Monday, April 28, 2008

Isu Khairy Menang Tipu, PKR Memang Sakit !

Salam Buat Semua,

Kisah laman web berita sensasi (terutamanya yang berkaitan dengan politik pro-pembangkang) iaitu Malaysiakini yang meminta maaf secara terbuka kepada Ahli Parlimen Rembau, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin berikutan laporan salahnya yang ternyata telah memberi impak buruk kepada Naib Ketua Pemuda UMNO itu amnya dan Barisan Nasional (BN) juga UMNO khasnya ternyata memberikan satu makna yang cukup besar nilainya kepada perkembangan politik Malaysia. Politik daripada pihak yang kononnya bersih dan adil tetapi sebenarnya tidak pernah adil terhadap manusia lain juga !

Saya kira sebaik saja tamatnya Pilihan Raya Umum(PRU) ke 12 pada 8 Mac, 2008, kisah kononnya Barisan Nasional hanya memenangi kerusi Rembau dengan taktik kotor dengan 'bantuan' Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah tersebar dengan 'pantas lagi berapinya' ke seluruh Malaysia. BN dan UMNO kelihatan sungguh kejam ! PKR sungguh teraniaya ! Aduhai !!!

Para penyokong setia Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga rakan-rakannya di dalam PAS juga DAP telah dengan bangga lagi yakinnya mengatakan bahawa calon PKR iaitu saudara Badrul Hisham Shaharin telah 'diragut' kemenangannya dengan penuh kekejaman di pihak BN.

Antara dakwaan penuh KEPALSUAN juga BUSUK yang diberitakan Malaysiakini dan sekaligus dihebahkan para penyokong pembangkang kepada masyarakat ialah:

1) SPR telah melakukan kiraan semula undi.
2) PKR kononnya telah memenangi kerusi Rembau pada kiraan pertama dengan kelebihan 800 undi, BN tewas.
3) Selepas kiraan kedua, BN (Khairy) telah menang dengan mendadak apabila mendapat kelebihan sebanyak 5, 726 undi berbanding PKR (Badrul).
4) BN didakwa diselamatkan dengan bantuan undi pos yang datang lewat tengah malam walhal perkara tersebut langsung tidak wujud dan pihak PKR sendiri tidak berani mensahihkannya.

Ternyatalah, kesemua tuduhan tersebut adalah tidak benar dan pihak PKR sendiri tidak berani untuk membuat laporan rasmi terhadap 'penyelewengan BN dan SPR' itu. Saudara Badrul sendiri hanya mampu menyepi diri setelah meraih 'popular' seketika di musim PRU.

Pihak PKR dan juga fanatik-fanatik Pakatan Rakyat nampaknya cukup yakin akan kebenaran 'kisah tipu' seumpama itu. Mereka begitu 'berbangga' untuk menghebahkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa Khairy telah menang dengan penuh kekotoran lagi hina caranya.

Inilah sikap sebenar mereka, hilang rasional diri dan lupa kepada asas-asas perjuangan sendiri (katanyalah) iaitu bersih, adil dan kuat pegangan agama. Lupa pula mereka bahawa sokongan yang diberikan kepada PKR dan juga 'Presiden Belakang Tabir' iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim kelihatan seperti sokong membabi buta, asalkan PKR asalkan Anwar, PASTI BETUL MESTI BENAR ! Menyebar berita yang 100% karut serta mendakwa orang 24 jam menzalimi mereka seolah-olah seperti sesuatu yang 'biasa-biasa' saja serta tidak salah di segi agama juga moral kemanusiaan.

Saya yakin, akan ada pelawat weblog ini yang akan menghuraikan dengan panjang lebarnya tentang 'sejarah kezaliman juga ketidakadilan' BN sepanjang 50 tahun memerintah Malaysia ini, silakan untuk kita sama-sama berkongsi ilmu pengetahuan. Tetapi salah tetap salah, BN salah kita tentang, PKR salah kita tentang juga ! Lagi hina rasanya jika yang sengaja membuat salah mahupun fitnah itu adalah pihak yang acapkali 'menjual' prinsip-prinsip mulia lagi adil untuk meraih sokongan masyarakat.

Saya akui bahawa saya bukan penyokong Khairy Jamaluddin, malah saya akui bahawa saya tidak senang dengan cara bapa mertuanya mentadbir negara sejak proses peralihan kuasa negara berlaku pada 31 Oktober, 2003 tetapi saya tidak akan mendiamkan diri sama sekali apabila UMNO dan BN mendapat tempias 'hitam' akibat daripada 'proses pemusnahan kotor' yang suka diamalkan PKR sejak akhir-akhir ini.

Akhir kalam, saya bertanggungjawab penuh atas apa yang saya fikirkan benar dan saya tidak akan berganjak daripada kepercayaan peribadi ini bahawa PKR dan Anwar Ibrahim sememangnya juara manipulasi terhebat dalam sejarah 51 tahun Malaysia merdeka ! Ting kosong memang gah bunyinya, ALAHAI KASSSSIMMM !!!


Neba2020: Andai UMNO dan BN selalu dikatakan 'kotor, jijik, hina, zalim dan busuk,' maka janganlah orang-orang yang mengatakan itu semua cuba secara senyap untuk menunjukkan kepada dunia bahawa rupa-rupanya mereka juga 'hina-dina' perangainya.... Alahai, kasihannya !

Thursday, April 24, 2008

Anwar Ibrahim Yang GILA Kuasa !

Salam Buat Semua,

Sebagai seorang yang menganggap Anwar Ibrahim (Datuk Seri) sebagai 'idola' di tangga ke dua' sejak berbelas tahun dahulu pastilah saya menyimpan rasa kagum yang tinggi kepada insan yang seorang ini. Semangat dan karismanya sebagai seorang pemimpin itulah yang amat saya sanjung lagi teruja untuk mencontohinya. ITU SAHAJA !

Anwar memang bersemangat selalu dan mempunyai darjah keyakinan diri yang cukup tinggi juga kadang-kadang kelihatan melampau !

Berikut adalah petikan daripada Utusan Malaysia (24 April, 2008):

" Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pakatan pembangkang akan dapat menubuhkan Kerajaan Persekutuan yang baru sebelum sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini... "
" Sekarang kita biarkan Parlimen bersidang seperti biasa, kita tidak perlu tergesa-gesa kerana tidak ada sebab untuk kita tergesa-gesa kerana saya yakin dengan izin Allah, kami akan berada di sana... "

" Kalau tidak bulan depan, mungkin bulan seterusnya, mungkin Mei, Jun, Julai, sambutan merdeka atau sambutan Hari Malaysia. Saya jangka kita tidak akan melepasi tarikh itu... "

Tatkala Anwar selalu cuba menonjolkan dirinya sebagai seorang yang berakhlak mulia, bijak bestari, cekap segalanya, bersih tidak ternoda, bertoleransi selalu dan tidak pernah tersilap taktik mahupun moral, kita dapat melihat betapa manusia yang seorang ini sebenarnya amat tidak SABAR dan sudah menjadi seorang yang layak digelar KEMARUK KUASA dan PANGKAT !

Anwar yang kononnya seorang pejuang keadilan dan pemimpin yang berakhlak baik secara total telah jayanya menonjolkan kepada masyarakat Malaysia bahawa beliau hanyalah seorang pakar manipulasi masa yang terhebat pernah dilahirkan bumi bertuah ini, tahniah wahai idolaku !

Impian Anwar untuk menubuhkan sebuah kerajaan baru di Malaysia ini dengan bertunjangkan satu nama baru iaitu Pakatan Rakyat akan menjadi kenyataan seandainya beliau berjaya menarik 30 ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) sekaligus menjadikan pakatannya memiliki 112 ahli Parlimen berbanding dengan 110 ahli di pihak BN. Ini akan melahirkan satu catatan sejarah terbaru di Malaysia di mana insan bernama Anwar Ibrahim itu akan menjadi seorang Perdana Menteri yang paling goyah kedudukannya dengan setiap hari kerjayanya adalah untuk memastikan ahli-ahli Parlimen pakatannya akan terus 'taat juga setia' kepada beliau. Aduh, sukar untuk dibayangkan !

Berikut pula adalah kenyataan yang dikeluarkan Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hassan Abdul Karim:

" Tindakan melompat parti bercanggah dengan sistem demokrasi dan menggalakkan amalan rasuah... Jika amalan itu diteruskan, ia hanya akan menjemput malapetaka di negara ini... "

" Negara yang aman akan bertukar menjadi kacau-bilau seperti yang berlaku di Haiti, Nigeria dan Timor Leste... "
" Pakatan pembangkang berhak menyimpan hasrat untuk berkuasa dan menumbangkan BN, namun ia mesti dilakukan secara sah melalui proses pilihan raya yang bersih, adil dan telus... Keputusan pilihan raya umum lalu dibuat oleh rakyat dan perlu dihormati oleh semua pihak sama ada di kalangan pembangkang mahupun BN... "

Pada pendapat lemah saya, Anwar sewajibnya menerima hakikat bahawa majoriti rakyat masih percaya kepada konsep Barisan Nasional khasnya dan UMNO amnya. Hakikat bahawa majoriti para pengundi memangkah berdasarkan parti dan bukannya calon wajarlah difahami sedalamnya oleh Anwar yang telah bergelumang di dalam politik arus perdana semenjak dia mengkhianati perjuangan asalnya pada tahun 1970-an dengan menyertai UMNO pada tahun 1981 ! Andai Anwar betul-betul mahukan jawatan Perdana Menteri maka buatlah dengan cara yang lebih 'jantan' dan 'terhormat' yang sepadan dengan imejnya di mata para fanatiknya iaitu seorang pemimpin yang bersih sentiasa lagi penuh kemuliaan. Sewajibnya beliau merencana strategi yang lebih mantap untuk menarik para pengundi memangkah Pakatan Rakyat / Parti Keadilan Rakyat (PKR) kelak. Andai majoriti rakyat memilih partinya di Pilihanraya Umum ke 13 nanti, maka sewaktu itu Anwar akan 'tertabal' sebagai Perdana Menteri dengan cara yang lebih professional lagi terhormat.... Sabar dan buatlah tindakan bijak yang bermoral sedikit wahai Datuk Seri !


UNDI POPULAR 2008:
BN - 51.30%
BA - 48.70%

JUMLAH UNDI 2008:
Umno - 35.51% (2,462,749 undi)
PKR - 13.15% (911,761 undi)

neba2020: Andai matlamat menghalalkan cara, mungkinkah malapetaka akan menjamin kejayaan dunia?

Friday, April 18, 2008

Mudah Sungguh Bergelar Datuk ...

Salam Buat Semua,

Tahniah diucapkan kepada Menteri Besar Perak iaitu Saudara Mohammad Nizar Jamaluddin yang akan bergelar 'Datuk Seri' bermula 19 April, 2008. Penerimaan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak itu bersempena dengan Hari Keputeraan ke-80 Sultan Perak, Sultan Azlan Shah (DAULAT TUANKU !, MOGA DIPANJANGKAN USIA DAN DIRAHMATI TUHAN SELAMANYA). Nizar nampaknya sudah setaraf dengan Presiden PAS sendiri iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menarik juga untuk melihat tokoh-tokoh PAS yang lebih kanan lagi popular seperi Mohammad Sabu, Nasharuddin Mat Isa dan Salahuddin Ayub untuk memanggil Nizar dengan sebutan 'Datuk Seri.'

Ucapan tahniah juga wajarlah kita utuskan kepada Pengerusi DAP Perak yang 'kempunan' jawatan Menteri Besar dek penangan 'undang-undang' iaitu Saudara Ngeh Ko Ham yang menerima Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP). Ini bererti Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Air dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak itu akan bergelar Datuk Ngeh, sesuatu yang wajar dibanggakannya. Nampaknya, Ngeh yang sebelum ini tidak 'popular' namanya di arena politik Malaysia telah meninggalkan jauh mentor-mentornya seperti Lim Kit Siang, Karpal Singh dan Dr. Tan Seng Giaw daripada segi darjah gelaran dan pangkat. Tahniah !

Menarik sungguh untuk kita perhatikan di sini betapa dalam masa satu bulan dan dua hari bergelar Menteri Besar, Saudara Nizar berjaya menggengam panggilan 'Datuk Seri,' pastilah dua bulan lepas ini adalah sesuatu yang tidak pernah beliau termimpi akan mengecapnya. Inilah yang dinamakan 'tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu.'

Secara peribadi, sebagai seorang yang datang daripada negeri yang terkenal dengan ketatnya kawalan untuk anugerah 'Datuk' dan sebagainya, pastilah saya merasakan betapa pemberian anugerah-anugerah di Raja (pastilah segala bentuk anugerah adalah di atas cadangan kerajaan negeri untuk diberikan perhatian oleh pihak istana) seWAJIBnya tidak diberikan secara sewenang-wenangnya.

Penilaian terhadap jasa, senioriti, akhlak, idea-idea, cabaran-cabaran perkhidmatan, penerimaan masyarakat dan sebagainya wajarlah diambil kira sebelum seseorang itu 'merelakan' dirinya menerima anugerah. Rekod perkhidmatan mahupun jasa harus dinilai sedalamnya sebelum anugerah bertukar tangan.

Kita jangan lupa kepada Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba yang pernah menjadi Menteri Kabinet dan juga Ketua Menteri Melaka sejak zaman Perdana Menteri Kedua dan seterusnya berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri selama 7 tahun tidak pernah 'merelakan' dirinya untuk menerima apa jua pangkat gelaran. Beliau sentiasa menolak semua cadangan untuk menerima sebarang darjah anugerah secara berhemah dan ianya tidak pernah melukakan hati pihak istana mahupun si pencadang. Ketika beliau mengundur diri sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1993, beliau tetap popular dengan panggilan Yang Amat Berhormat Encik Ghafar Baba.

Tindakan pihak Istana Johor yang 'amat jarang' lagi 'susah' untuk 'menemui' calon yang layak untuk di iktiraf sebagai 'Datuk' memang telah diketahui umum. Hari Keputeraan Sultan Iskandar (DAULAT TUANKU SULTAN JOHOR ! ALLAH PELIHARAKAN SULTAN KAMI !) bagi tahun 2008 yang disambut pada 8 April lepas menyaksikan tiada seorangpun yang menerima anugerah 'Datuk.' Ini menjadikan anugerah 'Datuk Johor' sememangnya dinantikan dan si penerimanya akan mendapat publisiti yang cukup besar di semua media massa. Prestij dan nilainya masih terpelihara lagi disanjung sentiasa. Ini ternyata berbeza '360 darjah' dengan 'pendirian' sesetengah negeri waima yang tidak mempunyai Sultan sekalipun yang dengan 'murah hatinya' menabalkan berpuluh-puluh insan untuk bergelar Datuk sehingga ada yang pernah mencecah lebih daripada 100 penerima dalam setahun. Meriah sungguh !

Kita tidak mahu institusi diraja dijadikan tempat untuk 'membalas jasa' rakan-rakan sealiran politik dengan ketua kerajaan negeri (Ketua Menteri atau Menteri besar). Kita tidak mahu anugerah-anugerah diraja dijadikan sandaran untuk menjaga hati rakan-rakan sealiran pemahaman dengan ketua kerajaan negeri. Kita juga tidak mahu hari kebesaran Raja-Raja dijadikan landasan terbaik untuk menguatkan rasa 'gerun dan hormat' orang awam kepada individu-individu tertentu yang prestasi dan jasanya masih belum tentu kelihatan hasilnya, belum teruji lagi belum 'berpeluh' menghadapi kerenah rakyat dan pentadbiran negeri !

Neba2020: Kerja dan berkhidmatlah dengan penuh beramanah, cekap dan mesra sentiasa. Pangkat dan anugerah yang dikurniakan Istana pastilah sesuatu yang cukup besar nilainya dan wajar diterima dengan penuh rasa insaf dan rendah diri tetapi biarlah bersetuju untuk menerimanya setelah 'muhasabah diri' dilakukan sedalam-dalamnya ....

Wednesday, April 9, 2008

Buat KAMI - "May All the Memories Last Forever"

Salam Buat Semua,

Pada 9 April, 2004 (Jumaat), KAMI mengadakan majlis yang diberi nama 'The Rendezvous 2004' bertempat di Hotel Renaissance, Melaka. Majlis khas 'makan-makan' yang dihadiri KAMI turut dimeriahkan dengan barisan pensyarah yang pernah mendidik KAMI sepanjang 3 tahun KAMI berada di Fakulti Perniagaan dan Undang-Undang, Multimedia University (MMU).

Majlis itu KAMI rancang sebelum peperiksaan akhir bermula dan KAMI menetapkan tarikhnya mestilah sebaik sahaja 'perjuangan' pencarian ijazah menemui titik nokhtahnya. Maka tarikh 9 April dipilih kerana titik noktah kepada perit jerih itu tamat pada 8 April.

KAMI tidak akan lupa kepada para pensyarah KAMI yang sudi meluangkan masa pada malam 9 April itu, kehadiran mereka cukup bermakna lagi menggembirakan KAMI:

Encik Mohd Rizal Abdul Razak - Dipilih KAMI sebagai 'The Most Favorite Lecturer - Finance'
Mr Amzad Hossein - 'The Most Favorite Lecturer - Non- Finance'
Pn Maimun Simun
En Mazuki Jusoh
Mr Md Abdur Raquib
Mr Eddy Chong Siong Choy

Malam itu bermula dengan nyanyian lagu rasmi MMU iaitu Permata Dunia yang disampaikan secara duet oleh Nurul Syafinaz dan Syafiq Sheikh. KAMI berterima kasih kepada mereka berdua kerana sanggup mendendangkan lagu keramat MMU itu walaupun hanya diminta melakukannya sehari sebelum majlis tersebut. Semangat kekitaan antara KAMI memang kuat !

Majlis pada malam itu turut menobatkan sebilangan di antara KAMI sebagai insan-insan yang dipilih oleh majoriti daripada KAMI untuk bergelar 'sesuatu.' Setiap daripada KAMI telah diberikan peluang untuk 'memilih dan mengundi' para pemenang istimewa dalam pelbagai 'anugerah khas' yang KAMI wujudkan sebagai 'bukti' kuatnya ikatan persahabatan dan perkenalan KAMI sepanjang 3 tahun. KAMI cukup berbangga bergelar pelajar-pelajar 'Banking and Finance MMU Melaka 2001-2004.'

Keputusannya:

Leader of the Class - Noor Effandi Ahmad (79% undian)
Genius of the Class - Ee Cheng Kuen (52% undian)
The Most Handsome Guy - Chai Wee Han (38% undian)
The Most Beautiful Girl - Cheng Elaine (44% undian)
The Most Outspoken - Shafik Sheikh Mohammad (33% undian)
The Quitest - Shalini (45% undian)
The Most Serious Person - Mak Mun Yee (47% undian)
The Funniest Person -Ng Rhu An (69% undian)
Darling of the Friends - Ng Rhu An (51% undian)
Darling of the Lecturers -Ng Rhu An (53% undian)
The Most Mysterious Person -Md. Najib Md. Ismail (16% undian)
The Most Helpful Person -Nurul Syafinaz Ishak (27% undian)

KAMI berbilang bangsa, satu manifestasi ikatan keMALAYSIAAN yang cukup unik tetapi persahabatan kami cukup erat hinggakan KAMI tidak pernah memikirkan bangsa masing-masing sahaja yang betul dan cekap. Buktinya, walaupun majoriti KAMI adalah berbangsa CINA tetapi KAMI yang terdiri daripada bangsa Melayu dan India turut 'terpilih' sekaligus diiktiraf sebagai 'insan terpilih' juga untuk memegang 'anugerah istimewa' tanda ikatan persahabatan yang utuh selama 3 tahun tanpa henti di institusi kesayangan ini (MMU). Budaya dan agama bukan halangannya untuk semangat bersatu yang KAMI miliki !

Malah, pemilihan KAMI untuk 2 'anugerah khas' buat pensyarah yang paling disukai juga menunjukkan kami cukup muhibbah lagi tidak pernah bermainkan sentimen bangsa dan agama.

Kepada semua yang saya maksudkan sebagai KAMI, 4 tahun telah berlalu tetapi persahabatan dan memori waktu suka dan duka sepanjang tahun 2001 hingga 2004 akan tetap kita semua abadikan sebagai kenangan terindah yang tidak akan berulang lagi.

Secara peribadi, saya mendoakan semoga kesemua KAMI itu sentiasa berjaya menerokai masa depan dengan penuh kejayaan dan berterusan bersinar bak PERMATA DUNIA di mana jua kalian berada.

KAMI ialah:

Ng Tuan Hock - Melaka
Nurul Syafinaz Ishak - Besut,Terengganu
Yang @ Lim Chia Lee - Johor Bharu, Johor
Karen Lim Pei Yee - Seremban, Negeri Sembilan
Mak Mun Yee - Ipoh, Perak
Mohamad Affandi Othman - Seremban, Negeri Sembilan
Cheng Elaine - Johor Bharu, Johor
Hema Anushia Krishnan - Sikamat, Negeri Sembilan
Faradela Ismail - Kota Bharu, Kelantan
Norashikin Kamarudin - Muar, Johor
Noor Effandi Ahmad - Segamat, Johor
Jasmine Chua Lee Ying - Kuching, Sarawak
Badrul Hisham Hilal - Pulau Pinang
Teh Pack Wah - Butterworh, Pulau Pinang
Jesse Nath - Melaka
Loi Wee Ling - Muar, Johor
Shalini Purana Vellu - Kulim, Kedah
Kwan Huey Chin - Seremban, Negeri Sembilan
Shohaila Abd Karim - Kuantan, Pahang
Ee Cheng Kuen - Melaka
Ng Rhu An - Melaka
Aberyna Wong - Kota Kinabalu, Sabah
Alvin Wong Sin Chai - Skudai, Johor
Khairul Azhar Isa - Muar, Johor
Chai Wee Han - Kuching, Sarawak
Chan Fei Fei - Seremban, Negeri Sembilan
Chau Sheah Fang - Kulai, Johor
Edwin Tan Siong Hai - Melaka
Nur Faizah Ahmad - Alor Star, Kedah
Hu Hui Rong - Shanghai, China
Nurul Izma Zakaria - Alor Star, Kedah
Jade Ong Hui Mei - Melaka
Koh Hooi Loo - Perai, Pulau Pinang
Kwan Jing Hui - Sitiawan, Perak
Lau It Won -Melaka
Lim Ying - Melaka
Malcolm Teo Hock Lai - Skudai, Johor
Md Najib Md Ismail - Kluang, Johor
Noor Izani Aima Ahmad Latipi - Kuantan, Pahang
Norul Huda Mat Il - Jerteh, Terengganu
Shafiq Sheikh Mohammad - Johor Bharu, Johor
Shanmugam Malayan - Rantau, Negeri Sembilan
Ong Sheau Yean - Melaka


neba2020: Ingat selalu kepada apa yang tercatit di dalam buku alumni khas yang kita hasilkan bersama, "MAY ALL THE MEMORIES LAST FOREVER."

Tuesday, April 8, 2008

Daulat Tuanku ! Daulat Tuanku ! Daulat Tuanku !


Merafak Sembah Patik Pacal Yang Hina Buat Tuanku Sultan Kesayangan Rakyat Johor, Duli Yang Maha Mulia Baginda Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Sir Ismail Al-Khalidi ,

Daulat Tuanku !
Daulat Tuanku !
Daulat Tuanku !

Allah Peliharakan Sultan Johor !
Allah Anugerahkan Segala Rahmat Buat Sultan Johor !
Allah Makmurkan Negeri Kami Dengan Limpah Kurnia Yang Berpanjangan !
" Allah Peliharakan Sultan
Nugerahkan Dia , Segala Kehormatan
Sihat Dan Ria Kekal Dan Makmur
Luaskan Kuasa Naungkan Kami
Rakyat Dipimpini Berzaman Lagi
Dengan Merdeka Bersatu Hati Allah Berkati Johor
Allah Selamatkan Sultan "

SELAMAT HARI KEPUTERAAN KE 76 BUAT TUANKU, SELAMAT MENAUNGI KAMI ! ALLAH LANJUTKAN USIA TUANKU !

DAULAT TUANKU !

Neba2020: Patik berbangga memiliki Tuanku sebagai Sultan negeri tempat patik sekeluarga berteduh, tempat kami rakyat jelata menumpang kasih mengharap naungan. Tuanku, patik berikrar tidak akan patik persiakan negeri kesayangan kita bersama, keramat naungan Tuanku tetap bergema sepanjang zaman buat membina bangsa Johor yang aman makmur, maju dan bermaruah sentiasa ! Selagi Darah Bugis Kebanggaan Kita Terus Mengalir Lambang Daulat Kesultanan Johor, Selagi Itu Maruah Bangsa Kita Terus Bertakhta Unggul Selamanya ! DAULAT TUANKU ! ALLAH PELIHARAKAN SULTAN JOHOR !

8 April 2004 - 8 April 2008 : Masa Yang Melunsur Laju...

Salam Buat Semua,

Alam 'degree' memang cukup mendewasakan saya. Pengajian selama 4 tahun tanpa henti untuk mengejar sesuatu yang cukup bernilai adalah umpama gabungan pengalaman pahit juga manis yang tak bisa tuk saya lupakan selamanya. Apalagi bagi seorang seperti saya yang cukup tinggi tahap 'sentimentalnya.' Setiap detik dan ketika pasti diingati dengan penuh makna lagi bererti besar.

Saya memasuki Multimedia University (MMU) sebaik sahaja mendapat keputusan SPM. Saya tidak akan lupa pada tarikh keramat 21 Mei, 2000 (Ahad) di mana saya mendaftarkan diri secara rasmi di universiti yang namanya ketika itu baru sahaja ditukar daripada UNITELE (Universiti Telekom). Di saat itu setiap kali orang bertanya di mana saya belajar, terpaksalah menyebut 'Universiti Telekom.' Nama singkatan MMU ketika itu memang amat asing bunyinya bagi kebanyakan orang. Aduh, tercabar sungguh apabila majoriti saudara-mara juga jiran tetangga memberi respon 'Apa, MMU? Kat mana tu? Universiti apa tu? Tak pernah dengar pon !'

Jika 21 Mei, 2000 adalah tarikh bermulanya alam pengajian saya di MMU, maka 8 April, 2004 saya isytiharkan sebagai tarikh berakhirnya alam pengajian saya di universiti yang amat saya sayangi ini.

8 April, 2004 masih segar diingatan saya di mana saya menduduki peperiksaan akhir bagi subjek terakhir saya di trimester terakhir ! Sehingga kini saya masih ingat betapa nostalgiknya peristiwa menduduki peperiksaan 'terakhir' itu. Subjek tersebut diberi nama 'Offshore Banking and Finance' dan waktu peperiksaannya adalah selama 2 jam bermula pada 2.30 petang. Subjek ini diajar oleh Mr Md Abdur Raquib - Pensyarah dari Bangladesh dengan pendidikan di Amerika Syarikat, seorang yang cukup luas pengetahuannya. Beliau kami 'cop' sebagai seorang pensyarah yang 'terlebih maklumat' sehingga mampu menghuraikan satu ayat di dalam masa setengah jam ! Penguasaan komunikasi dan gaya pengajarannya cukup hebat lagi terpuji !

Sebaik sahaja tamat peperiksaan itu, kami sekelas bersorak keriangan seakan telah mencapai garisan penamat perjuangan untuk mendapatkan ijazah ! Terlupa pula bahawa itu hanyalah tamat menduduki peperiksaan, belum pasti sama ada lulus ataupun 'kantoi !' Tak mengapalah, itu namanya 'kanak-kanak riang' baru hendak 'menguji lebar-sempit percaturan dunia' di kemudian hari.

Hari ini genaplah 4 tahun tarikh 8 April, 2004 saya tinggalkan. Memorinya tidak akan saya lupakan kerana saya tahu bahawa kenangan tidak mampu diulang dan tak terbeli dek wang ringgit. Kenangan akan sentiasa terabadi di dalam jiwa. Sedar ataupun tidak kita harus mengakui betapa pembawaan diri kita di masa hadapan akan sentiasa dipengaruh oleh kesan-kesan langsung mahupun tidak langsung daripada segala proses yang membawa kepada terciptanya kenangan-kenangan itu. Itulah yang dinamakan 'proses penciptaan identiti diri dan pendewasaan.'

neba2020: Masa pantas berlalu seakan tidak pernah menunggu kita walau sekejap cuma. Kadang-kadang kita lupa untuk merenung diri juga menginsafi kejadian diri ini. Di mana kita bermula? Sepantas masa yang sentiasa berkejar kehadapan bermaksud sepantas itu jugalah usia kita bertambah dan bergerak kehadapan. Sejauhmanakah usia kita yang makin meningkat itu membawa kita kepada menambah jasa dan menambah budi kepada insan-insan yang terhampir dengan kita? Sempatkah kita berbudi kepada insan-insan itu tatkala mereka masih 'ada' di dunia ini? Ingatlah bahawa insan-insan itu juga makin dikejar usia 'penamat' sepantas masa yang tidak pernah menunggu kita, melunsur dengan lajunya....