Salam Buat Semua,Ikhlas saya katakan bahawa amat tidak selesa sekali untuk mengulas isu yang satu ini di
InspiRasi 1982 ~~ kerana pada asalnya tatkala 'berita mengejutkan' ini sampai ke pengetahuan saya kira-kira jam 2.10 petang (19 Mei 2008) ianya seperti amat sukar untuk saya percaya, hendak sedih seperti kelihatan karut dan hendak suka seperti kelihatan muram semuanya. Tetapi hakikatnya berita itu adalah tepat dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja, pemimpin ulung yang mengemudi Malaysia merentasi 2 abad yang berbeza iaitu Tun Dr. Mahathir Mohammad (Dr. M) mengumumkan beliau 'keluar' daripada UMNO. Dalam erti kata lain, Presiden UMNO selama 22 tahun itu (1981-2003) sudah tidak berminat untuk menjadi ahli UMNO lagi. Katanya, selagi UMNO terus diterajui Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) maka selagi itulah beliau hilang minat untuk terus berpayungkan UMNO !
Amat banyak pihak yang menghubungi saya sama ada melalui panggilan telefon, sistem pesanan ringkas (sms) mahupun sistem hantaran maklumat di Internet ('messenger') untuk mengetahui pendapat mahupun ulasan saya. Terasa seperti 'selebriti politik' pula apabila mengenangkan betapa ramai di antara sahabat, pelajar-pelajar mahupun kenalan di merata tempat yang seolah-olah menyinonimkan saya dengan Dr. M ! Antara 'ayat-ayat' yang diterima:
Helmi di Pulau Pinang : Pesanan SMS - Datok (ramai rakan di universiti dahulu memanggil saya Datuk Seri kerana mereka sedia maklum bahawa saya adalah 'peminat' Perdana Menteri ketika itu) gimana dong. Kurasakan seakan kegemparan melanda satu Malaya. Gimana implikasinya? Aduh gawat !Faisal di Kuala Lumpur : Pesanan SMS - Bile ko nak blog pasal TDM kuar UMNO?Berikut adalah ulasan 'rasmi' yang saya janjikan pada semua yang meminta supaya saya 'berkata sesuatu.' Amat saya hargai permintaan kalian di atas minat yang ditunjukkan itu walaupun saya bukanlah seorang pembesar mahupun tokoh di dalam apa jua bidang.
KENYATAAN SEORANG PENYOKONG TUN DR MAHATHIR DAN UMNO - ANAK KAMPUNG ALAI, MUKIM GEMEREH, SEGAMAT JOHOR DARUL TA'ZIM
1) Saya secara peribadi merasakan bahawa sesuatu akan berlaku, apa yang diputuskan Dr. M itu akan membawa satu haluan baru kepada UMNO dalam masa terdekat ini. Taktikal Dr. M jangan dipandang mudah. Penyokong-penyokong pembangkang dan para pembenci UMNO jangan pula terlalu gembira dengan perkhabaran itu.
2) Cinta dan sayang Dr. M kepada UMNO sebenarnya tidak luput sama sekali. Beliau menggesa ahli-ahli UMNO yang ingin keluar daripada UMNO supaya tidak menyertai mana-mana parti pembangkang seperti PAS mahupun Parti Keadilan Rakyat (PKR). Sebaliknya, apabila Pak Lah tidak lagi mengetuai UMNO maka masuklah semula meneruskan perjuangan UMNO.
3) Tekanan lebih terarah kepada Presiden semasa UMNO iaitu Pak Lah yang tetap berdegil dan masih dalam 'dunianya yang unik' dengan merasakan bahawa tiada sebab untuk beliau mengundur diri. Saya percaya bahawa Pak Lah akan lebih 'panas' selepas ini dan tahap kepanasan itu akan menyebabkan beliau segera cuba menyejukkan suasana dengan perkhabaran yang mungkin dia sendiri tidak suka untuk mengkhabarkannya. Pakatan Rakyat sememangnya TIDAK MAHU perkhabaran itu berlaku kerana Pak Lah adalah asset TERBESAR mereka. Pembangkang memang sayangkan Pak Lah dan mereka memang mahu Pak Lah terus menjadi Perdana Menteri ! Tidak pernah dalam sejarah 51 tahun Merdeka, pembangkang secara senyap-senyap sayangkan Perdana Menteri ....
4) Pak Lah harus sedar bahawa sebab terbesar yang 'memenangkan' Pakatan Rakyat (PAS, DAP dan PKR) sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) 8 Mac, 2008 ialah 'Faktor Abdullah Badawi' itu sendiri. Pak Lah ternyata gagal menjaga hati rakyat, gagal menjaga sensitiviti bangsanya sendiri dan pentadbirannya seolah-olah cukup suka 'menjerut leher' rakyat dengan 'kebodohan kerajaan' dalam mengekang pesta kenaikan harga majoriti daripada barangan juga perkhidmatan di Malaysia tercinta ini.
5) Keegoan Pak Lah telah mengecewakan Dr. M dan seolah-olah Pak Lah tidak pernah merasakan bahawa 'Faktor Abdullah Badawi' itu wujud dalam menjahanamkan reputasi UMNO khasnya dan Barisan Nasional (BN) amnya sewaktu PRU ke 12 itu. UMNO sedang dipimpin oleh seorang manusia yang tidak sedar diri dan tidak pernah terfikir bahawa UMNO akan terus merudum prestasinya, akan terus karam andai dia terus menerajuinya ! UMNO sebenarnya sedang memerlukan nafas baru yang bertunjangkan nakhoda baru, dengan Pak Lah 'berlalu pergi' secara terhormat kerana kewujudan Pah Lah seolah memanjangkan lagi masalah dan sakit UMNO itu sendiri !
6) Saya mengharapkan agar Datuk Seri Najib Tun RAzak , Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Rafidah Aziz dan Datuk Noraini Ahmad mengadakan pertemuan tertutup dengan Pak Lah untuk memohon jasa baiknya supaya FAHAM dan MENGERTI dengan sepantas mungkin dan jangan lagi berpura-pura bahawa dirinya masih mendapat sokongan, masih dipercayai, masih perlu bertanggungjawab dan 1001 alasan lain. Mereka wajib menyedarkan Pak Lah bahawa UMNO tidak sakit tenat, cuma UMNO sedang ketiadaan semangat. Pak Lah wajib disedarkan bahawa dia sedang menjadi liabiliti yang memudaratkan UMNO ! Dengan beredarnya Pak Lah, saya berani mengatakan di sini bahawa SEMANGAT UMNO akan pulih kembali dengan karisma kepemimpinan baru yang sekurangnya lebih bersemangat daripada Pak Lah itu ! Pak Lah telah hilang aura sebagai pemimpin yang dipercayai juga disayangi majoriti penyokong UMNO khasnya dan BN amnya.
7) 6 pemimpin semasa UMNO yang saya nyatakan itu WAJIB bertindak segera jika mereka sayangkan UMNO, sayangkan BN dan juga sayangkan kedudukan mereka. Mereka harus sedar bahawa jika Pak Lah terus menerajui UMNO dan BN, maka bersedialah untuk BN menjadi pembangkang di Parlimen dalam masa 4 tahun mendatang ! 6 pemimpin utama UMNO ini juga sebenarnya akan hilang kuasa, hilang kedudukan ! Janganlah sokong membawa rebah, membawa bencana pula kepada diri sendiri kelak.
8) Tindakan Dr. M keluar daripada UMNO pada hemat saya adalah percubaan beliau untuk 'meniupkan semboyan' yang cukup kuat lagi bisa menggetarkan gegendang telinga si pendengarnya yang diharap akan tersedar daripada mimpi masing-masing. Saya yakin dan saya cukup optimis untuk mengatakan bahawa 'signal' daripada Bapa Pemodenan Malaysia ini akan memberikan impak yang berbeza sekali kali ini. Deretan kritikan mahupun gesaan beliau terhadap Pak Lah juga pemimpin UMNO yang lain sebelum ini seolah-olah dipandang ringan oleh majoritinya tetapi 'kejutan' yang satu ini pastinya akan memberikan impak yang berbeza. Impak maksima buat perubahan UMNO ! Saya optimis ianya akan berlaku ! Tunggu dan lihatlah dengan sedikit kesabaran ....
9)
Adakah saya akan terus menyokong Dr. M?Jawapan ringkas saya ialah - Saya akan sentiasa bersama hamba ALLAH yang seorang itu, hamba ALLAH yang cukup banyak berjasa kepada diri saya, Encik (ayah), emak dan abang. Jasa hamba ALLAH yang satu ini kepada kami sekeluarga amatlah besar, hanya ALLAH yang bisa membalasnya ! Andai ada yang tidak sekata dengan pegangan saya, terpulanglah kepada kalian kerana jasa manusia kepada manusia hanya tuan empunya diri yang mampu menilainya dengan kewarasan masing-masing.
10)
Adakah saya akan terus menyokong UMNO?Jawapannya - Selagi saya tidak dapat melihat sebuah parti politik yang mempunyai agenda Melayu dan agenda Islam yang seiring sejalan dengan harmoninya maka selagi itulah saya akan terus berpegang kepada konsep dan idealisme UMNO sebagai wadah perjuangan yang mulia lagi berwawasan.
Bersatu, Bersetia, Berkhidmat
Bersatu Kita Bersatu, Dengan Setia Berganding Bahu
Jiwa Teguh Berpadu, Kita Rumpun Melayu
Bersama Kita Bersama, Mendukung Hasrat Semua
Berjasa Pada Bangsa, Agama Dan Negara
Lambang Kita Yang Gagah, Dipandang Mulia Dan Indah
"Bersatu, Bersetia, Berkhidmat" Cogan Katanya
UMNO Terus Mara, Untuk Rakyat Malaysia
Neba2020: Dr. M akan kembali ke pangkuan UMNO, percayalah .... UMNO akan kuat kembali, percayalah ....