Salam Buat Semua,Sebak menyelubungi jiwa saya sepanjang
Selasa, 4 September 2007 tatkala idola kesayangan,
Tun Dr. Mahathir Mohammad menjalani pembedahan jantungnya di
Institut Jantung negara (IJN). Puisi di bawah saya petik daripada
weblog kendalian bekas Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times (NSTP), Dato' A. Kadir Jasin (
http://www.akadirjasin.com/) yang merujuk kepada bapanya sendiri dan juga kepada pemimpin agung Malaysia yang pernah mengemudi 'proses pemodenan' negara
MERDEKA ini selama 22 tahun:
Doa Buat Seorang BapaA Kadir Jasin
USIAMU serupa usia bapaku
Engkau dan dia pernah sekutu
Berjuang atas nama ibunda
Demi agama, bangsa dan negara
Tapi di situ persamaan terhenti
Kerana engkau Mantan Perdana Menteri
Yang memacu negara ke mercu tinggi
Sedang bapaku kekal seorang petani.
Kini engkau dan dia sama-sama tua
Sudah uzur dimakan usia
Namun jiwamu dan jiwanya
Tetap seperti dahulu juga
Padat sarat dengan perjuangan
Jitu padu dengan kesedaran
Bahawa padanya tiada sisa
Selagi jasad dan nyawa bersama.
Mindamu dan mindanya
Sentiasa segar terus muda
Tidak reput dimakan usia
Tidak patah diuji pancaroba
Tidak tawar dicaci nista
Hatta oleh anak-anak didikmu sendiri
Yang gila kuasa dan lupa diri
Yang tiada lagi budi dan pekerti.
Maka wahai bapa-bapaku
Ketika engkau terlantar
Hati kecilmu gementar
Dengarkanlah ikrar kami
Anak menyambung generasi.
Bahawa legasimu tidak akan mati
Kami tidak akan biarkan itu terjadi
Kerana antara kami
Anak-anak generasi pengganti
Masih ada yang belum diracun korupsi
Yang belum lupa erti jasa dan budi
Yang jiwa merdekanya terus membara
Atas nama agama, bangsa dan negara.
Wahai bapa-bapa pejuang merdeka
Doa kami buatmu semua
Tuhan jaga kamu dalam dakapannya
Dipanjangkan usia
Segar jasad dan minda
Kerana engkaulah pelita Pujangga dan pendeta Pemimpin sepanjang usia.
Berikut pula adalah komen langsung yang saya berikan di weblog tersebut sebagai respon langsung saya kepada puisi Dato' A. Kadir yang cukup bermakna itu:
"
fendy_ahmad said... "
Doa ikhlas tetap cucu utuskan...
Moga Atuk selamat selalu...
Cucu tak pernah lupa pada semangat atuk
Cucu tak pernah leka menghayati wawasanmu
Atuk tetap di hati cucu
Atuk tetap wira kami semua....
Cucu masih belum jemu melihat atuk...
Cucu masih belum puas mendalami pemikiran atuk...
Cucu masih bersemangat meneruskan cita-cita dan harapan atuk....
Ya Allah, moga atuk itu kau rahmati selalu...
Neba2020: Tahniah buat Dr. M kerana tetap yakin kepada kebolehan anak-anak Malaysia dan institusi perubatan Malaysia sendiri untuk mengendalikan proses pembedahan jantung beliau. Dr. M adalah refleksi seorang pemimpin negara berjiwa MERDEKA yang sejati. Tindakan beliau selari dengan percakapan dan semangatnya ! MERDEKA itu adalah kemajuan, keyakinan dan keupayaan !