Thursday, September 17, 2009

Combi Yang Saya Sayang Selalu ...

Salam Buat Awak,



1) Meow Meow rasa bertuah kerana ada Combi sebagai 'dia' yang disayangi lagi diingati selalu.

2) Meow Meow rasa semakin lama mengenali Combi, semakin kukuh kepercayaan diri ini bahawa Meow Meow dan Combi semakin dekat di hati dan rapat di pemikiran.

3) Meow Meow bangga ada Combi, Meow Meow tahu betapa bertuahnya diri ini kerana Combi rela hati menerima diri ini seadanya.

4) Meow Meow rasa bertuah kerana Combi amat pandai memasak. Bukan mudah untuk mencari gadis muda awal 20an yang tahu serba-serbi kerja di dapur. Bertuahnya Meow Meow !

5) Meow Meow rasa bertuah kerana Combi tidak lupa pada ajaran agama. Kita saling mengingati tentang solat, saling memerli siapa yang lambat tunaikan kewajipan agama itu dan saling berdiskusi tentang isu-isu amalan kelakuan juga bacaan yang sebaiknya dalam urusan menghadap Tuhan itu.

6) Meow Meow dapat rasakan betapa Combi sentiasa setia menjadi pendengar kepada segala apa yang Meow Meow ingin luahkan. Combi tak pernah menunjukkan rasa bosan kepada setiap bebelan dan rungutan Meow Meow. Combi cukup istimewa di hati Meow Meow !

7) Meow Meow gembira kerana setiap percubaan untuk menenangkan perasaan Combi sewaktu jiwa Combi dihantui masalah, rasa resah dan kegeraman terhadap sesuatu sentiasa berjaya, segalanya kerana limpah kurnia Tuhan Yang Maha Kuasa yang selalu menganugerahkan Meow Meow dengan sedikit keupayaan untuk menjadi sang penenang jiwa juga 'si Penghibur' buat Combi.

8) Hidup ini menjadi meriah dan bermakna apabila kita mengenali dan memiliki seseorang yang bijak memvariasikan suasana penitian 'perjalanan' bersama.

9) Tanpa perlu berpegang tangan dan menunjuk-nunjuk kepada persekitaran, kisah cinta Meow Meow dan Combi tetap mekar malah semakin hari semakin indah dan penuh ceritanya. Makin lama Meow Meow dan Combi melayari kisah ini, semakin banyak cerita yang belum sempat kita kongsi bersama. Setiap hari pasti ada sesuatu yang boleh kita kisahkan, saling berfikir juga saling meneliti. Kadang-kadang kita menjadi sedih dengan cerita-cerita itu, kerap juga kita tertawa bersama-sama dan selalu sangat kita mengakhiri kisah-kisah itu dengan 1001 pengajaran dan tauladan yang tersendiri buat pedoman di masa hadapan.

10) Meow Meow berikrar bahawa Meow Meow tidak mengharapkan sesuatu yang lebih daripada Combi kerana apa jua yang sedia ada kini telah cukup membuatkan Meow Meow insaf betapa Tuhan telah temukan Meow Meow dengan seorang gadis yang serba bersederhana, manis di pandangan, jujur kelakuannya, modennya berlandaskan budaya yang mulia dan tidak lupa kepada adat tradisi Melayu juga keagungan Islam yang dijunjung sentiasa.

Neba2020: Buat Combi, Meow Meow ucapkan SELAMAT HARI JADI yang ke 22. Meow Meow tidak pandai mengucap kata cinta tetapi Meow Meow tahu bahawa Combi begitu istimewa di hati ini. 'Ada satu ruang di hati ini yang kukuh tersedia buat dirimu selamanya sayang.'

Tuesday, September 15, 2009

Balik Raya: Kampung Isteri, Kampung Suami ....

Salam Buat Semua,

1) Bagi yang sudah berkahwin, isu balik kampung siapa untuk menyambut Hari Raya semestinya menjadi perkara penting yang tidak boleh dipandang sewenangnya.

2) Ada yang mengamalkan konsep bergilir, tahun ini di rumah sebelah suami dan tahun hadapan pula di rumah keluarga si isteri pula.

3) Ada kes istimewa di mana suaminya orang Johor manakala isteri pula orang Kelantan, tiada giliran sebegitu rupa kerana ketetapan dibuat secara senang hati iaitu Hari Raya Puasa disambut di Johor manakala Hari Raya Haji diraikan di Kelantan. Maklumlah, sambutan Hari Raya Haji di Kelantan cukup meriah dan tiada rugipun sistem 'bergilir' sebegitu rupa diamalkan.

4) Tahun ini saya dikhabarkan yang abang tunggal (adik-beradik tunggal) akan menyambut Hari Raya pertamanya sebagai seorang suami di kampung isterinya di Terengganu.

5) Encik (ayah) tidak membantah dan tidak juga 'menunjuk perasaan' kepada Abang. Emak pula yang memang tidak banyak kerenahnya semestinya tidak akan mengeluarkan sebarang ketidakpuasan hatinya.

6) Encik saya juga seorang manusia biasa. Sewaktu dia memberitahu saya bahawa Abang akan menyambut Raya di Terengganu, muka Encik jelas terpancar rasa sedih dan saya nampak air matanya cuba ditahan-tahan daripada keluar. Dia tidak mahu saya nampak yang dia bersedih !

7) Keluarga saya amat kecil dan sistem penggiliran di musim Hari Raya tidak semestinya membawa kebahagiaan kepada diri ini. Perasaan ibu dan ayah yang memiliki ramai anak adalah sama sekali tidak akan sama dengan mereka yang memiliki anak yang kecil bilangannya apabila seorang daripada anaknya tidak dapat bersama-sama menyambut Hari Raya.

8) Andainya saya sudah beristeri kelak, mana mungkin saya mampu merelakan Encik dan Emak saya menyambut malam Raya berdua sahaja.

9) Biarlah orang kata saya zalim atau awal-awal lagi sudah merancang untuk bersikap seperti 'diktator' kepada isterinya kelak. Saya tidak kisah dan saya tahu kenapa saya 'terpaksa' berfikir sebegini.

10) Saya tidak akan memaksa sesiapa tetapi dia yang mahu menerima saya sebagai suaminya kelak haruslah menerima ketetapan juga bahawa selamanya sambutan malam Raya dan dua hari raya yang berikutnya adalah di sebuah kampung yang bernama Kampung Alai, Segamat, Johor.


neba2020: Tuhan, hikmahMu kupohon dan hanya Engkau jua yang mampu memudahkan segalanya dan percaturan juga ketetapanMu jua yang akan menyinari kebahagiaanku kelak ....

Monday, September 7, 2009

Kepala Lembu dan Kepala Babi ...

Salam Buat Semua,

1) Ada isu 'kepala lembu' diarak dan diletakkan di depan bangunan milik sebuah kerajaan negeri.

2) Orang-orang Melayu daripada pelbagai fahaman politik (siasatan Polis mendapati ianya tidak 'dijalankan' oleh parti politik tetapi lebih kepada satu 'aksi' penduduk setempat yang bersatu tanpa mengira mereka itu Melayu UMNO, Melayu PAS ataupun Melayu PKR) 'bertindak' sebegitu rupa sebagai respon langsung di atas persetujuan kerajaan negeri tersebut yang mengizinkan sebuah kuil Hindu dialihkan ke satu lokasi yang majoriti besar penduduknya adalah beragama Islam.

3) Kebebasan beragama sememangnya dibenarkan di dalam Perlembagaan negara ini, tiada kompromi untuk peruntukan itu dan Islam pula perlu diiktiraf sebagai agama rasmi negara kerana hampir 70% rakyat menganutinya. Isu timbul apabila sensitiviti majoriti dipandang sepi oleh kerajaan negeri dan akibatnya wujud pula sesetengah ahli masyarakat yang bertindak 'tidak manis' dengan mengguris pula hati dan perasaan rakan-rakan beragama Hindu.

4) Sedikit masa dahulu isu ternakan babi yang melampau di negeri Melaka telah menimbulkan 'huru-hara' yang cuba disenyapkan daripada pengetahuan rakyat. Kegiatan penternakan babi yang berjumlah ratusan ribu ekor telah mengakibatkan gangguan mental dan fizikal kepada penduduk majoriti yang beragama Islam.

5) Kerajaan cuba mengambil jalan tengah tetapi para pengusaha babi yang majoritinya beragama Buddha tetap berdegil untuk tidak berkompromi. Ada kejadian kepala babi berdarah diletakkan di depan rumah orang Islam, sekolah dan masjid. Demi perpaduan kaum, isu ini tidak dibesarkan dan masyarakat Melayu (semestinya Islam) mengalah sahaja.

Tidak kiralah Islam, Hindu, Buddha mahupun Kristian, sikap menghormati sesama sendiri dan tidak menafikan hak penduduk majoriti wajarlah diutamakan andai tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku di tanahair tercinta ini ....

Neba2020: Orang Islam WAJIB tahu bahawa lembu adalah haiwan suci bagi penganut agama Hindu dan penganut Buddha, Hindu dan lain-lainnya WAJIB juga tahu bahawa babi dan anjing adalah dua haiwan bertaraf najis di sisi agama Islam ...

Wednesday, September 2, 2009

2 September 1998: Anwar Selepas 11 Tahun

Salam Buat Semua,

1) Anwar Ibrahim banyak mempengaruhi pembawaan diri ini. Ramai yang terpesona dengan karismanya. Dia seorang pembahas, pembicara dan pendebat yang hebat. Itulah aset utama Anwar !

2) Alam persekolahan saya bermula di zaman beliau menjadi Menteri Pendidikan sekitar lewat 1980an.

3) Seterusnya saya menyaksikan wira kebanggaan Permatang Pauh itu dipilih menjadi Menteri Kewangan sebaik sahaja selesai Pilihan Raya Umum 1990 bagi menggantikan Tun Daim Zainuddin yang telah selesai 'misi' khasnya untuk menstabilkan semula ekonomi dan sektor kewangan negara selepas era krisis 1980an.

4) Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1993 setelah beliau 'memalukan' Tun Abdul Ghaffar Baba dengan mencabarnya untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO. Ghaffar tidak sempat memepertahankan jawatannya selepas 'kem' Anwar berjaya menguasai pencalonan daripada kira-kira 90 % bahagian-bahagian UMNO di seluruh Malaysia.

5) 2 September 1998, Anwar dipecat daripada jawatannya di dalam kerajaan dan seterusnya disingkirkan daripada UMNO. Beliau dipercayai terlibat dengan aktiviti-aktiviti tidak bermoral yang tidak dapat diterima oleh logik dan budaya masyarakat Melayu khasnya dan Malaysia amnya.

Neba2020: 11 tahun sudah berlalu, Anwar masih bertenaga dan Anwar tetap memiliki pengaruh yang hebat dan karismanya sebagai tokoh politik tetap bernyala marak dan meriah. Kadang-kadang maraknya seperti pemberi harapan, kadang-kadang maraknya seperti membakar tidak berperasaan ....

Friday, August 28, 2009

Nasihat Buat Diri Saya

Salam Buat Semua,

1) Ada orang kata, andai kita ingin menjadi insan yang hebat maka janganlah kita malu-malu untuk menasihatkan juga membetulkan diri sendiri.

2) Sedar tak sedar, kita lebih mudah menasihatkan orang lain daripada menasihatkan diri sendiri. Mudah juga kita merasakan orang lain tidak betul, tidak bagus, tidak menarik, tidak rajin, tidak teliti dan 1001 TIDAK yang lain. Umpamanya kita inilah saja yang betul segalanya, tiada cacat juga cela.

3) Sebaiknya kita cuba bertanya diri sendiri, "Apalah yang orang lain kata tentang aku, apalah benda-benda tak bagus yang orang lain sebut tentang aku?"

4) Tidak semuanya yang orang 'kata' tentang kita adalah benar tetapi haruslah kita sedar juga bahawa tidak semuanya juga tidak benar, kebiasaannya yang buruk lebih mudah menjadi bahan sebutan orang berbanding dengan yang baik.

5) Kadang-kadang mudah sungguh hati busuk saya (anda bagaimana?) terlintas memandang rendah kepada percakapan, tindakan, gaya mahupun hasil kerja orang lain.

6) Kadang-kadang mudah sungguh mata saya (anda bagaimana?) memandang sinis kepada sesuatu yang tidak cukup berharga, kurang kualiti, rendah taraf populariti mahupun yang tidak sepadan dengan keinginan penglihatan sendiri.

7) Minda saya (anda bagaimana?) juga amat senang memikirkan yang buruk-buruk tentang orang lain. Rasa percaya sukar diberi, rasa hormat payah sungguh untuk menjelma, was-was terhadap keupayaan insan itu dan terpengaruh dengan kata-kata buruk pihak ketiga terhadapnya.

8) Jiwa saya (anda bagaimana?) juga mudah memberontak apabila apa yang diingini, diimpikan dan diharapkan tidak sekata dengan apa yang diperoleh. Kalau boleh saya mahu dunia mengikut rentak tarian saya bukannya saya yang perlu sedikit memahami tentang dunia dan resamnya.

9) Jarang sungguh saya (anda bagaimana?) berpuas hati dengan apa yang telah dimiliki dan sedia ada di dalam genggaman tangan. Rasa tamak, mahu dan terus mahu serta sentiasa mahukan 'tambahan' amat mudah menguasai diri.

10) Saya terus dan terus (anda bagaimana?) mahu mengingatkan diri ini dan mengajarnya supaya sentiasa berfikiran positif, memandang mulia kepada setiap insan, memikirkan yang baik-baik tentang orang lain, memahami bahawa setiap manusia bukanlah lengkap segalanya, sentiasalah bersyukur dengan apa yang dimiliki dan yang terpenting janganlah lupa kepada TUHAN kerana DIAlah yang menentukan baik buruknya perjalanan hidup ini.

Neba2020: Saya dan anda bukanlah manusia yang terbaik tetapi saya dan anda bukanlah juga diciptakan TUHAN untuk menjadi manusia yang terburuk. Saya dan anda tidak akan mampu jadi manusia yang terlengkap dan terpuji sekali tetapi saya dan anda boleh sebaik mungkin cuba untuk menjadi manusia yang minima buruknya dan sentiasa 'celik hati, bersih pemikiran.'