Wednesday, September 12, 2007

Bermulanya Ramadhan....

Salam Buat Semua,

Awal Ramadhan akan disambut esok untuk edisi 1428 Hijrah. Syukur kerana saban tahun ketibaan Ramadhan tetap dinanti dan seolah diraikan dengan perasaan yang istimewa sekali. Ketibaan Ramadhan pastinya lebih terasa di negeri-negeri yang menjadikan 1 Ramadhan sebagai cuti umum. Tahniah buat kerajaan negeri Johor, Melaka dan Kedah kerana menjadikan ketibaan Ramadhan lebih dinanti dan lebih bermakna.

Saya mula dididik untuk berpuasa ketika berada di Darjah 2 pada tahun 1990. Masih segar lagi ingatan saya kepada peristiwa emak mengejutkan saya untuk bersahur di pagi hari dan dengan mudahnya saya menghala ke meja makan dan segalanya telah terhidang. Sungguh malas dan sungguh tidak berselera rasanya untuk makan di pagi hari ketika 'ayam pun baru hendak berkokok dan hening pagi terasa dingin sekali.'

Kini saya terfikir betapa tidak adil sungguh untuk saya berasa 'malas dan geram' untuk bangun bersahur tatkala emak mengejutkan saya dari lena tidur seawal jam 5.00 pagi itu. Kenapa? Pernahkah kita terfikir bahawa emak hanya mengejutkan kita untuk mengisi perut sahaja walhal emak sendiri sebenarnya telah bangun jauh lebih awal daripada ahli keluarga yang lain kerana perlu menyiapkan juadah untuk bersahur. Emak juga penat, emak juga malas dan emak juga manusia seperti kita. Sungguh besar jasa emak kepada kita. Itu baru bercerita bab sahur...

Pada hari pertama berpuasa, badan terasa cukup letih dan fizikal lemah sekali. Maklumlah, buat pertama kalinya cuba 'bertatih menjinakkan diri' melaksanakan Rukun Islam yang satu ini. Sehingga jam 4 petang saya masih mampu bertahan tetapi apabila jam mencecah ke angka 5 petang, saya terasa badan saya sudah merudum ke tangga terbawah sekali tenaganya ! Saya sudah tidak mampu bangun dan hanya terbaring kelemahan. Sungguh comel rasanya kalau dikenangkan saat-saat itu.

Encik (ayah saya) semestinya lebih berpengalaman dan penuh hikmah tindakannya. Akhirnya dia membuatkan saya secawan Milo dan diberikannya kepada saya. Akhirnya saya tumpas dengan kelemahan diri yang bukan saya cipta. Saya berbuka puasa 2 jam lebih awal daripada orang-orang lain. Maka terciptalah rekod puasa saya pada hari pertama dengan waktu berbuka puasanya 2 jam lebih awal daripada yang sepatutnya. Tapi sekurangnya saya berjaya bertahan sehingga jam 5.30 petang.

Seterusnya saya demam dan tidak berpuasa selama lima hari. Budak kecil hendak belajar berpuasa, demam pula dapatnya hingga tak terdaya pergi ke sekolah. Itulah proses pembelajaran yang cukup berharga bagi saya. Selepas pulih demam, pada puasa hari yang ke 7 saya meneruskan misi belajar berpuasa yang dipandu dengan pemerhatian ketat encik dan emak. Alhamdulillah, rekod puasa penuh sehari saya tercapai akhirnya. Bagi tahun pertama saya berpuasa, terciptalah rekod berjaya berpuasa penuh selama 24 hari ! Itu kejayaan juga namanya. Seterusnya hanyalah sejarah dengan rekod penuh berpuasa sebulan yang tidak tercemar lagi ke hari ini. Alhamdulillah....

neba2020: Nikmat berpuasa bagi seorang anak kecil pastinyalah ketika saat hendak berbuka. Sungguh seronok rasanya dan ketibaan azan Maghrib semestinya umpama membawa pengertian yang cukup bermakna sekali ! Saat-saat Aidilfitri semakin hampir pasti gembiranya melonjak ke tahap tertinggi kerana akan dibelikan mak dan ayah dengan baju raya yang berwarna-warni juga kasut baru yang unik gayanya. Memori menolong atau mungkin 'mengacau' emak membuat biskut-biskut raya juga akan menjadi kenangan yang terindah.

1 comment:

Anonymous said...

baju raya yang berwarna-warni?

macam ala-ala baju kurung la pulak. ehee