Salam Buat Semua,Kenyataan dua orang menteri yang saya petik daripada akhbar Utusan Malaysia edisi 25 Julai, 2007 adalah dirujuk:Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim:
“Kami dulu terdiri daripada anak murid yang kena cubit, kena piuh telinga, kena rotan di tapak tangan dan kena pelbagai disiplin tetapi ibu bapa hormat tindakan itu bagi melahirkan masyarakat berdisiplin,’’
Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin:
" Tindakan tegas para guru sering kali disalahertikan oleh segelintir pihak sedangkan kaedah pengajaran yang tegas telah terbukti melahirkan generasi yang berdisiplin"
“Malah dari segi agama pun kadang-kadang Tuhan turunkan bala untuk memberi peringatan dan pengajaran. Apa yang guru ini buat ialah supaya setiap murid bersama berkongsi perbuatan salah dan mencegah orang lain daripada membuat perkara sama.”
Antara isu yang saya kira tidak sepatutnya menjadi isu di dalam sistem pendidikan negara ini adalah isu guru menghukum murid atau guru merotan murid kerana kesalahan si murid.
Saya sebenarnya 'geli' dan 'loya' mengenangkan sikap ibu-bapa era kini yang kononnya terlalu 'bertamadun' hingga terlalu memanjakan anak-anak dan langsung tidak dapat menerima hakikat andainya anak-anak dimarah atau dihukum oleh guru-guru di sekolah. Maka wujudlah anak-anak masa kini yang seakan 'kebal' daripada menerima hukuman. Terlebih manja dan terlebih mengada !
Terkenang pula saya kepada era di sekolah agama dahulu. Buat makluman, kami anak-anak jati Johor adalah beruntung kerana negeri kami mengamalkan sistem dwi-sekolah yang cukup mantap dan masyhur serata negara (Hidup Johor !). Di waktu pagi, kami mengikuti sistem pendidikan arus perdana di sekolah kebangsaan dan seterusnya di waktu petang adalah WAJIB untuk setiap murid-murid di negeri Johor untuk mengikuti sekolah agama yang 100% sistemnya dikawal oleh kerajaan negeri Johor. Yang istimewanya tentang sekolah agama negeri Johor ini ialah pelajar yang gagal dalam peperiksaan atau gagal subjek-subjek teras seperti TAUHID, AL-QUR'AN dan IBADAT dalam setiap peringkat adalah tidak layak untuk naik ke darjah yang seterusnya. Mereka harus mengulang pengajian di tahap yang sama untuk tempoh setahun lagi dan hanya akan melangkau naik ke darjah yang lebih tinggi andainya lulus. Inilah keistimewaannya sistem negeri Johor yang telah dipraktiskan sejak zaman penjajahan lagi. Selain itu kredit yang amat besar harus diberikan kepada kerajaan negeri Johor yang membiayai hampir 100% kos pentadbiran dan penyeliaan beratus-ratus sekolah agama negeri yang kesemua guru agamanya adalah terlatih dan bukan jenis 'tangkap muat' seperti mana yang banyak terjadi di sekolah-sekolah agama persendirian di negeri-negeri lain.
Sepanjang saya menjadi pelajar di Sekolah Agama Gemereh, Segamat (Johor), pastinya jasa seorang guru yang dipanggil CIKGU WAN HASSAN WAN ABAS yang juga Guru Besar tidak akan dilupakan dengan mudah.
* Cikgu Wan mengajar subjek TAUHID sepanjang saya bersekolah agama. Maka bolehlah saya katakan betapa pemahaman saya tentang akidah Islam dan kepercayaan serta pemahaman tentang kekuasaan, kebijaksanaan dan keagungan Tuhan juga kerasulan Nabi Muhammad adalah banyak dibentuk dan disuburkan oleh keupayaan Cikgu Wan menerang dan mendidik kami anak-anak kampung dengan baiknya.
* Seperkara yang manis untuk saya kenang ialah apabila Cikgu Wan sentiasa menasihatkan kami tentang kepentingan Solat Jumaat. Setiap petang Khamis beliau akan mengingatkan kami supaya pergi awal ke masjid untuk mendengar khutbah, senyap sepanjang khutbah dibaca dan berada dibarisan belakang untuk menunaikan solat Jumaat. Apabila petang hari di kelas maka Cikgu Wan akan bertanya kepada kami semua tentang siapa yang tidak pergi ke masjid. Sungguh kelakar apabila terkenang betapa kami secara automatik akan 'menyerah diri' mengaku kiranya kami tidak pergi ke masjid. Maka kami akan diberikan 'hadiah' yang cukup istimewa iaitu akan dirotan punggung kami sebanyak tiga kali. Sakit rasanya tetapi tidaklah memberikan kecederaan. Cukuplah sekadar memberikan kesan kemerahan yang pastinya akan pudar selepas dua atau tiga hari. Kalau tidak sakit sedikit maka bukan 'dirotan' namanya ! bagi pelajar perempuan yang mengaku tidak bersembahyang Zohor di rumah maka 'hadiah' buat mereka ialah dirotan di telapak tangan sebanyak tiga kali. Kelihatan Cikgu Wan tidaklah merotan pelajar perempuan dengan kuat seperti kami pelajar lelaki. Itulah kebijaksanaan dan kewarasan yang dimiliki oleh Cikgu Wan kami yang hebat !
* Moral yang kami peroleh daripada tindakan 'mendidik dan membentuk' insan yang dipraktikkan Cikgu Wan ialah:
1- Kami menjadi manusia yang susah untuk berbohong.
2- Kami faham cara dan kaedah menghormati tempat ibadat dengan baiknya
3- Kami sentiasa menghormati khatib yang berkhutbah dan memuliakan khutbah itu sendiri
dengan tidak bercakap sesama kawan-kawan, tertidur mahupun berangan-angan.
Akhir kata, saya secara peribadi merasakan betapa menghukum yang berpada-pada atas erti kata untuk mendidik dan membentuk sahsiah / kelakuan generasi muda kita yang baik dan terpuji adalah wajar dan tidak perlulah ibu-bapa meragui keikhlasan warga pendidik disekolah. Majoriti daripada cikgu-cikgu di luar sana adalah berhati mulia dan baik niatnya. Percayalah....
Salam Inspirasi ~~
Neba2020: Terima kasih juga pada encik saya (panggilan saya buat ayah saya ialah 'ENCIK') yang memang tidak pandai merotan anak TETAPI cukup hebat dan gagah 'membantai' saya dengan tali pinggang kulitnya. Aduh, libasan bantaian encik ke atas badan saya memang 'berhasil' dan wajar diberikan pingat emas ! Menangis tersedu-sedu dibuatnya ! Selalu juga bahagian belakang saya berbirat dan kesannya seminggu pun belum hilang. Maka bolehlah bayangkan betapa 'berkualitinya' libasan tali pinggang encik kepada saya. Haha, tetapi itulah azimat dan itulah pengajaran terbaik yang saya peroleh sebagai anak encik. Saya berterima kasih kepada encik sebab menjadikan saya seorang 'manusia.' Tali pinggang juga yang menjadikan kami rapat dan sayalah anak manja encik selamanya. hehehehe....