat, semakin tinggi rasa sayang saya kepada Mat Pawang itu. Makin banyak saya membaca dan mendalami ilmu motivasi, agama dan gaya berfikir, semakin kuat rasa bangga dan sayang kepadanya. Rupa-rupanya tanpa saya sedari, sejak kecil lagi saya telah diberikan Tuhan seorang pakar motivasi, jaguh patriotik, pencinta sejarah, pahlawan yang tegas dan pengagum adat budaya. Bukan semua insan mempunyai peluang sebegitu rupa ....

Neba2020: Ayah saya adalah Encik, Encik saya adalah Mat Pawang si anak Bugis yang tegasnya ada kalanya amat memeritkan, mesranya cukup menghiburkan dan seriusnya pasti menginsafkan .... Saya sayang Encik !