Thursday, February 25, 2010

10 Ahli Politik Malaysia Paling Popular di FACEBOOK

Salam Buat Semua,

Jumlah Peminat 10 Ahli Politik Malaysia di laman web sosial FACEBOOK setakat jam 8.30 pagi, 25 Februari, 2010:

1) Tun Dr. Mahathir Mohamad - 283, 713
2) Dato' Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak - 109, 094
3) Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat - 81, 970
4) Dato' Seri Anwar Ibrahim - 56, 661
5) Lim Guan Eng - 25, 665
6) Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir - 24, 881
7) Lim Kit Siang - 20, 082
8) Dato' Seri Abdul Hadi Awang - 12, 232
9) Dato' Seri Mohd. Nizar Jamaluddin - 10, 528
10) Tan Sri Muhyiddin Yassin - 9,450

* Dr. Mahathir Mohamad nampaknya bolehlah diiktiraf sebagai individu paling popular di Malaysia.

* Penerimaan rakyat terhadap Perdana Menteri Mohd. Najib semestinya kelihatan cukup ampuh.

* Di pihak pembangkang (Pakatan Rakyat), Tok Guru Nik Aziz nampaknya adalah yang paling diterima oleh warga 'FACEBOOK.'

* Mukhriz Mahathir dan Mohd. Nizar jelas cukup disenangi lagi disukai masyarakat. Walaupun bukan 'orang besar' di dalam parti masing-masing, mereka berjaya menambat hati rakyat jelata. Mungkin selepas Pilihan Raya Umum 13 nanti, mereka berdua ini adalah 'bintang' yang akan menguasai politik nasional.

* Anwar Ibrahim pernah berkata (seperti dilaporkan Suara Keadilan) bahawa beliau tidak gentar dengan Mohd Najib yang kerdil kerana Dr. Mahathir sendiri beliau berani lawan. Jika mengikut petunjuk 'populariti' FACEBOOK ini maka jelaslah bahawa bukan mudah untuk Anwar menidakkan keupayaan Mohd. Najib apatah lagi Dr. Mahathir dalam menambat hati rakyat untuk terus setia memberikan sokongan. Walaupun begitu, Anwar tetap popular dan ramai yang sayang dan kagum dengan personaliti juga karismanya yang unik itu.

Neba2020: Menawan hati manusia bukannya mudah, tidak boleh dipaksa dan tidak mampu dipujuk rayu. Orang akan sayang dan orang akan suka kepada kita jika ada sesuatu yang istimewa pada diri kita yang kelihatan di pandangan mereka lalu melekat di hati....

Monday, February 22, 2010

Hati Yang Keras

Salam Buat Semua,

1) Nabi Muhammad S.A.W pernah didatangi seorang lelaki yang mengadu tentang hatinya yang keras.

2) Nabi berkata kepada lelaki itu, 'Letaklah tanganmu di atas kepala anak yatim.'

3) Selanjutnya Nabi bersabda, '... dan berilah makan orang-orang yang miskin.'

4) Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad.

5) Pernahkah kita cuba memikirkan sedikit tentang 'hak-hak' anak yatim dan orang miskin yang perlu kita tunaikan. Mungkinkah hati kita makin 'mengeras' hari ke hari kerana kita terlalu mementingkan diri sendiri dan sentiasa merasakan diri sendirilah yang betul, yang baik dan yang elok segalanya?

Neba2020: Memikir kesenangan dan sentiasa merasakan 'tidak cukup' hanya menambahkan 'kerasnya hati' manakala melihat kepada banyaknya nikmat yang TUHAN berikan kepada diri dan cuba memahami sekaligus mengurangkan kesusahan insan lain akan menambahkan 'lembutnya hati.'

Friday, February 12, 2010

Tiada Kes Politik Wang, Tiada Kes Lembu Korban ....

Salam Buat Semua,

1) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) umumkan (12 Februari, 2010) penutupan siasatan terhadap beberapa kes rasuah ataupun penyalahgunaan kuasa yang bolehlah diklasifikasikan sebagai 'berprofil tinggi' (melibatkan 'orang-orang besar').

2) Ketua Menteri Melaka, Mohd. Ali Rustam 'bebas' daripada siasatan kes politik wang semasa kempen pemilihan UMNO tahun 2009 yang lepas.

3) Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor pula 'dibersihkan' daripada isu penyelewengan dana kerajaan negeri bagi tujuan pembelian lembu korban.

4) Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak iaitu V. Sivakumar bolehlah 'lega' daripada dakwaan salah guna kuasa kerana menggantung Dr Zambry Abdul Kadir dan Exconya daripada menghadiri sidang DUN.

5) Mohd Fairus Khairuddin yang pernah menduduki kerusi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang seharusnya boleh 'bernafas lancar' semula kerana tiada lagi siasatan terhadap dakwaan yang beliau mempunyai kepentingan dalam meluluskan projek kuari.

6) SPRM menegaskan bahawa kes-kes terbabit terpaksa 'ditutup' kerana kekurangan bukti dan sukarnya untuk memperoleh saksi-saksi yang mahu tampil bagi membantu siasatan.

7) Penutupan kes bukan bererti tiadanya kes tetapi siasatan lanjut tidak dapat dilaksanakan dek kerana rapuhnya dakwaan yang dibuat.

8) Tuduhan-tuduhan rasuah terhadap 'orang-orang penting' sesebuah kerajaan negeri ini semestinya telah menyukarkan mereka untuk berkhidmat dengan penuh tekun dan bersemangat. Sedikit sebanyak, 'dakwaan-dakwaan' yang entah betul entah palsu itu sewajarnya telah mengalih sedikit tumpuan mereka daripada kerja-kerja yang perlu dilaksanakan sebagai seorang Ketua Menteri mahupun Menteri Besar.

9) Sudah tiba masanya pencatur politik menjadi lebih 'waras dan bijak.' Janganlah kerana ada agenda peribadi mahupun kebencian yang meluap, usaha-usaha dilakukan untuk 'melemahkan' seseorang itu dengan membuat tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa walhal ianya hanyalah bersandarkan kepada persepsi sendiri sahaja.

10) Persepsi kita ataupun tanggapan peribadi terhadap niat mahupun hasil kerja orang lain itu tidaklah semestinya betul. Janganlah mudah menuduh dan janganlah cita-cita politik itu dipenuhi dengan taktik untuk menjatuhkan orang dengan membuat tuduhan murahan semata-mata.

Neba2020: Andai jiwa dan tindakan sentiasa bermatlamatkan mencari rahmat dan kurnia daripada TUHAN, semestinya tiada hasil-hasil kotor dan jijik di dalam politik .....

Tuesday, February 9, 2010

Aku Puas !

Salam Buat Semua,

1) Pagi Jumaat bertarikh 5 Februari, 2010 terasa puas sekali !

2) Kelas subjek 'Financial Management I' yang aku kelolakan itu terasa cukup istimewa.

3) Aku rasa puas, cukup gembira dan amat teruja.

4) Kelas seawal jam 8 pagi, pelajar-pelajarku datang dengan wajah-wajah yang tidak bermaya.

5) Aku mulakan kelas dengan ucapan salam dan selamat pagi. Mereka masih 'tidur.'

6) Aku memberi 'syarahan' selama hampir 2 jam. Makin lama wajah mereka kulihat makin bersemangat, makin bertenaga dan makin seronok.

7) Walaupun kelas itu dihuni hampir 150 pelajar, komunikasi 2 hala tetap dapat dijalankan.

8) Topiknya agak membosankan kerana berkaitan dengan 'ratio analysis' yang penuh dengan formula, angka dan dikaitkan pula dengan kunci kira-kira, penyata untung rugi dan penyata aliran tunai.

9) Aku rasa amat bersyukur kepada TUHAN kerana melancarkan tutur kataku, benda yang bosan akhirnya berjaya menarik perhatian pelajarku.

10) Lawak jenakaku nampaknya masih 'bertaring' dan mereka semua ada masanya dapat ketawa sekuat hati dan tersenyum berpanjangan.

11) Bila sudah puas aku lihat mereka ketawa, aku bertukar menjadi serius dan mula bercerita sesuatu yang 'berat dan mencabar minda.' Mereka mula kelihatan berkerut dahi dan memandang ke bawah kerana 'takut' disoal.

12) Sesiapa yang 'bertuah,' namanya akan dipanggil dan kenalah memberanikan diri memberikan respon kepada soalan mahupun isu yang aku bangkitkan.

13) Apabila tiba waktu rehat, aku sediakan tayangan pendek filem-filem yang akan ditayangkan di pagawam. Aku 'pancarkan' kepada mereka tiga 'thriller' filem Hollywood, Hong Kong dan Indonesia. Mereka bersorak melihat aksi kung-fu filem terbaru Jackie Chan yang akan ditayangkan menjelang sambutan Tahun Baru Cina dan mereka sama-sama menjerit melihat kemunculan mengejut pontianak di dalam sedutan sebuah filem seram Indonesia.

14) Aku sentiasa tekankan kepada pelajarku supaya belajarlah untuk mengejar ilmu dan kefahaman dan bukannya belajar untuk menjadi seorang robot. Belajarlah juga untuk menjadi seorang yang seimbang, ada masa untuk diri sendiri, keluarga dan rakan-rakan. Jangan jadi manusia yang terlalu 'gila' dengan peperiksaan dan Internet.

15) Apa yang pasti, pelajar-pelajar Mr. Fendi ini memang sudah maklum bahawa janganlah berharap agar kelasnya dapat dihabiskan awal. Dia sudah memberikan satu analogi khas buat semua pelajarnya. Cubalah tanya pada mereka, jawapannya adalah cukup istimewa:

" Andainya saya membayar RM800 untuk satu subjek dan ada 13 minggu belajar, maka bagi subjek dengan 3 jam kredit bermakna setiap satu jam di dalam kelas adalah berharga kira-kira RM20. Setengah jam awal kelas ditamatkan maka mintalah bayaran ganti rugi sebanyak RM10 daripada pensyarah itu. RM10 itu cukup untuk makan dengan enaknya di KFC mahupun McD! "

Neba2020: " Pelajar-pelajar semua, kita di dalam kelas ini bukan untuk saya mengajar kamu tetapi adalah untuk kita sama-sama berbincang dan berkongsi maklumat sesama sendiri. Jangan anggap saya pandai dan jangan anggap kamu sudah pandai. Kita semuanya adalah bodoh tetapi apabila kita sedar kita adalah bodoh barulah kita boleh menambahkan ilmu kita sedikit demi sedikit .... "

Friday, February 5, 2010

Anwar Dan Kes Liwatnya

Salam Buat Semua,

1) Anwar Ibrahim sedang berdepan dengan perbicaraan kes liwatnya. Tuduhan dibawakan oleh bekas pembantu peribadinya iaitu Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

2) Ini adalah kali kedua Anwar terpaksa mempertahankan dirinya untuk kes homoseksual seperti itu. Sekitar tahun 1998 dan 1999 dahulu, dia dipecat daripada jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta keahlian di dalam UMNO dengan alasan masalah moral yang tidak menepati norma kehidupan rakyat Malaysia.

3) Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan menurut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

4) Kes pertama dahulu dibangkitkan pada tahun 1998 untuk satu kesalahan yang didakwa berlaku pada tahun 1993. Sudah tentunya pembuktian kesnya adalah amat sukar sekali.

5) Kesalahan Anwar ketika itu lebih kepada bentuk penyalahgunaan kuasanya untuk 'menutup kes' tersebut sewaktu masih memegang jawatan penting kerajaan.

6) Kes kedua ini 'kelihatannya' pihak pendakwaan 'agak kuat' kerana laporan kejadian dibuat oleh pengadu (Mohd. Saiful) dalam masa kurang 50 jam setelah kejadian berlaku. Pihak peguambela Anwar juga nampaknya dianggotai oleh 'nama-nama hebat' di dalam dunia guaman negara.

7) Saiful mendakwa Anwar meliwatnya pada 26 Jun 2008 dan dia membuat laporan polis (juga pemeriksaan kesihatan akibat didakwa telah diliwat) kemudiannya pada 28 Jun 2008.

8) Di pihak pendakwaan, mereka mengatakan bahawa pembuktian kes akan berlaku melalui contoh spesimen air mani Anwar, pakaian Mohd. Saiful, pengesahan DNA secara makmal dan juga rakaman CCTV. Sedekad yang lalu, 'bukti-bukti' yang diberikan seakan agak 'goyah' dan lebih kepada menjadi bahan tawa masyarakat. Mana mungkin 'peristiwa' tilam diangkut ke dalam mahkamah boleh dilupakan!

9) Walaubagaimanapun, Anwar jelas bersalah (kes sebelum ini) kerana terbukti akan wujudnya 'usaha' beliau untuk 'memadamkan kes' yang mula disiasat secara 'senyap' oleh pihak Polis ketika beliau masih 'berkuasa' sebagai orang nombor dua di dalam kerajaan. Maka, 'terpenjaralah' Anwar selama beberapa tahun sebelum bebas 'di zaman' Abdullah Ahmad Badawi.

10) Bagaimana dengan nasib Anwar kali ini? Anwar dan Mohd. Saiful adalah dua orang warga Malaysia yang mempunyai hak di sisi undang-undang. Mereka ada hak untuk mempertahankan maruah diri masing-masing dan menegakkan kebenaran. Di kalangan kita manusia biasa, hanya mereka berdua sahaja yang tahu 'jawapannya.'

Neba2020: Berani kerana benar, takut kerana salah ....