Thursday, January 31, 2008

Saya Adalah Anak Bugis ...

Salam Buat Semua,

Sebuah ensiklopedia bebas memberikan deskripsi di bawah bagi melambangkan keunikan etnik Bugis:

" Etnik Bugis cukup terkenal di dalam bidang maritim di Kepulauan Melayu dan di dalam bidang ekonomi. Mereka juga terkenal sebagai pahlawan yang berani, lanun yang digeruni dan pedagang yang berjaya. Pusat tumpuan utama bagi kebudayaan dan ekonomi etnik ini adalah Ujung Pandang atau dikenali sebagai Makassar. Orang Bugis juga merupakan penganut agama Islam. "
" Di antara anak raja Bugis yang berkhidmat sebagai panglima perang Sultan Johor ialah Hang Mahmud atau Daeng Mahmud, bapa kepada Datuk Laksamana Hang Tuah, pahlawan Melaka dan Johor yang terbilang. "
" Kelima-lima pahlawan agung Melaka iaitu Hang Tuah dan saudara-saudaranya Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu adalah pemimpin yang berketurunan Bugis. Keturunan mereka amat banyak di Malaysia terutama di negeri Johor dan Selangor. "

Saya dididik dengan penuh semangat cintakan negara dan cintakan asal-usul yang mendalam oleh encik (ayah tersayang). Encik amat berbangga menjadi bangsa Melayu daripada etnik Bugis. Seawal usia yang amat mentah lagi encik sudah menyerapkan jiwa 'Bugis' ke dalam diri saya. Encik acapkali mengingatkan saya bahawa kami adalah keturunan pahlawan. Pahlawan bukan bererti hanya tahu berperang sahaja tetapi semangat kepahlawanan itulah yang harus dipelihara dan digunapakai dengan sebijaknya. Maksudnya, jiwa kepahlawanan itu memang sudah tersusun rapi di dalam jiwa kami, cuma perlu diurus sebaik yang mungkin. Yang penting, memelihara jiwa pahlawan itu sebaiknya dan gunakan ia untuk menjadi orang yang hebat dan berguna kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Encik saya bukan seorang yang 'mulut cakap lain, buat benda lain.' Encik pernah mendapat jawatan yang boleh dikira cukup selesa di awal tahun 1970-an. Berpeluang berkhidmat sebagai Juruteknik di Majlis Daerah Segamat Utara sudah semestinya satu pencapaian yang bolehlah dibanggakan. Kira-kira 40 tahun lepas, jawatan tersebut sudah boleh dikira sebagai sesuatu yang mampu membuatkan orang-orang kampung berasa kagum dan cukup istimewa di mata ramai.

Tetapi kerana semangat ingin berbakti kepada bangsa dan negara, Encik sanggup meninggalkan sebuah jawatan tetap yang selesa yang mampu menjamin masa depannya yang lebih cemerlang kerana beliau adalah pemegang jawatan bertaraf Juruteknik Majlis Daerah pengambilan pertama ketika itu. Sudah pastilah andai beliau 'setia' dengan jawatan itu, peluang beliau untuk terus mendaki tangga kenaikan pangkat akan terbuka dengan luasnya.

Encik mengambil keputusan drastik untuk berkhidmat sebagai anggota tentera. Semuanya kerana semangat 'agung' beliau untuk berbakti kepada negara dan menentang musuh negara. Sepanjang tahun 1970-an, ancaman komunis masih berleluasa lagi di serata negara terutamanya di kawasan sempadanan antara negara. Maka, berkhidmatlah encik saya sebagai seorang askar yang kerap sekali bertugas menjaga persempadanan negara. Sedih sekali apabila mengenangkan emak saya selalu bersendirian membesarkan abang saya yang masih kecil di Kluang, Johor tatkala sang suami siang dan malam membuat operasi ketenteraan menjaga keselamatan negara daripada ancaman anasir-anasir luar yang bersekongkol dengan pihak komunis. Lihat, emak saya juga layak dinobatkan sebagai seorang wirawati kerana dengan relahati cukup memahami tugasan suaminya, seorang wira negara !

Unik untuk saya coretkan di sini bahawa Encik juga pernah bergelar 'cikgu.' Beliau turut kerap terlibat sebagai 'pendidik' kepada anak bangsa yang melibatkan diri sebagai askar simpanan yang lebih popular dengan panggilan wataniah. Saya cukup berbangga dengan Encik tatkala beliau menceritakan segala kisahnya mendidik anak bangsa tentang taktik peperangan, kawat tentera, disiplin dan strategi - strategi ketenteraan. Encik sungguh berbangga menceritakan bahawa beliau sudah mengembara ke serata pelusok desa di dalam negeri Johor untuk misi mendidik peserta-peserta askar Wataniah. Hujan, panas terik, dahaga mahupun ribut seakan sudah menjadi rencah-rencah biasa kepada perjalanan diari hidupnya sebagai sang askar.

Kini saya sudah mula memahami dan mampu untuk menjawab segala persoalan yang kadang-kala membuatkan orang di sekeliling berasa hairan dan pelik dengan pendirian diri ini yang ada kalanya kelihatan ganjil :

1) Mengapakah saya amat berminat untuk menjadi pendidik?
2) Mengapakah hati dan jiwa saya selalu tersentuh tatkala mengenangkan jerih perih para pejuang kemerdekaan?
3) Mengapakah saya cukup percaya kepada kebolehan anak Malaysia?
4) Mengapakah saya seakan menjadi 'hamba' kepada terma patriotik?
5) Mengapakah saya sanggup menolak tawaran melanjutkan pengajian di luar negara walaupun diberikan tajaan penuh yang menarik?
6) Mengapakah saya mudah membenci kepada individu-individu yang suka mencemuh produk buatan Malaysia dan yang tidak yakin dengan kemampuan negara?
7) Mengapakah saya amat suka membaca buku-buku sejarah dan politik?
8) Mengapakah saya pernah menangis tatkala Tun Dr Mahathir membaca sajak Perjuangan Yang Belum Selesai ketika sambutan penubuhan UMNO yang ke 50 pada tahun 1996?
9) Mengapakah saya cukup berbangga untuk menuturkan bahasa Melayu?
10) Mengapakah saya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi seorang hartawan terbilang?

Kini sudah saya fahami bahawa 10 persoalan tersebut rupa-rupanya berkongsi satu jawapan ringkas yang hanya Tuhan memahaminya secara total.

SAYA ADALAH ANAK BUGIS YANG BERAYAHKAN SEORANG ANAK BUGIS BERNAMA AHMAD BIN MD. YUSOFF BIN BATAU ....

neba2020: Anak Bugis pantang mengalah, pantang berundur ke belakang ... Anak Bugis adalah anak yang sentiasa bertauladankan sejarah masa lepas untuk membina mercu tandanya yang tersendiri di masa mendatang... Anak Bugis tidak mudah dikalahkan oleh keadaan dan masa, anak Bugis akan terus mara walaupun lautan bergelora beronak berduri cuba menghalangnya... Anak Bugis sensitif jiwanya, tetapi keras tindakannya. Sekali airmata Bugis mengalir bukan bererti semangatnya turut mencair, tetapi airmata itu adalah tanda kebangkitannya... Anak Bugis adalah anak yang tahu mana asal-usul dan apa maknanya darjat dan maruah....


Nota: Cetusan ini saya coretkan tatkala jiwa ini sedang dibelenggu dengan satu masalah kerja yang cukup mencabar diri, semangat dan pemikiran saya sepanjang bergelar seorang pekerja bermula 16 Ogos, 2004. Syukur saya kerana diberikan kekuatan oleh Yang Maha Kuasa untuk berhadapan dengan masalah ini. Saya yakin dengan kuasa Tuhan dan tawakkal saya juga hanya kepadaNYA. Kepada Puan Maimun Simun (Sifu saya di MMU yang cukup memahami perangai 'gila-gila' saya) , Puan Norizaton Azmin (Pensyarah yang cukup banyak memberikan saya semangat sejak dulu lagi) dan Encik Mustapha (umpama abang yang tidak lokek ilmu dan tidak lokek pemikiran), kalian cukup menyenangkan tatkala jiwa saya dirasuk kekacauan yang mendalam dan perit ini. Terima kasih kerana memahami saya dan terima kasih kerana ada 'di situ' sewaktu saya memerlukan 'pohon-pohon' rendang yang bisa menyejukkan jiwa ini....

Thursday, January 17, 2008

PTPTN : Memang Tidak Mampu ATAU Sengaja Tidak Mampu ?

Salam Buat Semua,

Laporan daripada akhbar Berita Harian (17 Januari, 2007) adalah dirujuk:


"200,000 tak bayar PTPTN dilarang ke luar negara..."
"Daripada 534,000 peminjam di seluruh negara, hanya 40 peratus atau 324,000 yang menjelaskan pinjaman mengikut jadual manakala lebih 200,000 lagi masih tidak membuat sebarang bayaran, walaupun kebanyakannya bekerja..."
"Kegagalan mereka membayar balik menyebabkan PTPTN kini dibebani hutang tertunggak berjumlah RM700 juta selain menghadapi masalah untuk menyalurkan pinjaman baru kepada mereka yang memerlukan..."

Isu peminjam liat untuk melunaskan bayaran pinjaman pendidikan kepada Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) seakan sudah menjadi 'isu bertaraf negara dan otai !' Saban tahun, ada saja 'keluh dan kesah' daripada pihak PTPTN mahupun Kementerian Pengajian Tinggi yang berterusan tidak berpuas hati dengan 'sikap membisu dan degil' para peminjam yang seolah acuh tak acuh dalam melunaskan apa yang telah dipinjam.

Terdapat segelintir pihak yang seakan cuba menyalahkan PTPTN mahupun pihak kerajaan sebagai 'penyebab' utama 'bekas-bekas pelajar' itu majoritinya tidak mampu untuk membayar semula pinjaman walaupun setelah menjejakkan kaki ke alam pekerjaan. Ini adalah golongan yang 'PELIK AKALNYA' bagi saya. Berikut adalah hujah-hujah golongan yang 'PELIK AKALNYA' ini yang selalu kedengaran di ruang-ruang pendapat pembaca di akhbar-akhbar nasional:

1) Kos perkhidmatan sebanyak 3% dikatakan amat membebankan pelajar
2) PTPTN tidak cekap dalam memungut hutang
3) Para peminjam tidak mendapat maklumat lengkap tentang proses pembayaran semula
4) Pendidikan seharusnya percuma untuk semua ahli masyarakat
5) PTPTN sendiri tidak cukup efisien ketika proses penyaluran pinjaman dahulu
6) Kos sara hidup masa kini amat tinggi dan membebankan

Secara peribadi saya menyifatkan segala hujah-hujah bertaraf 'kering idea' ini sebenarnya dilontarkan oleh golongan yang tidak mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi dan hanya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan bahawa tindakan 'degil' mereka itu sebenarnya seakan cuba menafikan hak peminjam-peminjam baru yang lain !

Persoalan dan kenyataan yang wajar untuk dikeutarakan di sini ialah:

1) Mengapa mereka liat untuk membayar walaupun sudah mempunyai pekerjaan?
2) Alasan kos hidup amat membebankan tidak boleh diterima pakai kerana pada masa yang sama mereka menjadikan pembelian kereta dan barangan mewah lain sebagai sesuatu yang perlu didahulukan. Meraka sanggup dan rela untuk membuat pelbagai bentuk pinjaman baru sehingga cuba untuk melupakan bahawa hutang PTPTN itu lebih wajar untuk diselesaikan sesegera mungkin.
3) PTPTN/Kerajaan sendiri sebenarnya telah meminjam majoriti daripada wang diperlukan itu daripada Kumpulan Wang Amanah Simpanan Pekerja (KWSP) dengan bayaran keuntungan (atau faedah?) yang sewajarnya. Buat makluman semua, KWSP sendiri secara puratanya perlu membayar dividen kepada kesemua ahlinya dengan kadar 5 hingga 6 % . Maka bayaran caj perkhidmatan 3 % yang dikenakan PTPTN itu sebenarnya tidaklah terlalu tinggi kerana ia diperlukan untuk penyelenggaraan perjalanan pentadbiran PTPTN itu sendiri dan juga untuk membayar caj keuntungan buat pihak KWSP.
4) Apabila mereka gagal melunaskan pinjaman dalam waktu yang ditetapkan bererti PTPTN akan menghadapi masalah putaran wang untuk diagihkan kepada pelajar-pelajar yang sedang mengikuti pengajian di seluruh negara. Mereka ini sebenarnya telah secara tidak perasan menzalimi hak individu-individu lain.
5) Pendidikan percuma untuk ke semua ahli masyarakat hingga ke peringkat pengajian tinggi sebenarnya masih belum termampu untuk dipraktiskan di Malaysia ini. Kita masih lagi bergelar negara yang sedang membangun. Majoriti negara maju sekalipun masih tidak terfikir untuk menjadikan pendidikan sebagai satu perkhidmatan yang 100% diberikan subsidi.

Kepada yang beragama Islam, eloklah untuk kita sama-sama menelusuri maksud kata-kata di bawah:

Sabda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Imam At-Tarmizi dan Imam Ahmad dan Imam Ibni Hibban yang bermaksud:
"Roh seseorang mukmin itu tergantung yakni dihalang daripada tempat yang mulia dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dijelaskan”.

Neba2020: Berhutang itu pada mulanya seronok tetapi apabila mahu melunaskannya mulalah menjadi tidak seronok. Berhutang untuk pendidikan adalah sesuatu yang mulia kerana kita berani untuk mengambil risiko demi meraih masa depan yang lebih cerah dan cermerlang. Janganlah kemuliaan tindakan dan niat itu menjadi tercemar di akhirnya apabila hasutan tamak dan henjutan kehidupan harian menyebabkan kita meletakkan kewajipan membayar pinjaman itu di tangga terbawah di dalam senarai pengurusan kewangan seharian.

Monday, January 7, 2008

Faktor 4 Berangkai -Lebih Kaya Atau Lebih Miskin ?

Salam Buat Semua,

Setelah seminggu 2008 dilayari, baik rasanya untuk kita tamatkan segala mimpi indah mahupun khayalan-khayalan nikmatnya menyambut tahun baru yang pastinya sentiasa 'gah dan mewah' di sebuah negara makmur yang bernama Malaysia ini.

Fokus InspiRasi 1982 ~~ kali ini adalah kepada rangkaian yang saya namakan sebagai 'Faktor 4 Berantai.' Saya cukup yakin betapa 4 perkara ini akan menentukan sama ada kita akan menjadi lebih 'kaya' ataupun lebih 'miskin' di sepanjang tahun 2008 ini.

FAKTOR BERANTAI 1 - Harga Minyak Kekal Tinggi

Para penganalisis minyak di pasaran antarabangsa meramalkan bahawa harga minyak akan berlegar secara purata di tahap US$ 80 per tong (buat makluman semua, 1 tong minyak bersamaan dengan kira-kira 159 liter) .

Buat info kita bersama, berikut adalah contoh-contoh mudah pergerakan harga minyak dunia untuk beberapa tempoh tertentu:

September 2003 - US$ 25 per tong
Ogos 2005 - US$ 60 per tong
Awal 2007 - US$ 50-60 per tong
Oktober 2007 - US$ 97 per tong
November 2007 - US$ 99 per tong
Januari 2008 - US$ 100 per tong

Maka bersiap sedialah kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menikmati kenaikan harga bahan api utama ini yang sama ada kita benci ataupun tidak, realitinya ialah saat-saat itu sudah semakin hampir untuk 'memiskinkan' sedikit / banyak daripada keupayaan berbelanja kita semua.

Menarik untuk kita fikirkan bahawa kenaikan terakhir petrol sebanyak 30 sen untuk setiap liter (RM1.62 kepada RM1.92 seliter) pada 28 Februari, 2006 itu dibuat ketika harga pasarannya berlegar di skala US$60- US$65 untuk setiap tong.

Justeru itu, kita seharusnya boleh berkira-kira akan berapakah jumlah 'tambahan' yang perlu dikeluarkan untuk setiap liter petrol berdasarkan kepada peratusan kenaikan harga petrol di pasaran dunia di antara tahun 2006 sehinggalah awal 2008 ini.

FAKTOR BERANTAI 2 - Inflasi Akan Berkembang Dengan Jayanya

Tahap inflasi di Malaysia sentiasa ditafsirkan sebagai berada pada keadaan yang cukup 'selesa dan terkawal.' Sekurangnya itulah kenyataan yang sentiasa dikeluarkan pihak-pihak berwajib yang seharusnya 'lebih memahami dan arif' tentang hal ehwal ekonomi mahupun pengiraan data-data rasmi negara.

Untuk tahun 2007, dilaporkan bahawa inflasi di Malaysia berada pada tahap 3.8 %. Buat rujukan bersama, negara-negara sahabat kita adalah lebih parah kadar inflasi rasmi mereka iaitu 13.20 % (Indonesia), 5.10 % (Thailand) dan 6.6 % (Filipina). Adalah sesuatu yang menarik untuk diperhatikan bahawa 2 negara jiran terhampir kita rupa-rupanya mempunyai tahap inflasi yang lebih terkawal dan cukup rendah iaitu 1 % (Singapura) dan 0.9 % (Brunai).

Mengikut perkiraan Tai Hui, seorang penganalisis ekonomi bagi kawasan Asia Tenggara untuk 'Standard Chartered Bank,' seandainya kerajaan Malaysia membuang 100% peruntukan subsidi minyak, maka kadar inflasi negara akan meningkat kepada 7.8 %. Peningkatan inflasi yang cukup besar semestinya akan menjadikan kerajaan kelihatan 'tidak popular' di mata rakyat. Oleh itu, ramalannya adalah lebih ke arah kenaikan harga minyak di sekitar 30 % sahaja. Secara ringkas, rakyat Malaysia perlulah bersiap sedia untuk 'menikmati' kenaikan petrol di sekitar 50 sen dan 60 sen pada bila-bila masa sahaja pada tahun 2008 ini !

Kenaikan harga petrol / diesel pastinya bererti kenaikan 'berantai' kepada himpunan produk-produk mahupun perkhidmatan lain seperti perkhidmatan awam, makanan, elektrik dan senarainya pasti dapat anda semua panjangkan sendiri ....

FAKTOR BERANTAI 3 - Ringgit Malaysia (RM) Semakin Kuat

Satu-satunya faktor yang seakan kelihatan positif yang pastinya dapat memberikan sedikit impak 'kelegaan' kepada rakyat Malaysia ialah prestasi matawang kita iaitu Ringgit Malaysia (RM) yang semakin menunjukkan arah positif.

Pada 7 Januari, 2008, Ringgit berada pada posisi RM3.28 bagi setiap US$1. Buat imbasan bersama, Ringgit pernah ditambat pada kadar RM3.80 bagi setiap US$1 di antara tahun 1998 sehinggalah pertengahan 2005. Setelah kira-kira 2 tahun setengah berlalu, Ringgit telah mencatatkan kenaikan mencecah 13 %. Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER ) meramalkan bahawa Ringgit mampu mencecah tahap RM3 bagi setiap US$1 menjelang akhir 2008.

Faktor-faktor yang membawa kepada pengukuhan Ringgit adalah keadaan teras ekonomi negara yang baik / stabil, pasaran saham yang semakin aktif dan berkembang dan juga kelemahan Dollar (Amerika) akibat daripada kegoyahan ekonominya, isu pinjaman perumahan serta defisit akaun semasa yang cukup kritikal.

Pengukuhan Ringgit pada dasarnya akan mampu menstabilkan keadaan inflasi yang 'ingin menaik' kerana pelbagai produk mahupun perkhidmatan yang di impot akan dapat dikurangkan harganya. Ini diharapkan akan dapat mengekang kenaikan harga barangan 'wajib' rakyat Malaysia seperti gandum (Australia), susu (New Zealand) , bawang besar (India) dan gula (Filipina).

FAKTOR BERANTAI 4 - Kadar Faedah Dijangka Naik

Secara kebiasaanya, kenaikan kadar inflasi / kos sara hidup bererti kenaikan kadar faedah (kadar bunga) yang selalunya sentiasa 'seiring dan sejalan.'

Kepada pelayar yang tidak memahami konsep ini, saya berikan satu contoh perkaitan yang mudah untuk difahami. Kita andaikan bahawa kadar faedah akan naik akibat daripada persaingan di antara pihak bank dan juga pihak penjual barangan. Inflasi bererti kos akan meningkat, maka pengguna perlu membayar lebih untuk setiap produk / perkhidmatan yang diperlukan. Apabila pengguna perlu membayar 'ekstra' daripada wang yang boleh diguna pakai (disposable income) yang mereka miliki maka keupayaan mereka untuk menyimpan ke dalam tabungan / bank akan berkurangan. Justeru itu, bank akan meningkatkan kadar faedah yang ditawarkan kepada para penyimpan sebagai satu daya tarikan. Andainya bank perlu membayar lebih kepada para pendeposit, maka sudah tentunya kadar faedah yang dikenakan kepada para peminjam juga perlu dinaikkan.

Kenaikan kadar faedah juga boleh dikaitkan dengan usaha untuk membendung inflasi. Apabila kadar faedah dinaikkan maka keupayaan pengguna untuk membeli akan berkurangan akibat daripada kos tambahan untuk membuat pinjaman baru. Ini sekaligus akan mengurangkan insentif kepada para pembekal produk / perkhidmatan untuk berterusan menaikkan harga.

Pada masa ini, kadar asas pinjaman (BLR) di Malaysia ialah pada tahap 6.75 %, satu kadar yang tidak berubah sejak pertengahan tahun 2006. Maka seandainya kadar ini dinaikkan oleh Bank Negara Malaysia, bersiap sedia sajalah untuk kita 'menikamati' kadar bayaran pinjaman yang lebih 'hebat' nilainya kelak. Ini sudah pasti akan menambahkan lagi 'kesusahan' kepada golongan berpendapatan rendah untuk memiliki aset-aset seperti rumah, tanah, kenderaan dan sebagainya. Terdapat ramalan yang mengatakan bahawa seandainya kadar inflasi di Malaysia mencecah tahap 4.5 % maka kadar asas pinjaman dijangka naik sebanyak 0.25 %. Andai benar, tunggu dan lihat sajalah kesannya kelak.

Neba2020: Kadang-kadang kita terlalu bergembira kerana pendapatan bulanan naik 10 %, 15 % ataupun 30 %, tetapi kita terlupa bahawa kos sara hidup telah naik lebih daripada peratusan kenaikan gaji kita. Kita sebenarnya bukan bertambah kaya, tetapi keupayaan berbelanja kita sebenarnya kekal di takuk lama jika tidak menjadi lebih miskin. Bagi golongan yang tidak menerima sebarang kenaikan gaji, keadaan mereka pastilah lebih 'sengsara.' Inilah yang dinamakan masih bergaji tetapi menjadi lebih 'papa kedana' akibat daripada pesta kenaikan harga barangan yang berleluasa apabila terdapat satu kelompok pekerja yang menerima kenaikan gaji.