Rasuah boleh dikategorikan sebagai salah guna kuasa sama ada tidak melibatkan wang ringgit mahupun dengan kaedah menerima sogokan.
Dalam masa terdekat ini, negara dikejutkan dengan kisah dakwaan salah guna kuasa / rasuah yang melibatkan dua tokoh yang tidak kurang besar namanya dalam arena politik dan pentadbiran kerajaan. Kes adalah cukup unik dan menggemparkan. Sama ada yang tertuduh bersalah atau tidak, ia akan ditentukan oleh siasatan yang pastinya akan dijalankan dengan cukup cermat lagi teliti.
KES 1 : Dato' Mohd Johari Baharum yang merupakan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri telah difitnah (menurut beliau) menerima sogokan berjumlah RM5.5 Juta daripada pihak tertentu untuk membebaskan tahanan yang ditahan di bawah Ordinan Darurat. Dalam sekelip mata, imej Johari seakan robek dengan parahnya. Seperti diketahui umum, Johari adalah Timbalan Menteri yang bolehlah dianggap sebagai kanan kerana kementerian tersebut adalah berketuakan Perdana Menteri sebagai Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Maka sudah pastilah Johari mempunyai kuasa yang luas di kementerian tersebut bersandarkan kepada hakikat bahawa Perdana Menteri sendiri amat sebok dengan pelbagai tugasan lain.
Secara peribadi saya melihat bahawa imej Johari amat positif di mana pada suatu ketika dulu pernah menjadi orang penting bekas Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir) sehingga beliau dipilih sebagai pengganti Dr Mahathir sebagai Ahli Parlimen dan juga Ketua Bahagian UMNO di Kubang Pasu, Kedah. Walau bagaimanapun, imej Johari mula tercalar apabila beliau dilihat ramai sebagai antara personaliti yang cuba menggagalkan usaha Dr Mahathir untuk menjadi perwakilan Kubang Pasu ke Perhimpunan Agung UMNO 2006 sehingga didakwa Dr Mahathir bahawa kegagalannya adalah melalui percubaan pemberian sogokan kepada perwakilan yang mengundi. Bermula saat itu saya mula merasakan bahawa Johari seperti seorang yang berperawakan 'bagai kacang lupakan kulit !' Maaf Dato', hakikatnya saya memang kecewa dengan anda ! Maaf juga untuk mengatakan bahawa saya tersenyum tanpa dipaksa apabila mendapat khabaran bahawa Dato' terjerumus dalam pertuduhan berat seperti ini. Maafkan saya kerana tersenyum dan tidak simpati kepada Dato'
KES 2: Adalah amat mengejutkan apabila seorang yang bergelar KETUA PENGARAH BADAN PENCEGAH RASUAH (BPR) telah diheret ke satu pertuduhan yang amat dahsyat dan ribut ! Tetapi itulah yang terjadi kepada Dato' Seri Zulkipli Mat Noor. Dakwaan yang dituduh oleh si pelapor terhadap Ketua Pengarah BPR ini cukup berat jika diteliti; Daripada penyalahgunaan kuasa dan memiliki kepentingan dalam syarikat-syarikat swasta sehinggalah kepada salah laku seks ! Pihak yang membuat tuduhan juga bukanlah sebarangan individu. Beliau ialah bekas Pengarah BPR negeri Sabah yang bernama Mohamed Ramli Manan.
Lebih memeranjatkan apabila pihak mendakwa mengatakan bahawa pihak Polis pernah menyorokkan laporan yang pernah dibuat sebelum ini. Ini menyebabkan bekas Ketua Polis Negara iaitu Tan Sri Mohd Bakri Omar dijangka turut disiasat penerangannya. Apakah terdapat konspirasi pihak tertentu untuk meneggelamkan dakwaan yang pernah dibuat sebelum ini ?
Dapatkah anda bayangkan andai seorang yang berpangkat 'JENERAL PEMBANTERAS RASUAH DAN SALAH GUNA KUASA' sendiri didapati 'KECUNDANG' dan 'LAYU DI BALIK KUASA' ? Sungguh sedih andainya Ketua Pengarah BPR ini dibuktikan bersalah. Andai sebaliknya, syukur kita ucapkan
KES 3: Agak pelik apabila 2 orang menteri yang sudah pastinya datang daripada parti politik yang memerintah iaitu Barisan Nasional (BN) seolah berperang dalam keadaan cuaca semasa Malaysia yang sememangnya hangat ini kerana dijangka muzim El-Nino akan melanda.
Isu timbul apabila projek Hospital Sultanah Bahiah di Kedah yang tempoh siapnya telah tertunda berulang kali sehingga melibatkan kos tambahan yang bukan kecil nilainya dan telah menyusahkan rakyat secara umumnya untuk menikmati kemudahan perubatan yang moden dan canggih selari dengan aspirasi kerajaan untuk membekalkan kemudahan kesihatan bertaraf antarabangsa kepada rakyat jelata.
Pihak Kementerian Kerja Raya yang bertanggung jawab ke atas projek pembinaan hospital tersebut telah menyalahkan pihak Kementerian Kesihatan kerana suka menambah idea-idea struktur hospital tersebut sehingga mengacau perancangan awal. Kita dapat melihat betapa bersemangatnya Menteri Kerja Raya iaitu Dato' Seri S. Samy Vellu dalam mempertahankan kementeriannya dan menyalahkan kementerian lain. Di suatu sudut yang lain, Menteri Kesihatan iaitu Dato' Seri Dr Chua Soi Lek dengan spontannya menangkis dakwaan Samy dengan mengatakan bahawa kegagalan adalah lebih berpunca daripada kegagalam kontraktor projek itu sendiri dan kontraktor projek adalah di bawah seliaan Kementerian yang diketuai Samy itu sendiri.
Maka di sini kita tertarik untuk mengetahui siapakah yang betul-betul bersalah atas kelewatan projek Hospital Sultanah Bahiah tersebut? Siapa yang hendak bertanggung jawab di atas jutaan Ringgit yang dibazirkan kerana projek tersebut mengambil masa yang cukup lama untuk disiapkan? Tidakkah berlaku penyalahgunaan kuasa di sini kerana gagal memantau proses penyiapan projek tersebut dengan baik dan telus ? Sikap 'baling batu' sesama anggota pemerintah yang memikul amanah besar rakyat sememangnya tidak wajar berlaku. Ini samalah seperti dua beradik yang tidak sebulu, akibatnya keluarga dipandang serong oleh masyarakat sekitar !
Kesimpulannya, 3 kes yang dinyatakan di atas pastinya akan memudaratkan imej pihak Kerajaan di mata khalayak ramai seandainya terbukti yang dituduh adalah benar-benar bersalah atau memang wujud unsur penyelewengan / cuai dalam berkhidmat. Kita akan terus memerhati dan berharap moga mereka yang diberikan amanah tidak sesekali membakar amanah yang digalas demi kepentingan peribadi. Hanya yang jujur akan terus bertahan dan dikenang ramai......
Salam InspiRasi ~~
1 comment:
Erm fendy, kau pernah dengar pasal Corruption Perceptions Index (CPI, not to be confused with Consumer Price Index aka kadar inflasi) kan? Cuba tengok pergerakan indeks persepsi rasuah Malaysia kat Wikipedia (http://en.wikipedia.org/wiki/Corruption_Perceptions_Index), aku rasa dengan perkembangan sekarang mesti kedudukan kita akan terus menjunam nyer...
Post a Comment