Tuesday, October 23, 2007

18 Oktober 2004 - 18 Oktober 2007 : 3 Tahun Di Dunia Pendidikan

Salam Buat Semua,

Tanpa disedari, sudah 3 tahun saya menabur khidmat sebagai seorang pendidik di Multimedia University, Melaka (MMU) ini. Terasa singkat dan cukup pantas masa berlalu pergi. Dalam masa 3 tahun ini juga pola pekerjaan saya telah berubah-ubah daripada seorang pembantu pensyarah ke tutor dan seterusnya sebagai seorang pensyarah. Menarik juga untuk dikenang kerana saya dapat merasakan 3 pengalaman tugas yang sedikit berbeza di organisasi yang sama dalam tempoh 3 tahun sahaja ! Itu takdir dan rahmat Tuhan sebenarnya...

Masih segar ingatan saya sewaktu pertama kali melangkah ke kelas untuk mengajar subjek 'Principles of Economics II' bagi pelajar-pelajar peringkat asas (foundation). Kelakar untuk saya kenang betapa berdebar-debarnya jantung dan terasa sejuk sahaja tubuh ini. Rasanya berkali-kali juga saya asyik 'melawat tandas' sebelum ke kelas tersebut kerana rasa gementar dan mungkin juga terlebih teruja. Segalanya selepas itu adalah memori dan sejarah yang nampaknya telah tiga tahun saya lalui detik-detik sebagai seorang pengajar di universiti.

Apa yang saya tahu, saya tidak pernah menyesal dengan pilihan ini dan saya amat seronok menjalankan tugas dan tanggungjawab yang satu ini. Tidak semua manusia berjaya mencapai cita-cita asalnya ketika di zaman sekolah. Tetapi Tuhan amat pemurah kepada saya kerana inilah cita-cita yang pernah saya tulis di dalam buku rekod pelajar ketika saya di bangku sekolah. Menjadi seorang PENSYARAH ! Syukur dan syukur....

Apabila saya renung ke belakang, saya merasakan betapa tugas yang saya praktiskan ini adalah secocok dengan minat dan keupayaan diri ini seperti mana yang dapat dikesan oleh guru-guru saya dahulu. Baru sekarang saya merasakan betapa insan yang bergelar cikgu-cikgu ketika saya di alam sekolah dahulu cukup banyak jasanya dalam membentuk saya menjadi seorang pensyarah.

Teringat saya kepada Cikgu Tan Lay Ngoh (Guru darjah ketika di Darjah 5 Biru, 1993) dan Cikgu Yap Kim Chuan (Guru Darjah 6 Biru, 1994) yang masing-masing menaruh kepercayaan dengan melantik saya menjadi Ketua Darjah. Di situlah keupayaan komunikasi saya mula dilatih walhal saya adalah seorang budak yang amat penakut dan amat susah untuk bercakap ketika berada di Darjah Satu hinggalah Darjah Empat. Maklumlah, diri inilah 'si Mayu' di kalangan ahli keluarga dan diri inilah budak yang pernah terkencing di dalam kelas ketika menggu giliran ujian lisan Bahasa Inggeris ketika Darjah Satu dan diri inilah budak yang selalu menggigil ketika kelas Bahasa Inggeris dan Matematik !

Sehingga ke hari ini majoriti daripada saudara-mara masih tidak percaya bahawa si Fendi ini adalah seorang pensyarah di universiti ! Ramai yang hairan bagaimana saya mengajar? Mampukah saya mengawal kelas? Bolehkah saya bercakap di hadapan beratus-ratus pelajar? Tidakkah saya dibuli pelajar? Bolehkah pelajar saya faham apa yang saya terangkan?

Saya tidak pernah berasa kecil hati dengan kata-kata dan soalan-soalan tersebut kerana itulah saya yang mereka kenali dan itulah identiti saya yang mereka ketahui. Saya pada pandangan ahli keluarga dan saya pada pandangan anak-anak didik saya adalah dua dimensi yang berbeza. Unik tapi itulah hakikatnya. Anugerah Tuhan yang saya syukuri selalu.

Seterusnya penghargaan besar juga saya berikan kepada Cikgu C. Jayamani yang menjadi Guru Tingkatan ketika saya berada di Tingkatan 2A (Sekolah Tinggi Segamat, 1996) yang menaruh kepercayaan penuh kepada saya sebagai Pengerusi Kelas. Jawatan tersebut saya pegang selama empat tahun berturutan sehinggalah tamat alam sekolah menengah pada tahun 1999.

Cikgu Zaimon Ismail semestinya seorang guru yang paling banyak peranannya di dalam hidup saya. Beliau yang mengajar saya subjek Bahasa Melayu di Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 adalah orangnya yang pernah 'memaksa dan menggesa' saya untuk menyertai pertandingan Forum Remaja dan juga Debat Ala Parlimen bagi mewakili sekolah saya. Walaupun malas dan tidak berapa yakin dengan diri sendiri saya kuatkan juga semangat dengan menyertai kedua-dua pertandingan tersebut hanya dengan motif semoga ada juga sesuatu yang boleh dicatatkan di dalam sijil tamat persekolahan menengah saya. Sekurangnya ada juga rekod mewakili sekolah ! Tidak pernah terfikir untuk melangkau lebih jauh daripada peringkat daerah...

Tanpa disangka, pasukan saya berjaya meraih kejuaraan sebagai juara daerah Segamat, Johor untuk kedua-dua pertandingan tersebut dan mara ke peringkat negeri Johor. Sesuatu yang tak pernah saya jangkakan ! Bagi Debat Ala Parlimen, saya berjaya mara hingga ke peringkat separuh akhir negeri Johor dan bagi Forum Remaja saya berjaya menjadi juara negeri Johor dan mewakili Johor ke peringkat kebangsaan. Antara pencapaian zaman sekolah yang tidak akan saya lupakan. Terima kasih kepada Cikgu Zaimon kerana dialah orangnya yang mengesan bakat saya secara serius di dalam bidang 'cakap-cakap' ini.

Akhir kata, saya tetap merasakan betapa dunia pendidikan dan juga kerjaya sebagai seorang pendidik (daripada peringkat pra sekolah / Tabika, sekolah rendah, menengah dan juga IPT) adalah 'pencatur' terpenting di dalam proses pembentukan anak bangsa dan negara ini secara kolektifnya. Pendidik yang hebat pasti akan dapat melahirkan seorang ahli negara yang mantap, berketrampilan tinggi dan hebat pemikirannya demi kemajuan negara pada masa hadapan. Hanya keikhlasan, kesabaran dan rasa tanggung jawab yang tinggi sahaja yang akan membezakan antara pendidik sebenar dan juga pendidik yang 'sekadar mencari rezeki.'

Neba2020: Cikgu Sharifah Minah, itulah nama Guru Darjah ketika saya di Darjah Satu Melur di Sekolah Kebangsaan Temenggung Abdul Rahman, Segamat pada tahun 1989. Cikgu ini amat baik dan sungguh lemah-lembut dan cukup sabar orangnya dalam melayan kerenah kami pelajar-pelajar cilik yang baru mencecah usia 7 tahun. Takkan saya lupa saat Cikgu ini memujuk saya yang asyik menangis pada hari pertama persekolahan dan juga apabila dia tanpa wajah marah dan geram melayan saya (dan banyak lagi kes-kes lain !)yang telah 'terbuang air kecil' di dalam kelas. Walau tidak pernah bersua lagi dengan Cikgu ini tetapi saya tetap doakan moga hidupnya dirahmati Tuhan yang Maha Kuasa. Ameen ~~

1 comment:

Rozailin-Rahman said...

kenapa org tak percaya aku dan kau layak menjadi seorang pensyarah? kerna mereka tidak tahu kekuatan yang kita ada..tiada siapa juga esok akan menyangka , dari seorang pensyarah, kau dan aku sama-sama akan menjawat jawatan penting dalam kabinet dan menggubal dasar negara..waktu itu, pasti sekali lagi mulut mereka akan ternganga dan bertanya, layakkah kita menjadi menteri? tak takut ke kita dibuli? siapa layak mempersoalan andai itu kelak tertulis dalam takdir kau dan aku..aku tahu sejauh mana kemampuan kau, sahabat ku..