Monday, March 30, 2009

Anwar Akan Terus Memusuhi Mohd Najib ?

Salam Buat Semua,

1) Saya percaya akan ada sinar baru buat UMNO dan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. UMNO belum kalah, masih mendapat sokongan majoriti bangsa Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya. UMNO cuma mengalami masalah 'sokongan yang terhakis' dan kelihatan goyah di bawah kepimpinan yang hambar lagi kekurangan karisma peribadi di antara tempoh 2004 dan 2008.

2) Mohd Najib bukan seorang yang lemah, dia bijak berkomunikasi dan ada karismanya yang tersendiri. Mohd Najib juga mempunyai sokongan padu daripada pencinta istimewanya. Majoriti anggota tentera, bekas tentera, cikgu-cikgu era 1990an, peneroka-peneroka FELDA dan masyarakat di Pekan, Pahang cukup menyanyangi Mohd Najib. Para pengkagum Tun Abdul Razak juga berada di belakang Mohd Najib. Jutaan manusia daripada kelompok-kelompok inilah yang setia di belakang Mohd Najib dan sentiasa mendoakannya.

3) Kerana 'takut dan gentar' kepada karisma Mohd Najiblah, pakatan pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim terlalu mencemburui Mohd Najib.

4) Maka misi untuk 'menamatkan' kerjaya politik Mohd Najib dijalankan Anwar dan konco-konconya. Anwar khasnya dan PKR amnya memang tidak mahu Mohd Najib 'tertabal' sebagai Perdana Menteri Malaysia. Dia mahukan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) terus menjadi Perdana Menteri sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 nanti (sekitar 2012). Pak Lah adalah 'aset' berharga Anwar, kepimpinan BN di bawah Pak Lah sudah pasti akan menjadi sebab kepada ternobatnya Anwar sebagai Perdana Menteri ke 6 seusai PRU 13 nanti !

5) Maka Anwar dan konco-konconya melakukan serangan bertubi-tubi kepada Mohd Najib di sepanjang tempoh 2006 dan awal 2009. Pelik bin ajaib, Pak Lah tidak diserang walhal dia adalah Presiden UMNO dan Pengerusi BN. Strategi Anwar memang licik dan penuh taktikal. Dia 'sayangkan' Pak Lah tetapi dia sedar betapa Mohd Najib bukan seperti Pak Lah.

6) Anwar sedar betapa Mohd Najib adalah pemimpin yang bijak, berwawasan, pandai mengambil hati rakyat dan memiliki 'nama' yang agung (ehsan bapanya, Tun Abdul Razak).

7) Lihat kembali kepada sejarah UMNO. Anwar sebenarnya sejak dahulu lagi telah menghidu sekaligus mengiktiraf keupayaan dan juga bakat politik Mohd Najib. Dia sebenarnya hormat dan yakin kepada Mohd Najib.

8) Mohd Najib adalah insan yang direstui Anwar untuk menggantikannya sebagai Ketua Pemuda UMNO pada tahun 1987. Anwar merestui Mohd Najib untuk menjadi Ketua Pemuda UMNO selepas dia mengambil keputusan untuk bertanding ke jawatan Naib Presiden.

9) Pada tahun 1993 sewaktu Anwar mengambil keputusan untuk mencabar Tun Abdul Ghafar Baba bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO, siapakah yang disokong sebagai orang kanannya di dalam Pasukan Wawasan? Jawapannya ialah Mohd Najib. Anwar menyokong Mohd Najib untuk meraih kedudukan sebagai Naib Presiden parti. Mohd Najib jugalah yang dipercayai akan dipilih Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri andai Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan 'takhta' Perdana Menteri kepadanya.

10) Anwar sebenarnya sudah lama mengetahui kekuatan, keupayaan dan populariti menggunung Mohd Najib. Dia sedar dan dia cukup memahaminya. Lantaran itu, dia menjadi ketua kepada 'pasukan khas' untuk meranapkan karier politik dan imej peribadi Mohd Najib. Anwar bukan bodoh, dia adalah manusia yang cukup bijak berstrategi, baik ataupun buruk ....

Neba2020: Sekuat dan sebijak manapun manusia berstrategi, Tuhan juga yang mempunyai kata putus .... Andainya Tuhan merestui sesuatu itu, maka jadilah ia walaupun 1001 badai melanda cuba melawannya ....

Parti dan Rakyat Menguasai Kerajaan

Salam Buat Semua,

1) UMNO sudah memiliki Presiden baru. Mohd. Najib Abdul Razak kelihatannya 'berbeza' dengan Presiden yang ke 6. Dia seakan memahami siapa dirinya yang sebenar.

2) Mohd. Najib sedar dan insaf betapa dia adalah Presiden UMNO, UMNO itu bererti Parti Kebangsaan Melayu Bersatu.

3) Mohd. Najib dengan jayanya 'menimbulkan' semula terma parti menguasai kerajaan. Ungkapan ini seakan 'tenggelam jauh' selama 5 tahun setengah Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) mengetuai saf kepimpinan UMNO.

4) Mohd. Najib berikrar untuk merealisasikan konsep parti menguasai kerajaan. Mudah kata, UMNO menguasai kerajaan dan UMNO mengepalai pentadbiran negara.

5) Zaman Pak Lah menyaksikan konsep tersebut diterbalikkan tanpa disedari. Kerajaan menguasai parti, paksi menjadi lemah dan akhirnya kerajaan hampir tersungkur.

6) Presiden UMNO sewajarnya mengutamakan parti dan kehendak rakyat yang mendokong parti. Presiden UMNO patut sedar bahawa dia menjadi Perdana Menteri kerana dia adalah Presiden UMNO dan UMNO itu adalah parti yang mewakili bangsa Melayu. UMNO juga adalah parti terbesar keahliannya di Malaysia dengan sokongan padu lebih 3 juta anggota berdaftar.

7) Presiden UMNO wajar mengutamakan sensitiviti ahli-ahlinya secara khusus dan bangsa Melayu secara amnya. Apabila beliau berjaya 'menjaga hati dan perasaan' bangsa Melayu maka penguasaan parti terhadap kerajaan akan menjadi kuat.

8) Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang kuat (suka mahupun tidak) datangnya daripada parti UMNO yang kuat lagi berkarisma di mata pendokongnya. MCA, MIC, GERAKAN dan keseluruhan parti-parti komponen BN akan mendapat 'tempias' yang baik apabila tunjangnya (BN) menjadi kuat.

9) Mohd. Najib kini menambahkan terma 'RAKYAT' kepada ungkapan parti menguasai kerajaan itu. Mohd. Najib kelihatannya akan cuba memahami kehendak dan perasaan rakyat. Menang menawan sanubari rakyat (masyarakat Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya) maka UMNO akan menjadi kuat, kerajaan BN juga secara automatik menjadi kukuh dan tidak mudah digoyahkan sesiapa.

10) Kuatnya kerajaan BN maka segala program pembangunan menuju Misi Nasional mahupun Wawasan 2020 akan dapat dijalankan dengan lebih kemas, aman, sentosa dan teratur.

Neba2020: Bersatu, Bersetia, Berkhidmat ... Perpaduan Teras Kejayaan, Bersatu Menuju Wawasan Demi Malaysia Tercinta ...

Thursday, March 26, 2009

Al-Fatihah Buat Tok Pah ....

Salam Buat Semua,

1) Hari ini tepatlah 10 tahun Tok Pah meninggal dunia. Pemilik nama penuh Hajah Tepah Binti Md. Ason itu adalah ibu kepada Encik (ayah) saya.

2) Dia meninggal dunia sekitar waktu Maghrib. Peristiwa senja Jumaat (26 Mac) di tahun 1999 itu semestinya tidak akan 'kelam' mahupun 'terhakis' sedikitpun daripada memori ingatan saya. Saya berada di Tingkatan 5 ketika itu.

3) Tok Pah berusia 86 tahun sewaktu menghembuskan nafasnya yang terakhir itu.

4) Tok Pah menyahut panggilan Tuhan Yang Maha Kuasa selepas dia siap dimandikan oleh Encik.

5) Satu tahun setengah terakhir hidupnya adalah bergantung sepenuhnya kepada 'kewarasan dan keihklasan' kami sekeluarga.

6) Encik memberikan contoh tauladan yang saya kira bukan semua orang berpeluang menyaksikannya. Saya cukup bertuah, syukur kepada Tuhan !

7) Enciklah yang setia tanpa rasa segan dan kekok memandikan ibunya itu. Dia menyabunkan seluruh badan si ibu. Dia juga yang membasuhkan kesan najis ibunya. Menyapukan bedak di badan ibunya. Memakaikan lampin dewasa. Membasuhkan pakaian. Kerap airmata saya keluar tanpa dipaksa tatkala menyaksikannya. Mampukah saya mencontohi Encik?

8) Encik jugalah yang menemankan Tok Pah makan. Sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang, makan malam. Encik sabar melayan karenah Tok Pah. Kadang-kadang lebih sejam barulah makanan dapat dihabiskan Tok Pah.

9) Encik tidak pernah merungut. Dia tidak pernah mengeluh. Tidak pernah juga marahkan sesiapa jua yang seakan tidak ambil hirau tentang keadaan Tok Pah. Saya kira 'ramai' yang sepatutnya perlu juga menjaga Tok Pah sekadar datang melawat sekali-sekala umpama 'pelancong segera' semata-mata.

10) Saya, emak dan abang juga 'bersatu hati' bersama-sama dengan Encik menjaga Tok Pah. Emak sama sekali tidak pernah mengeluarkan rasa tidak puas hatinya, dia kelihatan biasa saja dan apa yang sesuai dimakan Tok Pah pasti akan disediakan segala juadahnya.

Saya mohon jasa baik sahabat-sahabat, kenalan-kenalan alam maya dan para pembaca setia yang beragama Islam di InspiRasi 1982 ~~ ini untuk menghadiahkan bacaan Al-Fatihah buat arwah Tok Pah yang cukup saya sayangi lagi rindui ketiadaannya. Al-Fatihah ....

Neba2020: Carilah dan telesurilah sedalamnya keistimewaan keluarga dan rumah asal-usul kita, banyak yang boleh dipelajari dan tidak terkira tauladan yang dapat dicontohi buat membina pegangan diri yang lebih murni lagi membahagiakan jiwa ....

Monday, March 23, 2009

Perjuangan Yang Belum Selesai (Coretan Peribadi Sempena Perhimpunan Agung UMNO)

Salam Buat Semua,

1) Coretan ini adalah cukup peribadi, sekadar mengingatkan diri sendiri akan pegangan yang cukup diyakini telah membawa banyak kebaikan selama ini.

2) Saya cukup menyanyangi parti yang satu ini. UMNO adalah nama keramat yang sentiasa mampu membuatkan jiwa saya bergemuruh lagi bersemangat.

3) Dasar-dasar UMNO sudah cukup banyak membawa nikmat dan rahmat kepada kehidupan saya sekeluarga. Saya sedar betapa 'aneka kejayaan kecil' yang diraih setakat ini, sedikit sebanyak ianya adalah dikurniakan oleh Tuhan Yang Maha Kuasa melalui dasar-dasar dan juga pendekatan istimewa yang dilunsurkan UMNO sejak berdekad dahulu.

4) Biarlah ada yang mengatakan UMNO telah gagal selama lebih 50 tahun menerajui Malaysia tercinta ini. Biarlah ada yang cuba menidakkan keupayaan UMNO. Biarkan mereka terus hidup dalam penafian yang sebenarnya lebih bersifat busuk hati, buruk jiwa dan kotor impian.

5) Gagalnya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri yang meyakinkan rakyat dan juga kendurnya jiwa UMNO di bawah pentadbirannya bukanlah satu titik noktah yang pasti untuk menamatkan perjuangan dan kemasyhuran UMNO.

6) Jiwa UMNO adalah bersandarkan kepada semangat Melayu sejati. UMNO adalah parti untuk bangsa Melayu, lahirnya dengan restu istana, asalnya berjuang untuk menafikan maruah Melayu diperbodoh juga dipersenda.

7) Pengisian UMNO adalah berteraskan ajaran Islam dan sopan-santun budaya Melayu yang penuh hemah lagi bersusila.

8) UMNO melewati April 2009 perlu jauhkan dirinya daripada pemimpin-pemimpin yang bersifat bongkak, sombong dan tiada jiwa rakyat. UMNO harus kembali merakyatkan dirinya.

9) Pemimpin UMNO harus kembali ke era kegemilangannya. Tidak perlu menggemilangkan diri sendiri andai cara, gaya dan pemikiran dapat dikagumi rakyat jelata. Keterbilangan akan datang dengan sendirinya tanpa dipaksa.

10) Presiden UMNO ke 7, janganlah malu dan segan untuk melihat kembali ke era Tun Abdul Razak juga Tun Dr. Mahathir Mohamad. Tanpa retorik cemerlang, gemilang dan terbilang, mereka mampu 'menggoncang' jiwa Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya dengan penuh bijaksana dan visi terkedepan melewati pemikiran normal.

Neba2020: 'Bersatu, Bersetia, Berkhidmat' adalah tunjang perjuangan ke arah kemajuan dan kekuatan bangsa juga negara.'Beramanah, Bertakwa dan Bersopan' pula adalah asas kepada penyucian jiwa para pejuang dan pemimpin asli yang sejarah agung tidak akan melupakannya ....

Friday, March 20, 2009

PRESIDEN UMNO ke 7: Bertindaklah Sebagai Sang Juara

Salam Buat Semua,

1) Wahai Presiden (bakal) UMNO ke 7, ingatlah diri anda sebagai Presiden UMNO. UMNO itu sendiri bermaksud Parti Kebangsaan Melayu Bersatu.

2) Presiden UMNO adalah pemimpin kepada umat Melayu. Bumiputera menguasai kira-kira 65% daripada populasi Malaysia. Jatuh bangun anda, UMNO dan negara ini banyak bergantung kepada 'suara dan tindakan' kaum majoriti itu.

3) Sedarlah bahawa UMNO masih merupakan parti terbesar di Malaysia. Keahliannya adalah yang teramai di kalangan parti-parti politik negara ini dan ianya menguasai jumlah kerusi Parlimen yang terbanyak.

4) UMNO di bawah Presiden ke 6 belumlah tewas secara hakiki.

5) UMNO di bawah Presiden ke 6 sebenarnya berhadapan dengan krisis keyakinan dan berperang dengan persepsi negatif di kalangan segelintir rakyat.

6) UMNO harus bangkit dan buang jauh-jauh sikap kelihatan lemah lesu dan mudah mengalah.

7) Parti ini tidak tewas, usah lagi berlagak sebagai 'si pengalah' secara keterlaluan. Bersikaplah sebagai seorang juara yang geraknya adalah laju, penuh keyakinan dan sentiasa bersemangat.

8) Bersikaplah sebagai sang juara sebenar, usah biarkan orang yang kalah pula berlebih-lebih 'perasan' umpama mereka yang telah menang dan 'menguasai' rakyat. Tapi ingatlah juga supaya dalam berlagak sebagai sang juara itu janganlah diselaputi sikap angkuh, sombong, degil dan hilang sensitif kepada kesusahan rakyat. Jadilah sang juara yang bijaksana, berhemah dan tidak meninggi diri.

9) Orang-orang seperti Anwar, Guan Eng, Nizar, Teresa, Kit Siang, Karpal dan Koo Ham sebenarnya sengaja 'mendramakan suasana' supaya UMNO kelihatan sebagai 'si pengalah' dan merekalah sang juara sebenar. Biarkan mereka terus 'berdrama'...

10) Presiden UMNO ke 7 harus faham tugasnya sebagai PRESIDEN UMNO. Kerana memegang jawatan itulah dia akan tertabal sebagai PERDANA MENTERI ke 6. Bijak dia memimpin UMNO, dapatlah dia sokongan majoriti bangsa Melayu. Dapatnya dia sokongan majoriti umat Melayu maka lancarlah kepimpinannya sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Neba2020: Wahai Presiden UMNO ke 7, jangan engkau endahkan sangat segala 'drama-drama' rekaan pembencimu. Pembencimu itu sebenarnya amat gentar kepadamu. Dia tidak mahu engkau menjadi Perdana Menteri kerana dia sedar engkau bukannya seperti orang yang engkau gantikan. Dia sedar betapa engkau akan menyebabkan cita-citanya terbantut, negara kembali ke landasan pembangunan yang betul, UMNO kembali tumbuh taringnya dan majoriti umat Melayu akan kembali bersama UMNO. Dia sedang ketakutan...

Tuesday, March 17, 2009

Sekali Air Bah Sekali Pasir Berubah

Salam Buat Semua,

1) Jam 12.47 tengahari saya menerima satu khidmat pesanan ringkas (SMS).

2) Tertera perkataan 'Encik' di skrin telefon.

3) Tersenyum saya membaca SMS kiriman ayah saya yang kini merupakan pesara sepenuh masa.

4) "Andi, sekali air bah sekali pasir berubah bkn pantai. Sbb air bah kat sungai dan pantai tepi laut.''

5) Rupa-rupanya dia membaca blog si anaknya ini. Dia masih mendidik saya dan saya akan terus senang hati untuk menerima didikannya.

Neba2020: Relakan diri dididik, moga diri tak tersalah kelakuan dan pemikiran ....

Sunday, March 15, 2009

Nazri Aziz : Sekali Air Bah, Sekali Pantai Berubah?

Salam Buat Semua,

1) Datuk Seri Nazri Aziz adalah menteri yang awal-awal sudah 'menjauhkan' dirinya daripada bertanding untuk jawatan Majlis Tertinggi UMNO. Kemungkinannya, dia telah kecewa dengan keadaan UMNO, tidak yakin akan mendapat sokongan atau telah merasa tiba masanya untuk mengundurkan diri.

2) Dia pernah menjadi 'pendekar segera' UMNO pada tahun 2006 sewaktu Tun Dr. Mahathir Mohamad 'menyerang' Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah).

3) Dr. Mahathir begitu 'geram' dengan tindakan 'flip-flop' Pak Lah yang membatalkan projek 'jambatan bengkok' di Johor. Pak Lah seakan 'tunduk' kepada Singapura dan pada penafsirannya, kita seolah kurang 'kedaulatan.'

4) Perdana Menteri Malaysia ke 4 itu turut menyatakan bahawa Pak Lah bukanlah pilihan pertamanya untuk menjadi Perdana Menteri ke 5. Dr. Mahathir secara berterus-terang mengatakan bahawa beliau lebih mahukan Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak menggantikannya.

5) Hakikatnya, Pak Lah 'bertuah' kerana sewaktu 'pilihan' perlu dilakukan untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal tahun 1999, UMNO ketika itu sedang menghadapi krisis keyakinan di kalangan orang Melayu.

6) Asakan PAS ketika itu cukup kuat di bawah pimpinan Allahyarham Fadzil Noor. Pak Lah dilihat sebagai seorang tokoh UMNO yang mampu menguatkan 'pengaruh' UMNO dek imej Islamiknya yang begitu menonjol. Beliau dipilih sebagai timbalan Dr. Mahathir dan jelas imej UMNO berjaya dikuatkan.

7) Nazri pernah mengusulkan supaya Dr. Mahathir keluar daripada UMNO. Beliau dengan beraninya menunjukkan lagak 'pendekar' apabila berkata bahawa andainya Dr. Mahathir berada di luar UMNO maka lebih mudahlah untuknya 'bertarung' dengan Bapa Pemodenan Malaysia itu. Itu cerita pada tahun 2006.

8) Apabila Dr. Mahathir keluar daripada UMNO pada tahun 2008 di waktu UMNO telah mengalami 'kejutan' sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12, Nazri terus menyepi dan kehilangan 'suara pendekar.' Nazri sudah tidak segagah tahun 2006 sewaktu dia menjadi 'pendekar' utama Pak Lah dalam 'menghentam' Dr. Mahathir. Ramai pemerhati politik melihat Nazri bertindak keterlaluan dan kelihatan cukup 'kurang ajar' terhadap Dr. Mahathir.

9) Riwayat politik Nazri kelihatannya masih di dalam 'bayang-bayang' menjelang April 2009 ini. Adakah dia masih diperlukan oleh Perdana Menteri baru?

10) Sokongan 'terlebih-lebih' Nazri kepada Pak Lah sedikit masa dahulu bukannya menguatkan imejnya tetapi telah menghancurkannya sama sekali. Ramai yang hairan, di manakah perginya Nazri yang pernah memangku jawatan Ketua Pemuda UMNO di waktu Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik menghadapi 'isu skandal' di pertengahan 1990an dahulu? Nazri ketika itu kelihatan cukup meyakinkan, tenang, bijaksana dan 'cerah' masa depannya.

Neba2020: Orang kata manusia berubah kerana masa juga berubah. Sekali air bah, sekali pantai berubah? Atau mungkin, kuasa sebenarnya yang mengubah manusia, bukannya masa ?

Thursday, March 12, 2009

Pakej Rangsangan

Salam Buat Semua,

1) Dato' Seri Mohd. Najib Abdul Razak telah umumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM60 Billion pada 10 Mac, 2009.

2) Matlamat 'Bajet Mini' itu adalah untuk menggerakkan ekonomi dalaman bagi mengelakkan negara terjerumus ke situasi kemelesetan yang parah.

3) Seluruh dunia sedang 'dihambat' dengan kemelesetan ekonomi, aktiviti perniagaan yang lembap, daya beli merudum kronik, perdagangan antarabangsa mencecah tahap minima dan aliran pusingan wang yang tidak rancak. Ekonomi hanya akan berjalan andainya wang 'berputar' dengan rancak dan saling bergantian pemegangnya.

4) Segalanya berpunca daripada kesuraman ekonomi Amerika Syarikat. Lembapnya ekonomi Amerika maka akan lembaplah perjalanan ekonomi negara-negara lain.

5) Amerika adalah rakan dagang Malaysia di nombor satu.

6) Banyak rakyat kita yang membenci Amerika di tahap kronik tetapi tidak pula 'sedar' bahawa Amerika juga adalah 'pembeli' utama barang-barang yang dikeluarkan di kilang-kilang negara ini.

7) Kelembapan ekonomi Amerika bererti kuasa beli rakyatnya menurun dengan mendadak. Apabila kuasa beli menjunam ke bawah maka kuasa mengimpot yang dimiliki Amerika juga akan terjejas.

8) Secara mudahnya, jualan barang-barang kita ke sana menjadi cukup minima sekaligus mengundang kepada pemberhentian operasi, penangguhan kerja ataupun pengecilan skala aktiviti di kalangan perusahaan-perusahaan. Akhirnya, perjalanan ekonomi Malaysia juga terjejas.

9) Ada yang berkata kita terlalu bergantung kepada Amerika, mengusulkan kenapa tidak menjual sahaja barangan kita kepada negara-negara lain. Cakap memang mudah !

10) Masalahnya, kuasa beli negara-negara Islam mahupun rakan-rakan sebenua dengan kita adalah belum cukup hebat nilainya. Walau seteruk manapun kebencian segelintir antara kita terhadap Amerika sehingga ke tahap memboikot produk-produk Amerika, realitinya ialah hidup dan kemajuan kita masih 'bergantung' serba sedikit kepada negara kuasa besar dunia itu.

Semoga krisis ini membuka minda ahli-ahli politik dan juga pakar-pakar ekonomi Malaysia untuk melihat 'sebab dan kesan' yang melangkaui pemikiran konvensional ....

Neba2020: Pakej rangsangan bermotifkan untuk menggerakkan perjalanan ekonomi negara secara dalaman, mengaktifkan gerakan pusingan kewangan melalui penyaluran peruntukan tambahan dan meredakan kesan kelembapan eksport negara. Kesan langsung kepada rakyat mungkin tidak kelihatan daripada aspek Ringgit dan Sen yang nyata tetapi lebih kepada keupayaan ekonomi negara untuk terus mengekalkan momentum 'bergerak' bagi menghalang kesan-kesan kritikal seperti pemberhentian pekerjaan secara besar-besaran, peningkatan pengangguran, penutupan rangkaian perniagaan dan ketidakcukupan produk-produk asas di pasaran tempatan ....

Wednesday, March 11, 2009

Jepun, UK dan US

Salam Buat Semua,

1) Penyelia PhD. saya memperoleh ijazah tertingginya di Jepun. Dia ini suka memberikan saya semangat dan cukup menghormati setiap pandangan anak muridnya ini. Keyakinannya terhadap saya adalah tinggi dan dia mahu segalanya pantas. Saya dapat 'hidu' betapa dia banyak terikut dengan cara kerja orang Jepun.

2) Tuan Professor pertama yang mengendalikan kelas 'Research Methodology' (Kaedah Penyelidikan) memperoleh PhD. di Britain (UK). Pemikirannya cukup menyeluruh, semuanya di lihat daripada aspek 360 darjah. Dia cukup teliti dalam berfikir, tidak sesekali menjadikan waktu sebagai sesuatu yang perlu dikejar. Tuan Professor ini mudah 'menghentam' idea-idea saya, hentaman yang membina dan bagus juga untuk perkembangan pembelajaran saya. Malangnya, dia agak sukar untuk menerima pendapat saya yang 'kerdil' ini.

3) Tuan Professor kedua yang mengemudi kelas tersebut adalah lulusan PhD. keluaran Amerika Syarikat (US). Dia seorang yang fleksibel, berpemikiran terbuka, tidak taksub kepada sesuatu cara tertentu dan mudah dibawa berbincang. 'Keluaran' negara Uncle Sam ini nampaknya tidak begitu serius luarannya dan cukup menyenangkan, terasa tiada jarak pemisah yang kuat di antara seorang penuntut PhD. dengan dirinya yang bergelar Professor Doktor dengan pengalaman mengajar mencecah 20 tahun.

4) Saya baru sahaja memulakan perjalanan mengejar ijazah doktor falsafah, sesuatu yang terlalu kerap diangankan sejak di bangku sekolah lagi. Ketika itu saya terlalu seronok dan bangga mendengar nama-nama seperti 'Dr. Mahathir Mohamad, Dr. Zeti Aziz, Dr. Fadzillah Kamsah, Dr. Haron Din dan Dr. Mashitah Ibrahim' begitu popular lagi dihormati ramai. Saya fikir saya juga mahu bergelar 'Dr. Fendy.' Terasa bahagia sangat andai saya dapat membuatkan Emak dan Encik (ayah) tersenyum melihat anak bongsu mereka ini mengecap status taraf pendidikan tertinggi itu.

5) Program PhD. saya hanyalah berjalan di sebuah institusi pendidikan tempatan sahaja. 'Universiti kampung' sahaja. Saya tidak menyesal dan langsung tidak pernah kepingin untuk 'lebih' daripada itu. Menarik untuk saya renungkan betapa penitian awal PhD. saya di institusi tersebut telah menemukan diri ini dengan tiga individu berpengalaman yang mendapat PhD. mereka di 3 negara yang berbeza. Setiap satunya, berlainan cara dan berbeza pendekatan. Walau saya hanya membuatnya di Malaysia tetapi saya mendapat acuan cara dan gaya daripada 3 negara yang hebat. Kerja mesti laju seperti cara Jepun, berfikir mesti serius dan utamakan kualiti seperti cara UK dan pemikiran mesti stabil, tenang selalu dan pentingnya fleksibiliti dalam mengolah minda seperti cara US.

Neba2020: Kadang-kadang satu cara itu betul, tapi banyak masanya satu cara itu tidak berapa betul ....

Saturday, March 7, 2009

Biadap UMNO dan Biadap Pakatan Rakyat

Salam Buat Semua,

1) Awal 1990an, imuniti (kekebalan) Raja-Raja 'terlucut' melalui kaedah perlembagaan.

2) Raja-Raja dan kerabat terdekatnya boleh dibicarakan di dalam mahkamah khas.

3) Imuniti yang ada dilihat telah 'disalahgunakan' oleh kerabat-kerabat. Ada yang sesenang hati memukul orang, menampar, menyepak-terajang, mengganggu 'kesucian' wanita-wanita umum, memaksa pegawai-pegawai kerajaan menuruti kehendak peribadi kerabat demi kepentingan perniagaan, menghalau rakyat sesuka hati dan mendesak Menteri Besar ataupun Perdana Menteri untuk 'membiayai' aktiviti perjudian.

4) Tahun 2008 menyaksikan calon pilihan Perdana Menteri untuk menjadi Menteri Besar di Perlis dan Terengganu telah 'ditolak' oleh Raja / Sultan. Akhirnya, calon yang benar-benar direstui pihak istana telah mengangkat sumpah.

5) Peristiwa imuniti di awal 1990an dan keengganan istana menyetujui pilihan Perdana Menteri itu telah menjadi 'bahan' oleh pihak Pakatan Rakyat untuk mengatakan bahawa UMNO adalah pihak pertama yang layak digelar sebagai 'penderhaka' dan 'peruntuh' institusi Raja-Raja Melayu.

6) Ingkarnya pihak Pakatan Rakyat untuk beralah kepada titah perintah Paduka Seri Sultan Perak (melantik Menteri Besar baru daripada UMNO setelah majoriti Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Perak memilih untuk tidak menyokong kerajaan Pakatan Rakyat) telah 'dipusingkan' kepada isu lain. Mereka tidak boleh dipanggil 'penderhaka' sebaliknya Sultan Perak pula yang 'dipersalahkan.' Sultan dikatakan telah bertindak melangkaui kuasa Raja berperlembagaan, silap menginterpretasi undang-undang dan 'dibayangi' oleh tangan-tangan belakang (UMNO).

7) Tindakan pemimpin-pemimpin Melayu di dalam Pakatan Rakyat sejak akhir-akhir ini sebenarnya telah 'mendedahkan' institusi Raja-Raja Melayu kepada 'serangan terbuka.' Mereka tanpa disedari telah meracun pemikiran orang-orang Melayu demi 'survival' politik sempit dan yang lebih memalukan ialah menghadirkan persepsi negatif rakan-rakan bukan Melayu terhadap institusi yang bermartabat tinggi itu.

8) Bak kata Sultan Sharafuddin Idris Shah (Sultan Selangor) pada 6 Mac 2009, '... sejak kebelakangan ini tersebar di media elektronik dan media cetak suara-suara lantang yang mempersoalkan tentang kedudukan orang Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu di negara ini, padahal seperti yang beta katakan, perkara ini telah dipersetujui sebelum negara ini mencapai kemerdekaan dan telah termaktub dalam Perlembagaan Negeri dan Persekutuan.'

9) Baginda Tuanku Sultan juga bertitah, 'Apa yang lebih menyedihkan beta, suara-suara lantang ini datangnya daripada orang-orang Melayu sendiri yang biadap, tidak berbudi bahasa dan tidak merasa segan atau malu.'

10) Kes imuniti tiada berkaitan dengan penderhakaan. Imuniti yang ditarik telah menjadikan insititusi istana menjadi lebih dihormati dan membentuk kerabat-kerabat yang lebih sensitif kepada nilai-nilai murni kehidupan. Kes di Perlis dan juga di Terengganu berakhir dengan aman dan sesekali pihak UMNO tidak mempertikaikannya selepas 'angkat sumpah' jawatan Menteri Besar dijalankan.

Melayu mana sebenarnya yang lebih biadap? Tepuk dada, telesurilah minda !

Neba2020: Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang, Kesopanan dan Kesusilaan ....

Wednesday, March 4, 2009

Transisi : 2003 dan 2009

Salam Buat Semua,

1) Seingat saya; bulan-bulan terakhir Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun) sebagai Perdana Menteri Malaysia pada tahun 2003 bolehlah dianggap sebagai satu suasana yang cukup aman, mesra dan menyenangkan seisi negara.

2) Situasi negara adalah cukup aman. Tiada kacau-bilau politik yang merimaskan dan jauh daripada sebarang huru-hara tidak berpenamat. Krisis politik akhir 1990an yang melanda Malaysia berjaya 'diamankan' dan 'disejukkan' secara berhemah dan bijaksana. Majoriti rakyat yang pada mulanya 'membenci' dan 'mencurigai' Dr. Mahathir kembali melihat beliau sebagai seorang tokoh yang hebat lagi disayangi.

3) Suasana mesra terpancar di seluruh negara. Sepanjang tahun 2003, Dr. Mahathir diraikan dan dihargai sepenuhnya. Di mana-mana sahaja, majoriti rakyat seakan terasa tarikh 31 Oktober terlalu laju untuk menjelma. Rakyat seakan tidak mengizinkan beliau untuk berundur.

4) Keadaan perpaduan rakyat, persefahaman antara komuniti dan kelancaran ekonomi negara kelihatannya cukup menyenangkan. Segalanya teratur dan rakyat tidak terasa tekanan hidup yang tinggi.

5) Walau seburuk manapun Dr. Mahathir pada kacamata segelintir insan, majoriti rakyat Malaysia di akhir Oktober 2003 merasakan pengunduran Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri umpama satu kehilangan besar yang tidak tercapai dek akal untuk menafikannya.

Keadaan seakan cukup berbeza, Mac 2009 kelihatannya cukup berlainan dengan Oktober 2003 ....

Neba2020: Petang Jumaat (31 Oktober 2009) itu saya menangis di depan TV, air mata berjuraian tak terhenti. Saya sedar bahawa saya cukup sayang, hormat dan menghargai insan yang seorang itu ....

Monday, March 2, 2009

Makan Duit Haram ?

Salam Buat Semua,

1) Encik (ayah) sewaktu bertugas di Telekom Malaysia pernah memberikan saya satu pengajaran yang cukup berharga. Ada kaitan dengan duit haram dalam bekerja.

2) Suatu hari (pertengahan tahun 1990an), Encik pulang lewat. Waktu Maghrib hampir menjengah baru dia kelihatan.

3) Di malamnya, tiba-tiba Encik 'berkhutbah' tentang duit haram.

4) Encik kata kita dibayar gaji untuk bekerja mengikut jumlah waktu yang ditetapkan. Kadang-kadang kita 'terguna' lebih masa untuk makan tengahari, terlewat sedikit datang kerja ataupun apa jua aktiviti yang bukan dinamakan bekerja.

5) Pada hemat Encik, sesekali tidak perlulah kerja lebih masa kita direkodkan di dalam borang tuntutan di akhir bulan. Anggap saja kita 'mengganti semula' apa yang telah 'terkurang' tanpa kita sedari. Duit haram mudah masuk ke dalam darah kita kalau tidak berwaspada.

6) Saya kaitkan kisah itu dengan kerjaya diri sendiri. Saya adalah seorang pengajar di universiti yang mengamalkan sistem masa kerja yang fleksibel. Tidak ada waktu wajib untuk datang dan sebaliknya juga.

7) Saya kira tugas utama seorang 'cikgu' di universiti ialah mengajar anak-anak muridnya.

8) Saya terfikir, tidakkah namanya makan duit haram juga andainya seorang 'cikgu' itu mengajar umpama melepaskan batuk di tangga ?

9) Tidakkah namanya makan duit haram sekiranya seorang 'cikgu' itu tidak cuba bersungguh-sungguh sewaktu mengajar ?

10) Tidakkah namanya makan duit haram juga jika seorang 'cikgu' itu kerap sangat menghabiskan waktu mengajarnya sebelum masa sebenar seperti yang 'diamanahkan' pihak universiti ?

Saya cuba jauhkan diri daripada 'termakan' duit haram, moga Tuhan memandu niat saya ini sebaiknya ....

Neba2020: Selalu kita mengecap orang itu makan rasuah, orang ini tidak amanah dan orang di sana juga di situ menyeleweng. Malangnya, jarang sekali kita cuba melihat diri sendiri mahupun keluarga kita sendiri, adakah kita bebas sepenuhnya daripada 'termakan' duit haram ?