Tuesday, September 4, 2007

Doa Buat Seorang Bapa dan Doa Cucu Buat Atuk

Salam Buat Semua,

Sebak menyelubungi jiwa saya sepanjang Selasa, 4 September 2007 tatkala idola kesayangan, Tun Dr. Mahathir Mohammad menjalani pembedahan jantungnya di Institut Jantung negara (IJN). Puisi di bawah saya petik daripada weblog kendalian bekas Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times (NSTP), Dato' A. Kadir Jasin (http://www.akadirjasin.com/) yang merujuk kepada bapanya sendiri dan juga kepada pemimpin agung Malaysia yang pernah mengemudi 'proses pemodenan' negara MERDEKA ini selama 22 tahun:


Doa Buat Seorang Bapa
A Kadir Jasin

USIAMU serupa usia bapaku
Engkau dan dia pernah sekutu
Berjuang atas nama ibunda
Demi agama, bangsa dan negara
Tapi di situ persamaan terhenti
Kerana engkau Mantan Perdana Menteri
Yang memacu negara ke mercu tinggi
Sedang bapaku kekal seorang petani.

Kini engkau dan dia sama-sama tua
Sudah uzur dimakan usia
Namun jiwamu dan jiwanya
Tetap seperti dahulu juga
Padat sarat dengan perjuangan
Jitu padu dengan kesedaran
Bahawa padanya tiada sisa
Selagi jasad dan nyawa bersama.

Mindamu dan mindanya
Sentiasa segar terus muda
Tidak reput dimakan usia
Tidak patah diuji pancaroba
Tidak tawar dicaci nista
Hatta oleh anak-anak didikmu sendiri
Yang gila kuasa dan lupa diri
Yang tiada lagi budi dan pekerti.

Maka wahai bapa-bapaku
Ketika engkau terlantar
Hati kecilmu gementar
Dengarkanlah ikrar kami
Anak menyambung generasi.

Bahawa legasimu tidak akan mati
Kami tidak akan biarkan itu terjadi
Kerana antara kami
Anak-anak generasi pengganti
Masih ada yang belum diracun korupsi
Yang belum lupa erti jasa dan budi
Yang jiwa merdekanya terus membara
Atas nama agama, bangsa dan negara.

Wahai bapa-bapa pejuang merdeka
Doa kami buatmu semua
Tuhan jaga kamu dalam dakapannya
Dipanjangkan usia
Segar jasad dan minda
Kerana engkaulah pelita Pujangga dan pendeta Pemimpin sepanjang usia.

Berikut pula adalah komen langsung yang saya berikan di weblog tersebut sebagai respon langsung saya kepada puisi Dato' A. Kadir yang cukup bermakna itu:

"fendy_ahmad said... "

Doa ikhlas tetap cucu utuskan...
Moga Atuk selamat selalu...

Cucu tak pernah lupa pada semangat atuk
Cucu tak pernah leka menghayati wawasanmu

Atuk tetap di hati cucu
Atuk tetap wira kami semua....

Cucu masih belum jemu melihat atuk...
Cucu masih belum puas mendalami pemikiran atuk...
Cucu masih bersemangat meneruskan cita-cita dan harapan atuk....

Ya Allah, moga atuk itu kau rahmati selalu...

Neba2020: Tahniah buat Dr. M kerana tetap yakin kepada kebolehan anak-anak Malaysia dan institusi perubatan Malaysia sendiri untuk mengendalikan proses pembedahan jantung beliau. Dr. M adalah refleksi seorang pemimpin negara berjiwa MERDEKA yang sejati. Tindakan beliau selari dengan percakapan dan semangatnya ! MERDEKA itu adalah kemajuan, keyakinan dan keupayaan !

1 comment:

fendy_ahmad said...

Berikut adalah komen langsung Dato' A. Kadir Jasin di weblognya < www.akadirjasin.com > sendiri berkenaan dengan pengajaran-pengajaran bermakna yang patut kita renungkan daripada kisah pembedahan jantung Tun Dr. Mahathir pada 4 September, 2007:


A KADIR JASIN said...
Para pembahas dan pelawat dihormati,

Terima kasih atas sumbangan saudara dan saudari semua.

Kata Pn Marina Mahathir dalam blognya, Tun sudah sedar dan akan dimaklumkan mengenai apa yang kita kata dalam pelbagai blog.

Saya ingin berkongsi sedikit pendangan mengenai apa yang saya pelajari mengenai latar belakang pembedahan Tun kali ini.

Satu perkara yang tidak banyak diperkatakan adalah peristiwa belakang tabir yang membawa kepada pembedahan jantung kali kedua ke atas Tun.

Pada usia beliau, risiko semestinyalah lebih tinggi. Kalau boleh, doctor cuba mengelakkannya. Tetapi, selepas serangan jantung ketiga yang berlaku di Langkawi, Tun sendiri membuat “review” ke atas kesihatannya.

Setelah berunding dengan kumpulan asal doktor yang melakukan pembedahan ke atasnya pada tahun 1989 dan dengan rujukan kepada hospital jantung terkenal di Amerika, Mayo Clinic, Tun mengambil keputusan untuk sekali lagi menyerahkan nyawanya kepada anak bangsa.

Demikianlah tebalnya keyakinan Tun kepada kebolehan pakar-pakar perubatan anak watan. Dia tidak teragak-agak atau bergegas ke luar negara mendapatkan rawatan.

Dia yakin dengan sepenuh hati kepada anak bangsa seperti Tan Sri Dr Yahya Awang, Dato Seri Dr. Robaayah Zambahari, Dato Dr Rozali Wathooth, Dato Dr Azhari Yakub, Dato Dr Venugopal Balchand, Dr Mohamed Ezani Mohd Taib.

Dato Dr Zaki Morad Mohd Zaher, Dr Ghazali Ahmad, Dr S Ganeshanathan, Dato Dr Mohd Hassan Mohd Ariff, Dr Sharifah Suraya Syed Tahir, Dato Dr Syed Abdul Aziz Syed Zain dan Dr Nor Azlina Abdul Jalil serta para petugas bantuan IJN.

Hanya seorang sahaja pakar asing yang terbabit iaitu Prof Dr Hartzell Schaff dari Mayo Clinic.

Bagi Tun, apa yang baik bagi rakyat Malaysia adalah baik bagi beliau. Justeru itu, belaiu memilih untuk dibedah oleh para doktor yang sama yang membedah ribuan rakyat Malaysia yang miskin dan kaya di IJN dan di pelbagai hospital di negara ini, walaupun dia cukup sedar bahawa risiko pembedan kali ini adalah lebih tinggi kerana usianya yang sudah lanjut.

Inilah Tun Dr Mahathir pelopor “Malaysia Boleh” dalam bentuknya yang paling unggul dan mutakhir. Dia menjadikan jasat, nyawa dan rohnya sebagai “proving ground” kepada kebolehan anak watan dalam bidang perubatan sama seperti keyakinan beliau kepada kebolehan anak-anak bangsa dalam bidang-bidang lain.

Soalnya, apakah teladan insan bernama Mahathir bin Mohamad ini terlalu sukar untuk dicontohi sehingga ada anak-anak didiknya sendiri yang tergamak mencuba untuk mematikan dan melenyapkan legasinya?

Marilah kita berfikir dan bertindak. Bukan untuk Tun, tetapi untuk kita semua dan yang lebih utama untuk anak cucu kita.

Berdosa dan hina jika legasi yang kita tinggalkan adalah kegagalan, kedaifan dan kehambaran.

Terima kasih.