Nukilan ringkas kali ini saya coretkan di pagi Jumaat, 14 Syawal 1428 Hijrah. Maksudnya, telah genap 14 hari Aidilfitri disambut oleh warga Malaysia secara keseluruhannya. Saya menggunakan warga Malaysia kerana Hari Raya Puasa (Aidilfitri) bolehlah dianggap sebagai sambutan perayaan terbesar di Malaysia ini dengan cutinya yang panjang dan perayaannya yang akan terasa selama sebulan tanpa henti.
Seakan tersentak melihat dua 'perkahabaran istimewa' yang dibawakan oleh pembekal monopoli elektrik negara iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan juga Menteri Kerja Raya iaitu Datuk Seri S. Samy Vellu. Seribu penghargaan seharusnya diberikan kepada kedua-dua pihak tersebut kerana menambahkan kemeriahan 'mood' raya seluruh rakyat Malaysia.
Akhir kata, saya sertakan di bawah dua maklumat tersebut buat tatapan kita semua, juga untuk direnung-renungkan secara mendalam sambil cuba-cubalah bertanya diri sendiri akan kesan berantai yang akan wujud seandainya apa yang 'dicita-citakan' oleh kedua-dua pihak itu menjadi realiti menjelang 2008 yang tidak sampai 70 hari lagi akan menjelma. Tepuk dada, bukalah minda ....
Berikut adalah petikan daripada UTUSAN MALAYSIA (26/10/2007) :
" Kerajaan mungkin tidak mempunyai pilihan, selain menaikkan tarif elektrik di negara ini berikutan kenaikan berterusan harga bahan bakar termasuk minyak dan gas global.
Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, TNB kini menanggung kos operasi yang tinggi berikutan kenaikan harga minyak dan gas serta arang batu di pasaran. "
Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, TNB kini menanggung kos operasi yang tinggi berikutan kenaikan harga minyak dan gas serta arang batu di pasaran. "
" ... syarikat utiliti itu mencatat peningkatan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM4.765 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2007 berbanding RM2.756 bilion pada tahun kewangan sebelumnya. "
" ... pendapatan firma itu melonjak 14.4 peratus kepada RM23.2 bilion dan ia disumbangkan oleh peningkatan permintaan elektrik dan kenaikan tarif yang dilaksanakan pada 1 Jun 2006. "
" ...TNB telah menghantar cadangan kepada kerajaan berhubung kenaikan kadar tarif elektrik dan terpulanglah kepada kerajaan untuk membuat keputusan. "
Berikut adalah petikan daripada BERITA HARIAN (26/10/2007) :
" Kertas Kabinet mengenai kenaikan kadar tol lapan lebuh raya konsesi, termasuk Lebuhraya Utara-Selatan mulai 1 Januari depan diserahkan kepada jemaah menteri minggu ini untuk diteliti sebelum dibincang dan diputuskan. Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata dokumen itu antara lain mengandungi penjelasan klausa perjanjian konsesi dan cadangan yang boleh diambil kerajaan berhubung perkara itu. "
Neba2020: Rakyat semakin lali dengan pelbagai kenaikan harga barangan dan perkhidmatan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini. Moga kerajaan lebih memahami perasaan dan bebanan yang ditanggung rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan memiliki 'sedozen' atau mungkin 'separuh dozen' nyawa untuk ditanggung. Tiada maknanya kepada rakyat bawahan jika prestasi ekonomi negara yang acapkali digembar-gemburkan sebagai 'mantap,berdaya saing,terus berkembang dan juga popular di mata pelabur asing' bererti 'kuasa beli' rakyat semakin hari semakin menjunam dan mencengkam kehidupan. Kerajaanlah tempat mereka bergantung harap dan kerajaan jugalah yang mempunyai 'kuasa eksklusif' untuk mengatakan 'TIDAK' kepada ura-ura 'korporat' yang tidak berhati perut. Di manakah tanggung jawab sosial korporat Malaysia dalam memahami isu 'pesta naik harga' yang terpaksa ditempuh rakyat bawahan khususnya sepanjang tahun 2006 dan 2007 ini ?